Artikel "Utama" Terkini
Hobi Bernilai Ribuan Ringgit Jadi Taruhan
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Bagi sesetengah orang, mainan mungkin menjadi simbol kebudak-budakan, tetapi bagi pengumpul mainan pula, ia adalah harta karun yang mempunyai nilai estetika, kreativiti dan harga yang tiada tandingan.
Kini, permainan figura aksi bukan sahaja menjadi rebutan peminat cilik bahkan juga menjadi kegilaan pengumpul di kalangan orang dewasa dan bekerjaya.
Hardi Syafiq Maula Ali, 33, merupakan salah seorang peminat yang obses dengan koleksi ini dan kini mempunyai lebih dari 2,000 figura super hero di rumahnya.
Antara figura aksi yang memenuhi koleksi beliau adalah Ironman, Scoobydoo, Hellboy, Ninja Turtles, Dragonball, One Piece,Hulk, Pitt, Akira, Hulkbuter, King Sharp, King Sharp Jack Hammer, Women Hulk, Captan America, Antman, Spiderman, Venom, Thanos Team Black Older, Jurasic Park, Tamiya Kit dan Tamiya Dash.
Selain itu, beliau juga turut mengumpul Bandai, Tamiya, Hasbro, Bampesto, Takara Tommy, Ixo, Yoshimura dan Minichamps.
Ayah kepada dua anak yang berusia 5 hingga 11 tahun berkata minat mengumpul figura aksi bermula sejak tahun 2007 setelah bekerja sebagai Tukang Kimpal Minyak dan Gas (Welder) dan mempunyai pendapatan sendiri.
“Bila mula kerja , ada duit sendiri baru saya beli sebab dulu masa kecil-kecil, nak beli permainan pun fikir banyak kali. Bukan apa, kita ni tak naklah jadi anak yang suka minta mak ayah untuk memenuhi permintaan kita , orang susahkan. Lainlah orang tu, hari-hari boleh dapat mainan masa kecil-kecil dahulu. Jadi apabila sudah besar, sudah bekerja dan ada duit sendiri, inilah masanya untuk kita repeat balik hajat yang tertangguh zaman kanak-kanak.
“Lagipun bagi saya, ia bukan satu bentuk pembaziran sebab kita berbelanja terhadap sesuatu barang yang mempunyai nilai yang tinggi pada masa akan datang. Contohnya koleksi Transformer G1, saya pernah ditawarkan sehingga RM9,000 untuk dijual,”katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Hardi berkata koleksi kesayangannya adalah figura Cybercorp tahun 1988 dari seorang rakan di Jepun bernilai hampir RM8,000 yang mengambil masa tiga tahun untuk melengkapkan koleksi berkenaan.
Katanya, kesemua koleksi berkenaan datang dari luar negara seperti Jepun, United State, Singapura, Mexico termasuk dalam negara sendiri.
“Saya suka merantau secara solo (backpacker) ke seluruh negeri untuk mencari koleksi yang saya perlukan kerana lebih memberi kepuasan.
“Selain itu, saya juga dapatkan stok daripada persatuan koleksi figura aksi yang terdapat di negara kita dan menyertai pameran-pameran yang dianjurkan,” tambah Hardi yang turut mendapat sokongan dari isteri, Nor Fatma Ismail, 33.
Katanya setakat ini semua koleksi berkenaan ditempatkan di dalam almari kaca di sebuah bilik kediaman keluarga di Bukit Besar.
“Dalam sehari, saya boleh habiskan masa dua jam bersama koleksi kesayangan dan bersyukur setakat ini, kelurga termasuk isteri dan anak-anak menyokong penuh hobi ‘rare’ ini.
“Jika ada rezeki saya berhasrat untuk membuka sebuah kafe retro dan tempat pameran mainan, di mana bukan sahaja orang ramai boleh datang minum dan menjamu selera, malah saya dapat menempatkan koleksi mainan untuk dipamerkan kepada pengunjung.
27 Oct 20
2235
Konsep Bersepadu Pembangunan Tanah Lapang Akan Dirangka
SETIU, 27 Oktober – Satu konsep pembangunan bersepadu akan dirangka bagi memanfaatkan kawasan tanah lapang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, suasana di lokasi itu akan menjadi lebih tersusun apabila penstrukturan dan penempatan lengkap yang disertakan dengan binaan seperti rumah kedai, rumah kediaman dan taman rekreasi.
"Isu perumahan adalah satu isu yang besar, malah kerajaan negeri sangat memandang serius namun apabila kita tidak mampu untuk menyelesaikan semua benda dalam masa yang singkat, langkah perlu laju.
"Birokrasi pula perlu diminimakan seminima yang mungkin agar dapat memberi khidmat yang paling baik dan cepat kepada rakyat," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di perkarangan Surau Gong Berangan di sini baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan, Projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Tempinis sedang giat berjalan dan tanah seluas sekitar sembilan ekar disebelahnya akan turut dibangunkan bagi mengurangkan isu perumahan di DUN Jabi.
"Secara dasarnya kerajaan sudah bersetuju untuk dijadikan sebagai tapak rumah mampu milik. Kita sudah batalkan semua nama peserta terkilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kerana tidak mahu tanah, mereka mahu rumah.
"Saya sudah bercakap dengan pemaju untuk membuat rumah empat tingkat sebab sebab nak suruh kalau kita sihat naik turun naik tangga dan utamanya ramai boleh mengambil manfaat," jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak lima buah rumah PPTS masing-masing di Kampung Tempinis, Kampung Anak Ikan Dalam, Kampung Gong Pasir, Kampung Gong Dasar serta Kampung Gerong siap dibina mengikut masa ditetapkan.
"Ada dua lagi yang akan dibina di Renek yang terbakar dan yang baru terbakar bebrapa hari lepas di Seri Tanjung. Insya-Allah yang terlibat dalam bencana kita akan uruskan seberapa segera.
"Kita akan tengok sekiranya keperluan kita untuk baiki rumah sudah semakin kurang kita akan tambah dengan bilangan untuk bina baru, asrat kita sebenarnya nak buat lebih daripada bilangan tahun ini cuma dalam masa yang sama kita perlu kurangkan peruntukan untuk baiki rumah," ujarnya.
27 Oct 20
255
APM Siap Sedia Hadapi Banjir Dengan SOP Norma Baharu
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Terengganu serta agensi berkaitan dalam pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini bersedia mengikuti norma baharu akibat pandemik COVID-19 bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, latihan dan ‘table talk’ telah diadakan untuk menyelaraskan pengurusan PPS norma baharu menjadikan negeri ini antara yang terawal mengadakan program sebegitu agar semua daerah memahami prosedur tugas, operasi dan logistik.
“Contohnya sebelum pandemik, operasi melibatkan 20 orang anggota penyelamat menaiki sebuah lori, sekarang kita telah tukar prosedur tersebut dengan penambahan bahagian logistik seperti lori APM, lori Polis, lori Bomba dan lain-lain.
“Katakan kita perlu hantar 50 orang anggota, jadi kini 10 sahaja selori untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan penjarakan sosial, bot-bot begitu juga.Di peringkat PPS pula, kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (agensi pengurusan PPS) dalam memastikan pusat tersebut mengikuti jarak fizikal yang betul.
“Cabaran di menggunakan sekolah adalah ia bertindan dengan takwim sekolah yang telah berubah. Dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), kita mendapat maklumbalas dan mungkin akan menutup sekolah sementara mengikut budi bicara,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, semalam.
Mengulas mengenai SOP di sekolah (PPS), bilik darjah akan disesuaikan seperti satu bilik dua keluarga berbanding empat, sekali dengan pendinding.
“JKM juga memaklumkan tidak membenarkan memasak di PPS, namun begitu, ia mengikut kesesuaian pusat daerah masing-masing seperti di Kuala Nerus menggunakan ‘Caterer’ manakala kaedah sesuai akan dirangka seperti di Hulu Besut dan Hulu Terengganu,"jelasnya lagi.
Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, turut mengulas, dua cabaran dalam pengendalian bencana banjir norma baharu adalah proses pemindahan dan keadaan mangsa di PPS.
“Contoh senario proses pemindahan seperti pukul dua atau tiga pagi dengan jumlah bot sedikit bersama arus deras, pasukan mungkin akan buat keputusan untuk selamatkan dan pentingkan nyawa dulu.
“Cabaran PPS pula, contohnya terlalu ramai hadir dan komuniti hanya ada satu dewan kecil, jadi sekretariat daerah berkenaan akan cari alternatif dengan menggunakan rumah atau tadika sebagai tempat sementara.
“Alhamdullilah, dengan kerjasama JKM, APM, setiap Pejabat Daerah yang masih berterusan akan memastikan keselamatan penduduk dalam menghadapi bencana norma baharu ini,” ujar Che Adam.
27 Oct 20
723
311 Mangsa Banjir DUN Ajil Terima Bantuan Banjir
HULU TERENGGANU, 27 Oktober - Seramai 311 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil menerima sumbangan Bantuan Pasca Monsun Timur Laut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bernilai RM155,500 semalam.
Adunnya, Maliaman berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta pelbagai pihak yang tampil memberi sumbangan kepada mangsa banjir setiap kali bencana itu melanda.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menghadapi musibah banjir, terutama dari segi menggantikan keperluan rumah yang rosak akibat bencana alam ini.
"Kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada semua yang sudi memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk dan berharap jalinan erat ini akan terus berjalan lancar," katanya dalam satu majlis ringkas di Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Terengganu semalam.
Sementara itu, penerima, Zainon Awang Lah, 69, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang tampil menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Ini adalah sumbangan pertama yang saya terima untuk banjir kali ini. Ia sedikit sebanyak membantu saya sekeluarga untuk membeli barang dapur dan keperluan rumah.
“Lagipun, gelombang kedua banjir diramal berlaku, tidak lama lagi. Justeru, kami perlu bersiap sedia menghadapi musibah ini.
Bagi Anuar Sulaiman 47 pula, dia dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dia sekeluarga serta mangsa banjir lain.
“Memang banyak harta benda musnah, namun kami reda kerana banjir sudah menjadi lumrah alam tetapi sedikit sebanyak bantuan yang diterima setakat ini meringankan bebabn kami,” katanya.
26 Oct 20
288
Muara Sungai Cetek : Kerja-Kerja Awal Telah Dilakukan, Nelayan Tidak Dipinggirkan
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Kerajaan negeri menyangkal dakwaan sesetengah pihak berkenaan permasalahan nelayan di muara sungai Merchang dan muara sungai Ibai berikutan tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan isu muara sungai cetek yang menjejaskan nelayan-nelayan untuk turun ke laut.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apa yang berlaku tidak seperti yang diceritakan kerana kerajaan negeri melalui pemilik konsesi masing-masing telah menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir bagi tujuan alur pelayaran seperti yang dijanjikan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.
"Video yang tular itu baharu tetapi bukan terkini. Apa yang berlaku sekarang pendalaman muara sungai sudah dimulakan sejak Ogos lepas dan sekarang ini melalui penyediaan laporan Method of Statement oleh pihak konsesi yang telah pun dipersetujui oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, maka kerja-kerja mendalamkan laluan pelayaran boleh dijalankan bagi mengatasi masalah muara sungai yang cetek.
"Nelayan sudah boleh keluar masuk walaupun ketika air surut. Alhamdulillah kerjasama baik dari persatuan nelayan setempat banyak membantu melicinkan usaha ini," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Sementara itu, tambahnya, di muara Merchang sekarang ini timbul isu simpanan pasir (stockpile) terlalu tinggi.
"Insya-Allah isu ini akan selesai dalam masa terdekat ini. Susulan itu, minggu lepas, pihak konsesi muara sungai Merchang telah mendapat kebenaran dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan jabatan yang berkaitan.
"Kita menjangkakan pada hujung minggu ini atau minggu depan jentera akan masuk dan kerja-kerja mengalihkan pasir dapat dijalankan di samping meneruskan kerja mendalamkan muara.
"Kajian Marine Risk Assessment (MRA) telah diluluskan dan pemeriksaan kapal telah dibuat. JLM telah mengeluarkan kelulusan operasi untuk kapal-kapal melakukan kerja-kerja pengerukan di Merchang dan melakukan aktiviti Ship-to-Ship (STS) di hab pelabuhan Dungun.
"Namun begitu, untuk muara Kuala Ibai, kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran juga telah bermula cuma kebenaran untuk mengalihkan timbunan pasir masih belum diperolehi. Kita jangkakan selepas Akta Pengurusan Air dijangka dikuatkuasakan pada 1 Disember ini, semua muara di Terengganu akan dapat mengeluarkan pasir untuk dieksport insya-Allah," jelasnya.
26 Oct 20
2887
ADUN AJIL Perjelas Isu Tular Kisah Lima Keluarga
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Kehidupan lima buah keluarga yang berpenghuni seramai 24 orang di Kampung Jerlan, Ajil sentiasa dalam perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim.
Terdahulu kisah mereka yang masih tidak mendapat keperluan asas bekalan eletrik dan sumber air bersih kini tular di media sosial.
Maliaman berkata , isu berkenaan telah berlarutan sekian lama sebelum beliau memenangi DUN tersebut namun pihaknya tidak akan meminggirkan mana-mana penduduk.
“Untuk pengetahuan, pihak kami telah beberapa kali mengadakan siri ziarah menghantar sumbangan makanan termasuk menukar atap yang rosak di dua buah rumah tersebut dan terbaharu jalan tar telah diturap ke jalan yang menghubungkan ke penempatan itu.
“Begitu juga dengan isu bekalan elektrik, kami sudah membawa kes ini kepada pihak berkenaan dan melibatkan kos yang tinggi, RM 120,000 diperlukan untuk pemasangan tiang dan pencawang kerana kedudukan penempatan itu dari jalan utama kira kira 1.5 kilometer.
"Permohonan untuk mendapatkan bekalan elektrik ini pun sudah dipanjangkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar ( KPLB ) sejak dari 2019 lagi," ujarnya ketika menjawab tentang isu tular ini.
Tambah beliau lagi, apa jua permohonan masyarakat pihaknya akan terima dan perhalusi, serta cuba tunaikan dan tidak semua isu dapat diselesaikan segera.
"Kita akan selesai satu persatu, kami tak boleh pergi serentak. Sebab perkara ini perlu diperhalusi dengan diteliti, perlu mendapat pandangan agensi-agensi sebab ini kawasan pendalaman.
"Kita bantu sepanjang masa, kalau ada (masalah,) mungkin kes itu agak rumit. Jadi tuduhan (kami tak peduli itu) kalau ada 10 orang, seorang sahaja buat begitu," katanya.
25 Oct 20
10117
Kanak-Kanak 6 Tahun Maut Jatuh Flat
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Seorang kanak-kanak lelaki maut, disyaki jatuh daripada tingkap 15 di Flat Ladang Gemilang sekitar pukul 4, petang tadi.
Mangsa bernama Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, berusia 6 tahun yang juga pelajar pra-sekolah Sekolah Kebangsaan Ladang, dipercayai terjunam melalui tingkap ruang tamu ketika ibunya, Nurul Amelia Ali, 34, keluar ke kedai berdekatan.
Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik, dipercayai tidur bersendirian sebelum kejadian.
Amelia mengetahui insiden itu daripada suaminya Mohd Azizul Mohamad, 35, yang menerima panggilan tentang berita buruk tersebut daripada tuan rumah mereka pada pukul 4.20 petang.
Ibunya berkata, mangsa sempat bersalam dengannya sebelum tragedi tersebut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Zahirah untuk tindakan selanjutnya dan dijangka dikebumikan di Perkuburan Islam Bukit Batu Buruk.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
25 Oct 20
5068
Terengganu Kelima Tertinggi Dalam Pelaburan, Projek Perkilangan
Terengganu merupakan negeri kelima tertinggi dalam pelaburan dan projek perkilangan berdasarkan data daripada The Malaysian Investment Development Authority (MIDA) sehingga 5 Oktober.
25 Oct 20
252
Pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan Lancar
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin kini dalam proses pembinaan dan dilaporkan berjalan lancar, seperti mana yang dijadualkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata sehingga hari ini, pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan dengan baik dan akan siap tidak lama lagi.
"Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini.
"InsyaAllah, saya jangkakan perumahan ini akan dapat disiapkan pada jun 2021," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Berang, Mohamed Abdullah.
Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri berkata, pihaknya turut berhasrat untuk membina sebuah masjid bagi kemudahan penduduk di kawasan Limau Rendang ini.
"Ada beberapa ekar tanah di sini (Limau Rendang) yang kita akan buat pengambilan untuk bina masjid. Ini kerana, masjid yang baru ini boleh digunakan oleh masyarakat dan pelajar di sekolah yang terdekat di kawasan ini," katanya.
25 Oct 20
7704
Kekal Tenang Dan Doakan Kesejahteraan Negara
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Rakyat Malaysia diseru supaya tidak berada dalam kekhuatiran, sebaliknya terus mendoakan keharmonian negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, terdapat segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan sengaja menimbulkan ketakutan dan salah faham kepada rakyat.
Menurut Zuraida, mereka sengaja menimbulkan pelbagai spekulasi dengan tujuan untuk memburukkan kerajaan dan pada masa yang sama menghakis kepercayaan rakyat.
“Macam-macam salah faham mengenai ‘darurat’ yang mereka timbulkan, rakyat cuba dimomok-momokkan dengan maklumat yang tidak tepat.
“Walaupun begitu, kita bersyukur apabila ada pakar-pakar perundangan yang tampil memberi penjelasan secara sukarela kepada rakyat.
“Jadi, menjadi kewajiban kepada kita untuk baca, hadam dan fahami tentang apa sebenarnya situasi sebenar yang berlaku pada hari ini,” ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menasihatkan rakyat supaya tidak ‘menelan bulat-bulat’ naratif yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kebelakangan ini, suhu politik negara seperti tidak reda panasnya bahkan bertambah panas apabila ada ura-ura mengatakan ‘darurat politik’ bakal dilaksanakan disebabkan ‘drama kemelut politik’ yang semakin buruk.
“Apa-apa pun jua keputusan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu nanti, pastinya itu yang terbaik.
“Sebagai seorang rakyat yang cintakan keamanan dan kestabilan negara, kita kekal tenang dan berdoa agar Allah pelihara negara kita dari sebarang kekacauan,” katanya.
25 Oct 20
413