lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sedia Bantu Rancakkan Kembali Pelancongan Di Tasik Kenyir- Ariffin
Sedia Bantu Rancakkan Kembali Pelancongan Di Tasik Kenyir- Ariffin
  KUALA TERENGGANU, 1 November – Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  melalui Jabatan Pelancongan negeri dalam memberi sokongan dan mempromosi pelancongan di Tasik Kenyir yang merudum ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang. Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata pihaknya sentiasa merangka inisiatif dalam membantu industri pelancongan yang terjejas apabila berlakunya wabak pandemik COVID19 di Terengganu. “Dari segi bantuan belum ada lagi, tetapi promosi kita akan sentiasa buat melalui Jabatan Pelancongan secara  berterusan khususnya di Tasik Kenyir .  "Pihak kami akan berusaha tarik pelabur dan juga menarik pelancong di sekitar Pahang, Kelantan dan negeri-negeri  yang tidak berisiko. “Kerajaan negeri  akan sentiasa membantu beri sokongan dan mempromosi, insyaAllah apabila reda COVID19,  kita jangka orang ramai akan datang balik untuk melancong di Terengganu,”katanya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI), hari ini. Ariffin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang 75 pengusaha pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu berdepan kerugian lebih RM1 juta akibat pembatalan tempahan rumah bot dan bot laju pada saat akhir, sepanjang bulan ini. Katanya lagi, isu ini bukan sahaja melibatkan Tasik Kenyir tetapi industri pelancongan di seluruh negeri turut mengalami kemerosotan. ‘’Kemerosotan ini bukan sahaja di Kenyir tetapi  juga melibatkan hotel-hotel  apabila tempahan yang agak besar menerima pembatalan tempahan apabila pengunjung-pengunjung dari pantai barat tersekat dengan PKPB. “Namun jika dibandingkan dengan pantai barat, sektor pelancongan di pantai timur khususnya Terengganu masih dapat bertahan kerana kita masih ada lagi kemasukan pelancongan dari negeri sekitar yang tidak terlibat dengan PKPB,” katanya. Untuk rekod, kehadiran pengunjung ke Tasik Kenyir bagi menggunakan kedua-dua perkhidmatan rumah bot dan bot laju cukup memberangsangkan sejak Julai lalu dengan seramai 7,882 orang diikuti 13,687 pada Ogos dan September (11,603 orang).
01 Nov 20
1325
Dua kakitangan Positif COVID-19, Ketengah Ditutup 14 Hari
Dua kakitangan Positif COVID-19, Ketengah Ditutup 14 Hari
  DUNGUN, 29 Oktober - Ibu pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini ditutup selama 14 hari bermula 27 Oktober susulan dua kakitangannya disahkan positif koronavirus (Covid-19).  Pengurus Besar  Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dalam satu kenyataan berkata penutupan itu selaras dengan Notis Perintah Penutupan Premis Bagi Kawalan Perebakan Penyakit Berjangkit daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). Katanya, agensi akan mengambil tindakan dan langkah-langkah perlu selaras dengan arahan-arahan Kerajaan yang berkuatkuasa.  "Sehubungan dengan itu semua kakitangan di ibu pejabat diarah bekerja dari rumah bermula 27 Oktober hingga 9 November. "Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan secara menyeluruh serta memastikan premis pejabat selamat diduduki," katanya.
29 Oct 20
6208
Laksana Titah Agong, Fokus Bajet 2021
Laksana Titah Agong, Fokus Bajet 2021
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu dihayati masyarakat serta pemimpin negara dalam menghadapi COVID-19 dan perbentangan Bajet 2021. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, titah Baginda yang percaya terhadap kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat perlu diberi perhatian. “Seri Paduka Baginda telah menyatakan, bajet 2021 sangat penting dalam menangani pandemik, titah sebegini menunjukkan Baginda memandang berat perkembangan yang berlaku dalam negara. “Ramai yang belum faham bahawa Baginda mahu melihat suasana politik negara yang ada dalam negara diredakan dan tumpuan semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang, seharusnya menyatukan rakyat bagi menghadapi masalah besar ini,” kata beliau selepas program Bulan Dakwah di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi. Mengulas lanjut mengenai Bajet 2021, beliau berkata, kawasan Parlimen Kuala Terengganu ada permintaan khusus melibatkan isu kemiskinan dan infrastruktur di bandar raya. “Isu kesusahan hidup rakyat sentiasa memerlukan perhatian dan bantuan walaupun dianggap bandar raya, namun isu kemiskinan bandar perlu diberi perhatian bukan sekadar rupa luar dengan rumah dan bangunan batu tetapi isinya kosong. “Kedua, isu infrastruktur seperti sistem perparitan dan longkang juga memerlukan peruntukan untuk penambahbaikan kualiti. Hal ini demikian kerana, isu kesihatan seperti denggi dan kebersihan turut berhubung kait dengan saluran perparitan jadi ini harus dimantapkan lagi,” ujarnya lagi. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut mengulas tentang rancangan penambahan peruntukan sektor tersebut yang sedang menghadapi cabaran COVID-19. “Negara kita dicabar dari segi cara kerja dahulu yang secara manual perlu disesuaikan dengan pengenalan digitalisasi teknologi. MOSTI sudah kemukakan saranan dan akan diulas dalam belanjawan nanti,” kata beliau.
29 Oct 20
192
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sambutan Bulan Dakwah 2020 peringkat negeri Terengganu yang julung kali dianjurkan, dimulai dengan  program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19, dalam usaha melestarikan gerakan dakwah dan kebajikan di negeri ini. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau berharap program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dapat mencapai objektif dalam meringankan beban masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19. “Pihak negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pihak YADIM dalam menganjurkan bulan dakwah di peringkat negeri. “Pelaksanaan ini wajar khususnya pada bulan Rabiulawal, bulan lahirnya Rasullulah SWT, yang membawa dakwah untuk mendidik masyarakat. “Bagi program Musa’adah COVID-19, melibatkan pemberian bantuan makanan dan asas keperluan dapur kepada 30 golongan asnaf Qariah Kampung Gong Tok Nasek,” katanya. Beliau berkata demikian selepas program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said. Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin berkata, bulan dakwah dilaksanakan di seluruh negara dari 4 Oktober sehingga 30 Disember melibatkan kira-kira 2,000 program bersifat kebajikan dan dakwah kepada masyarakat setempat. “Program Cuci-cuci Masjid di Masjid Gong Tok Nasek pula melibatkan hampir 20 orang sukarelawan YADIM dan Rakan Siswa YADIM. "Kita menyambut mereka yang ingin menyertai dan 300 sukarelawan lagi dijangka menyertai. Program dalam perancangan seterusnya adalah Is’ad Al Usrah iaitu inisiatif untuk melaksanakan kerja pembaikian di kediaman asnaf,” ulasnya. Mengulas tentang kesan gelombang ketiga pandemik, beliau berkata, isu tersebut bukan kekangan tetapi cabaran untuk melaksanakan program dakwah secara kreatif dengan kapasiti dan peserta yang ada.
29 Oct 20
463
Terengganu Hasrat Jadi Model Kerajaan Digital Pintar - MB
Terengganu Hasrat Jadi Model Kerajaan Digital Pintar - MB
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi kerajaan digital pintar yang praktikal dan mampan menjelang 2030 sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Usaha mencapai hasrat tersebut dibuktikan dengan Terengganu selangkah ke hadapan menyediakan dan melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu dan Pelan Strategik Taman Maya AI (AI-Artificial Intelligence) Terengganu, hari ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka yakin ini dapat dicapai dengan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu yang berasaskan teknologi kepintaran buatan (AI) dan merangkumi 13 strategi pembangunan. "Bagi menggerakkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Developement Corporation (TAJDID Corporation Sdn Bhd). "Ia akan memfokuskan kepada Agenda Pendigitalan Negeri Terengganu dan Taman AI dengan membuat penyelarasan semula fungsi-fungsi syarikat-syarikat ICT kerajaan negeri yang sedia ada supaya syarikat-syarikat tersebut lebih berdaya saing," katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut di sini. Hadir sama dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Exco-exco Kerajaan Negeri. Ariffin Deraman. Sementara itu, menurut Ariffin, sebagai permulaan, beberapa kamera litar tertutup pintar (CCTV pintar) dan lampu isyarat pintar yang mempunyai ciri digital yang lebih canggih akan ditempatkan di lokasi terpilih tahun hadapan. "Kami telah menguji dan menempatkan CCTV pintar di Masjid Pengadang Baru sebagai projek perintis. Kelebihan CCTV pintar ini adalah dapat memberikan gambaran yang sangat jelas bagi pengunjung sehingga berupaya mengenal pasti wajah, jantina dan usia yang dianggarkan. "Bagi lampu isyarat pintar, ia akan dipasang di persimpangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai sebagai projek perintis tahun hadapan," ujarnya.
28 Oct 20
2940
Pemilik Bangunan Disaran Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Berkala
Pemilik Bangunan Disaran Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Berkala
Pemilik bangunan disaran melakukan kerja-kerja penyelenggaraan struktur bangunan secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan penghuninya terjamin.  
28 Oct 20
121
Perkasa Kempen Memartabatkan Undang-Undang Syariah
Perkasa Kempen Memartabatkan Undang-Undang Syariah
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan berterusan kepada usaha untuk memantapkan undang-undang syariah dalam teori dan juga praktikal. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kempen bersifat ilmuwan seperti Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan, wajar diadakan setiap tahun dalam bagi menambah baik undang-undang syariah di negeri di samping berkolaborasi bersama pegawai syariah negeri lain. “Acara sebegini memenuhi hasrat memantapkan kemahiran advokasi di kalangan pengamal undang-undang serta menguatkuasakan lagi undang-undang keterangan dalam prosiding perbicaraan di makhamah syariah. “Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan ilmu pengetahuan berkenaan undang-undang syariah dikuasai dengan baik sekali gus melicinkan perjalanan prosiding. “Program sebegini adalah suatu keperluan supaya imej pegawai undang-undang syariah Terengganu akan terus dimartabatkan serta menjadi lebih kompeten, bergerak seiring dengan pemahaman undang-undang sivil,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) di Camellia Grand Ballroom, Paya Bunga Hotel, malam semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu merangkap Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu, Mustafar Hamzah, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M.Rozi Bidin dan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ramalingam Rajamanickam. Bengkel tiga hari tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu melibatkan 30 orang peserta terdiri daripada ketua pendakwa syarie dan ketua pegawai penguatkuasa syariah dari Terengganu dan negeri-negeri lain, dengan kerjasama Fakulti Undang-undang UKM.  
28 Oct 20
673
Henti 'Politicking', Patuhi Titah Agong
Henti 'Politicking', Patuhi Titah Agong
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Ahli politik diseru supaya mentaati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, titah baginda bertepatan dengan keadaan semasa negara yang sedang berperang menentang wabak COVID-19. Menurut Zuraida lagi, seruan ‘no politicking’ (meninggalkan permainan politik) wajar disahut oleh semua ahli politik tanpa mengira parti atau blok, sebaliknya bersatu sebagai satu bangsa dengan tujuan serta matlamat yang satu iaitu membebaskan negara daripada kemelut virus tersebut. “Kita diseru untuk meninggalkan ‘politicking’ yang berlebihan, sebaliknya menumpukan segenap usaha bersama rakyat Malaysia untuk melawan wabak COVID-19. “Ingatlah barisan hadapan yang sedang mengorbankan masa-masa senang mereka bersama keluarga demi untuk negara, serta rakyat yang terhimpit desakan ekonomi kerana pandemik ini. “Semoga Allah mengurniakan bantuan dan petunjuk-Nya kepada kita,” ujarnya ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Pusat mengingatkan bahawa aulawiyat (keutamaan) bagi Malaysia ialah memastikan negara pulih sepenuhnya, baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi, maka perkara yang tidak berkaitan perlu diketepikan buat masa sekarang. Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah, mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu-gugat kestabilan pemerintahan negara termasuklah sebarang tindakan tidak bertanggungjawab, yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan yang sedia ada. Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan, adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan terutamanya oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
27 Oct 20
294
Pelihara Sumber, Peraturan Perikanan Darat Dipinda
Pelihara Sumber, Peraturan Perikanan Darat Dipinda
HULU TERENGGANU, 27 Oktober – Kerajaan negeri sedang meminda Peraturan Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) supaya sumber dan biodiversiti dapat dipelihara dengan lebih bersepadu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan semula punca kuasa itu penting untuk mengawal dan menguruskan sumber perikanan darat. "Akta yang sedia ada cuma sekadar melindungi perikanan marin di laut sahaja. Jadi kita perlu buat enakmen supaya ada punca kuasa untuk kita menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan perikanan darat. "Kaedah tangkapan menggunakan peralatan yang dilarang seperti tuba, pukat, bom dan sebagainya boleh merosakkan sumber dilarang sama sekali. Hanya memancing dibenarkan bagi mengekalkan kelestarian dan kelangsungan untuk satu tempoh yang panjang.  "Kita ingin menjadikan Tasik Kenyir ini sebagai daya tarikan aktiviti rekreasi seperti memancing kerana ia tidak merosakkan sumber. Saya meletakkan sasaran dikuatkuasakan pada tahun 2021, insya-Allah," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir, hari ini. Mengulas tentang majlis itu, Dr Azman memaklumkan, dalam siri keempat itu, sebanyak 400,000 benih udang galah, 20,000 ikan lampam, 35,000 ikan terbol dan 30,000 ikan baung dilepaskan dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM120,000. "Jumlah keseluruhan benih ikan yang dilepaskan di seluruh negeri Terengganu bagi Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan Ke Tasik Kenyir adalah sebanyak 940,260 ekor benih. Dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM270,000," jelasnya. Tambahnya, kawasan tersebut juga telah digazetkan sebagai kawasan larangan tangkapan ikan.    "Di samping kerajaan berusaha menggiatkan program pelepasan benih ikan, udang ke perairan untuk meningkatkan populasi dan biodiversiti, masyarakat turut berperanan menjaga sumber ini. "Purata dalam 60 peratus anak benih yang dilepaskan boleh membesar menjadi dewasa. Tujuan kita nak meningkatkan populasi perikanan di perairan negeri Terengganu sama ada tasik atau sungai," katanya.
27 Oct 20
1211
Pemilik Bangunan Disaran Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Berkala
Pemilik Bangunan Disaran Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Berkala
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Pemilik bangunan disaran melakukan kerja-kerja penyelenggaraan struktur bangunan secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan penghuninya terjamin. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang menimpa Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, 6, yang maut setelah tergelincir dari tingkat 15 flat Ladang Gemilang 1 Ahad lalu berulang lagi. Beliau berkata, kerajaan melihat insiden berkenaan sebagai iktibar, selain memandang serius isu keselamatan penghuni flat dan kondominium di negeri ini. "Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga ini atas kemalangan yang berlaku. "Saya harap kerja-kerja 'maintenance' sesebuah bangunan kediaman khususnya dibuat dengan baik dari semasa ke semasa. Saya juga akan panjangkan perkara ini (keselamatan bangunan) dalam mesyuarat Exco esok untuk tindakan lanjut.   "Difahamkan ketika kejadian, besi pada tingkap cermin nako kediaman mangsa  longgar yang menyebabkan budak itu boleh buka cermin dan hulur kepala. "Kepada semua pemilik bangunan kondominium serta flat yang ada di seluruh negeri Terengganu ini diminta buat pemeriksaan bagi memastikan kediaman tersebut selamat," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah keluarga arwah Mohamad Aryan di rumah datuknya di Jalan Kenanga Batu Burok, di sini hari ini. Sementara itu, Hanafiah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa. "Sesi kaunseling sangat membantu terutama kepada ibu bapa mangsa yang pastinya sedih dan trauma berikutan kehilangan anak tersayang. "Saya telah berbincang dengan kaunselor kita daripada JKM dalam masa tiga empat hari ini supaya datang berjumpa keluarga ini untuk memberi nasihat dan motivasi kepada mereka ketika menghadapi saat-saat sukar ini," ujarnya. Katanya, diharapkan seluruh keluarga arwah tabah menghadapi ujian Allah ini.
27 Oct 20
1918