lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Perbanyakkan Aktiviti Keagamaan Sebagai Medium Penyatuan Belia
Perbanyakkan Aktiviti Keagamaan Sebagai Medium Penyatuan Belia
HULU TERENGGANU, 8 September - Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UKM ( PERMATA ) disarankan memperbanyakkan aktiviti keagamaan bagi membantu mempertingkatkan perpaduan di kalangan masyarakat setempat khasnya melibatkan golongan belia. Bapa Angkat PERMATA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata saluran terbaik untuk memupuk hubungan baik dan semangat kerjasama adalah melalui aktiviti-aktiviti bercorak keagamaan. Menurutnya, program-program keagamaan amat penting sekali melibatkan golongan belia kerana cabaran sosial hari ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat. "Kita lihat sahaja golongan belia kita yang mudah terpengaruh oleh maklumat dan pengaruh media sosial yang disebarkan oleh pihak yang sengaja mahu memesongkan akidah belia-belia Islam kita. "Belia perlu merebut peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk meningkatkan potensi diri, membina kepimpinan serta akhlak mulia," katanya ketika meraikan kunjungan persatuan tersebut di kediamannya dekat sini. Maliaman juga  berkata belia perlu bersikap positif, berfikiran rasional serta bijak menilai agar tidak terjebak dalam kegiatan yang boleh merosakkan masa depan. Tambah beliau lagi, ada tiga teras utama jika sesuatu program itu ingin dijalankan iaitu keagamaan, pendidikan dan kebajikan membabitkan belia dan masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur. “Sebagai pelajar yang ingin mengadakan program bersifat komuniti perlu membuat persediaan rapi terutama mempunyai ilmu pengetahuan agama dan akademik untuk memberi bimbingan kepada golongan yang memerlukan,”katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, antara program yang boleh dilakukan bersama penduduk setempat terutama belia ialah mengadakan program bimbingan solat, membaca al-Quran, sesi akademik bersama kanak-kanak dan aktiviti komuniti seperti sukan. “ Oleh yang demikian, amat penting sekali program-program keagamaan dianjurkan lebih banyak lagi dengan melibatkan golongan belia dan masyarakat,” tambah beliau.
08 Sep 20
1642
200 Sukarelawan Syariah Kuala Terengganu Bantu Cegah Maksiat
200 Sukarelawan Syariah Kuala Terengganu Bantu Cegah Maksiat
KUALA TERENGGANU, 7 September - Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan seramai kira-kira 200 orang sukarelawan syariah bagi daerah Kuala Terengganu yang akan bertugas membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membanteras maksiat di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO (badan bukan kerajaan) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pertambahan tersebut sangat membantu tugas mencegah kemungkaran yang menjadi tanggungjawab semua umat Islam. "Sebelum ini bahagian penguatkuasa di bawah Pejabat Hal Ehwal Agama Kuala Tengganu hanya mempunyai seramai tujuh orang anggota penguatkuasa sahaja. Jadi sudah tentu tenaga tersebut tidak cukup untuk menjaga daerah Kuala Terengganu yang penduduknya berjumlah lebih 150,000 orang. "Kerana itu alhamdulillah, dengan inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri yang membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta dalam sukarelawan ini, rakyat kita lebih prihatin terhadap orang sekeliling. "Untuk kawasan Kuala Terengganu, saya difahamkan kita mempunyai seramai 200 orang sukarelawan syariah yang akan bertindak membantu JHEAT bagi membanteras maksiat yang mungkin akan berlaku. Terima kasih kepada semua yang mendaftar sebagai sukarelawan syariah. "Insya-Allah semoga usaha mulia ini dapat menjaga keharmonian dan juga keberkatan rakyat Terengganu khususnya di daerah ini," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. Turut hadir dalam program tersebut, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Adnan Abdullah dan Pegawai Syariah Daerah Kuala Terengganu, Syukri Faiz Jusoh. Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai ruang lingkup tugas sukarelawan syariah, katanya, dalam rondaan yang bakal dilakukan, mereka akan mendapatkan nasihat daripada penguatkuasa JHEAT tentang ilmu dan kaedah mendekati sasaran supaya tidak memberikan mudarat. "Kita akan membuat rondaan ke tempat-tempat yang biasa menjadi tumpuan muda-mudi atau sesiapa sahaja yang berkemungkinan melakukan gejala negatif. Pendekatan sukarelawan syariah yang kita gunakan adalah memberikan nasihat dan teguran. "Sekiranya perbuatan tersebut memerlukan kepada tangkapan atau serbuan, kita akan terlebih dahulu mendapatkan bantuan daripada penguatkuasa yang bertauliah," jelasnya.
07 Sep 20
2062
'Saya Bagaikan Mati Hidup Semula'
'Saya Bagaikan Mati Hidup Semula'
  Oleh: Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 5 September- “ Bagai mati hidup semula…tiada kata yang dapat digambarkan perasaan ketika dibebaskan dari penjara. Saya sedar, kasih sayang Allah terlalu agung untuk saya kenang, betapa Dia masih memberi peluang untuk saya,” demikian luahan Ahmad ( bukan nama sebenar). Ahmad adalah di antara 13 banduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada tahun ini. Mengimbas kembali detik pembebasannya, Ahmad berkata, pada 16 Ogos lalu, dia dipanggil oleh pegawai penjara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diminta membaca sepucuk surat. “ Saya membaca satu persatu baris ayat di surat itu, sehinggalah pada baris terakhir yang menyatakan rayuannya diperkenankan. Apabila tiba pada ayat ‘diperkenankan’ bagi rayuan kali kelima, saya gagal teruskan bacaan dan pegawai meminta saya melakukan sujud syukur. “Sampai sekarang, saya masih tak percaya, ibarat mati hidup semula. Tetapi saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang amat besar ini dan saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi saya peluang keemasan ini,” ,” katanya, sambil menambah saat itu beliau bagaikan tiada keupayaan lagi untuk berdiri kerana terlalu terkejut. Ahmad kelahiran Hulu Terengganu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas dakwaan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000. Ahmad telah dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh seketika pada tahun 2000 sebelum ke Penjara Kajang selama lapan tahun, kemudiannya dipindahkan ke Penjara Marang selama 12 tahun, sejak 2008, dan akhirnya ada 17 Ogos lepas, beliau dibebaskan. Menurut Ahmad, dia merasai pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang dipenjarakan dari Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, sehingga ke Penjara Marang. “Banyak susah dan pahit yang saya rasai semasa dipenjara selama 20 tahun ini. Ia benar-benar mengajar saya tentang erti kehidupan. Tak mungkin saya mahu kembali lagi setelah apa yang telah dilalui,”ujarnya lagi. Selain itu, beliau juga akan tetap meneruskan rutin membaca al-Quran seperti di penjara kerana itu amalan yang memberi ketenangan kepadanya. "Rutin harian saya membaca al-Quran pada setiap hari, paling kurang dua kali sebulan mesti khatam. Saya akan cuba bahagikan masa untuk meneruskan amalan harian saya dipenjara itu seperti biasa,selain puasa sunat isnin dan khamis. “Cukuplah apa yang sudah berlaku. Saya sekarang mahu mencari ketenangan bersama keluarga dan masyarakat. Saya bersyukur kerana masih diterima dan disayangi keluarga,” katanya yang juga mahir membuat perabot ketika di penjara. Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan dalam masa terdekat, Ahmad berkata, beliau berhasrat menceburi bidang penternakan. "Saya berminat untuk menternak lembu dan ingin memulakannya dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu," katanya ketika ditemui selepas diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim hari ini. Sementara itu, Maliaman berkata, pengalaman Ahmad ketika menjalani tahanan di penjara boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat terutama golongan muda. "Saya merancang mengumpul remaja dan pemuda yang pernah terbabit dengan masalah sosial termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah untuk mendengar perkongsian pengalaman yang pernah dilalui Ahmad. "Semoga perkongsian daripada Ahmad itu akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada golongan muda itu supaya sentiasa patuh kepada undang-undang," katanya. Menurutnya, pihaknya juga akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu Ahmad dalam memulakan kehidupan yang baru. “Insya Allah kita akan cuba bantu dengan memberikan lembu untuk Ahmad yang berhasrat untuk membabitkan diri dalam bidang penternakan,”katanya.
07 Sep 20
2445
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
KUALA TERENGGANU , 7 September – Kerajaan Terengganu akan melabuhkan 16 tukun lagi pada hujung bulan ini bagi membantu memperkayakan sumber hasil laut di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun konkrit seberat kira-kira 16 tan bagi setiap unit itu sudah siap dibina di Pulau Kambing di sini. "Insya-Allah program labuh tukun akan dilaksanakan pada akhir September ini di Perairan Benting Lintang, Besut dan Perairan Kuala Ibai, Kuala Terengganu. "Untuk tahun ini, sebanyak RM500 ribu diperuntukan bagi program tukun melibatkan RM300 ribu peruntukan kerajaan negeri manakala bakinya daripada Kerajaan Persekutuan.  "Kerajaan Negeri terus komited menyalurkan peruntukan bagi memperkayakan lagi sumber hasil laut kita. Di samping berfungsi sebagai rumah ikan, tukun seberat 16 tan ini juga akan menjadi penampan bagi kegiatan pukat tunda,’’ ujarnya. Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan ke Tapak Bina Tukun di Pulau Kambing dan Program Pemantauan Unjam di Kuala Ibai, di sini, hari ini.    Sementara itu, beliau turut turun melihat dan memantau keberkesanan unjam yang telah dilabukan di Kuala Ibai bersama Jabatan Perikanan sebelum ini. "Setelah dua minggu berlalu tempoh masa unjam dilabuhkan di Perairan Chendering, kita buat pemantauan dan ujian untuk mengenalpasti kewujudan spesis ikan yang mula menghuni unjam tersebut. "Pemantauan ini penting bagi melihat sejauh mana keberkesanan program labuh unjam dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan," katanya lagi.
07 Sep 20
3340
Terengganu Pemain Utama Industri Minyak Dan Gas
Terengganu Pemain Utama Industri Minyak Dan Gas
Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyifatkan industri minyak dan gas merupakan tulang belakang kepada ekonomi negeri Terengganu.
07 Sep 20
118
Perketatkan Penguatkuasaan Syariah Di Daerah Hulu Terengganu
Perketatkan Penguatkuasaan Syariah Di Daerah Hulu Terengganu
  HULU TERENGGANU, 7 September - Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah akan melaksanakan penguatkuasaan syariah secara menyeluruh dan lebih kerap pada masa akan datang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, ia menjadi harapan pihaknya kerana penekanan nilai Islam juga mestilah diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat. "Penguatkuasaan syariah di daerah ini mestilah diperketatkan pada masa akan datang kerana ini merupakan tanggungjawab yang kita akan jawab di hadapan Allah nanti. "Salah satu langkah yang telah diambil dalam masa terdekat ialah pelancaran Penguatkuasa Sukarelawan Syariah di daerah ini yang telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid pada Ogos lalu dan ia merupakan salah satu langkah kerajaan negeri bagi mencegah kemungkaran yang berlaku di daerah ini,"ujarnya. Beliau yang turut memegang salah satu portfolio EXCO Kerajaan Negeri Terengganu berkata demikian ketika kunjung hormat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) ke Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, pagi semalam. Menurut beliau, kunjung hormat ke pejabat agama daerah bertujuan mendapatkan perkembangan dan maklumat secara terus mengenai kerja-kerja dan permasalahan yang berkaitan dengan pejabat agama daerah. "Saya mengadakan kunjung hormat pada hari ini (semalam) bertujuan untuk mengetahui perkembangan dan penambahbaikan dari sudut syariah selepas kerajaan negeri memerintah selama setengah penggal ini. "Saya juga ada bertanya mengenai perkembangan masjid di seluruh daerah Hulu Terengganu dan juga ingin mengetahui jika ada apa-apa yang pihak kami boleh bantu. Alhamdulillah, pihak pejabat agama daerah menyambut baik dan rasanya tidak ada masalah untuk kita bekerjasama pada masa akan datang," jelasnya. Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amiruddin Engku Ali, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Penguatkuasaan), Mohd Shafie Endut, Ketua Penyelia IMITS Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah, dan Pegawai Khas ADUN Kuala Berang, Mohd Ariff Azlan.
07 Sep 20
609
Terengganu Pemain Utama Industri Minyak Dan Gas
Terengganu Pemain Utama Industri Minyak Dan Gas
  Oleh : Mastura/Fakrusy. SETIU, 6 September - Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyifatkan industri minyak dan gas merupakan tulang belakang kepada ekonomi negeri Terengganu.  Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Terengganu untuk sektor minyak dan gas pada tahun 2019 mewakili 34 peratus atau sebanyak RM 12.3 billion.  "Terengganu merupakan pemain kuat dalam industri tersebut, memfokuskan di Kertih dan Kemaman. Lokasi tersebut telah menarik pelaburan asing dan menaikkan peluang pekerjaan setempat. "Pada tahun 2007 sehingga 2019, jumlah pelaburan di Terengganu mencecah RM4.6 billion ringgit, turut menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam sektor tersebut, hasil daripada pertapakan industri tersebut di Terengganu.  "Pada tahun 2019, produk perlombongan dan petroleum menyumbang kepada 10 peratus bersamaan RM140 billion ringgit pengeluaran, sebanyak 20 peratus daripada eksport Malaysia," ujarnya. Beliau berkata demikian di sesi Focus Group Penggiat Industri Minyak, Gas & Petrolium di Institut Teknologi Petrolium Petronas (INSTEP), Batu Rakit, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dan Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.  Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) , Baidzawi Che Mat dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi A Rahman. Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama dua hari mulai semalam. Antara pengisian lawatan daripada delegasi  Kementerian Kewangan ke Terengganu juga adalah untuk berjumpa dengan wakil persatuan dan pengusaha industri pelancongan yang terkesan akibat COVID-19 serta wakil-wakil industri minyak, gas dan petrokimia.
06 Sep 20
14654
KPDNHEP Terengganu Tahan Tiga Individu Jual Pakaian Berjenama Tiruan
KPDNHEP Terengganu Tahan Tiga Individu Jual Pakaian Berjenama Tiruan
DUNGUN, 6 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Dungun telah menahan tiga orang lelaki warga tempatan yang disyaki menjual pakaian tiruan menerusi Ops Jeriji di tiga buah premis perniagaan berbeza di sini. Ketua Cawangannya, Muhammad Khairuddin Ali berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 8.15 pagi itu, sejumlah 1,224 helai pakaian yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah bernilai RM30,230 telah berjaya dirampas. "Operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki pakaian berkenaan adalah tiruan. Wakilnya turut menyertai serbuan yang dijalankan. "Mereka berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika semata-mata untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tiga orang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 35 tahun itu telah ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) di bawah akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Mengulas lanjut, kata Khairuddin, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Sementara itu, KPDNHEP Terengganu menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah. 
06 Sep 20
1373
Bila Dah Tua Jadi Parti Apa Pula - Abdul Hadi
Bila Dah Tua Jadi Parti Apa Pula - Abdul Hadi
MARANG, 6 September - "Semua orang muda akan jadi tua. Bila dah tua akan jadi parti apa pula," itu ulasan ringkas Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengenai hasrat bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menubuhkan parti khusus golongan muda. Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Muar itu berhak menubuhkan parti baharu yang dikatakan khusus untuk golongan muda selagi ia tidak melanggar undang-undang. "Kita negara demokrasi, bebas buat parti, Ikut peraturan dia, tak menyalahi undang-undang, buatlah. Relevan atau tidak, boleh pergi jauh atau tidak, saya tidak tahu masa depan. Cuma orang muda bila tua nak jadi parti apa pula," jelasnya bersahaja. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kampung Rusila di sini, petang semalam. Terdahulu Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah menyerahkan kertas cadangan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19 khususnya melalui peluang kerjasama dengan negara-negara Islam di rantau Timur Tengah. Kertas cadangan yang mengandungi syor dan saranan tersebut diserahkan kepada Tengku Zafrul.
06 Sep 20
2599
Krisis Air Isu Bersama, Usah Perlekehkan Sesiapa – Dr Azman
Krisis Air Isu Bersama, Usah Perlekehkan Sesiapa – Dr Azman
SETIU, 6 September – Krisis air yang sedang melanda salah sebuah negeri di Malaysia ketika ini merupakan isu bersama yang tidak patut perlekehkan mana-mana pihak.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata isu besar ini merupakan masalah sejagat di Malaysia dan tiada negeri bebas sepenuhnya daripada kemelut itu. "Sama ada masalah terputus terus bekalan air, tekanan air rendah, kualiti air yang rendah atau kawasan penempatan penduduk yang belum dapat bekalan air bersih. "Jadi, seeloknya jangan ada siapa yang memperlekehkan sesiapa. Ini adalah isu kita bersama. Bezanya ada negeri yang agak ringan masalah dan ada negeri yang sangat kronik.’’ beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.    Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, pihaknya terus komited untuk meminimakan sedaya mungkin jumlah penduduk yang belum mendapat bekalan air bersih.  "Kerja-kerja pemasangan paip air di Jabi memang agak intensif kita buat sama ada daripada peruntukan ADUN, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan ada ketikanya sumber dalam poket sendiri. Yang penting isu air ini perlu ditangani secara berperingkat. "Terdapat berbelas buah rumah di Kampung Kuala Kubang masih menggunakan air daripada sumber Air Terjun Lata Belatan, Jabi. Air yang berpunca dari Gunung Tebu ini sangat sejuk, bersih dan segar. ''Dah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan dah banyak yang rosak dan bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain. Dalam hal ini pemimpin setempat perlu proaktif. Kenal pasti masalah di kawasan masing-masing dan angkat permohonan bajet ke atas," ujarnya lagi.
06 Sep 20
1285