Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Negeri Bantu Keluarga Mangsa Bunuh, Siti Nur Surya
KUALA TERENGGANU, 5 November - Kerajaan negeri sedia membantu dan membuat pemantauan secara berkala kepada keluarga Allahyarhamah Siti Nur Surya Ismail, 19, yang ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, baru-baru ini.
Hanafiah Mat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga ini meneruskan kehidupan mereka, terutamanya ibu mangsa, Zaini Musa, 55, yang terlantar lumpuh akibat kanser otak.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya dan YB (Yang Berhormat) Dr Mamad yang berkesempatan hadir pada hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang sangat mendukacitakan ini. Kita sangat mengharapkan selepas dari ini, tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku.
"Untuk selanjutnya kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan sewajarnya. Elakkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keraguan pada mana-pihak sehinggalah perkara ini benar-benar dipastikan oleh pihak yang bertanggungjawab.
"Kerajaan Terengganu akan beri sokongan dari segi moral, bantuan kewangan dan sebagainya kepada keluarga mangsa. Untuk hari ini, saya serahkan sumbangan mewakili Pengerusi Darul Iman di samping bantuan serta khidmat kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Tabung Darul Iman akan diberikan dari masa ke masa," jelasnya ketika ditemui pemberita sewaktu menziarahi keluarga mangsa di Kampung Beladau Selat di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puted, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu.
Terdahulu, pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, dengan mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus, direman kelmarin di Mahkamah Majistret Marang selama tujuh hari sehingga Isnin depan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.
05 Nov 20
927
UniSZA Sedia Kelas Tuisyen Percuma
KUALA NERUS, 5 November – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melebarkan program kemasyarakatannya dengan menyediakan kelas tuisyen percuma khusus untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Program 3T (Teens Tuition Teens).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, buat permulaan, seramai 40 pelajar dari keluarga B40 di daerah Kuala Terengganu yang menetap di Flat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang telah dipilih untuk program kali ini.
Katanya, ia melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, SMK Seri Budiman, SMK Padang Negara dan SMK Chendering.
“Program dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA (MPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Ladang itu akan diadakan selama dua tahun bermula pada 2 November 2020 sehingga 22 Disember 2022 bertempat di Bilik Kuliah, Kampus Perubatan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, program ini bertujuan untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA iaitu menjadikan UniSZA sebagai Hero Komuniti yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya di daerah sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Menurutnya lagi, seramai 20 orang fasilitator terdiri daripada pelajar Asasi (PUSPA) dan pelajar Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) diambil sebagai tenaga pengajar sepanjang program berlangsung.
“Sebanyak enam mata pelajaran yang akan diajar iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Akaun pada tahun ini dan tahun 2021 pula kami rancang untuk kembangkan kepada pelajar Daerah Kuala Terengganu seramai 120 orang dan akan melibatkan 10 mata pelajaran.
“Dua aliran utama bagi program ini ialah Sains dan Perniagaan yang melibatkan subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Perakaunan,” jelas Mohd Afandi.
05 Nov 20
906
Kereta Terbabas Ke Dalam Parit, Bukit Bauk
DUNGUN, 4 November - Sekitar jam 7:45 petang tadi, sebuah kereta proton wira 1.5 didapati terbabas hingga jatuh ke dalam parit di selekoh Bukit Bauk, Dungun, di sini.
Kejadian itu berlaku sewaktu jalan tersebut sedang basah kerana hujan, dan mangsa terbabas seorang diri selepas stereng keretanya gagal dikawal di selekoh gelap dan licin tersebut.
Bagaimanapun mangsa, Ahmad Fahmi, 23, tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius di anggota badan.
Namun kenderaan dipandu beliau dalam keadaan teruk, kesan kemalangan keretanya sepanjang 50 meter hingga masuk ke dalam parit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kemasik), Ir. Saiful Azmi Suhaili bersama mangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kemasik), Ir. Saiful Azmi Suhaili yang pertama sampai ke tempat kejadian datang membantu mangsa sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kerteh.
“Alhamdulillah kereta dapat hidup lagi selepas berlaku kemalangan yang teruk. Bolehlah saya hidupkan dan nyalakan lampu, supaya ada orang perasan saya sedang mengalami kemalangan ini.
“Saya dari Dungun ingin ke Kerteh untuk pergi ke rumah tunang saya di sana. Sebab mereka adakan jamuan makan pada malam ini selepas solat isyak, tetapi apakan daya saya terbabas dan tak dapat datang awal ke sana," kata mangsa.
04 Nov 20
2019
Penternak, Nelayan Dan Petani Perlu Waspada
KUALA TERENGGANU, 4 November – Penternak, nelayan dan petani di seluruh negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dalam menguruskan sektor masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ketiga-ketiga sektor berkenaan berjalan sepanjang tahun tanpa musim namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil.
"Contoh penternakan akuakultur seperti ikan kerapu yang sensitif dengan perubahan kadar kemasinan air. Penternak perlu pastikan terutamanya yang berada di laguna, kawasan kuala, muara yang biasanya berlaku penurunan kadar kemasinan air dengan mendadak apabila air dari hulu turun.
"Mereka perlu memastikan bahawa apa yang diternak itu dituai sebelum daripada tiba musim tengkujuh sebab bila kadar kemasinan air menurun, ikan yang sensitif akan mati.
"Untuk padi, sekarang ini tengah rancak dituai. Apabila hujan turun, memang kerja-kerja menuai akan ditingkatkan lagi dengan sedaya upaya supaya boleh disiapkan dalam tempoh terdekat. Kita berharap tidak ada padi kita yang rosak disebabkan banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya lagi, isu kekurangan kilang padi tahun lalu telah pun diselesaikan dengan jaya.
"Walaupun berlaku pecutan diperingkat tuaian, Terengganu sudah mampu menampung dan memproses sendiri.
"Jadi sebanyak manapun padi dituai di Terengganu khususnya di kawasan jelapang padi Besut dan IADA Ketara, ia mampu ditampung untuk diproses oleh kilang-kilang kita," jelasnya.
Sementara itu, pihakya telah memohon kepada pihak kerajaan negeri supaya peruntukan tabung bencana pertanian negeri sebanyak RM5000,000 ditingkatkan pada tahun depan.
"Sektor pertanian sangat terdedah dengan bencana sebab ia berada di lapangan terbuka samaada pertanian, penternakan dan akuakultur.
"Kita mohon supaya dipertingkatkan lagi dengan angka yang munasabah dan mengharapkan di ucapan bajet pada akhir November nanti Menteri Besar akan mengumumkan satu berita gembira>" tambah beliau.
04 Nov 20
2146
Terengganu Mampu Proses Padi Sendiri
MARANG, 3 November - “Keperluan kilang padi di Terengganu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi dihantar ke Kedah untuk diproses,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
Menurut beliau, setakat ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi di Terengganu iaitu Kilang Padi Bukit Kor di Marang, Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh dan Kilang Mutiara Timur di Kerandang, Jabi selain Kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang di Baruh Masin Jabi yang mula operasi April lalu.
“Dengan kapasiti empat buah kilang padi yang ada di Terengganu sekarang ini, ia telah mencukupi untuk menampung keperluan pemprosesan pengeluaran padi bersih kita sekitar 60,000 metrik tan setahun.
“Pengeluaran ini telah berjaya mencukupkan dalam sekitar 53 peratus daripada kadar kecukupan sara diri (SSL) untuk 1.2 juta penduduk di Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika megadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di Marang, hari ini.
Katanya, sebelum ini padi-padi yang dikeluarkan daripada kawasan jelapang padi dan kawasan sawah di Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah untuk diproses disebabkan masalah tidak cukup kilang.
“Jadi apabila kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang telah beroperasi di tambah kilang padi daripada Bukit Kor dicampur dengan kilang Bernas dan Mutiara Timur, alhamdulillah satu daripada keperluan utama dalam rantaian pengeluaran beras Negeri Terengganu kita berjaya cukupkan,” ujarnya.
03 Nov 20
1217
UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu
Penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021 dan dianggotai ahli UMNO serta Bersatu.
03 Nov 20
606
Banduan Bertani, Menternak Di Penjara
KUALA TERENGGANU, 2 November – Seringkali kita melihat sektor pertanian diceburi oleh golongan B40 di kawasan pedalaman dan bandar, namun tiada siapa menduga bahawa banduan turut berkecimpung dalam bidang tersebut semasa berada di dalam tahanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan ada tahanan di Penjara Marang mengusahakan sektor tersebut
"Topik kita tetap hal pertanian walau dalam penjara. Menarik sekali apabila dimaklumkan, di Penjara Marang ada diusahakan penternakan ikan keli dan pertanian kontan. Hasilnya pula mampu menampung keperluan banduan penghuni penjara serta boleh dijual juga kepada masyarakat sekitar.’
"Di samping wang hasil jualan akan disimpan dalam akaun amanah bagi kegunaan banduan bila dibebaskan nanti, ia juga mempersiapkan banduan dengan kemahiran pertanian untuk berhadapan dengan dunia luar nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisional Nik Robidin Ab Rahman serta rombongan di Wisma Darul Iman hari ini.
Sementara itu, beliau berkata telah bersedia untuk memberikan komitmen untuk kerajaan negeri menunaikan hasrat pihak penjara memiliki sebuah ‘cool room’ agar bahan mentah pertanian boleh disimpan dengan lebih sempurna.
"Malah, jabatan-jabatan di bawah Portfolio Pertanian Negeri juga akan diminta memberikan sokongan fizikal dan teknikal untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian dalam penjara.
"Kita sentiasa membuka tangan seluas-luasnya bagi mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berada di bidang ini bagi mengembangkan industri pertanian," tambah beliau
03 Nov 20
1591
Bekas Rakan Sekolah Ditahan Untuk Siasatan Kes Bunuh Remaja Perempuan
HULU TERENGGANU, 2 November - Seorang pelajar sekolah tingkatan enam ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja perempuan di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata remaja perempuan berusia 19 tahun itu ditahan pada 8.15 pagi tadi di Balai Polis Telemong ketika suspek tampil bersama ibunya untuk memberi keterangan pada peringkat awal.
"Walaubagaimanapun hasil keterangan yang diberikan agak mencurigakan dan pihak polis mendapati terdapat beberapa kecederaan dibahagian tangan suspek yang mungkin disebabkan pergelutan diantara suspek dan mangsa.
"Pihak polis kemudian telah membuat pemeriksaan di rumah suspek dan menemui beberapa barangan, milik mangsa yang disamun," katanya kepada pemberita di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, hari ini.
Mohd Adli berkata, penemuan bahan bukti berkenaan, suspek yang juga bekas rakan sekolah menengah mengaku berada di lokasi kejadian pada jam 9.00 pagi semalam.
"Suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa dikatakan datang untuk berbual sebelum membawa kepada pergaduhan mulut dan suspek bertindak ganas dengan mengambil pisau pemotong sayur yang ditemui di ruang tamu.
"Suspek menggunakan pisau berkenaan untuk menetak tangan mangsa hingga putus dan kemudiannya melarikan barang-barang milik mangsa,"ujarnya.
Jelas beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan bukan samun dan bunuh.
Menurutnya lagi, suspek akan dibawa ke mahkamah Marang esok untuk perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi semalam, mangsa Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu kediaman setingkat tersebut dengan kesan kecederaan lain pada bahagian muka dan badan.
02 Nov 20
11111
UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 November – Penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021 dan dianggotai ahli UMNO serta Bersatu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebahagian negeri sedang dalam proses pelaksanaan, MPKK sedia ada akan tamat tempoh pada 31 Disember 2020 dengan penjenamaan semula tersebut.
“Buat masa sekarang di Terengganu, terdapat 1,047 buah MPKK di serata negeri diikuti tiga MPKK di Kampung Baru Cina yang ditadbir urus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menjadikan kesemua cawangan sebanyak 1,050 MPKK dari Kemaman sehingga Besut.
“Pihak berkuasa negeri bersetuju untuk menjemput rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional seperti UMNO dan Bersatu dalam menganggotai JPKK menjelang tahun hadapan dengan tambahan lima kuota lantikan bersama 15 anggota jawatankuasa lain.
“Komponen tiga parti akan memenuhi jawatankuasa tersebut bagi memupuk lagi semangat muafakat dalam menjaga kampung dan sebagai pelaksana dasar kerajaan serta berperanan dalam pembangunan dan keselamatan di peringkat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut mengenai langkah yang diambil kerajaan itu, beliau berkata, kajian dan pemutihan semula akan dijalankan kerana sebahagian MPKK mempunyai bilangan rumah yang terlalu banyak dan kurang daripada minima 100 buah rumah.
“Pejabat Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan (SUK) sedang membuat kajian tentang perkara ini dan insya-Allah akan mencadangkan kerajaan dengan data dan maklumat. Ini supaya JPKK dapat berfungsi dengan lebih efisyen.
“Proses lantikan akan bermula dengan makluman tamat tempoh dan kekosongan MPKK sedia ada yang dimaklumkan oleh kerajaan negeri melalui pejabat SUK kepada Pejabat Daerah. Kemudian, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat akan mencadangkan nama-nama melalui borang yang disediakan untuk angkat ke Jawatankuasa Panel Penilaian Anggota setiap daerah.
“Peringkat daerah akan mengesahkan nama tersebut seterusnya diangkat kepada pihak berkuasa yang melantik iaitu Menteri besar. Proses ini tidak rumit,” ulasnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memberhentikan bayaran geran kepada MPKK buat tahun 2020.
“Sebelum ini pada tahun 2019, RM10,000 disalurkan kepada setiap MPKK. Tahun ini, kerajaan negeri mengambil alih penyaluran geran dan memutuskan bantuan secara ‘one-off’ RM4,000 disebabkan COVID-19. Insya-Allah tahun hadapan kerajaan akan beri komitmen dalam isu ini dan akan diputuskan tahun depan,” katanya lagi.
02 Nov 20
3900
Remaja Perempuan Ditemui Dibunuh Dengan Pergelangan Tangan Terputus
HULU TERENGGANU, 1 November - Seorang remaja perempuan ditemui mati dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, hari ini.
Dalam kejadian malang itu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui tertiarap di ruang tamu dengan pergelangan tangan kirinya putus dan juga tetakan di bahagian muka, belakang leher dan dada.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.
"Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9 pagi berdasarkan siasatan awal polis.
"Pihak polis menerima panggilan pada jam 3 petang dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek seorang yang berkemungkinan dikenali mangsa dan keluarga, pihak polis kini sedang giat memburu dan mengesan suspek," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.
Menurut Mohd. Marzukhi, barangan milik mangsa termasuk wang bernilai ratusan ringgit di samping dua telefon bimbit dan bag turut lesap berkemungkinan dirompak.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Zahirah untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, ayah mangsa , Ismail Muda, 58, ketika ditemui berkata, kejadian itu disedari anak bongsunya ketika pulang dari sekolah apabila mendapati kakaknya berlumuran darah.
"Biasa arwah yang pergi ambil adiknya kat sekolah tetapi tengahari ni bila tak sampai, adiknya pulang dengan berjalan kaki ke rumah.
"Anak saya terus telefon bila tengok keadaan mangsa sebaik sampai ke rumah dan beritahu pergelangan tangan mangsa putus serta berlumuran darah,"katanya.
Tambah Ismail, ketika kejadian dia tiada dirumah dan mangsa sedang menjaga ibunya yang terlantar lumpuh akibat kanser otak.
01 Nov 20
13868