lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lapan Pelumba TSG Terima Geran Tanah
Lapan Pelumba TSG Terima Geran Tanah
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan Terengganu telah menganugerahkan geran tanah kepada lapan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) sebagai menghargai jasa mereka mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa. Penerima pemberian tersebut ialah Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Mohd Harrif Saleh, Muhd Shaiful Anuar Azis,Mohd Nor Umardi Rosdi, Muhamad Adeq Husainie Othman, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan kapten pasukan, Mohd Zamri Saleh. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, sumbangan tersebut adalah penghargaan kepada kejayaan TSG secara umumnya dalam melonjakkan nama Terengganu ke mata dunia.   "Penganugerahan tanah itu merupakan satu komitmen sedia ada kerajaan negeri yang memang sudah lama diberi sebelum ini, bukan baru lagi. "Para pelumba ini telah begitu lama membawa naik nama Terengganu ke peringkat antarabangsa dan kesannya sedikit sebanyak turut memperkenalkan Terengganu kepada pelabur-pelabur daripada luar untuk datang," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba dan Barisan Penaja Pasukan TSG di Primula Beach Hotel, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah, timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim serta Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Roslee Chik. Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Terengganu merangkap Pengarah Eksekutif TSG serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, YM Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood. Dr. Samsuri turut berpandangan, pelaburan kerajaan negeri kepada TSG sepanjang 10 tahun penubuhan pasukan itu merupakan sesuatu yang berbaloi. "Pada saya, ia telah melonjakkan nama Terengganu di peringkat antarabangsa. Ia berkait dengan perkara-perkara lain seperti pelaburan asing yang datang telah mengenali negeri kerana TSG dan kaitan ini kadangkala sukar diukur dengan cara yang mudah tetapi, pada saya ia satu pelaburan yang berbaloi. "Itu adalah jasa mereka yang saya rasa wajar dihargai oleh kerajaan kerana ia berkait dengan memperkenalkan nama negeri ke peringkat antarabangsa," katanya. Setiap pelumba yang terpilih diambil kira daripada pencapaian mereka sejak tahun 2016 hingga tahun 2020 ketika mewakili TSG di persada dunia. Para pelumba terbabit masing-masing menerima satu lot tanah kediaman Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh negeri.    
11 Nov 20
312
ADUN AJIL Hargai Pengorbanan 'Hero' Negara
ADUN AJIL Hargai Pengorbanan 'Hero' Negara
HULU TERENGGANU, 10 November – Pengorbanan besar setiap anggota keselamatan, petugas kesihatan, Bomba dan agensi-agensi lain berhadapan cabaran ketika melaksanakan tugas masing-masing dalam mengekang gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 ini sewajarnya dihargai oleh rakyat Malaysia. Bagi merakamkan ucapan terima kasih kepada wira dan wirawati negara yang bertungkus-lumus berkhidmat selama ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil,Maliaman Kassim telah mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan bekalan makanan khususnya kepada anggota polis dan RELA yang terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya disekitar Pekan Ajil, Hulu Terengganu. Beliau berkata, usaha itu bertitik tolak untuk meringankan kepayahan dilalui petugas  barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam menangani dan menghentikan penularan wabak pandemik COVID-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dilaksanakan bermula 9 November hingga 6 Disember.  “Penyaluran bantuan makanan itu bertujuan menyuntik semangat anggota PDRM dan RELA untuk terus memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.Sumbangan berkenaan akan dilakukan secara konsisten selepas ini membabitkan pemberian kepada semua barisan hadapan di sekitar Hulu Terengganu. "Kami akan menyalurkan sumbangan makanan ini untuk pastikan anggota barisan hadapan terus bersemangat. Jumlah pek makanan itu juga akan ditambah sekiranya terdapat permintaan tinggi," katanya ketika mewakilkan Pegawai Khasnya menyerahkan sumbangan di Pondok Sekatan jalan raya Pekan Ajil hari ini. Tambah Maliaman, pengorbanan mereka sepanjang PKP dilaksanakan wajar dihargai dan diiktiraf oleh semua lapisan masyarakat kerana mereka ini berisiko terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19 kerana perlu bergerak setiap hari bagi menjaga keselamatan, namun mereka menjalankan kewajipan masing-masing.
10 Nov 20
1152
Seni Diorama : Antara Sejarah Dan Kenangan
Seni Diorama : Antara Sejarah Dan Kenangan
KUALA TERENGGANU, 10 November - Pada pandangan pertama, ia mungkin nampak seperti kedai-kedai di tepi jalan yang anda dapat lihat di bandar dan pekan, sekitar Terengganu. Tetapi lihat lebih dekat, maka anda akan menyedari sebuah model 3D yang dihidupkan dengan tekstur realistik daripada bumbung zink berkarat hingga cat putih yang terkelupas pada rumah kedai. Karya seni kecil tersebut adalah campuran seni bina dan warisan mengambil inspirasi permandangan di Kampung Cina dan kedai lot di Bandar Besut, moden dan tradisional, dengan kisah dan kenangan tersendiri, dibina dengan tangan Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, minda kreatif di belakangnya. Berasal dari Besut dan juga seorang ayah kepada tiga anak, Ihsan berkata, hobi sampingan ini bermula empat tahun lalu dengan membina rumah kampung tradisional, dilengkapi suasana persekitaran asal di kampung nelayan sekitar 1990-an. “Saya bermula dengan membina rumah tradisional kecil dengan hanya bahan murah yang mudah didapati seperti batang aiskrim, lidi sate dan barang dari kedai RM2. “Kemudian setelah berkongsi gambar projek di Facebook saya, ia mula mendapat perhatian, reaksi dan pertanyaan daripada orang lain kian membakar semangat saya untuk membawa hobi ini ke tahap seterusnya. "Miniatur bernama Kedai Lot terdiri kedai elektronik, ‘Car Wash’ dan restoran semuanya inspirasi daripada pekerjaan dan memori kehidupan saya di Besut. “Harga dan masa untuk membina diorama ini bergantung kepada skala dan saiz dikehendaki (1/43, 1/32, 1/64) dan bahan yang digunakan. “Sebagai contoh, replika liang lahad ini berharga RM40 sementara Lot Kedai dalam lingkungan RM800 kerana bahan berkualiti tinggi seperti putty filler, cat, pvc board dan alat-alat lain,” katanya kepada pemberita. Mengulas lanjut hobi diorama sebagai perniagaan sambilan, Ihsan mengulas, tawaran dan komisen untuk diorama kediaman tradisional telah datang negeri-negeri di seluruh Malaysia seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan banyak lagi. "Pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga mengupah saya mencipta diorama bagi pameran berskala besar yang terdiri daripada Rumah Kampung mini. “Projek terbesar yang saya laksanakan adalah komisen daripada sebuah agensi kerajaan dengan harga sekitar RM4000, iaitu persisiran pantai yang dipenuhi pokok bakau untuk menunjukkan kesan kakisan pantai. “Anggaran pendapatan kasar kira-kira RM2000 sebulan menjual diorama bersaiz sederhana dengan harga RM200 hingga RM300," ceritanya. Ihsan yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, membincangkan rancangan masa depannya untuk membuka kedai diorama dilengkapi dengan pelbagai alat dan bahan hobi tersebut untuk pendatang baru dan pakar bangunan miniatur di Terengganu. Bagi mereka yang berminat, boleh menghubungi ‘Sam Diorama & Miniature’ di 013-7146510 atau Facebook di mohd.sam.samsam2710, Instagram di @sam_252252, dan Youtube di ‘Sam diorama Chanel’ untuk maklumat lebih lanjut.  
10 Nov 20
3773
Jadikan Masjid, Surau Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat
Jadikan Masjid, Surau Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat
HULU TERENGGANU, 10 November - Fungsi masjid atau surau sebagai institusi menimba ilmu agama perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim. Beliau berkata, selain bersolat, masjid dan surau memainkan peranan mustahak sebagai tempat bagi masyarakat Islam berkumpul dan menganjurkan aktiviti selain yang menjurus kepada aspek keagamaan.   “Tidak salah jika ahli jawatankuasa masjid menganjurkan aktiviti (sukan) seperti pertandingan sepak takraw, badminton dan sebagainya di pekarangan masjid.Jadi, ahli jawatankuasa masjid harus menetapkan di mana untuk membina gelanggang permainan untuk golongan tersebut. “Program-progam tuisyen juga boleh dianjurkan selain pertandingan nasyid, tilawah al-Quran, zikir dan sebagainya yang mampu membentuk golongan belia,” katanya. “Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan masyarakat serta pembangunan minda dan fizikalnya memberikan isyarat bahawa institusi masjid juga perlu berkembang untuk mengimbangi keperluan dan perkembangan masyarakat Islam," katanya ketika ditemubual selepas Program Sambutan Maulidur Rasul di Masjid, Kampung Gunong, semalam. Dalam pada itu, Maliaman turut menyeru semua ahli masjid dan surau di negeri ini agar lebih aktif menganjurkan aktiviti keagamaan yang dapat menarik pembabitan golongan belia. “Saya menyeru semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini agar memahami kehendak golongan berkenaan (belia) agar tugas untuk menarik penyertaan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan lebih mudah. “Aktiviti mengimarahkan atau menyemarakkan masjid tidak sewajarnya tertumpu kepada penglibatan warga emas sebaliknya menuntut kehadiran generasi muda dan wanita,” ujarnya.  
10 Nov 20
2274
Teruskan SOP Ketat Demi Hulu Terengganu Kekal Hijau
Teruskan SOP Ketat Demi Hulu Terengganu Kekal Hijau
HULU TERENGGANU, 10 November - Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat tetap diteruskan demi mengekalkan Hulu Terengganu sebagai daerah hijau yang bebas daripada wabak pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari semalam. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac sehingga sekarang semua agensi-agensi yang terlibat dalam penugasan COVID-19 di daerah sangat tegas dalam penugasan mereka. "Kita akan terus gunakan dan kekalkan konsep sebelum ini kerana kita nampak keberkesanan operasi-operasi yang dilaksanakan. "Manakala tahap kepatuhan warga masyarakat di Hulu Terengganu ini juga amat baik daripada permulaan hinggalah sekarang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah, hari ini. Tambah beliau, sekitar 100 pegawai dan anggota polis terlibat yang akan dibantu sekurang-kurangnya 20 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk sekatan jalan raya(SJR) di Hulu Terengganu. "Untuk itu kita telah mengadakan tiga SJR iaitu di kawasan Batu 18 Ajil-Wakaf Tapai, keduanya di sempadan Telemong- Manir dan ketiga adalah SJR bergerak. "Tujuan SJR ini diadakan adalah untuk pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan yang sama ada masuk ataupun keluar ke kawasan daerah ini supaya mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan," ujarnya lagi. Mohd Adli turut berkata, pihaknya juga mempunyai pasukan yang membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis dan tempat-tempat tumpuan orang ramai. Katanya, pasukan pertama melibatkan gabungan agensi di mana pasukan ini dibahagikan kepada dua syif untuk siang dan waktu malam. "Kita ada  tiga pasukan khas lagi dari PDRM yang melibatkan pegawai dan anggota polis sebagai pasukan task force. "Mereka akan membuat pemeriksaan di pasar raya- pasar raya, premis-premis, bank-bank dan tempat-tempat orang ramai bagi tujuan memastikan pematuhan SOP dilaksanakan. "Tujuan pasukan ini sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan yang melanggar syarat-syarat ataupun SOP PKPB ini maka tindakan kompaun dilapangan  akan terus diambil dan denda sebagaimana semua sedia maklum RM1,000 bagi setiap kompaun yang dikeluarkan," jelasnya. Untuk rekod, sejak PKP pada 18 Mac sehingga sekarang, Hulu Terengganu menjadi satu-satunya daerah yang kekal sifar jangkitan COVID-19 di negeri ini. Sementara itu, polis Terengganu turut melakukan sekatan jalan raya selama 24 jam di 11 lokasi daripada 29 lokasi yang diaktifkan dan daripada jumlah itu, sekatan di 18 lokasi yang selebihnya dilaksanakan secara bergerak di seluruh daerah.  
10 Nov 20
2547
Selesai Lantikan JPKK Menjelang Tahun Baharu
Selesai Lantikan JPKK Menjelang Tahun Baharu
BESUT, 10 November – Kerajaan Terengganu menyasarkan lantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diselesaikan menjelang tahun baharu 2021. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berikutan itu senarai cadangan keanggotaan JPKK perlu disiapkan selewat-lewatnya akhir bulan ini. "Berbaki lebih kurang tiga minggu lagi untuk kita menyiapkan senarai. Akhir bulan 11 ini akan diangkat ke Pejabat Daerah yang juga memerlukan masa dalam tempoh sekitar 10 hari. Maknanya 10 Disember ini, senarai cadangan daripada Pejabat Daerah khususnya di Besut akan diangkat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK). Seterusnya, pelantikan akan dibuat oleh pihak berkuasa melantik iaitu Menteri Besar. "Makluman kekosongan ini akan dimaklumkan segera. Jadi ambillah perhatian terhadap jangka masa yang telah ditetapkan. Semoga menjelang 1 Januari 2021 kita boleh memberikan watikah pelantikan dan boleh memulakan tugas menjelang tahun baru.  "Saya mengharapkan setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) serta Pejabat Pegawai Penyelaras DUN boleh mengambil tindakan yang sepatutnya agar kita tidak terlewat daripada waktu yang ditentukan.  Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square semalam. Mengulas lanjut, kerajaan negeri mengesyorkan agar perbincangan dengan parti PN diadakan bagi mencadangkan calon-calon mengikut beberapa kriteria yang perlu dipatuhi. "Kita tidak tentukan bagaimana bentuk perbincangan yang mesti dibuat. Namun, biarlah berdasarkan kepada kesesuaian dan situasi setempat. "Antara syaratnya ialah mestilah warganegara Malaysia, berumur di antara 21 tahun sehingga 65 tahun, penduduk tetap, tidak muflis, tiada rekod atau sabitan terlibat dalam mana-mana kes jenayah, sihat mental dan fizikal, bebas dari penyalahgunaan dadah, aliran pemikiran dan daya kepimpinan yang boleh diterima oleh masyarakat dan seterusnya mengamalkan nilai integriti dan kepimpinan yang berwibawa. "Bagi jawatan pengerusi dan setiausaha disyaratkan agar tiada pertalian keluarga. Syarat-syarat ini mesti digunapakai oleh semua parti dan syarat-syarat tambahan telah ditetapkan daripada masa ke semasa berdasarkan kepada keperluan." katanya.  Walau bagaimanapun jelasnya, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian kepada calon-calon yang tidak menepati syarat-syarat. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, prestasi MPKK Terengganu dalam tempoh dua tahun lebih berkhidmat ini agak terkedepan. "Saya yakin sebahagian besar daripada MPKK yang sedia ada boleh dikekalkan untuk meneruskan khidmat paling paling kurang dalam tempoh dua tahun lagi nanti," tambah beliau
10 Nov 20
1876
Kerajaan Komited Tambah Pendapatan Pekebun Kecil Getah
Kerajaan Komited Tambah Pendapatan Pekebun Kecil Getah
KUALA NERUS, 10 November - Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan agar usaha menambah pendapatan pekebun kecil getah diberi penekanan utama dan penggunaan tanah pekebun kecil getah dioptimumkan sepenuhnya. Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan saranan tersebut, konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar. Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok. ”Koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan (sustainable) bagi keperluan industri. ”Produk nilai tambah (value added product) juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil. Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujar beliau pada Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di sini kelmarin. ”Semua pihak melibatkan Lembaga Getah Malaysia (LGM), koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing. Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya lagi. Oleh : Faiz Ali Amal Media
09 Nov 20
118
PKPB : Solat Jumaat Dan Fardu Dibenarkan Bersyarat
PKPB : Solat Jumaat Dan Fardu Dibenarkan Bersyarat
KUALA TERENGGANU, 8 November - Solat fardu dan solat Jumaat dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti saiz masjid serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sahaja dibenarkan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan penguatkuasaan kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19. Beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah memperkenankan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau tidak dibenarkan sepanjang PKPB dikuatkuasakan. "Bagi masjid dan surau yang berada di zon merah, sembahyang fardu lima waktu berjemaah di masjid dibenarkan tiga orang sahaja terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid secara bergilir-gilir, manakala solat jumaat tidak dibenarkan sama sekali," ujarnya dalam satu kenyataan pada hari ini. Tambahnya, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Osman berkata, Sultan Terengganu turut berdoa agar semua rakyat jelata mampu menghadapi saat sukar ini dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. "Baginda mengharapkan semua rakyat jelata tidak mengambil ringan akan arahan pihak berkuasa dalam menghadapi wabak COVID-19 dan mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.    
08 Nov 20
9767
Dasar Wanita Terengganu Dalam Fasa Akhir
Dasar Wanita Terengganu Dalam Fasa Akhir
KUALA TERENGGANU, 8 November – Kerajaan negeri kini berada dalam fasa akhir merangka Dasar Wanita Negeri Terengganu. Dasar berkenaan akan menjadi panduan untuk melahirkan wanita berilmu yang mampu memacu keluarga, masyarakat dan pentadbiran negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, analisis semula dan persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan panduan tersebut bertepatan dengan Pelan Induk Strategi Terengganu Sejahtera (PITAS). “Insya-Allah, perancangan dasar ini dilancarkan tahun hadapan sempena dengan Hari Saidina Aisyah pada hari Himpunan Wanita Terengganu. “Dasar ini memperjuangkan tentang kebajikan dan bagaimana wanita berkelayakan dapat menjadi sebagai pembuat dasar dan orang penting dalam kerajaan pentadbiran. Bakat dan potensi wanita juga akan diketengahkan dan diperkembangkan supaya dapat berperanan dan membantu dalam pelbagai sektor dan agensi kerajaan. “Kita mahu golongan wanita di Terengganu berilmu supaya menjadi benteng dan melalui dasar ini, seperti mempelbagaikan program berilmu. Fokus turut diberi kepada golongan ibu tunggal, anak-anak dan sebagainya dalam mencari kaedah dalam kita melestarikan pembangunan keluarga,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Program Bulan Dakwah 2020, Bicara Dakwah Rasullulah “Fikh Keluarga Syurgawi di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering kelmarin. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Fauzy Abdul Ghani dan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin. Mengulas lanjut tentang pelaksanaan dasar tersebut, beliau berkata, langkah dokumentasi dan pembukuan akan dibuat untuk disalurkan kepada pelbagai peringkat dan agensi kerajaan. “Contohnya, penerangan dasar tersebut kepada pelbagai jabatan dan agensi seperti Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTs), Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain lagi adalah penting supaya setiap lapisan masyarakat faham tentang hala tuju wanita di Terengganu,” ujarnya.
08 Nov 20
543
Koperasi Pengusaha Getah Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil
Koperasi Pengusaha Getah Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil
KUALA NERUS, 8 November - Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mahu agar usaha menambah pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan tanah pekebun kecil getah diberi penekanan sepenuhnya.  Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan itu konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar.  “Matlamat utama ialah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di Duyong Marina& Resort, Pulau Duyong, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor. Katanya, koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan bagi keperluan industri. “Produk nilai tambah juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.  “Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujarnya.  Justeru katanya, semua pihak termasuk LGM, koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing. “ Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya. 
08 Nov 20
685