lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Jabi Bakal Siap Tahun Ini
Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Jabi Bakal Siap Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 17 November - Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Kuala Ping dan Jabi, Setiu dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2020 dengan kerja-kerja pembinaan kedua-dua kompleks sukan tersebut, setakat ini berjalan lancar dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek pembinaan kompleks sukan berkenaan merupakan antara beberapa projek yang telah pun dipersetujui untuk dibuat dengan pembiayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. "Antaranya projek pembinaan Kompleks Sukan di Jabi, Setiu yang bersempadanan dengan Besut menelan kos sebanyak RM6.2 juta. Untuk makluman, sehingga sekarang ini, projek pembangunan di Jabi ini telah pun mencapai kemajuan 82 peratus pembinaan fizikalnya. "Insya-Allah kita jangka 7 Disember ini projek ini akan siap sepenuhnya. Di samping itu, projek kedua adalah projek pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong yang menelan belanja sebanyak RM5.39 juta. "Maklumat terkini yang saya dapat pembinaannya juga telah pun siap sebanyak 63 peratus. Dijangka akan siap pada akhir tahun ini juga dalam pertengahan Disember," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini semalam. Justeru itu, menurut Wan Sukairi, banyak kemudahan sukan yang boleh digunakan oleh orang ramai sejurus selepas pembinaan kompleks sukan tersebut siap. Untuk rekod, kompleks itu adalah kemudahan sukan yang kedua dan ketiga untuk rakyat Terengganu selepas Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun diumumkan, sebelum ini.
17 Nov 20
2485
Peniaga Dalam Talian Perlu Daftar  SSM BizTrust
Peniaga Dalam Talian Perlu Daftar  SSM BizTrust
HULU TERENGGANU, 16 November - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan hanya 4.181 peniaga dalam talian yang mendaftar di bawah BizTrust diperkenalkan agensi itu sejak empat tahun lalu. Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata, jumlah itu dilihat masih rendah berbanding kira-kira 373,213 perniagaan dalam talian pada masa ini. Katanya, pihak KPDNHEP menggalakan peniaga e-dagang dan dalam talian  mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SSM BizTrust  bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kebolehpercayaan kepada peniaga dalam talian. "Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembelian dalam talian menyebabkan platfom edagang sangat popular dan mengikut kajian yang dibuat bahagian perangkaan berlakunya peningkatan hampir 39.3 peratus. "keengganan peniaga untuk mendaftarkan perniagaan mereka itu boleh menjejaskan keyakinan pembeli terhadap produk dan perkhidmatan ditawarkan kerana ramai pelanggan berdepan kes penipuan pembelian dalam talian. "Oleh itu, kita mengalu-alukan peniaga dalam talian mendaftarkan perniagaan mereka di bawah BizTrust kerana logo itu akan terpampang dalam laman atau media sosial yang digunakan sebagai  entiti pemasaran yang merupakan jaminan terhadap produk yang dijual," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ladang ternakan ayam di Kampung Kemat, Telemong, semalam. Tambahnya lagi, bagi menggalakkan lebih ramai peniaga merebut peluang mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM BizTrust, kini perkhidmatan ini disediakan secara percuma sehingga 30 Disember 2020. Untuk rekod, sehingga September 2020, kementerian telah menerima 9,116 aduan membabitkan perniagaan dalam talian, antaranya meliputi kesalahan tidak menerima barangan, perkhidmatan tidak seperti ditawarkan, kes tuntutan semula pembayaran dan iklan mengelirukan.  Sementara itu, pihak KPDNHEP telah  mengambil tindakan ke atas 15 syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang sepanjang 2019 hingga September 2020 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
16 Nov 20
6441
Belut Baruh, Rezeki Empat Sekawan
Belut Baruh, Rezeki Empat Sekawan
MARANG, 15 November – Bergelumang dengan lumpur untuk menangkap belut adalah mainan biasa bagi empat sahabat dari Kampung Seberang Marang di sini. Mohd Aqid Islam Fikri, Mohd Ariff Farhan Akmal, Mohd Adam Adha Faiza dan Mohd Adam Ashraf Nasir yang merupakan pelajar darjah lima dan empat di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang gemar menangkap belut di kawasan baruh berdekatan rumah mereka. Sejak penutupan sekolah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka berempat semakin rancak melakukan aktiviti itu yang turut memberi pulangan untuk simpanan masa depan. Bapa kepada Adam Adha, Mohd Faiza Abdul Kadir, 40, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu mula berjinak dengan hobi tersebut ketika melihat bapa dan abangnya pergi ke baruh pada setiap pagi. “Budak-budak ini belajar daripada kita (ayah dan abang), kemudian Adam kian bersemangat dan mengajak kawannya yang lain untuk tangkap sama-sama terutamanya selepas hujan. Itu masa paling sesuai memburu belut," katanya ketila ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.. Bapanya yang juga seorang buruh berkata, setiap petang sekitar pukul 5, mereka memasang batang tukil (sejenis alat menangkap belut), yang dahulunya biasa diperbuat daripada buluh, berisi umpan cebisan ikan sepat. “Kemudian, pada awal pagi jam 7, Adam dan rakan-rakannya akan mengumpul hasil dalam perangkap tersebut. “Sekarang saya guna paip PVC dan dipasang oleh Adam dan Abangnya, setakat ini mereka ada kira-kira 30 batang. “Mana yang mati kami makan, tapi belut ditangkap yang masih hidup Adam Adha sendiri akan jual kepada pengusaha restoran berhampiran yang membeli. Harganya pun Adam letak sendiri iaitu 1 kilogram RM20. “Bergantung kepada rezeki, kadang-kadang hasil boleh mencecah sampai 4 ke 5 kilogram dalam satu hari terutamanya pada musim ini. “Jadi boleh lah budak budak ni dapat hasil sambil sekolah tutup ini sebagai aktiviti bermanfaat sampingan," ulasnya. Mengulas lanjut berkenaan hobi anaknya, Faiza berkata, dia tidak risau kerana kawasan baruh cetek dan sentiasa dikerumuni oleh pemancing dan orang kampung yang ingin melihat aksi mereka.  
15 Nov 20
1454
Warga Asing Disyaki Rogol Remaja OKU
Warga Asing Disyaki Rogol Remaja OKU
HULU TERENGGANU, 13 November - Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki merogol remaja perempuan kelainan upaya (OKU) di sebuah rumah kongsi di sebuah kampung, Ajil, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan di dua lokasi berasingan di daerah ini sekitar jam 10 hingga 11 malam tadi. "Siasatan awal mendapati suspek telah memperdaya mangsa berusia 23 tahun berstatus pekak dan bisu yang ketika itu berada di ruang dapur untuk pergi ke rumah kongsi mereka yang jaraknya lebih kurang 50 meter rumah mangsa. "Kejadian disedari oleh keluarga mangsa apabila mangsa balik dalam keadaan menangis sebelum menceritakan apa yang telah berlaku. "Keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Ajil pada jam 7.30 petang semalam," ujarnya kepada pemberita hari ini. Beliau juga berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah Majistret Marang pagi tadi untuk permohonan reman dan telah diluluskan selama tujuh hari sehingga 19 November hadapan. "Siasatan lanjut bermula hari ini," ujarnya. Menurut Mohd Adli lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.  
13 Nov 20
5357
Mayat Reput Ditemui Dalam Ladang Kelapa Sawit
Mayat Reput Ditemui Dalam Ladang Kelapa Sawit
  HULU TERENGGANU, 13 November - Seorang lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian ditemui mati dalam pacuan empat roda Nisan Navara di ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong, petang tadi. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 5 petang memaklumkan menemui lelaki itu dalam keadaan mereput di tempat duduk pemandu. "Hasil siasatan awal di lokasi, pihak polis dapati mayat ini telah mereput dan dianggarkan hampir tiga minggu telah meninggal dunia.  "Identiti mangsa telah dikenalpasti iaitu lelaki melayu berusia 31 tahun yang berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil dan mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya di sidang media di lokasi penemuan, hari ini. Terdahulu, Mohd Adli berkata pihaknya ada menerima  satu laporan oleh pemilik pacuan empat roda ini telah dilarikan dan siasatan untuk mengesan Navara tersebut telah dijalankan dan pada hari ini telah dijumpai dilokasi ini. "Kenderaan ini dilarikan apabila pemiliknya bawa si mati ke Balai Polis Ajil tiga minggu lalu untuk diserahkan kepada pihak polis kerana terlibat dalam aktiviti penagihan dadah. "Si mati kemudiannya melarikan kenderaan ketika pengadu yang merupakan abang iparnya di dalam balai," ujarnya lagi. Sementara itu, Yusoff Mat Noh, 60, yang menjumpai mangsa berkata pada mulanya dia menyangka pemandunya sedang berehat  pada kali pertama melihatnya pada hari Selasa lepas. Katanya, kenderaan berhenti dalam ladang kelapa sawit ini merupakan perkara biasa sebab itu dia menganggap tiada apa-apa walaupun telah melihatnya ketika itu. "Pada hari ini, setelah melihat kenderaan tersebut masih tidak bergerak, saya menghampirinya dan terkejut melihat lelaki berkenaan telah meninggal serta dihurung lalat.  "Saya terus memaklumkan kepada kepimpinan kampung yang kemudiannya hubungi pihak polis," katanya.
13 Nov 20
5206
JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu
JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu
SETIU, 13 November - Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan pada bulan Ogos lalu bakal menyelesaikan masalah rangkaian internet di Setiu. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata penduduk di luar bandar khususnya di Parlimen Setiu akan menikmati rangkaian 4G sama seperti di kawasan bandar. "Jalur lebar di sesetengah kawasan Setiu masih lagi menggunakan rangkaian 2G dan 3G sedangkan pembangunan infrastruktur komunikasi ini merupakan keperluan yang amat penting. "Inisiatif ini membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan 4G sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital serta liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau juga berterima kasih kepada pihak Kerajaan atas jawapan yang lengkap berkenaan masalah rangkaian internet di Setiu serta usaha-usaha yang akan dilaksanakan. "Jawapan menteri melalui jawapan lisan berkenaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberi berita gembira untuk rakyat Setiu. "Melalui inisiatif JENDELA, bagi Kawasan Parlimen Setiu, sebanyak 1,322 premis akan dinaik taraf capaian kepada gentian optik. Selain itu, 13 menara kamunikasi baru bakal dibina serta 57 pemancar komunikasi di menara sedia ada turut dinaik taraf," tambah beliau lagi. JENDELA merupakan inisiatif Kerajaan dalam meningkatkan kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara. Fasa pertama inisiatif ini akan dimulakan dengan mengembangkan rangkaian 4G di Malaysia dari 91.8 peratus ke 96.9 peratus, terutamanya di kawasan yang mempunyai penempatan yang padat.
13 Nov 20
427
Hanafiah Hargai Petugas Barisan Hadapan
Hanafiah Hargai Petugas Barisan Hadapan
KEMAMAN, 12 November - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang hingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak COVID-19 dalam negara. "Terima kasih atas segala pengorbanan yang telah kalian lakukan demi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terjaga. "Semoga Allah SWT jualah yang akan membalas segala jasa-jasa yang telah kalian kerjakan, selamat bertugas!" katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian selepas menyampaikan 61 bungkusan KFC dan minuman kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Kuarantin, Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, hari ini. Sebelum itu, Hanafiah melalui kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai turut menyerahkan bekalan air mineral, biskut dan roti kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jambatan Geliga.
12 Nov 20
195
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
BESUT, 12 November – Status quo parti kerajaan dikekalkan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mula berjalan tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan terbaharu dengan lima kuota tambahan turut diadakan bagi meraikan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN). "Telah diputuskan supaya ‘rumah’ yang ada sekarang ini tidak dirobohkan tetapi dalam masa yang sama kita meraikan rakan-rakan daripada parti PN," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square baru-baru ini. Jelasnya, beberapa negeri lain juga bakal membuat langkah sama bagi meneruskan kemenangan yang ada sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan. "Dikekalkan itu bukan bermakna mengekalkan individu tetapi dikekalkan komposisi. Kita menjemput rakan PN untuk mengisi kuota tambahan ini dengan memberikan tiga kepada UMNO dan dua untuk Bersatu di Terengganu," ujarnya. Sementara itu menurutnya, kerajaan Persekutuan telah menetapkan syarat, sesebuah parti yang boleh menyertai JPKK di suatu lokasi mestilah parti yang mempunyai cawangan di lokaliti terbabit. "Kalau tiada cawangan maka tidak termasuklah dalam kategori yang perlu dijemput dan diundang untuk sama-sama menyertai JPKK. "Tetapi di negeri Terengganu kita berlapang dada dan tidaklah 'stick' sangat mesti ada cawangan. Cukuplah sekadar ada orang dan mereka bersedia untuk berkhidmat. Dipersilakan sebab lima kuota tambahan memang kita peruntukkan kepada rakan kita," tambah beliau. Untuk rekod, penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021.
12 Nov 20
1867
Waspada Hadapi Musim Banjir - Maliaman
Waspada Hadapi Musim Banjir - Maliaman
HULU TERENGGANU, 11 November - Penduduk di sekitar Hulu Terengganu diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan keluarga mereka ketika perubahan angin monson yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan yang berisiko. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata,pPenduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir ekoran hujan lebat ketika ini. “Kebiasaannya pada setiap hujung tahun merupakan musim tengkujuh di Pantai Timur. Melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh rakyat di daerah ini khususnya agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir. “Oleh itu, masyarakat khususnya di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai disarankan supaya lebih berjaga-jaga serta berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga.Pastikan anak-anak kecil tidak bermain air, mandi di sungai terutama pada musim hujan ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika meninjau hakisan tanah di Kampung Machang, pagi ini. Tambahnya, jika air mulai melimpah dari sungai dan membanjiri kawasan kampung, maka ibu bapa perlu lebih peka, jaga keselamatan anak-anak dan jangan sesekali membiarkan mereka bermain dengan air banjir, sungai, parit besar dan sebagainya yang berisiko.  “Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini. “Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.    
11 Nov 20
367
Cadang Bina Jalan dan Jambatan Ke Madrasah Darul Zahraa- Dr Mamad
Cadang Bina Jalan dan Jambatan Ke Madrasah Darul Zahraa- Dr Mamad
HULU TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina infrastruktur jalan dan jambatan menghala ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri ,Dr Mamad Putih berkata, usaha telah dilakukan bagi mendapatkan infrastruktur berbentuk jalan dan jambatan ke madrasah ini. "Kita sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan dan kita cadangkan kepada JPS kerana belum ada jalan dan jambatan yang sebaiknya untuk digunakan ke Madrasah Darul Zahraa ini. "Jambatan yang sedia ada bermasalah apabila hujan kerana ianya akan ditenggelami air sungai," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan jalan dan jambatan ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik di Kampung Kuala Dura, Kuala Berang baru-baru ini. Menurut beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Berang berkata kos kesemua ini kemungkinan menelan belanja dalam RM500 ribu. "Jambatan sementara yang sedia ada, berada dalam kawasan tanah milik individu. Kita akan buat jalan sama ada jalan 'crusher run' dulu, atau jalan 'premix', yang dianggarkan bernilai sekitar RM500 ribu," katanya. Turut hadir, Pegawai JPS Hulu Terengganu, Roslan, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Safari Abu, dan Guru Madrasah Nasrun Abdullah.
11 Nov 20
696