lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Permint Granite Jalin Kerjasama Dengan CKY Sand Bangun Industri Silika
Permint Granite Jalin Kerjasama Dengan CKY Sand Bangun Industri Silika
KUALA TERENGGANU, 10 September- Permint Granite Sdn. Bhd hari ini menandatangani perjanjian usahasama dengan Syarikat CKY Sand Sdn. Bhd bagi penubuhan syarikat usahasama Permint Granite CKY Sdn. Bhd. Pengerusi Permint Granite Sdn. Bhd, Che Ghani Che Ambak berkata, penubuhan syarikat usahasama itu adalah selaras dengan kehendak kerajaan negeri untuk membolehkan pasir silika yang telah diproses sebagai mineral industri sebelum dieksport. “Setakat ini kilang pemprosesan silika di kawasan Bukit Senyamok, Dungun ini telah 75 peratus siap dan dijangka akan beroperasi penuh selewatnya awal tahun hadapan. “Pembinaan kilang pemprosesan pasir silika ini adalah penting sebagai langkah awal bagi syarikat menghasilkan produk-produk hiliran silika dan untuk permulaan pasir silika yang dihasilkan adalah bagi pembuatan 'solar glass' dan 'architecture glass,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Penubuhan Syarikat Permint Granite CKY Sdn. Bhd di Wisma Darul Iman, hari ini. Pada majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, Permint Granite Sdn Bhd diwakili Che Ghani dan Syarikat CKY Sand Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Dato’ Seri Chong Kin Yong. Menurut Che Ghani, Permint Granite telah diberi kepercayaan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk mengeluarkan pasir silika di kawasan seluas 168 ekar. “Bermula tahun 2018 sehingga Ogos lalu, kami telah berjaya mengeluarkan sebanyak 707,872.94 metrik tan dengan pendapatan bersih hasil jualan berjumlah RM22.65 juta,” ujarnya. Katanya, setakat ini kos pembinaan kilang berkenaan adalah sebanyak RM10 juta dan dijangka mencecah RM50 juta untuk siap sepenuhnya. “Dengan adanya kilang ini juga secara tidak langsung dapat menawarkan 100 peluang kerja kepada penduduk setempat,” ujarnya.  
10 Sep 20
3893
Hafizah 30 Juzuk Raih Anugerah Pelajaran Diraja UiTM
Hafizah 30 Juzuk Raih Anugerah Pelajaran Diraja UiTM
  KUALA TERENGGANU, 10 September – Apa jua  kejayaan yang ada pada seseorang individu bukanlah dikecapi dengan mudah. Tanya sahaja mana-mana individu atau pelajar cemerlang di luar sana, pasti ada rahsia di sebalik kecemerlangan yang diperolehi. Begitu juga dengan Afaf Syahira Ahmad Satmi, 25,anak kelahiran Besut yang baharu sahaja diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UiTM 2020 yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis baru-baru ini. Ketika ditemui, anak kedua dari empat beradik itu mengakui kaedah menghafaz al-Quran yang dipelajari  menjadi salah satu resipi terbaik untuk setiap kejayaan yang diperolehinya turut terpilih sebagai graduan terbaik Universiti Teknologi MARA  (UITM) tahun lepas. “Meletakkan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup serta  setiap hari,  dan jangan lupa untuk baca dan mengulang bacaan al Quran, paling minimum, satu muka surat sehari. “Setiap hari, untuk mulakan hari baru, tajdid (perbaharui) niat kita, Afaf berpegang pada hadis nombor satu Imam Nawawi yang bermaksud ‘Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa seusngguhnya bagi setiap orang apa yg dia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah menuju kepada Allah dan RasulNya,maka berhijrah kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujunya itu’. “Saya jadikannya satu amalan, jadi setiap perbuatan kita kena niat yang betul dan ikhlas,kalau niat sebab Allah, inshaAllah dipermudahkan bila ikhlaskan hati dalam setiap perkara,” ujarnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) semalam. Afaf merupakan graduan dalam bidang ljazah Sarjana Muda Pembedahan (Pergigian) di UiTM juga merupakan Hafizah 30 Juzuk dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut kini berkhidmat di Klinik Pergigian Padang Luas, Jertih. Katanya, sokongan ibu bapa, Ahmad Satmi Salleh, 56, dan Hayati Awang, 52, adik-beradik serta pensyarah dan rakan sekelas sentiasa melonjak motivasi buat dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh. Tidak kedekut atau lokek dengan kejayaan yang diperolehinya, dia turut berkongsikan sedikit tips untuk mencapai kejayaan ini. Menurut Afaf, sebagai anak perlu sentiasa memohon restu daripada ibu bapa, tidak meninggalkan solat dan fokus di dalam kelas juga  menjadi rahsia kejayaannya meraih anugerah itu. “Jaga hubungan dengan Allah dan manusia,terutama sekali ibu bapa kerana doa mereka paling makbul.Rapatkan diri dengan Allah dengan doa, solat sunat ,bangun malam. Allah paling dekat dengan hambaNya yang berdoa padaNya “Doa ibu bapa tiada hijab dan jangan lupa untuk sentiasa meminta orang lain mendoakan kita, kerana kita tidak tahu mungkin doa salah seorang daripadanya diangkat dan dimakbulkan.Jadi salinglah meminta doa dan mendoakan antara satu sama lain,” katanya. Sementara itu, Ahmad Satmi yang berkhidmat sebagai pegawai Rakan Penambahbaikan Sekolah di Pejabat Pendidikan Besut berkata, dia dan isteri cukup berbangga dengan kejayaan anak perempuan mereka dan menyifatkan segala pengorbanan anaknya telah terbalas, “Afaf telah banyak berkorban untuk capai tahap ini, dan apa sahaja yang dia dapat hari ini memang berbaloi dan kami bangga dengannya. “Dia anak yang baik, kuat semangat dan suka mengalah serta rapat dengan keluarga.Saya dan isteri sentiasa memberikan pemikiran positif kepada dia dan adik beradiknya yang lain bahawa jika orang lain boleh buat ...kenapa kita tak boleh buat, usaha yakin dan tawakkal, Insha Allah akan berjaya,”katanya. Ketika ditanya tentang petua mendidik anak, Ahmad Satmi berkata setiap anak mereka sejak lahir akan dididik dengan ilmu agama sebagai bekalan hidup termasuk menyuntik kata-kata motivasi. “kami sekeluarga rapat, sentiasa bercuti bersama-sama malah ketika anak-anak belajar di sekolah berasrama, setiap hari kami akan telefon bertanya khabar dan secara tidak langsung berkongsi masalah jika ada. “Satu lagi amalan kami suami isteri ialah melakukan solat hajat setiap malam dan berdoa hanya yang terbaik untuk Afaf dan adik beradiknya yang lain, sebab doa ibubapa ini tidak ada hijabnya,”tambahnya.  
10 Sep 20
3793
Terengganu Agih RM4.188 Juta Kepada MPKK
Terengganu Agih RM4.188 Juta Kepada MPKK
KUALA TERENGGANU, 9 September -  Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan bantuan geran bernilai  RM4.188 juta kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebanyak 1,047 MPKK akan memperolehi bantuan itu dengan setiap entiti menerima RM4,000. Katanya, ia diberikan secara 'one-off' dan dijamin tiada MPKK yang tercicir. "Penyaluran geran ini adalah bantuan jangka pendek bagi tahun 2020 dalam rangka keprihatinan kerajaan negeri. "Ia bagi merangsang perancangan serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung dalam melalui fasa PKPP sekarang ini. "Kerajaan negeri komited untuk mempastikan pengurusan MPKK Terengganu sentiasa berada pada tahap terbaik dalam memberikan khidmat bakti kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
09 Sep 20
2265
Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
KUALA NERUS, 9 September - Kawasan pesisir pantai di daerah ini yang kerap menjadi sasaran segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral akan diberi tumpuan oleh skuad sukarelawan syariah Kuala Nerus dalam usaha membanteras perbuatan maksiat di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata, antara yang menjadi lokasi panas adalah kawasan Pantai Hulu Takir, yang terletak di sepanjang laluan menghala ke jambatan angkat (drawbridge).  Katanya, seramai 120 anggota sukarelawan dilantik sentiasa bersedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaporkan sebarang kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah yang berlaku di daerah ini. “Sukarelawan syariah adalah orang awam yang dilantik oleh kerajaan negeri diletakkan dibawah pemantauan JHEAT, tidak diberi kuasa menangkap dan menyiasat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). “Bagaimanapun mereka ini sedia tampil memberi maklumat dan bersedia untuk bekerjasama dan menjadi saksi dalam sesuatu kes terutamanya melibatkan kes jenayah syariah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Nerus anjuran Bahagian Penguatkuasaan JHEAT di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Zulkefli Othman, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pencegahan) JHEAT, Kamal Bin Mamat dan Ketua Sukarelawan Syariah Kuala Nerus, Harun Salleh. Katanya, inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri itu telah membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta membantu JHEAT mendidik dan memberi kefahaman kepada orang ramai akan kesalahan syariah yang berkuatkuasa di negeri ini. “Dengan kekuatan anggota penguatkuasa JHEAT yang kurang daripada 10 orang di setiap daerah sudah pasti tidak mampu untuk menjaga penduduk negeri ini, justeru dengan adanya sukarelawan syariah di setiap daerah ini sedikit sebanyak dapat meluaskan pemantauan,” ujarnya. Dr Alias berkata, tujuan pencegahan dilakukan bukan semata-mata untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan syariah tetapi lebih kepada mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat agar sama-sama bertanggungjawab mencegahnya.  
09 Sep 20
575
Kerjasama YT Dan UTP Buka Ruang Buat Pelajar Pintar B40
Kerjasama YT Dan UTP Buka Ruang Buat Pelajar Pintar B40
KUALA TERENGGANU, 9 September – Kerjasama pintar antara Yayasan Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas ( UTP)  mampu membuka ruang kepada pelajar pintar B40 negeri ini melanjutkan pelajaran ke peringkat Persediaan/Asas dan Ijazah Sarjana Muda di pelbagai bidang di UTP. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan kolaborasi pertama antara Yayasan Terengganu dengan universiti swasta dalam negara yang merupakan antara 'Top 100 Asia bagi World Ranking Universiti tahun 2020'  telah dilaksanakan secara lebih teratur dan terancang. Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan asas-asas yang terbaik untuk terus memacu kecemerlangan Terengganu dalam medan pendidikan. “Untuk permulaan, sepuluh orang pelajar telah terpilih iaitu tiga orang yang akan mengikuti program persediaan (Foundation) dan tujuh lagi akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di UTP di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat Ijazah Sarjana Muda. “Kerjasama ini tidak hanya melibatkan penajaan pelajar semata-mata, bahkan melibatkan  program pendidikan pelajar melalui aktiviti berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya di Sekolah Menengah  Imtiaz YT, latihan pembangunan staf/guru berdasarkan perkembangan alaf baharu, dan program penempatan kakitangan termasuk pertukaran kakitangan “Ia bagi melahirkan generasi masa hadapan yang mampu untuk menghadapi apa jua cabaran dan menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara kerana generasi ini dibentuk bukan hanya menerusi kecemerlangan dalam jangka masa  yang tertentu tetapi melalui gabungan berbagai keperluan,” ujarnya. Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Yayasan Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar; Pengerusi Lembaga Pengarah UTP, Dato' Raiha Azni Abd Rahman; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato' Razali Che Ani, Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat  dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim. Menerusi persefahaman pada hari ini, Tabung Amanah Zakat UTP (TAZU) akan menaja seramai 20 orang pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pengajian peringkat Asas (Foundation) untuk tempoh pengajian selama satu tahun. Yayasan Terengganu dan Tabung Amanah Zakat UTP akan menaja seramai 20 orang pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mana akan ditanggung secara bersama berdasarkan jumlah yang telah dipersetujui.
09 Sep 20
925
3.5 Juta Peluang Kerja Tersedia Dalam Sektor Pelancongan
3.5 Juta Peluang Kerja Tersedia Dalam Sektor Pelancongan
Sejumlah 3.5 juta peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada penduduk di negara ini sebelum wabak COVID-19 melanda dunia dan juga Malaysia.    
09 Sep 20
86
Ruane-TATI Dan TWI Jalin Kerjasama
Ruane-TATI Dan TWI Jalin Kerjasama
    KUALA TERENGGANU, 8 September - Perjanjian persefahaman (MoU) di antara Ruane-TATI Sdn Bhd dan TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd membuka satu lembaran baharu dalam industri di Terengganu. Pengerusi Lembaga Pengarah Ruane-TATI Sdn Bhd, Alias Harun berkata kerjasama ini adalah amat penting bagi mencapai matlamat untuk memenuhi permintaan Industri di kedua-dua pihak. "Ruane-TATI  sebagai sebuah pusat yang melahirkan pakar-pakar Ujian Tanpa Musnah atau Non-Destructive Testing (NDT), sudah semestinya bersedia untuk melangkah lebih jauh dengan menawarkan perkhidmatan persijilan yang baharu kepada penduduk setempat dan sekitar.  "Manakala TWI adalah juga seperti syarikat-syarikat NDT yang sentiasa berharap untuk menaiktaraf penduduk-penduduk di pantai timur khususnya kepada satu kualiti sijil profesional tahap tinggi iaitu CSWIP (Certification Scheme for Welding and Inspection Personnel (UK, non-destructive testing personnel) yang diiktiraf oleh TWI UK dan kebanyakan negara di dunia," katanya. Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani MoU Antara Ruane-TATI dan TWI Technology di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini.   Pada majlis tersebut, dokumen MoU telah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah RTSB, Alias Harun, yang mewakili Ruane-TATI Sdn Bhd, disaksikan oleh Pengurus Besar Ruane-TATI Sdn Bhd Ts. Dr. Mukhtar Malik,  sementara Penolong Pengurus Wilayah mewakili pihak TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd, Mr. Dietmar Kok, dan disaksikan oleh Ghazale Hashim selaku Pengarah TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd.  Katanya, antara intipati MoU ini ialah Ruane-TATI akan memastikan Latihan dan Peperiksaan berjalan  lancar di Ruane-TATI dengan menyediakan semua kelas, peralatan dan kebajikan para pelajar dan mendapat pengiktirafan daripada The Welding Institute United Kingdom (TWI UK). "Sementara itu, pihak TWI Technology pula akan melakukan kerja-kerja pemasaran dan menyediakan menghantar tenaga pengajar dan pemeriksa yang bertauliah serta keperluan peperiksaan. "Oleh sebab itu, saya berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan untuk jangkamasa yang panjang kerana ia dapat memberi manfaat dan dalam masa yang sama menguntungkan kedua-dua pihak iaitu TWI Technology dan juga Ruane-TATI," ujarnya.  
08 Sep 20
1095
106 Peserta RTB Terkilan Di Kijal Terengganu Terima Geran
106 Peserta RTB Terkilan Di Kijal Terengganu Terima Geran
KEMAMAN, 8 September - Seramai 106 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri Kijal yang dinafikan hak dahulu (terkilan), kini tersenyum lebar setelah menerima geran hak milik. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh memanjatkan syukur ke atas Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasannya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kemaman. "Alhamdulillah di kesempatan ini kita diberikan ruang untuk menunaikan janji kerajaan dengan mengembalikan semula tanah yang dinafikan dahulu kepada mereka yang berhak, "Dengan kerja keras yang penuh komitmen daripada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman saya ucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah," ucapnya. Hazri Jusoh (dua dari kanan) RTB yang diserahkan hak milik geran di Dewan Terbuka Penunjuk Kijal kelmarin adalah RTB Bukit Anak Dara seramai 21 penerima, RTB Batu 9 seramai lima penerima, RTB Ibok seramai 17 penerima manakala RTB Bukit Panjang seramai 63 penerima. Dalam waktu yang sama, Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad A. Rahman yang turut berucap di majlis tersebut mengingatkan kepada penerima hak milk geran supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka.  "Saya mengharapkan agar tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini hendaklah didirikan rumah dan jangan dijual," katanya. "Mana nak dapat harga tanah yang semurah ini, bayar premium sebanyak 10% dengan berdasarkan nilai harga pasaran pada tahun 1999, "Pagi hari makan ceri, sebelah petang goreng ikan bawal, tanah yang beri... janganlah dijual," ucapnya berseloroh. Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju memasukkan Dasar Tanah Terkilan dengan beberapa kemudahan seperti bayaran premium mengikut nilai tanah pada tahun tersebut demi kebajikan kepada rakyat.  
08 Sep 20
2870
Pengayuh Beca, Duta Kecil Pelancongan Terengganu
Pengayuh Beca, Duta Kecil Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 September- Kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Timur berhasrat meluaskan usaha mempromosi pelancongan Terengganu melalui pengiktirafan pengusaha-pengusaha beca di sekitar Kuala Terengganu sebagai duta kecil dalam usaha membantu industri tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menyatakan, jika mengambil kira faktor kemasukan pelancong ke dalam negeri, pengangkutan beca sebenarnya boleh jadi sumber pendapatan baru kepada generasi muda jika dilaksanakan dengan kaedah terbaik. Ariffin dan Hafiz menyampaikan baju Tourism Malaysia kepada salah seorang pengusaha beca. "Pada masa ini, kita ada seramai 48 pengusaha beca berdaftar dan sekitar 20 orang yang masih aktif. Sebenarnya, berikutan faktor umur rata-rata yang ada memang dalam usia 60-an ke atas dan ada yang telah meninggal dunia. "Insya-Allah, kita akan bincang untuk naik taraf beca ke arah lebih baik, namun mengekalkan keunikannya yang ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pakaian kepada Pengayuh Beca Kuala Terengganu di Pasar Payang 2, hari ini. Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berserta wakil-wakil pengusaha hotel dan pelancongan negeri. Tambahnya, kerajaan negeri juga pernah merangka usaha untuk menempatkan beca di Tasman Tamadun Islam serta mewujudkan laluan khas untuk pengunjung menikmati pengalaman menaiki beca. "Semua ini dalam perancangan. Setakat ini, laluan beca adalah di Pasar Payang dan sekitar bandar sahaja. "Sebenarnya, inisiatif terutama sekali dari segi inovasi telah dilakukan dan di Jabatan Pelancongan Negeri kta sudah ada beberapa basikal elektrik, tetapi generasi lama tak sesuai dengannya dan kebanyakan mereka lebih suka kepada konsep asal yang ada," katanya. Ariffin melihat keadaan beca-beca di Pasar Payang.      
08 Sep 20
860
Daging Penyu Boleh Jadi Punca Penyakit Kronik
Daging Penyu Boleh Jadi Punca Penyakit Kronik
  KUALA NERUS, 8 September – Amalan pemakanan berkaitan daging penyu perlu dihentikan kerana ia  boleh menjadi punca terjadinya penyakit kronik yang menyebabkan kematian. Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata  penyu  mempunyai kandungan logam berat yang tinggi.  Tambahnya, kadar logam berat yang diukur dalam tisu penyu melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa dan boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak. “Daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin, dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar.  “Dari perspektif parasitologi, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing trematoda. Parasit-trematoda dewasa dijumpai terutamanya di jantung, manakala telur trematoda boleh dijumpai di pelbagai organ termasuk otak, jantung, hati, paru-paru, limpa, ginjal, kulit, perut dan usus,”  ujarnya  dalam satu kenyataan baru-baru ini. Beliau juga berkata satu kajian yang dijalankan ke atas penduduk orang Asli di Australia telah menjumpai telur cacing ini di dalam najis kanak-kanak masyarakat tersebut. “Ini sekaligus menunjukkan risiko jangkitan akibat pemakanan daging penyu memang berlaku, seterusnya memberi indikasi bahawa cacing dewasa mampu membiak di dalam badan kanak-kanak terbabit,”katanya lagi. Tambah Muhammad Hafiz, antara kesan kesihatan yang dilaporkan dari memakan penyu laut atau telurnya yang dijangkiti pathogen zoonotik termasuklah cirit-birit, muntah, dan dehidrasi yang melampau, yang boleh mendatangkan kematian.  “Asasnya, pengambilan telur dan daging penyu jelas mendatangkan kesan negative terhadap kesihatan manusia. Terdapat juga saranan dimana wanita dan kanak-kanak khususnya mengalami kesan yang lebih teruk berbanding lelaki.  “Oleh yang demikian, aktiviti pengambilan daging dan telur penyu hendaklah dihentikan bagi mengurangkan kesan kesihatan kepada manusia, disamping keperluan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat umum mengenai perkara ini,” jelas beliau. Selain itu, bagi mereka yang beragama Islam, larangan memakan daging penyu telah dikeluarkan oleh pejabat mufti wilayah persekutuan  kerana haiwan itu merupakan kumpulan haiwan dua alam sepertimana katak, buaya dan lain-lain.  
08 Sep 20
1324