lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kejayaan Anak Terengganu Bina Kapal Membanggakan-Amzad
Kejayaan Anak Terengganu Bina Kapal Membanggakan-Amzad
  KUALA NERUS, 22 September- Kejayaan anak-anak tempatan yang menceburi bidang perkapalan di Terengganu cukup membanggakan dan wajar dikekalkan di negeri ini.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyatakan kebanggaan dengan kejayaan anak-anak tempatan kerana  kerjaya itu dapat mengekalkan tradisi pembinaan kapal dan bot dalam negara. "Tradisi ini wajar dikekalkan lebih-lebih lagi sekarang pembinaan kapal telah menggunakan teknologi yang lebih maju dan moden. Ini antara limbungan kapal yang terbaharu, diusahakan oleh sekumpulan anak-anak muda yang sebelum ini banyak menimba pengalaman dalam pembinaan kapal," katanya. Jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)  ketika lawatan tinjauan di limbungan Cerana Tekniq Group Sdn Bhd, di Kampung Batin, di sini baru-baru ini. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, limbungan Cerana Tekniq kini sedang dalam proses menyiapkan pembinaan kapal atau Bot Peronda Taman Laut untuk Jabatan Perikanan Malaysia.  “Bot ini menggunakan teknologi terkini dan saya lihat kualiti pembinaannya cukup bagus. Ini sekali lagi anak Terengganu membuktikan mereka kekal mempunyai tradisi pembinaan kapal, bot antara yang termaju dalam negara kita. Ini bertepatan dengan kerajaan yang sedang menerapkan IR4.0 sebagai strategi pembangunan negara di masa hadapan, dan menjelang RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12) lebih banyak inisiatif bagi memacu pembangunan negara berasaskan teknologi," katanya. Tambahnya, MOSTI bertanggungjawab untuk memacu teknologi dalam negara, dalam segala bidang termasuklah dalam industri maritim yang dipacu penggunaannya melalui teknologi. Antara peranan itu ialah bagaimana memodenkan industri perikanan dengan memperkenalkan bot-bot nelayan yang lebih moden, menggunakan bahan yang murah, kuat dan senang didapati.   
21 Sep 20
6174
Jenazah Wan Mokhtar Selamat Dikebumikan
Jenazah Wan Mokhtar Selamat Dikebumikan
SHAH ALAM, 21 September - Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, apabila ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad petang tadi. Jenazah Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam tersebut, pada pukul 3.00 petang. Sebelum itu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 6.20 pagi, kemudian disembahyangkan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, selepas solat Zohor. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang ditemui media selepas upacara pengebumian menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang amat berjasa kepada negeri Terengganu. "Allahyarham merupakan antara watak yang memimpin Terengganu suatu masa dahulu, banyak jasanya kepada rakyat dan juga negeri. "Mewakili kerajaan negeri saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh dan beriman," katanya. Turut hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Sementara itu, anak Allahyarham, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Air Putih memberitahu, beliau sempat lagi bercakap dan bergambar bersama Allahyarham semalam. “Sebagai pemimpin negeri Terengganu, bapa saya membawa kemajuan dalam bidang pendidikan melalui insentif dan bantuan kepada pelajar. “Bapa saya percaya bahawa pendidikan mampu membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. “Hasilnya anak Terengganu merupakan di antara tenaga kerja yang berpendidikan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi, nombor empat yang terbaik di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita. Tambahnya, sebagai seorang bapa, Allahyarham seorang yang mementingkan keluarganya. “Selepas pulang kerja, bapa saya membawa anak-anak ke kebun untuk memberi tazkirah. Apabila waktu solat maghrib, Allahyarham akan memastikan kami solat berjemaah di rumah bersama-sama, termasuk waktu terawih jika ibu boleh sembahyang,” katanya lagi. Allahyarham yang meninggalkan lima anak merupakan Menteri Besar Terengganu ke-10 dan berkhidmat dari 1974 hingga 1999, menyandang jawatan tersebut paling lama selama 25 tahun. Beliau juga merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 2000 hingga 2005.
21 Sep 20
2186
Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu
Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu
BESUT, 21 September – Kerajaan Terengganu akan membantu pesawah di negeri itu yang terjejas akibat ribut beberapa hari lalu.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan data lengkap bagi kerosakan dialami kira-kira 160 orang pesawah. "Setakat ini, kawasan sawah yang terlibat ialah seluas 97.2 hektar, melibatkan daerah Besut dan Setiu. "Ia membabitkan kawasan seluas 82.2 hektar sawah padi  di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dan selebihnya terletak di luar kawasan jelapang tersebut. "Kerugian keseluruhan setakat ini dianggarkan berjumlah RM567,000 yang dikira berdasarkan potensi hasil dan harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi yang terjejas di baruh Gong Telikong, Jabi dan baruh Kampung Dengir, Kuala Besut, di sini semalam. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, selain berusaha mendapatkan bantuan kerajaan pusat, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencara Pertanian Negeri  Sementara itu, salah seorang petani, Ab Halim Zakaria, 41, berkata kerugian yang dialaminya pada musim ini kira-kira RM12,000 melibatkan seluas dua hektar di Kampung Dengir setelah tanamannya rosak dilanda ribut pada 3.30 petang, Khamis lepas. “Padi yang saya tanam sepatutnya dah boleh dituai dalam tempoh 10 hari lagi namun ia tidak menjadi kenyataan apabila musnah dipukul ribut,” katanya.
21 Sep 20
1616
Terengganu Laksana Caj Percuma Wad Kelas Ketiga Oktober Ini - Dr Alias
Terengganu Laksana Caj Percuma Wad Kelas Ketiga Oktober Ini - Dr Alias
KUALA NERUS, 21 September - Kerajaan negeri akan melaksanakan caj wad kelas ketiga secara percuma kepada rakyat Terengganu yang menjadi pesakit wad ini tanpa mengira golongan di hospital milik kerajaan di seluruh negeri bermula Oktober ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, persetujuan telah dicapai antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri mengenai perkara ini. "Insya-Allah pada 1 Oktober ini, satu memorandum persefahaman (MoU) dan majlis pelancaran bakal ditandatangani antara Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak KKM yang menyentuh kaedah pembayaran dan sebagainya. "Semasa Kerajaan Pakatan Harapan memerintah sebelum ini, kita mempunyai sedikit kekangan kerjasama antara kedua pihak meskipun pelbagai cadangan mekasnisme pembayaran telah diperjelaskan serta peruntukan di peringkat negeri sudah pun diluluskan," jelasnya. Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta setahun untuk pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas tiga sebagaimana janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Keceriaan Merdeka di Padang Bola Taman Desa Jaya, Gong Pak Damat di sini baru-baru ini. Hadir sama dalam program tersebut, Pegawai Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal (Bahagian Kerajaan Persekutuan) dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Desa Jaya, Mohd Norizu Ismail@Muda. "Mewakili kerajaan negeri, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan YAB (Yang Amat Berhormat) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi peluang kepada kami untuk menunaikan satu lagi janji manifesto PRU14," ujarnya. Untuk rekod, caj wad kelas tiga yang dibayar pesakit di hospital di negeri ini berjumlah RM3.89 juta dengan jumlah seramai 84,946 pesakit pada 2017 dan RM3.6 juta membabitkan 76,206 pesakit pada 2018.
21 Sep 20
8927
Mantan MB Terengganu Meninggal Dunia
Mantan MB Terengganu Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 21 September - Mantan Menteri Besar Terengganu, 88, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, meninggal dunia di Prince Court Centre, Kuala Lumpur pukul 6.20 awal pagi tadi. Allahyarham yang meninggalkan lima anak merupakan Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat dari 1974 hingga 1999.Beliau juga merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 2000 hingga 2005. Anaknya, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Air Putih menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya pagi ini berkata, jenazah Allahyarham akan  dikebumikan di Kuala Lumpur. Menurut beliau, jenazah ayahnya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam selepas Zohor dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam selepas itu. “Mohon doakan keampunan Allah pada arwah, dipermudahkan perjalanan di alam barzakh dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti. “Mohon maafkan segala dosa-dosa arwah, halalkan makan minum dan tuntutlah pada keluarga sekiranya ada hutang dengan tuan-tuan dan puan-puan,” katanya dalam hantaran berkenaan.  
21 Sep 20
1658
Pengusaha Pelancongan Tidak Patuh SOP Wajar Dikenakan Tindakan
Pengusaha Pelancongan Tidak Patuh SOP Wajar Dikenakan Tindakan
Pengusaha-pengusaha pelancongan yang mengambil kesempatan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar dikenakan tindakan tegas.
20 Sep 20
103
Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar
Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar
KUALA NERUS, 20 September - Kerajaan negeri menyasarkan jumlah pingat emas yang tinggi untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 bagi Pasukan Perahu Layar Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan optimis bahawa skuad atlet perahu layar negeri akan menggondol 10 pingat emas pada Sukma Johor berbanding lapan pingat emas pada Sukma Perak edisi-19 pada 2018 lalu. “Saya diberi mandat sebagai bapa angkat Pasukan Perahu Layar Terengganu. Oleh itu, kita perlu sasar lebih daripada lapan pingat emas yang dipungut pada Sukma Perak yang lalu. “Saya yakin kerana sebahagian besar atlet kita pernah mewakili negara dan menang di peringkat antarabangsa, bukan setakat di dalam negara. “Pihak kerajaan juga akan bekerjasama dengan Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu dalam menetapkan masa dan tempat untuk pemberian sagu hati sebagai penyuntik semangat kepada para atlet,” katanya. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada anak-anak atlet atas komitmen menaikkan nama Terengganu di persada kebangsaan dan dunia, semasa menghadiri majlis penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020 di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus, petang semalam. “Kejohanan sebegini memberikan peluang yang baik kepada atlet untuk memahirkan diri dalam menghadapi saingan pada Sukma akan datang," tambahnya. Turut Hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin serta Ketua Jurulatih Sukan Pelayaran Negeri Terengganu, Abdul Rani Idris. Menurut ketua jurulatih, antara cabaran dalam aspek persiapan skuad adalah kehilangan masa latihan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19. “Cabaran ini dapat diatasi melalui kejohanan seperti ini di mana atlet dapat berlatih bersama skuad Sukma negeri lain. Beliau mengulas, mereka akan menggunakan tempoh sebelum musim tengkujuh untuk berlatih di Tanjung Gelam kerana suasana dan lokasi yang strategik. "Pada bulan November, kita akan kembali berlatih di perairan berdekatan dengan Duyong Marina, Pulau Duyong," ujarnya. Menurutnya, senarai panjang skuad atlet terdiri daripada 25 orang, 17 atlet terpilih akan diumumkan dalam sekitar bulan Disember untuk mewakili negeri di Sukma Johor 2020. “Dua acara yang bakal dianjur dalam negeri iaitu Liga Layar Siri Ketiga dan Kejohanan Tertutup Jemputan Terengganu pada 13 hingga 16 november di Duyong Marina Resort. Acara sebegini adalah di antara proses pemilihan atlet. “Kejohanan kebangsaan akan dijangka berlaku sekitar bulan Disember, tuan rumah belum diketahui lagi tetapi ia adalah proses terakhir untuk pemilihan skuad atlet perahu layar negeri," jelasnya.
20 Sep 20
640
Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam
Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam
KUALA NERUS, 20 September - Pasukan Perahu Layar Terengganu mengungguli Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020  di Pantai Tanjung Gelam dengan menguasai kategori terbaik keseluruhan kategori Optimist bagi lelaki dan perempuan. Atlet lelaki terbaik keseluruhan kelas optimis dijuarai oleh Asmadi Azman dalam tiga acara. Manakala, juara keseluruhan kategori perempuan kelas optimis dimenangi oleh Nur Faarihah Abdul Rani. Asmadi Azman, yang merupakan anak jati Pulau Duyung Kecil berkata, antara cabaran yang dihadapi seperti isu angin laut perlahan yang memberatkan lagi perahu layarnya. “Berkat doa ibu bapa dan tidak meninggalkan latihan secara berterusan adalah strategi saya dalam menghadapi cabaran dalam persaingan ini,” katanya petang semalam. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu Siri 2/2020 yang berlangsung pada jam 5 petang semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin. Kejohanan itu disertai oleh 59 orang atlet. Terengganu diwakili oleh 17 orang atlet Sukan Malaysia (Sukma) manakala 31 orang lagi adalah atlet pelapis, manakala 10 orang atlet Sukma mewakili Kedah dan seorang mewakili Pulau Pinang. Ketua jurulatih sukan pelayaran negeri Terengganu, Abdul Rani Idris berkata, kejohanan ini adalah aksi kali pertama atlet selepas terpaksa ditangguhkan atas sebab pandemik Covid-19. Beliau mengulas, di antara fungsi kejohanan itu adalah untuk memperkasakan atlet selain mengenal pasti kelemahan dan ruang untuk penambahbaikan. “Lokasi di Pantai Tanjung Gelam ini membantu dalam persiapan untuk Sukma Johor 2020 kerana lokasi perairan yang terbuka. “Kita akan berlatih di sini dalam tempoh sebelum musim tengkujuh pada bulan November, kemudian latihan akan disambung di kawasan Duyong Marina,” ulasnya lagi. Untuk rekod, kejohanan tersebut melibatkan empat kategori kelas iaitu Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing yang berlangsung di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus selama empat hari bermula pada 16 hingga 20 september.
20 Sep 20
1891
Jangan Pindah Ternakan Elak Wabak Merebak
Jangan Pindah Ternakan Elak Wabak Merebak
KUALA TERENGGANU, 19 September - Kerajaan negeri mengeluarkan amaran melarang sebarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menegaskan, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke kawasan lain. "Mohon kerjasama daripada semua penternak, peraih atau sesiapa sahaja yang berkenaan agar tidak melakukan pemindahan ternakan dari daerah yang sedang dilanda wabak HS ke daerah lain tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu.  "Hari ini Penguatkuasa JPV Terengganu menahan sebuah lori dengan dua ekor kerbau yang disyaki cuba dipindahkan dari daerah berlaku wabak tanpa kebenaran Pengarah JPV. "Kes disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu,  Perintah di Bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000. Sehubungan dengan itu ujarnya, larangan keras  diambil tersebut perlu  pihak diambil perhatian oleh semua pihak. "Daerah yang terjejas sekarang ialah Marang dan Kuala Terengganu. Pemindahan ternakan dari daerah lain yang tak terlibat  juga perlu mendapat kebenaran JPV," tambah beliau.
19 Sep 20
1023
Nabil Kembali Gagah Di Halaman Sendiri
Nabil Kembali Gagah Di Halaman Sendiri
KUALA NERUS, 19 September- Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, Rahimi Nabil Razu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mencatat masa terpantas pada saingan Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia 2020 di Litar Permotoran Terengganu, hari ini. Dalam perlumbaan akhir saingan kelas Wira KBS sebentar tadi, Nabil mencatatkan masa 10 minit 47.161 saat mengatasi pelumba di tempat kedua, Md Haziq Rosmaza dengan perbezaan 1.219 saat. Anak Kampung Pak Madah, Bukit Payong itu menyatakan kegembiraannya merekodkan kemenangan di halaman sendiri. "Alhamdulillah saya amat bersyukur. Selepas menguasai podium di pusingan pertama, saya menghadapi kesukaran di Johor akibat hujan. "Kali ini, saya kembali mengekalkan nombor satu dan saya akan berusaha lebih lagi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perlumbaan tadi. Nabil kini terus menguasai carta kedudukan keseluruhan selepas pusingan keempat dengan 78 mata. "Saya hendak mengekalkan kedudukan ini sehingga habis musim," tambahnya bersemangat. Dalam pada itu, pada saingan kelas CP 125, seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu, Md Hafiza Rofa yang mewakili ONEXOX TKKR SAG TEAM turut berjaya menduduki podium di tempat ketiga.  
19 Sep 20
903