lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Yakin Capai  Lima Juta Pelawat Melebihi Sasaran Awal
Terengganu Yakin Capai  Lima Juta Pelawat Melebihi Sasaran Awal
DUNGUN, 23 September - Terengganu yakin akan mencapai sasaran lima juta pelawat domestik pada akhir tahun ini melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta pelancong.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia berdasarkan jumlah sedia ada menunjukkan sasaran tahun ini berada di landasan tepat dan pihaknya percaya angka itu dapat dicapai sehingga penghujung tahun ini. “Kami dapati berlaku peningkatan sekali ganda setiap bulan.Sebagai contoh di Taman Tamadun Islam, pada bulan Jun hanya 34,000 pengunjung seterusnya  meningkat kepada 50,000 orang dan  mencecah 94,000 pengunjung pada bulan Ogos. “Ini merupakan trend yang berlaku di semua pusat pelancongan sebab itulah kita menjangkakan untuk dapat lima juta ini tidak mustahil dan munasabah walaupun pada asasnya kita cuma sasar 4.5 juta pelancong yang datang. “Disamping itu, Industri pelancongan domestik Terengganu turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan kadar purata penginapan kedua tertinggi di Malasia selepas Pahang pada Julai 2020 sebanyak 65 peratus yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia, dan apabila melihat angka ini, memang sesuatu yang luar biasa dan tidak mustahil untuk berjaya dalam sasaran kita,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hulu Dungun, di sini hari ini. Tambahnya lagi, jumlah pelancong yang direkod hanya di sebahagian tempat yang berdaftar sahaja dan ia tidak termasuk penginapan seperti homestay, resort-resort, rumah persendirian yang tidak berdaftar. “Jumlah pelancong keseluruhan, yang kita ‘rate’ hanya sebahagian tempat sahaja, sebagai contoh di Sekayu , di tempat pedalaman ini, kita tak tahu jumlah sebenarnya. tapi kita akan rekodkan hujung tahun ini , insyaAllah kita menjangka  akan mencapai angka yang kita cadangkan ataupun yang kita sasar,” ujarnya. Menurut Ariffin, antara  faktor sambutan hangat ini adalah tarikan terhadap kecantikan pulau-pulau di Terengganu selain mempunyai jajaran pantai sepanjang 244 kilometer yang indah. “Pulau-pulau seperti Redang, Perhentian dan Kapas mencatatkan purata penginapan sebanyak 40 hingga 50 peratus pada hari bekerja manakala 70 hingga 80 peratus pada hari minggu. “Sehingga kini, terdapat 373 hotel, resort dan chalet di Terengganu dengan 12,000 bilik yang berdaftar dan daripada jumlah itu, 65 buah terdiri daripada hotel, resort dan chalet di pulau dengan lebih 1,300 bilik,”tambah beliau. Justeru itu katanya, Kerajaan negeri dengan kerjasama dan bantuan dari Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Negeri Terengganu, agensi-agensi di Peringkat Kementerian dan Negeri serta NGO Pelancongan dan pemain industri pelancongan akan meneruskan promosi bagi Merancakkan Pelancongan Domestik dan menjadikan Terengganu sebagai pilihan destinasi utama untuk melancong.  
23 Sep 20
452
Lebih 500KG Sampah Dikutip Di Pantai Tok Jembal
Lebih 500KG Sampah Dikutip Di Pantai Tok Jembal
KUALA NERUS, 23 September – Lebih 500 kilogram sampah telah berjaya dikumpulkan oleh peserta Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 di sekitar Pantai Tok Jembal, baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor menyifatkan program yang julung-julung kali diadakan itu merupakan satu inisiatif yang baik bagi memulakan pembudayaan kesedaran kepada masyarakat peri pentingnya menjaga kebersihan pantai. Zuraida berucap merasmikan program. Menurut beliau lagi, program tersebut juga berperanan untuk mewujudkan hubungan baik di antara rakan kolaborasi dan komuniti dalam melestarikan alam sekitar demi kelangsungan kehidupan sejagat. “Program ini menyasarkan penduduk setempat, pengunjung pantai dan orang awam dengan anggaran peserta termasuk rakan kolaborasi yang akan terlibat adalah seramai lebih kurang 200 orang. “Impak positif daripada program ini adalah dapat memberi pendedahan dan pengetahuan yang lengkap tentang penjagaan alam sekitar khususnya kebersihan pantai yang disediakan kepada kumpulan sasar. “Selain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai kepentingan pelaksanaan program yang tepat dan mampu mencapai sasaran objektif,” ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 yang diadakan di Uptown Kontena Dapo Pata, Tok Jembal, baru-baru ini. Zuraida melepaskan peserta. Program tersebut merupakan anjuran bersama antara Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNESCO Malaysia), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Pusat Pengajian Profesional Dan Lanjutan Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (PACE UUM KL). Turut terlibat sebagai rakan kolaborasi mereka ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Trash Hero Batu Buruk, Uptown Kontena Dapo Pata di samping disertai oleh 250 orang yang terdiri daripada pelajar UMT dan PACE UUM KL selain sukarelawan daripada YPASM, MBKT, Trash Hero Batu Buruk dan Manis FM. Beliau turut melahirkan harapan agar program ini dapat membuka mata rakyat Negeri Terengganu khususnya agar cakna dan prihatin akan masalah kebersihan setempat. “Kalau boleh, setiap bulan anjurkan program sebegini pun tidak mengapa, supaya masyarakat nampak ada usaha kita untuk menjaga kebersihan setempat. “Isu kebersihan ini sebenarnya amat dekat di hati saya, bahkan saya pernah sebutkan dalam ucapan perbahasan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) dahulu mengenai plastik yang tidak dibuang dengan betul dan akhirnya ia berakhir di laut yang menyebabkan kematian hidupan marin seperti penyu. “Kalau kita lihat lagi, pernah disebutkan dalam Sidang DUN bahawa kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan sejumlah amaun yang agak besar bagi menguruskan sampah yang dihasilkan oleh rakyat Terengganu,"ujarnya.   Aksi peserta ketika mengumpulkan sampah.  
22 Sep 20
874
Ustaz Mad Kecik, Rahmat Makasuf Ikon Belia DUN Telemong
Ustaz Mad Kecik, Rahmat Makasuf Ikon Belia DUN Telemong
  HULU TERENGGANU, 21 September - Pendakwah bebas yang sedang meningkat naik, Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan pemain sayap Terengganu FC, Rahmat Makasuf antara penerima Anugerah Ikon Belia Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong sempena pelancaran Kelab Belia Sahabat Sejahtera Telemong.  Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Ustaz Nasir Abdul Razak.  Selain itu beberapa individu turut menerima anugerah ikon belia mengikut kategori usahawan berjaya antaranya Adi Aizuddin Bahari (Pengusaha produk sejuk beku), Dzulkifli Ismail (Ternakan arnab, puyuh, ayam kampung dan telur itik), Wan Muhammad Wan Lazim (Teranakan lembu dan kelulut) dan Suhaizat A. Rani (Automotif)  Sementara itu, Pengerusi Belia Sahabat Sejahtera Telemong, Ustaz Mohamad Yusuf, menyifatkan pengurniaan anugerah tersebut sebagai pembakar semangat untuk penerima agar terus berusaha dan menjadi contoh yang  baik khususnya kepada golongan belia.  "Anugerah ini diberikan bagi menghargai sumbangan belia dan sekaligus memberi semangat kepada golongan belia untuk lebih proaktif, " katanya Beliau berkata demikian ketika ditemui seusai Majlis Makan Malam dan Perasmian Kelab Belia Sahabat Sejahtera Telemong, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong, baru-baru ini. ‌Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pegawai Penyelaras Dun Telemong, Encik Mohd Safari Abu, Pengerusi Penaja Persatuan sahabat Sejahtera Negeri Terengganu Ustaz Irsyad Syafiq, Pegawai Khas Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu Wan Mohd Ikhwan Wan Arif, Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu, Mukhri Mamat dan Wakil Penaja Kelab Sahabat Sejahtera Daerah Hulu Terengganu, Ustaz Hamdi Harun. 
22 Sep 20
1980
Petani Kerugian Hampir RM40,000 Akibat Ribut
Petani Kerugian Hampir RM40,000 Akibat Ribut
DUNGUN, 23 September - Seorang petani terpaksa berputih mata apabila kebun tanaman miliknya musnah dalam satu kejadian ribut baru-baru ini sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM40,000. Petani tersebut, Wan Abd Rahim Wan Jalil berkata, kejadian itu berlaku dalam masa yang sangat pantas dan dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan tanamannya di Kampung Tebing Tembah, Paka. "Saya tidak sangka ribut yang datang baru-baru ini lebih kuat daripada biasa.  "Kerugian yang terpaksa saya tanggung dianggarkan bernilai hampir RM40,000," katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya baru-baru ini. Walau bagaimanapun katanya, dia redha dengan ujian yang berlaku dan menganggap ia sebagai pemangkin untuknya terus bergerak ke hadapan. "Saya sangat sedih namun saya anggap ini ujian daripada Allah dan saya terimanya dengan redha," ujarnya yang berasal dari Kampung Kubang Miang. Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik. Wan Hapandi dalam satu lawatan baru-baru ini telah memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan kerugian ditanggung Abd Rahim. “Insya-Allah sedikit sumbangan turut dihulur bagi meringankan beban beliau. Diharap beliau terus kuat untuk mengusahakan tanaman ini," tambah beliau.
22 Sep 20
247
Pelancongan Luar Bandar Bakal Dirancakkan Lagi
Pelancongan Luar Bandar Bakal Dirancakkan Lagi
    DUNGUN, 23 September - Kerajaan negeri bersedia melihat pembangunan dan potensi kawasan-kawasan rekreasi yang terdapat di semua daerah bagi merancakkan eko-pelancongan dan ekonomi penduduk kampung tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan memastikan potensi ini mampu membawa manfaat kepada masyarakat kerana kawasan-kawasan tersebut mampu hasilkan pelbagai nilai pelancongan melibatkan sejarah, produk baharu dan ekosistem sungai. Jelas beliau, pihaknya kini bergerak ke arah community based tourism (CBT), bagi pengurusan yang lebih strategik kawasan-kawasan rekreasi inu. "Kita ingin memastikan kesemua pusat pelancongan khususnya di kampung-kampung yang strategik di seluruh negeri dikawal oleh pejabat daerah, pejabat hutan, ataupun bawah Lembaga Tabung Kerajaan negeri. "Akan tetapi asas komuniti yang paling utama sekali ialah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) mesti terlibat  supaya tidak menjadi satu konflik pada masa akan datang.  "Kalau dulu satu tempat tu tidak mendapat sambutan, tiada yang kisah tentang pengurusannya tetapi bila mendapat sambutan macam ini, ramai yang berminat termasuk agensi luar yang boleh menyebabkan orang tempatan berputih mata dari segi ekonomi mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke kawasan rekreasi Hulu Dungun, di sini hari ini. Justeru itu katanya, kerajaan negeri sedang melihat kesemua pusat-pusat rekreasi ini yang menjadi tumpuan pelancong khususnya selepas Covid19 yang semakin reda khususnya di Terengganu. "Isu ini timbul apabila pelancong  semakin berminat sebenarnya untuk datang ke pusat rekreasi luar bandar menyebabkan kalau ada tandas, tandas kena cukup termasuk surau dan banyak lagi perubahan yang perlu dibuat sesuai dengan norma baharu," ujarnya.
22 Sep 20
1236
Ibu Tunggal Sara Dua Anak Terima Bantuan
Ibu Tunggal Sara Dua Anak Terima Bantuan
BERA , 24 September - 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul', itulah perumpaan yang sesuai digambarkan bagi mengambarkan kesusahan seorang ibu tunggal dalam menyara dan membesarkan dua anaknya. Norsabariha Md Sidek, 37, yang berasal dari Kampung Durian Guling, Marang dan menetap di Bera, Pahang menghadapi krisis ekonomi sejak beberapa tahun lalu. Katanya, keadaan bertambah rumit apabila anaknya, Puteri Nur Qisha, 8, sedang menghidap penyakit tonsil dan memerlukan rawatan susulan setelah selesai pembedahan beberapa minggu lalu. "Bagaimanapun, kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan rombongan untuk melihat keadaan kami sekeluarga sangat dihargai. "Terima kasih juga kepada semua atas sumbangan yang diberikan," kata Norsabariha kepada pemberita semasa aktiviti ziarah Sulaiman baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Perantau Pahang Terengganu Dr Hasbullah dan SU MTD Pengkalan Berangan Badaruddin Ismail. ADUN Pengkalan Berangan YB Ustaz Sulaiman Sulong terus prihatin dan cakna terhadap warga DUN Pengkalan Berangan walaupun yang berada luar daripada Negeri Terengganu. Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya akan terus memberi bantuan kepada rakyat DUN Pengkalan Berangan yang memerlukan walaupun mereka berada di luar negeri. "Selagi mereka adalah pengundi dari DUN Pengkalan Berangan, maka perlu untuk kita terus prihatin walaupun mereka berada di luar dari negeri kita," ujarnya.    
22 Sep 20
122
Pemimpin Keluarga Perlu Bijak Urus Kewangan
Pemimpin Keluarga Perlu Bijak Urus Kewangan
SETIU, 22 September – Setiap pemimpin keluarga disaran agar membuat keputusan yang bijak dalam menguruskan kewangan masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkiraan itu termasuk dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang lebih penting berbanding perkara lain. "Sebanyak manapun sumber pendapatan, duit yang kita ada tetap mempunyai had yang mana kita perlu meletakkan di manakah keutamaannya. "Dengan jumlah pendapatan yang ada, kita perlu bijak mengatur antara keperluan mendesak, keperluan biasa dan keperluan pelengkap. "Dalam menyusun perbelanjaan, kita perlu tahu tahap-tahapnya. Jangan kita pasang ‘spoiler’ kereta tetapi selipar isteri yang putus disuruh ikat dengan dawai. Ini tak kena sebab kita tak tengok daripada segi keperluan dan keutamaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ibu Bapa Cemerlang Taska Permata di Dewan Teater Kolej Bestari, Permaisuri di sini hari ini. Menurutnya, ibu bapa yang dapat menyusun perbelanjaan dan keperluan anak-anak dengan baik adalah pemimpin keluarga cemerlang. "Sekarang ini, bila kita dibekalkan dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan nasihat daripada pakar-pakar sepatutnya ia memberi nilai tambah kepada kebijaksanaan semula jadi yang telah dikurniakan oleh Allah. "Sama juga dengan jabatan, sebagai wakil rakyat perlu bijak mengatur untuk semua bagi rasa biarpun sikit. Begitu juga dengan kerajaan, bagaimana untuk membuat agihan kewangan yang dirancang supaya dengan jumlah yang kita ada memberikan manfaat.  "Apabila kita tahu yang mana keutamaan, insya-Allah dalam jumlah yang kita ada kita boleh rancang untuk dapat sesuatu sekadar yang kita mampu," tambah beliau.
22 Sep 20
289
Penantian 11 Tahun Miliki Rumah Sendiri Tercapai
Penantian 11 Tahun Miliki Rumah Sendiri Tercapai
KEMAMAN, 22 September-  "Selepas hampir 11 tahun menunggu, impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga," kata Nur Farhana Bahrun, seorang daripada 150 penerima Rumah Mampu Milik (RMM) Seri Bandi. Nur Farhana, 32, dari Kampung Seri Bandi berkata, dia yang membuat permohonan lebih kurang empat tahun yang lalu gembira apabila terpilih menerima bantuan yang dikelolakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terenganu Bahagian Perumahan dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) itu. “Terima kasih kerajaan negeri untuk rumah mampu milik ini, sangat terharu kerana ini rumah pertama saya, sejak daripada kerja-kerja pembersihan tapak dilakukan saya sangat mengharapkan ia akan menjadi milik saya. “Sebelum ini saya menumpang di rumah keluarga, memandangkan usia perkahwinan sudah menjangkau 11 tahun saya dan suami Mohd Remee Ramli, 37, amat berharap dapat memiliki kediaman sendiri,” ujarnya yang ditemui selepas menerima bantuan berkenaan di sini, hari ini. Nur Farhana dan beberapa penerima lain menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai di majlis penyerahan yang diadakan di Tapak Perumahan Seri Bandi, hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman. Sementara itu, Hanafiah yang mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyempurnakan majlis tersebut berkata, pembinaan 220 unit RMM Seri Bandi di atas tanah kerajaan tersebut telah bermula pada November 2016 dan berjaya disiapkan pada bulan Mei yang lalu. “Pada majlis hari ini, dengan penuh kesyukuran kita serahkan kunci kepada 150 orang penerima dan bakinya akan menyusul selepas ini. “Tahniah saya ucapkan dan diharapkan para penerima dapat bersama-sama menjaga segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan negeri, pelihara kemudahan ini (rumah) dengan baik dan jagalah kebersihannya,” ujarnya.  
22 Sep 20
1631
MPKK Jabi Gotong-Royong Baiki Pondok Polis
MPKK Jabi Gotong-Royong Baiki Pondok Polis
SETIU, 22 September – Pondok polis Jabi yang terjejas akibat dibadai ribut pada Khamis lalu mendapat perhatian Dr Azman Ibrahim apabila satu aktiviti gotong-royong dijalankan semalam bagi membaiki kerosakan terbabit. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi mengekal dan meningkatkan jalinan baik antara pihak berkuasa dan komuniti. "Polis dan masyarakat berpisah tiada. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jabi bergotong-royong baik pulih atap Pondok Polis Jabi yang rosak dalam kejadian ribut khamis lepas.  "Sekadar sumbangan kecil kami berbanding besarnya pengorbanan anggota keselamatan sehingga kami mampu tidur lena di malam hari. Semoga dengan usaha ini dapat memberikan keselesaan untuk terus berkhidmat. Terima kasih semua,’’ katanya dalam satu kenyataan, semalam.  Dalam kejadian ribut terbabit, sekitar 30 buah rumah di Jabi, kedai serta tanaman padi turut terjejas dan akan diberikan bantuan secara berperingkat.
22 Sep 20
826
ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK
ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK
SETIU, 22 September – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengagihkan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada 37 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan 22 masjid di seluruh DUN terbabit.  ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM2,000 turut diberikan bagi merancakkan lagi perjalanan entiti itu. Katanya, walaupun tiada peruntukan khusus untuk institusi-institusi tersebut, pihaknya tetap mengusahakan beberapa langkah supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak. "Kesemua 37 MPKK dalam DUN Jabi menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM3,000 dari Pejabat ADUN Jabi. Sebelum ini pun macam-macam peruntukan kita dah bagi berdasarkan keperluan.  "Kita tak ada suatu peruntukan khusus untuk masjid, PIBG atau MPKK. Dengan apa yang ada, kita atur dan agihkan sebaik mungkin agar sama dapat merasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurutnya lagi, pihaknya merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memberi kemudahan kepada semua. "Tahun ini tak ada mesyuarat agong PIBG. Untuk kesemua PIBG bagi 14 buah sekolah dalam DUN Jabi, kita salurkan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM2,000 di samping sumbangan berkala lain sebelum ini. Tak banyak tapi sama merasa," tambah beliau.
22 Sep 20
829