lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lebih 45 Majikan Didakwa Tidak Carum Perkeso
Lebih 45 Majikan Didakwa Tidak Carum Perkeso
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober- Lebih 45 majikan di Terengganu telah didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu atas pelbagai kesalahan tidak mendaftar, tidak mencarum dan gagal mendaftar caruman bagi pekerja. Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana caruman yang tidak dibuat oleh majikan buat pekerja mereka. "Saya ingin tegaskan, kita boleh mengambil tindakan di bawah akta tersebut, di mana majikan yang tidak mendaftar dan mencarum PERKESO pekerja boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya. beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 kepada ibu Muhammad Solihin Mahamad, 24, bekas pemain Terengganu City Football Club (TCFC) yang meninggal dunia minggu lalu, di kediaman allahyarham di Kampung Bukit Depu, di sini hari ini. Jelasnya, PERKESO mendapat perkhabaran kematian pemuda itu melalui laman Facebook dan mendapati caruman terdahulu beliau bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBSNS), Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melayakkan ibunya untuk menerima Faedah Pencen Penakat hampir RM300 sebulan seumur hidup bermula 1 Oktober. "Dalam kes ini kita melihat, sepanjang perkhidmatan allahyarham bersama selama dua tahun bersama TCFC yang turut membantu pasukan itu menjuarai Piala FAM 2018, carumannya tiada dan sangat mendukacitakan kerana sekiranya ia dibayar, mungkin faedah yang bakal diperolehi ibu beliau akan lebih tinggi.  "Kami memandang serius kebajikan terutama atlet-atlet di negeri Terengganu dan sentiasa meneliti kelayakan dan tunggakan caruman mereka. Bukan persatuan bola sepak sahaja, setakat ini semua persatuan sukan negeri masih lagi belum mendaftar pekerja ataupun atlet dan kita tidak mahu terjadi seperti kes ini, yang mana warisnya hanya layak mendapat pencen yang dikurangkan sahaja," katanya. Tambahnya, hanya satu daripada 44 persatuan sukan di Terengganu iaitu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berdaftar dan mencarum PERKESO bagi kebajikan pekerjanya. .        
05 Oct 20
1124
REPSOL Sumbang Kit Keselamatan COVID-19
REPSOL Sumbang Kit Keselamatan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited telah menyumbang kit keselamatan COVID-19 kepada tujuh buah sekolah-sekolah rendah di sekitar Kuala Terengganu bagi mewujudkan keadaan pembelajaran yang selamat buat semua, baru-baru ini. Selaku wakil REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Muhammad Suip, berkata, syarikat tersebut menitikberatkan tanggungjawab sosial syarikat terhadap komuniti-komuniti di mana ia beroperasi. "Oleh itu, kami telah mengatur inisiatif usaha pengumpulan dana di antara kakitangan dan juga dari syarikat REPSOL untuk membantu sekolah-sekolah menentang penularan pandemik ini.  "Kit keselamatan COVID-19 yang disumbangkan bertujuan membantu pihak sekolah memastikan persekitaran yang selamat bagi pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan-kakitangan sekolah," katanya. Antara sekolah yang menerima sumbangan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Serada, SK Paloh, SK Pulau Rusa, SK Durian Mas, SK Kebor Ayer, SK Pulau Manis dan SK Bukit Petiti. Sementara itu, setiap kit keselamatan yang disumbangkan mengandungi pendispen pembersih tangan automatik , dispensar pembersih tangan yang dipasang di dinding,  pengisian semula pembersih tangan, topeng pelindung muka untuk tenaga pengajar, topeng pelintup muka & hidung bersaiz kanak-kanak dan termometer tanpa sentuh.  Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program kali ini. "Setinggi-tinggi tahniah daripada REPSOL kepada semua 'frontliners' termasuk Kementerian Kesihatan, doktor dan pasukan paramedik dan juga semua agensi-agensi awam, swasta serta semua yang terlibat yang terus melangkah dengan tabah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia walaupun risiko jangkitan wabak pada ketika itu adalah tinggi," tambahnya.  
05 Oct 20
1207
Kemasukan Pelajar Ditangguh, UMT Sedia Kemudahan Bagi Pelajar Terkandas
Kemasukan Pelajar Ditangguh, UMT Sedia Kemudahan Bagi Pelajar Terkandas
KUALA NERUS, 4 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan sedia ada, Sesi 2020/2021 ke kampus pada 3 sehingga 8 Oktober untuk mengelakkan penularan COVID-19. Naib Canselor universiti itu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata, langkah berkenaan selaras dengan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar-pelajar baharu pada 2 Oktober lalu. “Dengan pendaftaran jumlah pelajar baharu seramai 2,480 pelajar, Minggu Jalinan Mesra (MJM) serta Majlis Ikrar Pelajar Baharu telah berjaya dilaksanakan pada akhir bulan September secara maya yang dihadiri oleh lebih daripada 2,000 pelajar, Dekan-dekan dan Pegawai-pegawai Utama UMT. “Pada masa sekarang, UMT telah menerima sebanyak 12 orang pelajar yang telah mendaftar di Kolej Kediaman UMT dan daripada jumlah tersebut, dua orang pelajar telah memilih untuk tinggal di Kolej Kediaman. Manakala seramai 623 pelajar dalam kalangan pelajar Asasi STEM, Diploma, pelajar antarabangsa dan pemimpin pelajar masih berada di kolej kediaman," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini. Tambahnya, pihak universiti turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi semua program pengajian akan bermula pada 11 Oktober hingga 31 Disember 2020. "UMT dengan kerjasama Yayasan YTL telah menyediakan inisiatif pelan data secara percuma kepada semua pelajar baharu dan bantuan tambahan kepada 300 pelajar lain yang tiada kemudahan peralatan pembelajaran secara maya,” ulasnya. Bercakap mengenai kebajikan pelajar, Dr Nor Aieni berkata, UMT turut menyokong usaha KPT dalam berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan berkenaan penjadualan semula tiket penerbangan serta tiket bas bagi pelajar yang terkesan daripada penangguhan itu. “Selain itu, kemudahan cafeteria dan koperasi untuk pembelian makanan dan keperluan harian disediakan bagi pelajar yang berada di kampus. “Usaha lain seperti peruntukan RM0.667 juta untuk kebajikan pelajar golongan B40 dan golongan asnaf juga akan disalurkan dalam masa terdekat. Tambahan lagi, talian khidmat kaunseling untuk kesihatan emosi pelajar turut dibuka,” katanya.
04 Oct 20
642
Pasar Buku Ganu, Pupuk Budaya Membaca
Pasar Buku Ganu, Pupuk Budaya Membaca
  KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Terengganu Development Management (TDM) Berhad menjadi pelopor dalam membudayakan amalan membaca dengan penganjuran Pasar Buku Ganu yang julung kalinya diadakan di Bandaraya Kuala Terengganu ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, program sebegini banyak manfaatnya kepada warga masyarakat dalam memupuk budaya cintakan membaca terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan juga para remaja. "Indeks kekerapan membaca di India adalah sebanyak 10 jam per minggu berbanding di negara kita yang hanya 3 jam per minggu. "Oleh kerana itu, program sebegini sangat bermanfaat bagi mengembalikan semula minat serta budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak sekarang pun sudah ramai yang mula leka dengan permainan atau pun video-video dalam gajet," jelasnya. Justeru ujar beliau lagi, program ke arah kesedaran seumpama ini dan kepelbagaian acara santai yang bersesuaian seperti pertandingan dan sebagainya amat perlu diadakan demi untuk melahirkan generasi baharu yang tidak lagi terasing dengan budaya membaca. "Semasa belajar di Jordan dahulu, antara tips untuk kekalkan ilmu yang dipesan oleh guru saya ialah mengajar, menulis dan membaca, di samping amalan membaca al-Quran yang dijadikan rutin harian," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Pasar Buku Ganu yang berlangsung di dataran bersebelahan bangunan TDM Berhad, semalam.
03 Oct 20
459
Tenggiri Challenge, Jejak Budaya Marang Ditangguh
Tenggiri Challenge, Jejak Budaya Marang Ditangguh
MARANG, 2 Oktober - Beberapa program yang melibatkan orang awam di Terengganu ditangguhkan serta merta ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini sejak beberapa hari lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, penangguhan itu turut membabitkan program Terengganu Tenggiri Challenge 2020 di Pulau Kekabu dan Jejak Budaya Marang di Dataran Batu Putih. "Ya, kita menangguhkan program-program ini selepas melihat bilangan kes positif COVID-19 di Terengganu semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Dalam pada itu, antara aktiviti lain yang turut ditangguhkan ialah program bersih pantai. "Dengan mengambil kira semua faktor dan langkah-langkah keselamatan serta saranan semua pihak bertanggungjawab, maka penganjur (UBSNT) memaklumkan program bersih pantai yang dijadualkan esok ditangguhkan," ujar kenyataan itu. Sementara itu, pihak penganjur Karnival Rakyat Sayangi Kuala Nerus bersama YBM mengambil langkah membatalkan program. "Memandangkan perkembangan semasa gejala COVID-19 pada masa ini, kami mengambil pendekatan untuk membatalkan karnival ini demi menjaga maslahah semua," ujar penganjur.
02 Oct 20
2713
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources
KEMAMAN, 1 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan industri untuk memantapkan lagi kualiti pendidikan, penyelidikan dan inovasi pusat pengajian itu. Bagi tujuan tersebut, UC TATI telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan ZSR Vortices Sdn. Bhd. sebuah syarikat yang dilesenkan oleh PETRONAS untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan dalam industri minyak dan gas untuk sektor ‘upstream’ and ‘downstream’. UC TATI turut menjalinkan kerjasama dengan SRC Resources Sdn Bhd sebuah syarikat yang memberikan khidmat dalam latihan dan perundingan terutamanya berkaitan industri minyak dan gas. Bagi kedua-dua MoU itu, UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad, manakala ZSR Vortices Sdn. Bhd. diwakili Pengarahnya, Abdul Rahim Pazikadin dan SRC Global Resources Sdn Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hisham Mohd Ariffin. Dr. Anuar berkata, kedua-dua perjanjian persefahaman ini merupakan satu langkah dominan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak. “ZSR Vortices Sdn Bhd sebelum ini telahpun menjalinkan kerjasama dengan pihak UC TATI dengan menerima pelajar praktikal di syarikatnya seramai tiga orang. “Keyakinan syarikat ZSR terhadap kualiti graduan UC TATI telah membawa kepada penawaran tujuh kekosongan jawatan jurutera dan 25 jawatan pembantu teknik di syarikat mereka kepada graduan UC TATI,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara UC TATI Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources di Dewan Al-Jazari, UC TATI, hari ini. Turut hadir, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Rosliza Ramli dan Pendaftar UC TATI, Shafaruddin Mustafa. Tambahnya lagi, kakitangan UC TATI juga akan mendapat manfaat dari segi penglibatan dalam projek penyelidikan dan komersial melalui perjanjian persefahaman ini. Sementara itu katanya, kerjasama dengan syarikat SRC Resources Sdn Bhd. pula memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan latihan di UC TATI dalam bidang 'Scaffolding'.  “Sasaran seramai 20 peserta kursus akan menjalani latihan dalam sebulan di UC TATI. Ini bermakna UC TATI bakal menerima 240 peserta kursus dalam setahun,” ujarnya. Katanya, kursus ditawarkan iaitu pada tahap asas dan pertengahan yang akan bermula bulan ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
01 Oct 20
1599
Dulu Jurutera, Sekarang 'Food Rider'
Dulu Jurutera, Sekarang 'Food Rider'
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Zaman sekarang, bukan mudah untuk dapatkan kerja yang stabil dan meninggalkan gaji lumayan. Namun, ia berbeza dengan pemuda ini, Wan Mohd Affandi  Wan Ahmad, 32, yang sanggup meninggalkan kerja dengan gaji lumayan dalam bidang kejuruteraan kerana keluarga. Wan Mohd Affandi berkata, bergelar 'rider' e-hailing bukanlah pekerjaan idamannya namun demi kelangsungan hidup dia tekad untuk meneruskan kerjaya dalam bidang itu. “Saya bekerja sebagai jurutera di Kuala Lumpur dan saya mengambil keputusan untuk berhenti disebabkan isteri saya yang bersalin berada di Kuala Terengganu dan saya ingin bersama dengannya dan anak kami pada Julai 2019. “Sebelum itu, saya bekerja sebagai pengurus sekuriti di Pasaraya Mydin dan dalam masa yang sama saya dapat tahu Foodpanda masuk ke Kuala Terengganu. Saya dapat tahu yang pendapatan Foodpanda lumayan sebab  ramai kawan-kawan saya yang terlibat dalam pekerjaan ini beritahu tentangnya. “Jadi bila saya buat foodpanda sekurang-kurangnya pendapatan saya tu boleh mencecah sampai tiga ke empat ribu dalam masa satu bulan,” ujarnya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.  Wan Mohd Affandi, dia lebih menumpukan penghantaran di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kerana dua kawasan tersebut mendapat permintaan secara atas talian paling tinggi. “Sementara itu, dari segi masa ia lebih mudah disesuaikan mengikut ketetapan yang saya aturkan. “Saya boleh masuk pukul berapa saya nak, habis pun dalam masa yang saya tetapkan.  “Contoh saya masuk dalam pukul 11 pagi dan habis pukul 3 petang. Dalam masa tu saya boleh buat 15 pesanan untuk satu hari bergantung kepada situasi dan kerajinan,” katanya lagi yang pernah memperolehi RM8,000 sebulan sebelum berlakunya wabak COVID-19. Ditanya adakah beliau menyesal dengan keputusannya meninggalkan pekerjaan sebagai jurutera yang lebih berprestij, Wan Mohd Afandi berkata, dia tidak pernah menyesal atau menoleh ke belakang setelah berhijrah kerjaya. “Sebagai jurutera di Kuala Lumpur pendapatan saya dalam RM3,200. Menyesal?  Saya tak pernah menyesal berhenti walaupun sebelum ni saya tidak terfikir untuk buat foodpanda. “Saya buat ini untuk keluarga kecil saya,” tegasnya.  
01 Oct 20
22659
‘Barisan Hadapan’ Komuniti Dun Batu Buruk Diraikan
‘Barisan Hadapan’ Komuniti Dun Batu Buruk Diraikan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan, jawatankuasa samada di peringkat cawangan mahupun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah barisan hadapan masyarakat yang menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan kebajikan kepada rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19 yang lalu. “Alhamdulillah, kita berjaya mengadakan majlis makan malam ini bagi memberikan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan walaupun mungkin ia tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan, namun anggaplah ia sebagai tanda ingatan. “Kalau dilihat bangunan yang kukuh dan besar, tidak akan terjadi tanpa pasir-pasir yang halus dan paku-paku yang kecil. Begitulah jika dilihat kerajaan Negeri Terengganu ini, kejayaan tidak akan terhasil tanpa jasa dan pengorbanan daripada pimpinan di peringkat komuniti setempat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim yang diadakan di Hotel Primula, semalam. Turut hadir dalam majlis yang melibatkan 36 MPKK dalam Dun Batu Buruk tersebut ialah mantan ADUN Batu Buruk, Dato’ Hj Wan Abdul Mutalib Embong.        
01 Oct 20
507
JPJ Terengganu Kutip RM759,541 Bayaran Saman
JPJ Terengganu Kutip RM759,541 Bayaran Saman
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sejumlah RM759,541 bayaran saman dikutip Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menerusi tawaran pengurangan saman sehingga 70 peratus yang berakhir semalam. Pengarah JPJ, Zulkarnain Yasin berkata, tawaran bermula 3 Ogos lalu itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai. "Sepanjang tempoh berkenaan, pihak kami mengutip RM759,541 daripada 10,698 transaksi saman dibayar pesalah-pesalah yang diberi kompaun. "Setakat ini, kutipan daripada pembayaran saman JPJ Kuala Terengganu adalah yang tertinggi iaitu sebanyak RM318,873 daripada 4,464 transaksi saman,” ujarnya. Beliau berkata demikian di Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada 'Food Rider' negeri di Pejabat JPJ, di sini hari ini. Tegasnya lagi, antara kompaun yang paling banyak dibayar melibatkan kesalahan lesen memandu. Tambah beliau,bermula hari ini kompaun akan mengikut harga asal seperti sebelum ini kerana tempoh diskaun sudah berakhir. Terdahulu, sebanyak 70 peratus pengurangan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.  
01 Oct 20
1628
JPJ Terengganu Rintis Kempen Advokasi Untuk Kesedaran Food Rider
JPJ Terengganu Rintis Kempen Advokasi Untuk Kesedaran Food Rider
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menjadi perintis bagi Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada Penunggang Pesanan Makanan 'Food Rider' di negeri ini. Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, pelaksanaan kempen itu bertujuan untuk menyedar dan memastikan penghantar makanan dalam talian mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh kerajaan.   “Keduanya, memberi kaedah-kaedah yang betul dan cara membawa barangan (kotak) dibelakang dengan peraturan termasuk saiz yang dibenarkan. “Dan seterusnya memberi kesedaran  tentang pentingnya pematuhan terhadap peraturan jalan raya yang mana hasil pemantauan secara berterusan, 'Food Rider' ini  kebanyakannya gagal mematuhi lampu isyarat. “Kegagalan mematuhi peraturan-peraturan ini boleh memberi kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada penunggang itu sendiri, sekiranya disaman boleh dikenakan tindakan lesen digantung dan mereka boleh kehilangan pekerjaan,”ujarnya. Beliau berkata demikian di Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada ' Food Rider' negeri di Pejabat JPJ, di sini hari ini. Tambah Zulkarnain, Food Rider perlu pastikan menggunakan motosikal yang berdaftar dan mempunyai perlindungan insuran serta mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu yang masih berkuatkuasa. Untuk rekod, seramai 449 Food Rider yang berdaftar di negeri di bawah tiga syarikat pengendali makanan dalam talian  iaitu Food Panda, Grab Food serta Oda Food dan dari jumlah ini seramai 190 Rider yang aktif. Purata pendapatan mereka mampu mencecah RM600 seminggu yang dibayar secara mingguan serta mendapat perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).  
01 Oct 20
1938