Artikel "Utama" Terkini
Usaha Gigih JPV ‘Selamatkan’ Kerbau Pak Khamis Dipuji
KUALA TERENGGANU, 18 September – Usaha gigih kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dalam menyelamatkan baki kerbau Khamis Jusoh, 64, mendapat pujian Exco kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ternakan Khamis yang diserang wabak Hawar Berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) telah mendapat diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan JPV termasuk dengan melaksanakan kerja-kerja menyelamat terhadap binatang yang tinggal.
"Hari menjelang senja. Dalam hujan renyai-renyai, kakitangan JPV terus bertungkus-lumus bekerja untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih hidup.
"Sebahagian besarnya telah dijangkiti Hawar Berdarah. Pada tahap ini, pemberian vaksin tiada fungsi lagi. Vaksin berkesan sebagai pencegahan sebelum dijangkiti.
"Jasa dan bakti mereka layak dihargai walau di medan ini pelbagai nada kata-kata terpaksa mereka terima dan hadapi tapi mereka terus tabah menyumbang bakti. Terima kasih semua," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu katanya, JPV Terengganu turut memaklumkan bahawa permohonan untuk program pemvaksinan telah meningkat mendadak.
"Harap bersabar menunggu giliran kerana kakitangan kami sedang bekerja keras lebih masa. Ia tak semudah A, B, C kerana staf kami bukan hanya berurusan dengan haiwan ternakan, tetapi juga perlu berurusan dengan tuan punya haiwan.
"Ternakan pula berada bertaburan di serata lokasi. Sebahagiannya tidak ditambat dan tiada kandang. Perlu kerja tambahan juga untuk tangkap.
"Sebelum ini ada tawaran untuk program penvaksinan yang dibuat hebahan melalui surat kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), letak notis di kedai-kedai, khutbah jumaat, staf kita turun ‘survey’ tanya penternak dan pelbagai kaedah lagi," tambah beliau.
‘’ Wabak Hawar Berdarah yang berlaku sekarang membuka mata semua pihak. Saya dah arahkan JPV Terengganu untuk beri khidmat yang terbaik kepada rakyat. Kerjasama penternak juga amat dimohon kerana staf kami tak mampu nak kejar dan tangkap setiap ekor lembu untuk dicucuk vaksin. Kita jaga kita.’’
18 Sep 20
5993
30 Buah Rumah Dibadai Ribut Dibaiki Segera
SETIU, 18 September - Sebanyak 30 buah rumah yang rosak di Jabi akibat dibadai ribut semalam akan dibaiki segera bermula hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kejadian pada waktu asar itu menjejaskan beberapa buah kampung di sini.
"Ribut melanda beberapa kampung di Jabi waktu asar semalam disertai hujan lebat. Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Oh, Kampung Renek, Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Sri Aman dan beberapa kampung lain.
"Terdapat beberapa buah rumah ditimpa pokok tumbang. Tujuh batang pokok di atas pembahagi jalan Pekan Jabi turut rebah.
"Alhamdulillah, hanya atap, syiling dan sebahagian dinding sahaja yang rosak. Setakat ini, tiada kecederaan dan kematian yang dilaporkan akibat daripada ribut berkenaan," katanya.
Ribut turut merosakkan sawah padi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa rumah penduduk di sekitar Jabi, petang semalam.
"Saya sangat berterima kasih atas tindakan segera kakitangan Pejabat ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyelesaikan apa yang perlu disegerakan terutama mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan.
"Kita buat operasi secara menyeluruh untuk baik pulih rumah yang rosak. Jumlahnya setakat dilaporkan sekitar 30 buah rumah. Harap bersabar semua," katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Idustri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata, beberapa ekar sawah padi di Baruh Kampung Oh Jabi juga ranap akibat angin yang kuat itu.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri," jelasnya.
18 Sep 20
866
Lebih 5,000 Bekas Bubur Asyura Diagihkan DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 September – Dianggarkan lebih 5,000 bekas bubur Asyura telah diagihkan kepada masyarakat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerusi Program Kacau Bubur Asyura Perdana Peringkat DUN berkenaan, semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu telah dijalankan secara serentak oleh 21 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan terbabit.
“Apa yang penting dalam membuat bubur Asyura ini ialah semangat kerjasama dan muafakat yang ditonjolkan antara petugas dalam menyiapkan bubur Asyura ini.
“Sekiranya dalam perkara kecil ini kita dapat bermuafakat, lebih-lebih lagi apabila muafakat yang melibatkan perkara besar seperti perjuangan menegakkan Islam dan perjuangan menjaga hak umat Islam,” kata ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika turun meninjau perjalanan program tersebut di setiap MPKK.
17 Sep 20
318
Mobile Team PPNT Santuni Peserta eKasih Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 September – Program Lawatan Mobile Team anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) kali ini mengambil kesempatan turun menziarahi tujuh peserta eKasih di sekitar Kuala Terengganu.
Wakil PPNT memaklumkan, para penerima bantuan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam dan Bukit Payong menerima bantuan sara hidup, bantuan perubatan, bantuan elaun pekerja cacat dan bantuan pesakit terlantar.
Program berkenaan merupakan aktiviti berkala dengan kerjasama Pejabat Daerah di mana Mobile Team PPNT akan turun ke setiap daerah bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada penerima sumbangan.
Bantuan disumbangkan melalui beberapa agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Sekretariat Tabung Darul Iman (STDI) dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk.
17 Sep 20
588
ADUN Alur Limbat Bantu Pak Khamis
KUALA TERENGGANU, 16 September -
"Saya berasa lega dan terharu apabila ada pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi membiayai kos menanam bangkai kerbau," kata Khamis Jusoh.
Katanya, dia memperuntukkan lebih RM300 sehari untuk menyewa jengkaut bagi menanam bangkai kerbau dikandangnya itu.
Khamis berkata demikian ketika ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat Ariffin Deraman yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ariffin berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga itu.
Sehingga pagi tadi, 50 kerbau milik Pak Khamis, 64, mati termasuk 'Semek', yang paling disayangi anaknya Muhammad Syukur, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia'.
Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 kerbau peliharaan
keluarganya tular, selain gambar itu turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia.
17 Sep 20
799
Aksi Gaban Gamatkan Himpunan Bermotor Kota Putera 2020
KUALA TERENGGANU, 16 September - Aksi lagak ngeri bermotosikal Mohd Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Gaban berjaya menggamatkan suasana Himpunan Bermotor Kota Putera 2020.
Sebagai seorang pelagak ngeri atau 'stuntman' bermotor, Gaban bermurah hati beraksi sebanyak dua kali dalam program anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera buat tatapan peminat sukan bermotor setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman memaklumkan, aksi Gaban tersebut merupakan salah satu acara yang dibawakan dalam program sempena sambutan Hari Malaysia ke-57, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri berkata, program sehari itu turut menyajikan pelbagai pengisian bagi seluruh lapisan masyarakat setempat antaranya pertunjukan silat, dikir barat dan akan diakhiri dengan Forum Perdana bersama Ustaz Haslin Baharim, malam ini.
"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan perhimpunan bermotor yang mana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini anak muda lebih perlukan pengisian.
"Objektif kita adalah untuk melihat anak muda dari perspektif Islam. Kita beri peluang untuk mereka beraktiviti bersama kita supaya kita cakna dan dengar pendapat mereka dalam program ini yang kita selitkan dengan pengisian seperti tatacara mengambil wuduk dengan air yang terhad yang ditunjukkan sebentar tadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi sembang santai bersama pengunjung dalam program yang berlangsung di Pantai Air Tawar Besut itu.
Tambahnya, program terbabit mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 20 penaja dan kelab bermotosikal tampil memberikan sokongan melalui penyertaan dan penajaan.
"Pada asalnya, kita sasarkan bawah 500 pendaftaran peserta bermotor, tetapi dimaklumkan lebih 800 peserta telah hadir namun terima kasih kepada petugas dan pihak berkuasa yang berjaya mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.
Jelasnya, penganjuran program berkenaan di sambutan Hari Malaysia turut membawa mesej kepada masyarakat.
"Kadang-kadang kita cuti sahaja pada hari-hari tertentu tetapi kita tidak faham dan menghayati sebabnya. Kami adakan program ini supaya mereka menghargai apa yang dimiliki, kita juga paparkan ucapan kemerdekaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berikan semangat patriotik kepada mereka," katanya.
16 Sep 20
3461
Hari Malaysia : 350 Peserta Meriahkan 'Fun Ride'
Oleh : Suriati Ali
KUALA TERENGGANU, 16 September - Kira-kira 350 peserta termasuk individu dari Kemaman memeriahkan Program 'Fun Ride' Sempena Hari Malaysia di Kampung Banggol Cempedak, Serada, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, selain meraikan sambutan Hari Malaysia program itu antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti setempat sekaligus mempromosikan Dataran Banggol Cempedak kepada masyarakat luar.
“Program 'Fun Ride' iaitu kayuhan basikal sejauh 28 kilometer (km) di sekitar kawasan Alor Limbat diadaklan secara terbuka dengan penyertaan sekitar 350 peserta dari seluruh negeri Terengganu.
“Selain program kayuhan, hari ini juga diadakan pertandingan memasak nasi goreng, nasi manis, bubur asyura serta kuih muih tradisional Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program di Dataran Banggol Cempedak hari ini.
Beliau berkata, kayuhan itu merupakan program kali kedua diadakan selepas kali pertama pada sambutan Hari Kemerdekaan, tahun lalu.
“Selepas ini kita akan adakan lagi program seumpama ini dengan lebih baik dan lebih meriah bagi menarik penyertaan lebih ramai peserta,” katanya.
16 Sep 20
1754
Lima Jam Susuri Sungai Dengan Semangat Pahlawan
HULU TERENGGANU, 16 September - Berbekalkan semangat pahlawan dan ulamak melayu yang memperjuangkan kedaulatan bangsa dan tanahair, Belia Sahabat Sejahtera Telemong dengan kerjasama Pusat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong telah menganjurkan Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu.
Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata antara objektif program bagi menghidupkan kembali nostalgia berakit, menyelami pengorbanan generasi dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dalam serta menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penduduk.
Tambahnya, ekspedisi kali kedua yang diadakan ini akan bermula di kampung Dusun dan berakhir di kampung Mesah, Kuala Telemong.
“Ekspedisi berakit pada kali ini akan menyusuri Sungai Telemong dan Sungai Terengganu sejauh lebih kurang 30 kilometer yang mengambil masa hampir lima jam.
"Seramai 150 peserta mengambil bahagian dengan menggunakan 25 buah rakit yang mengandungi enam orang peserta bagi setiap rakit pada kali ini.
"Ia melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan jabatan termasuk polis, bomba dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pematuhan norma baharu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan akibat wabak pandemik Covid19,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu, di Kampung Dusun hari ini.
Menurut Safari, setiap rakit dinamakan dengan nama-nama pahlawan dan ulama yang mempunyai jasa dalam perjuangan kedaulatan agama, bangsa dan negara.
"Kita namakan rakit-rakit ini dengan nama mereka yang banyak berjasa antaranya Tok Gajah, Dato' Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Raja Ri dan Mat Kilau.
Tambah beliau lagi, sejarah pernah membuktikan laluan yang dilalui pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan penting daripada pedagang dahulu serta para tabligh dalam menyampaikan syiar Islam.
Menurutnya kawasan itu perlu dibangunkan semula tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisionalnya untuk tatapan pelancong dan generasi baharu mengenai sejarah kegemilangan lokasi berkenaan.
16 Sep 20
1309
Mural Baharu Bakal Jadi Tarikan Pengunjung Ke Primula Beach Hotel
KUALA TERENGGANU, 15 September - Bermula hari ini, jika berkunjung ke Primula Beach Hotel (PBH) Kuala Terengganu, pastikan anda melihat mural pertama yang menggabungkan pelbagai elemen seperti pembangunan, seni warisan kehidupan, dan keindahan pantai dan tasik yang terdapat di negeri ini.
Pengurus Besar PBH, Suaibah Harun berkata, mural sepanjang kira-kira 50 meter yang dihiasi identiti dan lokasi pelancongan menarik di Terengganu menjadi produk baru yang mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang hotel berkenaan.
Katanya selain menjadi yang terpanjang di negeri ini, mural yang diinspirasikan empat anak jati Terengganu ini mengambil masa selama 15 hari bagi menyiapkan lukisan mural berkenaan bermula pertengahan Ogos lalu.
“Pengunjung dapat saksikan lukisan Jambatan Angkat Terengganu (Drawbridge), Tasik Kenyir, Pasar Kedai Payang, Muzium Terengganu dan Pantai Batu Buruk yang cukup terkenal di Terengganu.
“Mural itu juga memaparkan keindahan seni dan warisan yang sinonim dengan masyarakat negeri ini seperti wau bulan, batik, songket dan perahu nelayan yang merupakan hadiah istimewa sebagai 'photo booth' kepada pengunjung Anjung Bistro Garden dan tetamu Primula Beach Hotel khasnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mural yang disempurnakan Pengerusi PBH, Dato' Mustapha Ali, Perkarangan Tempat Letak Kereta Zon A (Anjung Bistro Garden), hari ini.
Tambahnya, seramai empat pelukis tempatan diketuai Cikgu Budin, Razali Che Mat, Nazli Hamzah dan Ahmad Saipudin Abdul Ghani bergabung tenaga menerusi kepakaran masing-masing secara sukarela bagi menyiapkan lukisan tersebut.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan acara mengacau bubur Asyura yang merupakan tradisi hotel berkenaan sempena bulan Muharam setiap tahun sejak 20 tahun lalu.
"Kita menyediakan sebanyak tiga kawah bubur yang dibuat secara bergotong-royong oleh warga kerja hotel dan ia akan diagihkan kepada masjid dan surau berdekatan serta warga kerja hotel," katanya.
Beliau juga berkata, sebagai menyambut Hari Malaysia, pihaknya turut menganjurkan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak pada majlis berkenaan yang disertai kanak-kanak Tadika Fajar Didik dan Tadika Rossa.
15 Sep 20
2116
Polis Nafi Video Lelaki Mabuk Sehingga Sebabkan Kemalangan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Polis menafikan video berdurasi 57 saat yang menunjukkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux putih terbabas masuk ke dalam longkang dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Bukit Kecil adalah disebabkan pemandu mabuk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pemandu kenderaan itu tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana keputusan ujian alkohol mendapati individu terbabit bebas daripada pengaruh minuman keras
"Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi tadi, siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 26 tahun itu tidak mabuk malah boleh memberi kerjasama sepanjang siasatan.
"Siasatan awal mendapati dia merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) kategori penglihatan kerana sebelah matanya tidak nampak dan kakinya pula tidak 'sempurna'.
"Jika dilihat melalui video yang ditularkan memang nampak seperti dalam keadaan mabuk, tetapi sebenarnya dia pening kesan terhantuk selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas," katanya ketika dihubungi hari ini.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih itu.
15 Sep 20
710