lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PKPB : Usah Panik, Bekalan Barangan Mencukupi
PKPB : Usah Panik, Bekalan Barangan Mencukupi
DUNGUN, 8 November – Kerajaan negeri menyeru rakyat supaya bertenang dan tidak panik tentang kekurangan bekalan barangan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara itu bukan pengalaman pertama negeri menghadapi cabaran tersebut kerana sudah melalu ujian getir yang sama pada pertengahan tahun ini. “Orang ramai tidak perlu risau kerana semua barang keperluan mencukupi. Beberapa jabatan kerajaan negeri termasuk di Wisma Negeri dan agensi lain sedang berbincang langkah dan strategi dalam menghadapi ujian ini. “Jika di Ketengah Jaya, tiada masalah kekurangan barangan kerana Pegawai Daerah di sini merupakan pengerusi jawatankuasa bencana daerah yang akan pastikan barangan dapat disalurkan ke dalam kawasan," katanya. Beliau berkata demikian selepas pemberian bantuan kepada penduduk yang dikenakan PKPB di Ketengah Jaya, Mukim Rasau hari ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang. Mengulas tentang inisiatif bantuan kawasan tersebut, Hanafiah berkata, pusingan kedua penyerahan bantuan barangan basah dan keperluan harian kepada 932 orang penerima terdiri daripada mereka yang dikuarantin di rumah beserta keluarga masing-masing. “Fokus kita kepada mereka yang dikuarantin dan memakai gelang kerana tidak boleh keluar untuk beli barangan harian. Namun begitu, kedai-kedai di sini masih dibuka untuk orang lain. “Antara kawasan yang terlibat dalam bantuan iaitu Kerteh Satu, Kertih Enam, Kerteh Lima dan Kerteh Empat di mana bantuan diberi kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung untuk disalurkan kepada penerima sekali setiap empat hari. “Buat masa sekarang, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di Ketengah Jaya sedang giat membuat saringan, saya dimaklumkan kira-kira lebih 3,000 orang telah menjalani saringan. “Kerja ini akan diteruskan sehingga mencapai matlamat kerana penduduk kawasan Ketengah Jaya kira-kira 17,000 ribu orang. Jika didapati mereka yang disyaki negative atau kena kuarantin Insya-Allah kita akan tambahkan bantuan,” ulasnya lagi. Tegasnya, masyarakat khususnya di seluruh Terengganu diingatkan agar sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk bersama-sama memutuskan rangkaian COVID-19.
08 Nov 20
446
Kes Bunuh Nur Surya, Hampir 20 Saksi Dipanggil
Kes Bunuh Nur Surya, Hampir 20 Saksi Dipanggil
  HULU TERENGGANU, 7 November - Polis telah memanggil hampir 20 saksi bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam Siti Nur Surya Ismail,19,  Ahad lepas. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata ia melibatkan semua kategori saksi keluarga kedua pihak yang terlibat dan pegawai polis yang melaksanakan siasatan kes ini.  "Siasatan kini sedang dilengkapkan, insyallah pada minggu hadapan akan rujuk pada pihak pendakwaraya untuk dapatkan arahan lanjut bagi penyiasatan kes ini. "Dijangka pada Isnin depan akan disambung reman sebelum kes dirujuk pendakwa raya,"ujarnya.   Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di Hulu Terengganu malam tadi. Sementara itu, Mohd Adli turut memaklumkan penemuan senjata yang digunakan suspek ketika pembunuhan itu. "Kita telah jumpai pisau yang telah digunakan semasa kejadian yang telah dibuang ditepi lebuh raya di Telemong pada hari ke tiga dengan jarak lokasi lebih kurang tiga hingga empat kilometer. "Kita percaya kesemua senjata diambil di lokasi kejadian,"tambah beliau. Terdahulu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, yang menjaga ibunya terlantar sakit ditemui mati di ruang tamu rumahnya dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong. Dalam kejadian itu, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian ruang tamu rumah tersebut dengan pergelangan tangan kirinya putus dan kesan kecederaan lain pada bahagian muka serta badan.
07 Nov 20
5060
Belanjawan 2021: BSH Diteruskan Dengan Bantuan Prihatin Rakyat
Belanjawan 2021: BSH Diteruskan Dengan Bantuan Prihatin Rakyat
KUALA LUMPUR, 6 November - Kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula Januari 2021, dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan lebih baik Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemberian BPR dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH. Katanya, BPR akan memastikan dapat memberi manfaat besar kepada golongan berkaitan seperti berikut; Pertama: Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800. Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200. Ketiga: Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000 ringgit. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih. Keempat: Individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula, akan menerima bantuan RM350. "Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun. "Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH," ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini..
06 Nov 20
947
Belanjawan 2021: RM1 Bilion Untuk Bendung Gelombang Ketiga COVID-19
Belanjawan 2021: RM1 Bilion Untuk Bendung Gelombang Ketiga COVID-19
KUALA LUMPUR, 6 November - Kerajaan pusat memperuntukkan RM1 bilion bagi membendung gelombang ketiga COVID-19. Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Tengku Zafrul Abd Aziz berkata ia bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan COVID-19. "Peruntukan ini antaranya RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen,  kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM). "Keduanya, sebanyak RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan KKM. "Ketiga, RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19,"ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.  Tambah Tengku Zafrul lagi, sebanyak RM50 juta juga diperuntukan bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal  dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti. "Ini termasuk menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi  memenuhi SOP norma baharu," katanya  Terdahulu, kerajaan telah memperuntukkan 1.8 bilion ringgit pada tahun ini untuk membendung penularan wabak pandemik ini.
06 Nov 20
213
Belanjawan 2021: RM500 Secara One-Off Buat Petugas KKM
Belanjawan 2021: RM500 Secara One-Off Buat Petugas KKM
  KUALA LUMPUR, 6 November - Kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian one -off sebanyak RM500  bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)yang dijangka memanfaatkan 100 ribu petugas kesihatan. Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Tengku Zafrul Abd Aziz berkata sebagai menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan hadapan dalam mengendalikan wabak COVID-19 ini.  "Sejak Mac lalu, Kerajaan telah  memberikan Elaun Khas COVID-19 sebanyak 600 ringgit sebulan kepada barisan hadapan  "Ia akan diteruskan sehingga ancaman pandemik ini berjaya diatasi,"ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
06 Nov 20
467
COVID-19:73 Sekolah Di Dungun Ditutup
COVID-19:73 Sekolah Di Dungun Ditutup
  DUNGUN, 6 November - Sebanyak 73 sekolah di daerah Dungun ditutup mulai 7 hingga 20 November depan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diistiharkan oleh kerajaan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata  pihaknya mengambil perhatian berhubung peningkatan kes positif COVID-19  dan memutuskan untuk menutup sekolah dalam usaha membendung penularan wabak itu. Katanya, bilangan institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM. "Senarai institusi pendidikan yang ditutup itu dilampirkan bersama untuk rujukan ibu bapa, penjaga, warga sekolah dan institusi. "Untuk makluman, senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal KPM: www.moe.gov.my serta platform media sosial rasmi KPM," katanya. Menurut kenyataan itu, sekolah dan institusi pendidikan mempunyai asrama juga ditutup, justeru ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang ke rumah masing-masing. "Walaubagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa ataupun yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu, akan berada bawah jagaan warden asrama. "Keperluan makanan dan minuman pelajar yang tinggal di asrama sepanjang tempoh tidak pulang ke rumah mereka, akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi terbabit,"katanya. Manakala bagi murid atau pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan pula hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan. "Sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah dan semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah. "Manual PdP di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM: www.moe.gov.my," menurut kenyataan itu. Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Dato'  Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Rasau, Dungun berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.
06 Nov 20
2253
Ketengah Bantu 500 Keluarga Terjejas COVID-19
Ketengah Bantu 500 Keluarga Terjejas COVID-19
DUNGUN, 6 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui anak syarikatnya Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) memperuntukan RM338,700 bagi menyalurkan bantuan kepada 500 keluarga yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19. Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata penerima-penerima ini melibatkan Mukim Rasau, Dungun dan kampung tradisi dalam Wilayah Ketengah. Jelas beliau, sebagai contoh, Mukim Rasau Dungun yang merupakan salah sebuah kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 bagi gelombang ketiga terpilih untuk bantuan kali ini. "Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, setiap keluarga menerima bantuan berupa barang keperluan asas yang dihantar ke beberapa lokasi berhampiran. "Ia bagi memudahkan proses pengagihan kepada keluarga yang terlibat melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan pemimpin setempat bagi mengelak penerima keluar rumah. "Bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang terjejas punca pendapatannya selain  membantu usaha kerajaan bagi memastikan masyarakat sentiasa tetap berada di rumah untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini demi keselamatan bersama," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu pada gelombang pertama penularan COVID-19 melanda negara, seramai 86 orang pengusaha sektor pelancongan telah dibantu Ketengah dengan peruntukan sebanyak RM152,700. Manakala KHSB turut menyalurkan RM70,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu bagi agihan secara menyeluruh di negeri Terengganu.
06 Nov 20
448
Pelik, Kenapa Ziarah Keluarga Suspek Pembunuh?
Pelik, Kenapa Ziarah Keluarga Suspek Pembunuh?
Oleh: Fahmi Mokhtar Selalunya orang akan menziarahi keluarga mangsa, bukannya keluarga suspek. Kan? Tapi kali ini seorang tokoh kebajikan di Terengganu, bukan sahaja menziarahi keluarga mangsa gadis berusia 19 tahun yang dibunuh, malah turut menziarahi keluarga suspek yang disyaki membunuh. Ini agak rare tuan-tuan. Ini yang aku fikir. Ya, pastinya kita akan simpati pada keluarga mangsa. Ya betul, ini tindakan yang tepat dan mesti dibuat. Namun, kita jarang simpati kepada keluarga suspek. Bahkan, diceritakan bahawa keluarga suspek masih lagi terkejut dan bersedih dengan kejadian tersebut. Ya, ibubapa mana tak sedih anak mereka disyaki sebagai pembunuh. Ini suatu sisi yang selalu kita terlepas pandang sehingga memberikan komentar yang tidak sewajarnya, hatta melampiaskan nafsu komen dengan menyerang keluarga suspek. Walhal, suspek masih lagi berada dalam siasatan polis. Belum diputuskan bersalah. Namun telah dihakimi dengan dahsyat sekali di alam maya. Tidak terbayang bagaimana perasaan menerima berita anak sendiri sebagai suspek pembunuhan. Pasti hancur hatinya, malah dipijak-pijak pula oleh orang ramai. Bahkan, jika didapati bersalah, bukan sahaja keluarga mangsa kehilangan anak, keluarga suspek juga mungkin kehilangan anak. Malah dengan perasaan lebih pedih kerana anak terlibat dengan jenayah berat. Ya, kita marah. Tapi jangan marah dengan melampaui batasannya. Jangan kawan. Hari ini hari mereka, esok lusa kita tidak tahu. Terima kasih kepada YB Haji Hanafiah Mat, orang Teganu gelarnya sebagai Hanafiah Lew (sempena Ebit Lew kot), yang membuka mata kita pada suatu sisi yang tidak dilihat oleh kebanyakkan orang. YB Haji Hanafiah Bin Mat adalah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu. Jika kita ikuti perjalanan EXCO Kebajikan Kerajaan Negeri Terengganu ini, boleh rujuk FB beliau, pasti kita nampak passion beliau dalam soal kebajikan di Terengganu ini lain macam. Marilah kita doakan kedua-dua keluarga diberikan kekuatan oleh Allah untuk berhadapan dengan ujian ini. Dan, kita selaku netizen diberikan kesabaran berhadapan dengan situasi ini.
05 Nov 20
16348
Perhalusi Cadangan Pengeluaran Akaun 1 KWSP
Perhalusi Cadangan Pengeluaran Akaun 1 KWSP
KUALA TERENGGANU, 5 November - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan agar kerajaan mempertimbang cadangan pengeluaran wang Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat khususnya mereka yang hilang pekerjaan. Katanya, perkara itu perlu diperhalusi dan dibincang secara menyeluruh mengenai bentuk atau kaedah pengeluaran sekiranya dibenarkan malah perlu memastikan pengeluaran itu hanya untuk tujuan kecemasan. “Mengenai pengeluaran Wang Akaun 1 caruman KWSP ini seperti diminta oleh agensi serta beberapa pihak yang viral di sosial media saya rasa kerajaan boleh membuat pertimbangan. “Antara yang boleh dipertimbangkan adalah untuk kes-kes munasabah yang perlu dibuktikan oleh pencarum yang mahu membuat pengeluaran dan bukan setiap orang boleh berbuat demikian. “Selain itu, jumlahnya juga tidak terlalu besar sekadar untuk menyelesaikan perkara-perkara kecemasan mereka sahaja,” ujarnya kepada pemberita. Justeru katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan sewajarnya cadangan pengeluaran caruman ini supaya dapat meringankan beban rakyat di masa pandemik COVID- 19 dan secara tidak langsung dapat menjamin kelangsungan hidup pencarum. Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan sukar membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19. Kata Muhyiddin, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan. Jelas Muhyiddin, simpanan KWSP adalah untuk masa tua pencarum dan sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran dilakukan, ia akan memberi masalah lebih besar pada masa hadapan iaitu selepas pencen.  
05 Nov 20
482
Tabung Haji Kini 'Online'
Tabung Haji Kini 'Online'
SETIU, 5 Oktober - Urusan Tabung Haji (TH) kini boleh dilakukan secara atas talian melalui aplikasi terbarunya THiJARI. Pengurus TH Setiu, Wan Mohd Kamil Wan Abdul Ghani berkata, aplikasi terbaru itu akan membantu pengguna untuk membuat urusan seperti pindahan simpanan, ringkasan akaun, pendaftaran haji dan tawaran haji. "Insya-Allah aplikasi ini membantu pelanggan Tabung Haji yang mana kita tidak lagi menggunakan sistem buku seperti yang diamalkan oleh perbankan lain," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman turut mendaftarkan aplikasi ini dalam satu majlis ringkas pagi tadi. Majlis ringkas itu juga dihadiri oleh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan turut mendaftar sama.
05 Nov 20
786