Artikel "Utama" Terkini
Pelajar Positif COVID-19, SMA Sultan Ismail Tutup Sementara
DUNGUN, 8 Oktober - Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail di sini ditutup selama lapan hari bermula 8 sehingga 15 Oktober 2020 berikutan terdapat pelajarnya yang disahkan positif COVID-19.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan ini bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja membasmi kuman dijalankan.
"Terdapat kes positif COVID-19 yang telah disahkan pada 7 Oktober 2020 melibatkan seorang pelajar.
"Sehubungan itu, saringan COVID-19 juga akan dilakukan terhadap murid atau guru yang menjadi kontak rapat dengan pesakit COVID-19 di sekolah tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SMA Sultan Ismail mempunyai 71 guru dan 823 pelajar.Sementara itu, seramai 29 pelajar dan lapan guru yang disaring merupakan kontak rapat pelajar berkenaan.
08 Oct 20
8793
Sagu Hati Untuk Warga Pusat Kuarantin DITC
KEMAMAN, 8 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat melawat serta menyampaikan cenderahati untuk diberikan kepada 35 petugas barisan hadapan dan 51 orang yang dikuarantin di Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, hari ini.
Beliau turut berharap dan berdoa agar mereka yang dikuarantin itu tabah dalam menghadapi ujian ini.
"Kami yang di luar ini sentiasa mengharapkan mereka yang dikuarantin ini termasuk teman-teman saya berada dalam keadaan baik dan keputusan ujian saringan COVID-19 negatif," ujarnya.
Hanafiah juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya di Kemaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan semua pihak yang terlibat dalam melancarkan segala urusan di sana.
"Saya mengharapkan segala jasa dan pengorbanan kalian mendapat ganjaran yang baik daripada Allah S.W.T," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan 86 bungkusan mengandungi makanan dan minuman sebagai tanda cenderahati.
DITC sekali lagi dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Khas COVID-19 di daerah Kemaman dan ianya mula beroperasi sejak 6 Oktober dengan jumlah setakat hari ini seramai 51 orang dikuarantinkan di sana.
08 Oct 20
1588
Galeri Muzium Negeri Ditutup Lima Hari
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober- Galeri Muzium Negeri Losong ditutup selama lima hari bermula 10 hingga 15 Oktober ini kepada orang ramai.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman sosial rasmi facebook, pihak muzium berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak pandemik Covid19.
Justeru itu, semasa penutupan tersebut juga akan dilaksanakan sanitasi didalam galeri dan tempat yang sewajarnya.
Namun begitu, pejabat masih beroperasi untuk orang ramai yang mempunyai urusan mengikut waktu rasmi.
08 Oct 20
1149
MyHackathon Cari Pakar Media Sosial
Terengganu menjadi destinasi kedua bagi Program MyHackathon 2020 mahu mencari lebih ramai pakar media sosial berkaitan penggunaan teknologi dan digitalisasi.
06 Oct 20
334
PPS Banjir Bakal Perkemas SOP Baharu
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bakal diperkemaskan dengan prosedur operasi standard (SOP) terkini selaras norma baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, ketika ini.
Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, perkara tersebut sedang diperkemaskan Sekretariat Pengurusan Bencana di pelbagai peringkat.
"Kita juga merancang untuk melakukan latihan pengurusan di PPS dengan cara norma baharu yang dijadualkan pertengahan bulan ini, kerana kita tidak boleh amalkan cara lama seperti gotong-royong menyediakan masakan dan mengadakan solat jemaah secara beramai-ramai.
"Setakat ini, jumlah PPS sedia ada yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih kekal sama sebagaimana dahulu, cuma kita dalam proses kemas kini kerana kita semua tahu ada PPS yang berskala kecil seperti dewan serbaguna mungkin tidak boleh digunakan lagi disebabkan faktor norma baharu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Latihan Menyelamat Di Air APM Terengganu bersama Media: Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana (MTL) Tahun 2020/2021 di Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, di sini semalam.
Jelasnya, latihan yang bermula sejak pagi tadi itu menerapkan latihan menyelamat di air, latihan balingan menyelamat mangsa lemas, pengendalian bot asas, dan latihan kecemasan asas sebagai kesediaan APM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
"Untuk makluman kita buat latihan mengikut SOP ditetapkan dengan penjarakan sosial dan skala kecil sebagaimana disarankan KKM kerana kita masih dalam pengurusan bencana Covid-19 yang mana kebiasaan baharu yang harus diterapkan.
"Mengikut Jabatan Metorologi Malaysia (MET Malaysia), sekarang kita berada dalam musim peralihan dan dijangka tamat hujung bulan ini, mungkin permulaan musim tengkujuh akan diumumkan dalam minggu pertama kedua nanti. Jadi, semoga latihan ini akan mempersiapkan anggota APM serta rakan media untuk menghadapi MTL," katanya.
Tambahnya, seramai 350 orang anggota APM di Terengganu kini bersedia dan boleh digerakkan dalam tempoh enam hingga lapan jam jika berlaku banjir.
06 Oct 20
1175
Pejabat YPU Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menutup pejabat operasi YPU buat sementara waktu selama tiga hari bermula hari ini untuk sanitasi bagi membendung penyebaran COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata penutupan sementara ini merujuk kepada situasi COVID-19 yang semakin meningkat di Terengganu.
“Untuk itu beberapa program yang telah dirancang oleh YPU akan ditawakufkan buat sementara waktu, manakala program yang boleh dilaksanakan secara dalam talian atau maya akan dilaksanakan seperti biasa.
“Manakala inisiatif "Work From Home" telah dilaksanakan oleh pengurusan YPU dan ini adalah tertakluk kepada semua pegawai dan kakitangan yang terlibat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, pihaknya amat prihatin dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua, sama ada pegawai dan kakitangan YPU mahupun pelanggan-pelanggan yang hadir ke pejabat untuk mendapatkan perkhidmatan atau khidmat nasihat.
06 Oct 20
1481
JHEAT Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan pencegahan awal COVID-19, di kawasan berkenaan.
JHEAT dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook jabatan itu memaklumkan, kesemua operasi kaunter dan khidmat pelanggan kelolaan jabatan itu ditangguhkan, bermula hari ini hingga esok.
“Untuk makluman semua, bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus di Kompleks Seri Iman akan disanitasi pada Selasa, 6 Oktober.
“Sehubungan itu, segala urusan kaunter dan pelanggan di tiga jabatan di atas tidak akan beroperasi buat sementara waktu dan semua pegawai serta kakitangan diarahkan untuk bekerja dari rumah,” menurut kenyataan itu.
Urusan kaunter dan khidmat pelanggan akan beroperasi semula seperti biasa pada 7 Oktober (Rabu).
“Segala kesulitan tuan puan dalam perkara ini amat dikesali dan didoakan semoga kita semua terhindar dari segala wabak penyakit yang tidak diingini,” ujar kenyataan tersebut.
06 Oct 20
9029
Kampung Budaya Terengganu Ditutup Sementara
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Produk pelancongan baharu iaitu Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Losong ditutup bermula semalam sehingga 31 Oktober 2020 berhubung peningkatan kes berkaitan pandemik Covid-19.
Jabatan Pelancongan negeri dalam satu kenyataan berkata, penutupan ini juga dilihat sebagai usaha dan inisiatif pengurusan Kampung Budaya Terengganu bagi mengekang dan mengawal penyebaran pandemik Covid-19 selaras dengan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Arahan penutupan ini melibatkan keseluruhan operasi serta pengisian program dan aktiviti di Kampung Budaya Terengganu kecuali kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan dan penyelenggaraan tertakluk kepada kelulusan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 ini dicegah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan bersama,” kata kenyataan itu semalam.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa pihak pengurusan sentiasa memastikan tahap kesihatan kakitangan yang bertugas di Kampung Budaya Terengganu berada pada tahap terbaik sejak pembukaan Kampung Budaya Terengganu pada 3 September 2020,
“Sepanjang pengoperasian Kampung Budaya Terengganu juga, pihak pengurusan sentiasa memastikan pengunjung untuk wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi pengunjung,”katanya.
06 Oct 20
5454
Selamatkan Lapisan Ozon Tanggungjawab Bersama
KEMAMAN, 5 Oktober - Kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai program sempena sambutan Hari Ozon sedunia yang disambut pada 16 September setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, program ini bagi menyebar luas kesedaran dan komitmen melindungi lapisan ozon di seluruh negara.
Katanya, program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi-agensi yang berkaitan bagi mewujudkan persekitaran yang sihat.
“Antara program yang berteraskan kelestarian alam sekitar telah dirancang dan dilaksanakan di negeri Terengganu seperti hari bumi, hari alam sekitar sedunia (WED), Kem Kesedaran Alam Sekitar di Tasik Kenyir dan banyak lagi.
“Program alam sekitar ini akan dijalankan secara berterusan sehingga awal November 2020 yang melibatkan semua peringkat lapisan masyarakat dengan kerjasama strategik pelbagai pihak,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kelab Golf Petronas, Kertih, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Ramli Abd Rahman dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman.
Tambah Dr. Alias, penggunaan bahan kimia secara berlebihan seperti Kloroflurokarbon (CFC) dan seumpamanya adalah bahan utama dikenalpasti sebagai penyebab fenomena penipisan lapisan ozon.
”Akibat daripada tangan-tangan manusia yang mengabaikan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan lapisan ozon maka kesannya akan dirasai oleh semua penduduk bumi,” tegasnya.
Justeru itu, beliau berkata segala usaha yang dijalankan ini dapat menyemaikan rasa kecintaan rakyat Malaysia dalam menjaga kelestarian alam sekitar secara menyeluruh dan kesejahteraan, kualiti hidup rakyat terus terpelihara.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urusetia dan kakitangan JAS Terengganu, Petronas Pantai Timur, agensi-agensi kerajaan serta semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini,” ujarnya.
05 Oct 20
669
Lagi Dua Sekolah Di Terengganu Ditutup Angkara COVID-19
KEMAMAN, 5 Oktober - Dua sekolah dalam daerah Kuala Nerus ditutup akibat penularan kes baharu koronavirus (COVID-19).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir.
Katanya, ia susulan terdapat pelajarnya disahkan postif COVID-19 yang mempunyai kontak rapat dengan salah seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang juga disahkan positif sebelum ini.
"Kedua-dua sekolah ditutup bermula hari ini sehingga 11 Oktober.
"Kita sedang mengesan kontak rapat pelajar berkenaan untuk menjalani ujian calitan (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga dan diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Ozon Negeri Terengganu 2020 di Kelab Golf & Rekreasi PETRONAS, Kertih.
SMK Kompleks Seberang Takir mempunyai seramai 765 pelajar dan 82 guru manakala SK Kompleks Seberang Takir mempunyai 817 murid dan 63 guru.
Terdahulu, Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting di Kuala Nerus ditutup sementara bermula 2 Oktober selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif COVID-19.
Ia termasuk sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Al Muktafi Billah Shah, Bukit Besi, yang ditutup bermula 30 September selepas seorang kakitangannya didapati positif pandemik berkenaan.
Sementara itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga ditutup sementara bermula hari ini hingga 7 Oktober selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19
05 Oct 20
17990