Artikel "Utama" Terkini
78 Kes Penipuan Jualan Murah Direkodkan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 78 kes berkaitan jualan murah membabitkan nilai rampasan RM44,604 dan nilai kompaun RM23,150 atas pelbagai kesalahan sehingga Ogos tahun ini.
28 Sep 20
303
Pasukan Hoki Terengganu Wajar Dipuji- Saiful Azmi
KUALA LUMPUR, 27 September- Sekalipun tidak berjaya membawa pulang Piala Tun Abdul Razak ke bumi Terengganu, keputusan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) meletakkan gabungan pemain baharu dan lama dalam kejohanan itu, wajar dipuji.
Penaung PHT, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, barisan pemain yang dipilih juga mempamerkan permainan yang bagus sepanjang kejohanan sehingga dapat mencapai kedudukan naib juara.
"Kita melihat pemain-pemain muda kita perlu diberikan pendedahan supaya mereka lebih kuat dan bersedia untuk Sukan Malaysia (SUKMA).
"Insya-Allah, sasaran pasukan SUKMA lelaki untuk menaiki podium. Kita membuat perancangan untuk itu dan semoga mendapat apa yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak 2020, semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu tumpas 2-4 di tangan Perak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik itu turut meletakkan harapan kepada skuad hoki wanita negeri dalam SUKMA di Johor nanti.
"Pasukan wanita pula, kita harap mampu wujudkan satu keganjilan (keajaiban) walaupun kita tahu mereka masih baru dan perlu ditambah baik," katanya.
Dalam kejohanan yang berakhir semalam, Terengganu membariskan majoriti pemain SUKMA dalam pasukan lelaki.
Manakala, 100 peratus pemain SUKMA ditampilkan dalam pasukan wanita Terengganu.
27 Sep 20
1271
Gabungan PENJANA Dan PITAS Rancakkan Kembali Ekonomi Rakyat
Pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 mampu membantu usahawan terus bertahan dalam mengharungi cabaran akibat Covid19.
27 Sep 20
236
Peruntukan RM1.1 Juta Untuk Pemantapan Pertubuhan Belia Negeri
KUALA TERENGGANU, 27 SEPTEMBER – Peruntukan sebanyak RM1.1 juta disalurkan kepada pertubuhan belia di negeri ini bagi merancakkan perkembangan golongan itu sebagai pelapis di masa depan.
Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha yang digerakkan Pejabat Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Terengganu serta Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mampu membina anak muda berkualiti dengan lebih mampan.
"Saya berharap, melalui bantuan ini, pertubuhan-pertubuhan belia mampu merencana aktiviti-aktiviti sihat kepada golongan belia samada di peringkat kampung, daerah atau negeri.
"Semoga semangat dan mesej penting dalam sambutan hari belia negara pada tahun ini sentiasa dihayati dan diterjemahkan dalam setiap usaha kita selaras dengan tema ‘Dekad Ini Dekad Anda'," ujarnya yamg mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort di sini, malam semalam.
Turut Hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirulllah Othman.
Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan, bantuan tersebut adalah kesinambungan daripada tahun lepas dan ia bergantung kepada peringkat persatuan mengikut status.
Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi berkata kerajaan sedang merangka Pelan Pembangunan Generasi Muda Terengganu Sejahtera 10 Tahun (2020-2030).
"Pelan Pembangunan Generasi Al-Fateh Terengganu pula melibatkan penerapan modul seawal 11 tahun untuk membina asas kecemerlangan belia," jelasnya.
27 Sep 20
1026
Kerajaan Negeri Bantu Promosi Produk Anak Syarikat
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan negeri membantu mempromosikan produk anak syarikatnya untuk industri pembinaan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan akan membuat satu polisi di mana kontraktor atau pemaju projek perumahan mestilah membeli produk berasaskan cermin dan aluminium ini dgn kilang Golden Pharos (GP) Glass.
"Satu mekanisma dan garis panduan akan dibincang dan dimuktamadkan di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Menerusi lawatan ini secara tidak langsung akan dimanfaatkan kepada usahawan ataupun pembekal tempatan yang akan bernaung di bawah kilang GP Glass ini," ujarnya.
Lawatan kedua ke kilang IBS Acotec bagi membuka minda kontraktor dan perunding pembinaan rumah berkenaan beberapa teknologi yang lebih maju dan efisien dimana dengan menggunakan teknologi IBS ini proses pembuatan rumah lebih cekap dan kos lebih murah daripada kaedah biasa.
Beliau berkata, teknologi ini akan diguna pakai bagi projek perumahan Taman Putera Rahman di Tembila yang dimajukan oleh pihak Wanland Metro Sdn Bhd.
Lawatan bermaklumat itu turut dihadiri pemaju dan kontraktor perumahan Negeri Terengganu serta pasukan perunding projek yang terdiri dari arkitek dan juru ukur bahan.
27 Sep 20
2275
TDM Berhad Berbasikal Rentasi Lokasi Bersejarah
KUALA TERENGGANU, 27 September – TDM Berhad meneruskan aktiviti berbasikal dengan menjelajah pelbagai tempat bersejarah dalam Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua di Kuala Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada siri pertama di Kuala Berang dengan menggunakan format berbasikal sambil menjejaki lokasi dan bangunan yang mempunyai nilai tersendiri.
"Selain menumpukan kepada perniagaan teras di bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM turut menitikberatkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk ilmiah dengan memberi fokus kepada tiga sudut iaitu sejarah, budaya dan bahasa dalam mengolah dan mempelbagaikan aktiviti untuk program CSR TDM.
“Program ini turut diadakan secara rombongan berbasikal kerana ia lebih praktikal untuk menjejaki kawasan bersejarah sepanjang laluan serta menggalakkan nilai riadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua sempena bulan Kemerdekaan di Taman Tamadun Islam (TTI), pagi semalam.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab.
Acara itu bermula pada pukul 8.30 pagi di TTI melibatkan jarak 25 kilometer, melalui Masjid Tokku Paloh, Masjid Tokku Chabang Tiga, Masjid Hiliran, Masjid Abidin, Bukit Puteri, Bukit Keledang, Rumah Tele, Rumah Tengku Ngah Aisyah dan Rumah Berdinding.
Menurut Zainal Abidin, penyertaan dalam siri pertama mendapat sambutan yang tinggi seramai 100 orang staf TDM Berhad.
"Tetapi pada siri kedua hanya 50 orang yang terlibat di mana pergerakan adalah mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Untuk siri seterusnya, lokasi pilihan seperti Dungun, Setiu dan Kemaman akan dikaji untuk kesesuaian supaya tempat-tempat bersejarah yang kurang diketahui umum dapat dikunjungi dan dipelajari," tambah beliau.
26 Sep 20
581
Perak Lebur Impian Juara Terengganu
KUALA LUMPUR, 26 September- Perak sekali lagi berjaya meleburkan impian pasukan Terengganu untuk bergelar juara TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 apabila menumpaskan pasukan Pantai Timur itu dengan jaringan 4-2.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu garang mendahului lawan seawal minit pertama melalui gol sudut penalti yang dijaringkan Faizal Saari.
Namun, Perak dapat menyamakan kedudukan melalui gol padang pada minit ke-17 hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Selepas itu, segalanya tampak sukar buat anak buah Tai Beng Hai. Terengganu lebih banyak menahan asakan Sang Seladang yang mempamerkan corak serangan pantas.
Penggempur Perak yang merupakan tonggak kebangsaan, Muhammad Haziq Samsul berjaya meledak dua gol padang pada minit ke-30' dan 32' membolehkan lawan mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Haziq yang terpilih sebagai 'player of the match' malam ini meledak satu lagi gol padang pada minit ke-46 menyentak semangat Terengganu.
Ketinggalan 4-1 di awal babak kedua, Terengganu cuba bangkit merapatkan jurang.
Pada minit ke-59, Faizal Saari berjaya meledakkan gol melalui sudut penalti, tetapi sayang kebangkitan tersebut tidak dapat diteruskan.
Keputusan kekal 4-2 sehingga tamat perlawanan.
Untuk rekod, Terengganu tewas buat kali ketiga kepada Perak dalam perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak, setelah tumpas kepada lawan sama pada tahun 2017 dan 2018.
26 Sep 20
1897
Lebih 30 Kerbau Syukor 'Kampung Boy' Mati Mengejut
Lebih 30 ekor kerbau milik keluarga ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukor Khamis di Kampung Banggol Katong, Serada mati mengejut dipercayai akibat wabak hawar berdarah.
26 Sep 20
234
Gabungan PENJANA Dan PITAS Rancakkan Kembali Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 26 September - Pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 mampu membantu usahawan terus bertahan dalam mengharungi cabaran akibat Covid19.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata inisiatif-inisiatif di bawah PENJANA ini sejajar dengan dasar kerajaan negeri menerusi PITAS 2030.
Justeru itu katanya, beberapa perkara perlu diberi penekanan serius oleh semua pihak bagi menjayakannya.
"Pertamanya, semua pihak termasuk kerajaan, komuniti perniagaan mahupun masyarakat pengguna perlu memberi sokongan padu terhadap Program Jualan Malaysia ( PJM) 2020 yang digerakkan bersama-sama Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
"Program ini akan menggalakkan rakyat untuk keluar berbelanja bagi meningkatkan ekonomi sekaligus membantu sektor peruncitan dan ekonomi untuk melakukan pemulihan ekonomi disebabkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian PJM Dan KBBM di aras dua, Kuala Terengganu City Centre(KTCC), di sini hari ini.
Seramai 41 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 32 outlet yang menyertai PJM dan KBBM 2020 kali ini di Terengganu yang berlangsung selama empat hari bermula 24 sehingga 27 September.
Tambah Nurkhuzaini lagi, seluruh komuniti perniagaan perlu mengadakan promosi yang tidak terhad sepanjang tempoh kempen dilaksanakan.
"Jualan murah ini sudah pastinya akan memberi ruang yang fleksibel kepada rakyat untuk terus berbelanja," kata beliau.
Beliau berkata, pelaksanaan PJM 2020 dan KBBM menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
26 Sep 20
733
78 Kes Penipuan Jualan Murah Direkodkan
KUALA TERENGGANU, 26 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 78 kes berkaitan jualan murah membabitkan nilai rampasan RM44,604 dan nilai kompaun RM23,150 atas pelbagai kesalahan sehingga Ogos tahun ini.
Timbalan menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, daripada 78 kes ini, 20 kes berlaku sejak kementerian melaksanakan Program Jualan Murah dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 bermula Julai lalu
membabitkan nilai kompaun sebanyak RM15,000.
Katanya lagi, pihak kementerian juga menerima 389 aduan mengenai jualan murah sepanjang tahun 2020 ini.
"Antara kesalahan yang biasa dilakukan mempamerkan harga jualan yang mengelirukan contohnya pamer harga lain tetapi jual dengan harga lain.
"Kesalahan lain yang dikesan, ada peniaga yang tidak mempamerkan notis jualan murah dan mengadakan jualan murah tanpa notis.
"Oleh itu saya ingin menasihatkan kepada pembeli sentiasa berhati-hati ketika jualan murah sebelum berbelanja," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Jualan Malaysia(PJM) Dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM)di aras dua, Kuala Terengganu City Centre(KTCC), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman dan Pengarah KPDNHEP, Shaharuddin Mohd Kia.
Seramai 41 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 32 outlet yang menyertai PJM dan KBBM 2020 kali ini di Terengganu yang berlangsung dari 24 sehingga 27 September.
Untuk rekod, sebanyak 63,714 outlet di seluruh negara yang mengadakan jualan murah dan daripada jumlah itu, 1,474 outlet di Terengganu.
26 Sep 20
571