lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu FC Menang Mudah
Terengganu FC Menang Mudah
KUALA NERUS, 25 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mudah menewaskan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 4-0 dalam aksi CIMB Liga Super Malaysia, sebentar tadi. Melayan kunjungan pasukan di tangga terakhir liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sang Penyu tidak menunggu lama untuk mendahului lawan. Bermula dengan hantaran lintang kapten, Lee Tuck dari sebelah kanan padang ditanduk mudah penyerang, Faris Ramli untuk gol pertama pada minit ke lapan. Perlawanan terus berlangsung dengan penguasaan bola oleh pasukan tuan rumah walaupun beraksi tanpa penyerang utama, Dominic Da Sylva yang cedera dan digantikan penyerang Terengganu FC II, Bruno Suzuki. Pada minit ke-24, Faris dijatuhkan pertahanan The Cops, Ahmad Syahmi Shukri dalam kotak penalti, menghadiahkan penalti kepada tuan rumah. Tendangan tersebut disempurnakan Lee Tuck untuk gol kedua pasukan, seminit kemudian. Terengganu FC hampir menambah gol pada minit ke-39, tetapi tandukan pertahanan, Argzim Redzovic disahkan offside oleh pengadil. Memasuki masa tambahan babak pertama, Lee Tuck berjaya memanfaatkan serangan terakhir pasukan apabila melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti melepasi kawalan penjaga gol, Mohamad Farzly Muhammad. Tamat separuh masa pertama, skor 3-0 memihak kepada Terengganu FC. Bersambung babak kedua, The Cops mengubah corak permainan dengan lebih banyak menguasai bola dan menyerang Sang Penyu. Namun, Terengganu FC ampuh bertahan. Sebaliknya, tuan rumah pula berjaya mendapatkan gol keempat menerusi Faris Ramli. Penyerang kebangsaan Singapura itu menanduk masuk m hantaran cantik Mohamad Arif Fadzillah Abu Bakar pada minit ke-74, melebarkan jurang gol kedua-dua pasukan. Terengganu FC menoktahkan perlawanan dengan kemenangan dalam aksi kesembilan Liga Super 2020.        
25 Sep 20
1451
Ahli Majlis Wanita Sebagai Semak Dan Imbang Kerajaan Tempatan - Dr. Alias
Ahli Majlis Wanita Sebagai Semak Dan Imbang Kerajaan Tempatan - Dr. Alias
KUALA TERENGGANU, 25 September - Kerajaan negeri mengiktiraf peranan ahli majlis wanita sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan kerajaan dapat dicapai dengan jayanya. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, usaha mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang terbaik untuk rakyat memerlukan sentuhan wanita di semua peringkat termasuk penggubalan undang-undang dan polisi serta pelaksanaan. "Kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling hampir dengan rakyat kerana ia mengandungi bidang kuasa berkaitan perancangan bandar termasuk pengurusan sampah, sisa pepejal, parit, longkang, penyelenggaran bangunan dan sebagainya. "Isu-isu ini sememangnya dekat di hati rakyat kerana melingkari kehidupan seharian mereka. Sangat penting ahli majlis wanita berperanan sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan sebagai sebuah kerajaan Islam serta hasrat rakyat dapat dicapai dengan jayanya. "Kita juga masih ada banyak isu berkaitan wanita di peringkat kerajaan tempatan iaitu bagaimana ingin mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang mesra wanita, kanak-kanak dan keluarga," katanya. Dr. Alias Razak. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemerkasaan Penggubal Undang-Undang Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel (PB Hotel) di sini semalam. Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Negara (Terengganu), Nuridah Salleh, Ahli Dewan Negara (Kelantan), Asmak Husin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Seramai kira-kira 60 orang ahli majlis wanita dari tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak menghadiri seminar berkenaan. Dalam pada itu, tambah Alias, isu perancangan bandar termasuk penyelenggaran kebersihan dan sisa pepejal sememangnya memerlukan sentuhan wanita. "Sebagai ahli majlis wanita, sangat penting pemerkasaan hari ini dilakukan agar memahami peranan masing-masing sehingga mampu menjadi penyampai perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat. "Justeru besar hasrat saya untuk memastikan wanita diperlengkapkan dengan asas kemahiran dan latihan yang sistematik ke arah menjadi ahli majlis yang berdaya saing. "Serta dalam masa yang sama berusaha dan menggunakan bidang kuasa yang ada untuk merealisasikan dasar-dasar Islam khususnya menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera difahami dan dirasai oleh rakyat jelata," jelasnya.  
25 Sep 20
1013
COVID-19 : MB Terengganu Jalani Proses Kuarantin
COVID-19 : MB Terengganu Jalani Proses Kuarantin
KUALA TERENGGANU, 25 September - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang diarahkan oleh pihak Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu selepas berlaku kontak dengan dua individu positif COVID-19 beberapa hari lalu.  Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid, berkata sehubungan dengan itu semua program dan aktiviti yang melibatkan Menteri Besar adalah ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin. Muhyidin berkata, tindakan pantas telah diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk mengenalpasti, menghubungi dan menjalankan ujian COVID-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan. "Pemantauan berterusan juga sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dengan penuh dedikasi. "Menteri Besar sudah menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) COVID-19 dan disahkan negatif tetapi beliau perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Tambah beliau lagi, Menteri Besar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 September ini secara atas talian.
25 Sep 20
2246
Pantai Penarik Lokasi Program 'Kempen Bersih Pantai' Setiu
Pantai Penarik Lokasi Program 'Kempen Bersih Pantai' Setiu
SETIU, 25 September - Pantai Penarik dipilih sebagai lokasi bagi program 'Kempen Bersih Pantai' peringkat daerah Setiu yang akan diadakan pada 3 Oktober ini. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, program yang melibatkan jabatan kerajaan dan komuniti setempat itu penting dalam memastikan pantai di Setiu sentiasa bersih daripada sampah sarap. Katanya, program tersebut turut berlangsung di secara serentak di daerah-daerah lain. Gambar hiasan. "Kita menyambut baik hasrat penganjur iaitu Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) dalam menggerakkan kempen ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa pentingnya menjaga kebersihan pantai. "Pantai Penarik juga terkenal dengan aktiviti nelayan yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang mendapatkan hasil laut yang segar," katanya. Beliau berkata ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Sehubungan dengan itu, beliau berharap orang ramai dapat hadir dan meluangkan masa bersama-sama dalam menjayakan program tersebut. Program anjuran bersama UBSNT dengan kerjasama Pejabat Daerah, Pusat Khidmat Masyarakat dan pelbagai Agensi Kerajaan, Swasta serta NGO dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berpusat di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
24 Sep 20
1192
Rakyat Terengganu Diseru Isi PRT20
Rakyat Terengganu Diseru Isi PRT20
KUALA TERENGGANU, 25 September – Semua warga Terengganu diseru untuk mengisi dan melengkapkan data Profil Rakyat Terengganu (PRT20) bagi mengelakkan sebarang keciciran dalam pelbagai sektor di masa depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, PRT20 telah diwujudkan pihaknya bagi mengumpul data penduduk supaya pentadbiran kerajaan dan kebajikan masyarakat dapat diperkasa.  Katanya, PRT20 adalah rujukan kerajaan dan ‘platform’ untuk menyusun strategi yang berkait sosioekonomi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, aktiviti-aktiviti pelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D). “Sistem ini turut berperanan untuk memastikan rakyat tidak tercicir dalam menerima bantuan disebabkan tiada data penduduk. “Bagi fasa pertama, sasaran 30 peratus jumlah penduduk di seluruh Terengganu melibatkan lebih 1,000 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam tempoh September hingga Disember 2020, pengumpulan data kaedah manual secara rumah ke rumah memerlukan penduduk mengisi borang iaitu jenis pertama PRT20A (kad maklumat keluarga) dan PRT20B (borang individu). “Fasa kedua pula dijangka pada Januari hingga 2021 sasarkan 50 peratus jumlah penduduk, dan Fasa ketiga pada tahun 2022 dalam 20 peratus. “Proses pengumpulan data dijalankan oleh MPKK seluruh Terengganu, kemudian 16 orang petugas di pejabat pusat khidmat masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 32 DUN terus ‘key in’ dalam sistem PRT20," katanya ketika bersiaran di Studio TVDI semalam. Tambah beliau, PRT20 menjadikan Terengganu sebagai negeri yang pertama mempunyai sistem dan data profil secara berpusat di dalam satu pangkalan data. Katanya, maklumat itu hanya boleh diguna dan diakses oleh kerajaan negeri untuk perangkaan strategi dan bantuan secara lebih terperinci tanpa penglibatan pihak ketiga. “Buat masa sekarang, pihak kerajaan masih melihat keperluan bagi 300 hingga 400 ribu rakyat Terengganu di luar atau perantau dan kaedah pengisian borang secara online melalui aplikasi seperti Telegram. “Saya berharap agar semua rakyat negeri Terengganu memberi kerjasama dengan mengisi borang yang disediakan pihak MPKK demi membantu kerajaan negeri dalam menguruskan program berbentuk kebajikan dan bantuan kepada rakyat Terengganu," tambah beliau.  
24 Sep 20
36384
Program ‘Ziarah Kasih’ Dekati Golongan Memerlukan
Program ‘Ziarah Kasih’ Dekati Golongan Memerlukan
HULU TERENGGANU, 24 September - Program ‘Ziarah Kasih’ anjuran Skuad Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat PKM bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun menjadi langkah proaktif yang diambil bagi mendekati golongan yang memerlukan dengan lebih dekat. Hilmi berkata, kunjungan Skuad kebajikan PKM sentiasa diadakan dari semasa ke semasa bagi menziarahi pesakit yang terlantar sakit dan sebagainya. Tambahnya lagi, kunjungan tersebut untuk bertanya khabar mengenai kesihatan pesakit dan dapat merapatkan hubungan silaturahim dengan keluarga mereka. “Tiap-tiap minggu, dihari terluang, kita akan pergi ke beberapa buah rumah sasaran dimana kita akan menziarahi pesakit-pesakit, warga emas, sakit ditimpa bencana atau lain-lain penyakit yang menimpa dalam masa terdekat. “Selalunya kita ambil tiga atau empat buah rumah melalui nama-nama yang telah dijadualkan Skuad Kebajikan kami,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media setelah selesai mengziarahi 2 buah rumah warganya dikampung Pulau Bahagia dan Tualang yang turut dihadiri Jawatankuasa Kebajikan PKM Abdul Kadir Abdullah pagi tadi. Sementara itu, Ketua Skuad Kebajikan PKM, Encik Rozali Mamat berkata, Kebajikan PKM turut mensasarkan sebanyak 80 peratus masalah rakyat dapat diselesaikan. Tambah beliau, menurutnya juga pada kunjungan itu skuad tersebut turut memberi sedikit buah tangan dan saguhati bagi membolehkan mereka membeli keperluan perubatan.  “Kalau ada warga emas atau pesakit terlantar, ada di antara mereka yang tak tahu nak minta bantuan macam mana, jadi kita ambil butiran mereka untuk mintak bantuan agensi kebajikan kerajaan dan buat tindakan susulan. “Sekiranya kita dapati ada rumah yang terlalu uzur dalam lawatan tersebut juga, kita akan usahakan untuk membantu dibawah peruntukan ADUN,” tambah beliau. “Dengan program ini, kebajikan dan Wakil Rakyat Manir akan sentiasa dekat bersama-sama rakyat.” Katanya lagi.
24 Sep 20
1543
Terengganu Siapkan Rumah Kanak-Kanak Terbiar Januari Ini
Terengganu Siapkan Rumah Kanak-Kanak Terbiar Januari Ini
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan negeri akan menyediakan rumah kanak-kanak terbiar di Kemaman Januari ini bagi melindungi golongan kanak-kanak di negeri ini daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Usaha menjayakan pusat transit tersebut sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan negeri sebagaimana dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan Belanjawan 2020 yang lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri akan mengorak langkah bersama-sama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk menjayakan pusat transit ini. "Rumah ini kita sediakan khusus untuk golongan kanak-kanak yang terbiar, antaranya golongan gelandangan. "Kita akan masukkan mereka di tempat itu dan penjagaannya akan diuruskan oleh NGO terlibat. Kita juga berikan anak-anak tersebut belajar akademik di sekolah. Selepas mereka balik dari sekolah, kita akan masukkan pengisian kerohanian supaya mereka boleh menjadi manusia yang berguna. "Bukan sahaja pada diri dan juga keluarga dia, malah yang paling penting kepada Allah SWT. Kerana selepas hidup kita semua akan mati. Hidup ini hanya sementara jadi kita berusaha mengisi jiwa mereka dengan intipati yang bermanfaat," jelasnya. Hanafiah Mat. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman. Dalam pada itu, Hanafiah turut memberitahu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti rumah yang akan dibaik pulih sebagai penempatan kanak-kanak terbiar. "Buat permulaan kita akan masukkan seramai 20 lelaki dan 20 perempuan di rumah yang sudah dikenal pasti di Kemaman. Saya jangka mulai bulan 10 ini kita akan buat baik pulih rumah tersebut," katanya. Tambahnya, kos untuk baik pulih rumah itu dianggarkan sekitar RM400,000 dengan kos bulanan sekitar RM50,000 hingga RM70,000. "Rumah ini kita akan dapatkan geran daripada kerajaan negeri seperti yang diluluskan dalam bajet. Kos perbelanjaan bulanan adalah termasuk kos makan minum, kos elektrik, kos guru dan pekerja yang menjaga mereka," ulasnya.
23 Sep 20
2178
Sukarelawan Syariah Penggerak Realisasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera
Sukarelawan Syariah Penggerak Realisasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera
MARANG, 23 September- Penubuhan Sukarelawan Syariah dilhat mampu menjadi penggerak dakwah berkesan bagi membantu kerajaan negeri merealisasikan matlamat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, dalam indeks Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera yang dibentangkan dalam mesyuarat ahli majlis kerajaan negeri yang berlangsung hari ini, satu sub indikator utama iaitu pelaksanaan syariah Islam dalam erti kata lain sebagai kayu ukur pematuhan syariat dalam negeri. "Indeks ini akan menjadi asas dalam memnggerakkan pembangunan insan, keluarga, belia termasuk pembangunan fizikal di negeri Terengganu, agar tidak lari daripada wawasan dunia iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dan wawasan Akhirat. "Kerajaan memiliki sumber manusia yang terhad, maka sokongan daripada masyarakat khususnya hari ini kita wujudkan Sukarewalan Syariah  di setiap daerah untuk membantu agar pemantauan dan pematuhan syariat serta mendidik masyarakat," katanya.  Beliau berkata demikian  kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu Peringkat Daerah Marang anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Dewan Pejabat Agama Daerah Marang, hari ini. Jelasnya, penubuhan sukarelawan berkenaan juga bertepatan seruan kerajaan negeri kepada rakyat Terengganu untuk bersama membangun negeri pantai timur itu. "Berdasarkan indeks tersebut, kita turut meletakkan tema bahawa bukan sahaja kerajaan tetapi rakyat juga memiliki tanggungjawab untuk melaksanakan amar maaruf nahi mungkar. Insya-Allah, penguatkuasaan syariah akan memberi kesedaran kepada rakyat kita untuk tidak melaksanakan kejahatan. "Apabila kejahatan boleh dihalang, kemungkaran boleh dibendung, kemaksiatan boleh disekat, maka suatu masyarakat itu akan hidup dengan baik yang  membawa kepada sejahtera bukan sahaja fizikal tetapi rohani dan jiwa juga untuk terus melakukan kebaikan," katanya. Seminar berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 150 sukarelawan syariah dari seluruh daerah Marang.      
23 Sep 20
1072
TDM Berhad Kongsi RM1 Juta Keuntungan Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu
TDM Berhad Kongsi RM1 Juta Keuntungan Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kumpulan TDM Berhad telah membuat pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM1,048,928 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) hari ini di Wisma Darul Iman. Cek pembahagian keuntungan telah diserahkan kepada Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman oleh Pengarah TDM Berhad, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar. Pembayaran keuntungan itu adalah hasil daripada usaha sama syarikat tersebut. Pendapatan perniagaan bahagian perladangan mendatar pada RM188.4 juta tetapi mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi pada tahun 2019 berbanding tahun 2018, di mana masing-masing adalah sebanyak 15 peratus dan 13 peratus. Walau bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi dengan harga jualan purata CPO dan PK yang lebih rendah iaitu sebanyak 8 peratus dan 32 peratus. Pengerusi TDM, Yang Mulia Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata, pembayaran keuntungan adalah bagi membuktikan komitmen syarikat untuk memberikan sumbangan yang berterusan kepada pemilik tanah, hasil daripada tanah yang diuruskan. "LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh TDM Berhad melalui usaha sama yang ditubuhkan sejak tahun 1996," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, dan kumpulan pengurusan TDM. TDM Berhad menjalankan perniagaan mengikut garis panduan Pematuhan Syariah untuk mengekalkan tahap operasi dan produk yang tinggi serta akan terus memberikan nilai, kualiti, dan kecemerlangan kepada semua pihak yang berkepentingan. "Syarikat kami menjangkakan akan kembali dalam status Pematuhan Syariah berdasarkan metodologi saringan Pematuhan Syariah dalam penilaian seterusnya pada bulan November 2020," jelasnya.
23 Sep 20
2049
Potongan Harga Barang Sempena Jualan Malaysia Di KTCC Mall
Potongan Harga Barang Sempena Jualan Malaysia Di KTCC Mall
KUALA TERENGGANU, 23 September – Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang akan berlangsung di KTCC Mall bermula 24 sehingga 27 september ini menawarkan potongan harga menarik bagi setiap barangan terpilih. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, PJM dan KBBM berperanan untuk memulihkan dan merancakkan kembali sektor ekonomi terutamanya sektor peruncitan di negara. "Program ini berkonsepkan pameran dan jualan yang melibatkan 28 usahawan dari Negeri Terengganu. Promosi, diskaun dan tawaran istimewa oleh premis-premis jualan di KTCC Mall berpotensi untuk menarik minat pengunjung untuk datang. "Selain itu, persembahan buskers dan sesi interaktif bersama pengunjung dan para peserta juga akan dilaksanakan seperti segmen 'Mengopi Bersama Ustaz Azhar Idrus', sembang santai bersama usahawan, taklimat kepenggunaan dan kuiz," katanya ketika bersiaran di Studio TVDI hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, konteks pelaksanaan usaha seperti PJM dan KBBM ini adalah terbuka untuk semua bentuk perniagaan terutamanya dalam sektor peruncitan tanpa mengira saiz seperti di pasar raya, perkakasan rumah, perniagaan atas talian dan sebagainya. “Banyak sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikenakan di premis-premis perniagaan serta faktor keselamatan keluarga. “Oleh itu, kita mahu mempromosikan kembali sektor peruncitan negeri dan membantu semua golongan peniaga domestik. “Program ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu bersama Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan KTCC Mall," tambahnya.
23 Sep 20
3580