lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Ingkar SOP: 264 Premis Makanan Dikompaun Di Terengganu
Ingkar SOP: 264 Premis Makanan Dikompaun Di Terengganu
  KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Sebanyak 264 kompaun bernilai RM264,000 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis makanan di Terengganu kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi pemantauan sejak 1 April, lepas. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kompaun tertinggi direkodkan oleh daerah Besut sebanyak 62 dan diikuti Kemaman(55), Hulu Terengganu (33), Setiu (29), Kuala Terengganu (28), Dungun (26), Marang (16) dan Kuala Nerus. "Selain itu, sebanyak 195 premis telah diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakan dua meter antara meja pelanggan. "Arahan tutup adalah antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada kesalahan dan tahap ketidakpatuhan pemilik premis terhadap SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambahnya, seramai 48 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi pematuhan SOP itu di semua premis seperti pasar raya, restoran, kedai makan, pasar awam dan pasar tani di seluruh Terengganu. Dr Nor Azimi juga berkata, pihaknya  telah menjalankan pemeriksaan  di 20,005 premis di seluruh Terengganu sejak Mei lepas . "Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak mengambil rekod suhu pekerja, tidak memastikan pengambilan suhu pelanggan yang tepat dan tiada penjarakan meja pelanggan seperti mana dikehendaki dalam SOP di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,"ujarnya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak pergi ke premis makanan yang tidak mematuhi SOP dan berharap mereka membuat laporan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya ternampak premis makanan yang penuh sesak tanpa penjarakan sosial.  
14 Oct 20
1377
Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
SETIU, 14 Oktober - Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu selesai melakukan operasi disinfeksi atau nyahkuman di Taman Negeri Terengganu, Boardwalk Setiu Wetlands, Kampung Pengkalan Gelap di sini hari ini. Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Daerah Setiu, Nurul Asmera Binti Zamli berkata, operasi itu melibatkan 10 anggota bagi keseluruhan kawasan dan laluan pejalan kaki yang memakan masa hampir 2 jam. "Operasi disinfeksi ini adalah bagi menghapuskan agen-agen bawaan wabak COVID-19 sekali gus mencegah penularan wabak ini," katanya ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Untuk rekod, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu baru-baru ini telah mengeluarkan arahan notis penutupan sementara kepada orang ramai dalam mengambil langkah berjaga-jaga situasi semasa akibat pandemik COVID-19. Dalam pada itu, masyarakat terus dinasihatkan untuk mematuhi 'Prosedur Operasi Standard' (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan 'handsanitizer' dan mengamalkan penjarakan fizikal.
14 Oct 20
1546
PINTAR Catat 4,080 Pengguna Bulanan, Sentiasa Ditambah Baik - Ariffin Deraman
PINTAR Catat 4,080 Pengguna Bulanan, Sentiasa Ditambah Baik - Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kerajaan negeri sentiasa menambah baik dan mengesyorkan masyarakat agar memanfaatkan kemudahan akses internet dan perkhidmatan sampingan di Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) yang beroperasi di seluruh negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sehingga Julai 2020, 38 pusat sehenti komuniti tersebut telah menerima jumlah pengguna seramai 16,323 orang. “Jumlah dan sambutan pengguna amat baik sekali di mana purata bulanan adalah seramai 4,080 orang, kecuali dalam tempoh penutupan sementara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 1 Julai lalu. “Di samping kemudahan internet, PINTAR turut menyediakan perkhidmatan ‘PINTAR Pay’, Ejen Agro Bank serta servis pembayaran bil, tambah nilai kad prabayar dan lain-lain lagi. “Bagi memastikan kualiti prasarana dan perkhidmatan berjalan lancar, pihak kerajaan telah meluluskan bajet kira-kira RM700,000 untuk penyelenggaran prasarana seperti komputer yang rosak di sesetengah pusat PINTAR. Kita turut merancang pembaharuan lain seperti penambahbaikan papan tanda PINTAR. Keperluan penambahbaikan sentiasa akan diteliti dari semasa ke semasa,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, petang semalam. Tambahan lagi, beliau berkata, beberapa PINTAR yang dahulunya mempunyai lokasi kurang strategik dan pengunjung akan dikaji untuk penambahbaikan juga. “Contohnya, sebuah pusat bersebelahan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai adalah kurang kondusif dan sempit dan sekarang dalam proses pemindahan ke lokasi lebih sesuai di kawasan Pekan Chukai,” ujarnya lagi. Untuk rekod, Pengoperasian PINTAR bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
14 Oct 20
309
Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida
Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Orang ramai diseru supaya memberi perhatian yang serius kepada kes keganasan yang berlaku kepada anak-anak perempuan, terutamanya persediaan seksual atau 'sexual grooming'.  Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, sebanyak 3,308 kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pihak kerajaan. Zuraida berkata lagi, hal itu tambah merungsingkan apabila sebanyak 1,291 kes melibatkan penderaan secara seksual iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan. “Apa yang menjadi perhatian saya ialah, kanak-kanak perempuan lebih tinggi peratusan menjadi mangsa dera jika dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki.   “Dan kalau dalam kes penderaan seksual pula, tambah memualkan apabila majoriti pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa, seperti saudara terdekat dan teman lelaki. “Kita pun sendiri sudah banyak membaca didada-dada akhbar dan di media sosial, bermacam kes. Apa yang pasti, perkara ini akan meninggalkan kesan negatif dalam jiwa mangsa,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam. Zuraida turut menyuarakan kebimbingannya mengenai polemik ‘sexual grooming’  terhadap anak-anak yang masih kecil. “Apabila kita bercakap soal ’sexual grooming’, kita sebenarnya sedang bercakap tentang masa hadapan generasi pewaris negara kita. “Cuba kita bayangkan, apa kesannya kepada negara kalau mereka membesar nanti, semuanya ber’otak kuning’? Sebab itulah bermula sekarang, masyarakat sudah perlu memainkan peranan masing-masing,”tegasnya. Sexual grooming menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah aktiviti jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan khususnya melalui internet dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual. Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman menunjukkan jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
13 Oct 20
1010
Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok
Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu selesai melakukan operasi sanitasi atau nyah cemar di Taska Permata Keluarga Batu Burok, disini, hari ini. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, sanitasi tersebut dilakukan berikutan maklumat yang diterima ada kontak kepada kontak rapat pesakit COVID-19 berurusan di taska itu. Katanya, langkah tersebut bagi memastikan 43 kakitangan dan 268 kanak-kanak di pusat jagaan bawah kelolaan YPKT itu kembali ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berkenaan dalam keadaan selesa dan selamat selain tidak bimbang penularan wabak COVID-19. "Dengan kerjasama bomba, kita berjaya jalankan sanitasi untuk taska ini sebelum kita buat pembukaan balik esok hari. "Dalam operasi ini, lapan anggota bomba membantu melakukan kerja nyah kuman di tiga bangunan utama dengan mengambil kira aspek keselamatan dan langkah pencegahan awal untuk mengelak pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas proses sanitasi taska terbabit. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPKT, Nazri Yusoff. Katanya, YPKT terpaksa membuat penutupan sementara terhadap 17 buah daripada keseluruhan 68 taska dibawah kendaliannya sebagai langkah drastik dan ketat bagi membendung penularan wabak tersebut. “Kita ucapkan terima kasih kepada pihak bomba atas kerjasama ini, untuk esok hari kita akan buka sebanyak 12 buah yang mana secara puratanya taska ditutup sementara selama seminggu mulai 7 Oktober lalu,” ujarnya.
13 Oct 20
9413
Pokok Tumbang Hempap Kereta, Nyaris Ragut Nyawa
Pokok Tumbang Hempap Kereta, Nyaris Ragut Nyawa
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang menghempap sebuah kereta selain menghalang laluan dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai malam tadi. Ketika kejadian, pemandu kereta berkenaan, Shahriza Abdullah, 37, bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan dari Marang menuju ke Kuala Terengganu. Isteri Shahriza telah mengalami kecederaan ringan di bahagian muka  dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 malam. Katanya, kedua-dua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan mereka dengan bantuan orang awam sebelum bomba tiba. "Kejadian itu turut menghalang pergerakan lalu lintas kerana pokok berkenaan tumbang dan melintang di tengah jalan. "Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk kerja-kerja pembersihan pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini. Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah turut meninjau keadaan mangsa di HSNZ. “Saya bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengambil maklum tentang kejadian ini dan akan mengambil tindakan susulan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya. Keadaan kereta mangsa ketika kejadian  
13 Oct 20
866
Waspada Peralihan Monsun Timur Laut
Waspada Peralihan Monsun Timur Laut
SETIU, 13 Oktober - Warga Terengganu dinasihatkan untuk berwaspada dengan fasa permulaan peralihan monsun timur laut yang dijangka berlaku antara hujung September hingga awal November ini Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, berkata, beberapa persiapan yang telah diaturkan oleh Urus Setia Bencana Daerah termasuk di daerah ini yang dipengerusikan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar. Katanya, antara langkah itu ialah menghantar bekalan keperluan makanan dan asas ke pengkalan hadapan yang melibatkan dua DUN, Langkap dan Permaisuri. "Selain itu, bilangan pusat pemindahan banjir ditambah bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dengan mangsa banjir dan juga 'Standard Operating Procedure' (SOP) akan ditambah baik," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat jawatankuasa bencana daerah di Pejabat Daerah Setiu petang semalam. Zul Bhari yang juga anggota mesyuarat jawatankuasa bencana daerah turut menasihatkan masyarakat supaya membuat persiapan awal bagi penduduk yang berisiko berlaku banjir. Peralihan monsun timur laut juga mengakibatkan angin kencang beserta ribut, laut bergelora yang membahayakan kepada aktiviti perikanan dan hujan lebat yang kemungkinan berlaku banjir di kawasan rendah.
12 Oct 20
4153
Guru Rugi RM791,000 Ditipu Macau Scam
Guru Rugi RM791,000 Ditipu Macau Scam
  KUALA TERENGGANU, 12 Oktober –Seorang guru di sini terpaksa berputih mata apabila kerugian RM791,000 akibat ditipu oleh  sindiket penipuan Macau Scam sejak akhir tahun lalu. Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, mangsa berusia 51 tahun itu menyedari dia ditipu apabila akaun bank miliknya hanya berbaki RM208 sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, petang semalam. Kerugian ditangung melibatkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 1 dan ASB serta dua pembiayaan peribadi dan akaun simpanan milik mangsa yang berasal dari Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus. Katanya, pada bulan Disember 2019 , guru lelaki terbabit  telah dihubungi oleh individu mengakui sebagai pegawai bank memaklumkan bahawa mangsa masih mempunyai pinjaman tertunggak RM50,000 sebelum talian disambung kononnya ke Balai Polis Seri Kembangan, Selangor. “Kemudian diberitahu bahawa mangsa telah terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 juta dan boleh ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang. “Akibat terpedaya mangsa telah didorong mendaftar akaun RHB yang baru dan kemudiannya memasukkan semua wang simpanan  ke dalam akaun berkenaan dan dalam masa sama telah dedahkan maklumat akaun berkenaan membolehkan sindiket membuat pindahan wang keluar daripada akaun RHB miliknya tersebut,”ujarnya.  Tambah Roslee, guru berkenaan  telah memindahkan wang ke dalam akaun RHB miliknya sebanyak tujuh kali bermula daripada bulan januari 2020 dan tidak tahu bila pindahan wang dibuat daripada akaun RHB tersebut.  Katanya, laporan polis kemudian dibuat pada Sabtu lalu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Dalam perkembangan sama, Roslee turut  menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan tidak melayan mana-mana nombor telefon tidak dikenali termasuk panggilan dari luar negara. “Paling mustahak, usah dedahkan sebarang maklumat akaun bank anda kepada mana-mana pihak tidak dikenali. “Jika ragu-ragu segera buat semakan pada portal dan aplikasi, Semak Mule bagi memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan,” katanya.
12 Oct 20
7450
Terengganu FC Daki Tangga Ketiga Liga Super 2020
Terengganu FC Daki Tangga Ketiga Liga Super 2020
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga CIMB Liga Super Malaysia 2020 setelah menang tipis 2-1 kepada Pahang dalam aksi terakhir liga, malam ini. Beraksi di gelanggang sendiri, Sang Penyu nyata berkelebihan di atas kertas apabila turun dengan lima import berbanding Tok Gajah yang hanya menurunkan Adam Micheal Tull sebagai awang import. Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan perlawanan dengan serangan awal ke kubu lawan, namun tidak berhasil dengan pelawat lebih banyak bertahan. Pada minit ke-12, skuad kendalian Dollah Salleh mengejutkan tuan rumah apabila pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk Pahang mendahului 1-0. Tiga minit berselang, Terengganu FC berjaya menyamakan kedudukan apabila Dominic Da Slyva dijatuhkan oleh Helmi Eliza dalam kotak penalti hasil serangan balas yang digerakkan Lee Tuck. Penjaring terbanyak pasukan itu tenang menyempurnakannya. ‹Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Sang Penyu menggandakan asakan untuk mengatasi lawan. Pada minit ke-61, Faris Ramli hampir menjarakkan kedudukan, namun sungkitannya yang melepasi jangkauan Helmi berjaya dikeluarkan Fazly Mazlan. Terengganu FC akhirnya berjaya mengambil kesempatan atas kekurangan pasukan Pahang yang terpaksa bermain sepuluh pemain setelah Muhammad Hardee Shamsuri yang tercedera pada 10 minit terakhir perlawanan. Lee Tuck muncul wira Sang Penyu apabila menolak mudah hantaran lintang pemain meningkat naik, Muhammad Azam Azmi Murad ke gawang Tok Gajah pada minit ke-82. Tuan rumah cuba menambah gol, tetapi kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan. Terengganu FC menamatkan liga dengan mengumpul 19 mata, di belakang Kedah di tangga kedua dan juara liga, Johor Darul Ta'zim.                    
11 Oct 20
2785
DUAT Gilap Skil Pengucapan Wanita Terengganu
DUAT Gilap Skil Pengucapan Wanita Terengganu
Foto : Media DUAT KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera mampu mengasah kemahiran berkomunikasi dalam kalangan peserta, memberi pendedahan berkenaan strategi berhadapan dengan khalayak dan melatih peserta supaya berani berhujah di hadapan penonton dengan penuh keyakinan dan keberanian. Pengarah program, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, program tersebut yang telah diadakan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT) merupakan program latihan khusus untuk para wanita dalam Negeri Terengganu. Menurut beliau, program yang menyasarkan golongan wanita meliputi pelbagai usia itu mendapat sambutan daripada peserta meski pun terpaksa berlangsung dalam suasana norma baharu. “Ramai pihak yang menghantar wakil dan kalau saya boleh sebutkan, antara yang terlibat ialah para Daie Wanita Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES), Pertubuhan Ikatan Generasi Anak Terengganu (i-GenT), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) serta masyarakat awam. “Kita ada dua tujuan utama program iaitu memfokuskan kepada peserta tentang strategi-strategi untuk menangani cabaran pengucapan awam dan penguasaan pentas yang efektif. “Dan yang kedua ialah untuk menambahkan keyakinan diri para peserta untuk mengatasi perasaan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai,”ujarnya. Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera dianjurkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan dikendalikan oleh Perunding Pembangunan Wanita Ummah Training Centre, Mariyam Sa'ari yang juga merupakan Finalis Solehah TV Al-Hijrah telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Beliau juga berharap program tersebut dapat membantu para peserta khususnya para daie dalam kalangan wanita Terengganu untuk memahami serta mengaplikasi ilmu pengucapan awam dengan cara penyampaian yang lebih berkesan dan efektif.   Ilhami bergambar bersama Zuraida.  
10 Oct 20
312