Artikel "Utama" Terkini
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM85,000 bagi proses pembaikian seluruh Mahkamah Syariah daerah tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan selepas kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan Perbendaharaan mengadakan satu siri lawatan ke seluruh Mahkamah Syariah di Terengganu.
“Tujuannya meninjau secara terperinci keperluan infrastruktur dan juga cadangan pembangunan bagi Mahkamah Syariah secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Burok) mengenai sejauh mana tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam membuat penambahbaikan Mahkamah Syariah dari segi pembangunan dan penstrukturan di seluruh Negeri Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dari segi penstrukturan pula katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi menaiktaraf tiga peringkat mahkamah melibatkan yang sedia ada iaitu Mahkamah Rendah Syariah Daerah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dengan ditambah satu lagi tingkatan mahkamah yang lebih atas.
“Tujuan penstrukturan dibuat untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan hak dan pembelaan dengan lebih meluas,” ujarnya.
23 Nov 20
1466
Sidang DUN : Enam Projek Melon Manis Telah Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 23 November - Pengoperasian Projek penanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Ladang Rimbunan Kaseh kini sedang berjalan dengan penggunaan sebanyak enam buah Struktur Perlindungan Hujan (SPH) bermula pada awal April 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata projek ini dibawah seliaan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dengan usahasama MCT Agriculture Sdn Bhd bermula pada April 2020 di kawasan pertanian dengan keluasan 8.462 hektar
“Sehingga Ogos 2020, jumlah penanaman pokok MMT adalah sebanyak 26,000 pokok telah ditanam dengan anggaran hasil pendapatan sehingga Oktober 2020 sebanyak 10.172 tan yang bernilai RM80,000 .
“Setakat ini terdapat sepuluh orang pekerja tempatan terdiiri daripada seorang Pengurus Ladang, Seorang Penyelia dan lapan orang Pekerja Am dimana meraka merupakan peserta Rumah Rimbunan Kaseh,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini.
Sementara itu, kerajaan negeri turut mengambil langkah untuk mengoptimumkan prasana yang ada di Ladang Rimbunan Kaseh yang mana 20 Struktur Perlindungan Hujan (SPH) lagi sedang dalam proses membaikpulih dan dijangka akan siap sepenuhnya untuk penanaman pada akhir Januari 2021.
“Kesemua 26 buah SPH akan mula beroperasi sepenuhnya pada Februari 2021 dengan anggaran penanaman keseluruhan adalah sebanyak 53,000 pokok.
Manakala tangki ikan sebanyak 400 buah tidak dapat digunakan untuk penternakan ikan disebabkan oleh masalah air, TADC mencadangkan untuk membuat projek tanaman buah Markisa menggunakan kaedah hidroponik.
“TADC juga telah mengeluarkan modal bagi kerja-kerja membaikpulih, kos tenaga kerja, memasang CCTV, menaiktaraf, membaiki paip, menambah tangki graviti dan sistem pembesaran auto menggunakan teknologi digital serta kos input-input pertanian telah menelan belanja lebih kurang RM600,000.00 (penggunaan teknologi baru sistem penanaman),”ujarnya ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Rantau Abang, Alias Harun.
23 Nov 20
505
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kawalan dan pemantauan terhadap keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek yang akan dilaksanakan kelak antara usaha dan penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu bagi memanfaatkan sepenuhnya industri petroleum termasuk sektor hiliran bagi kepentingan rakyat dan negeri ini.
Jelasnya, PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian.
“Bagi industri petroleum dan gas sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan di dalam negeri ini.
“Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada gas dan petroleum dan gas juga boleh berkembang seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC),” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, bagi syarikat anak tempatan pula, kerajaan negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS.
“TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak- anak negeri Terengganu dan saling bekerjasama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan.
“Peranan TPC yang menjadi medium kerajaan negeri bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dengan memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Joint Working Committee (JWC) yang mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penetapan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di negeri ini perlulah terdiri daripada rakyat negeri Terengganu.
“Secara tidak langsung pelaksanaan projek berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan petrokimia ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu,” jelasnya.
Katanya, peluang pekerjaan yang tersedia akan ditambah nilai dengan latihan bagi memastikan tenaga kerja ini berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri.
“Dengan penambahbaikan berterusan secara komprehensif dan kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberikan hasil yang positif serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan Terengganu terutamanya menerusi pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.
23 Nov 20
362
KETENGAH Tawar Kursus Jangka Pendek Secara Percuma
DUNGUN, 20 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menawarkan kursus jangka masa pendek iaitu Kursus Penyeliaan dan Operasi Ladang Kelapa Sawit (KPOLKS) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran(JPK) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata kursus ini diberikan secara percuma kepada belia berusia antara 17 tahun hingga 35 tahun.
Katanya, tujuan utama kursus ini ditawarkan adalah untuk melahirkan generasi baru yang berkemahiran tinggi dalam bidang
penyeliaan dan operasi ladang kelapa sawit serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga asing.
"Kursus ini dijalankan selama tiga bulan dan terdapat empat sesi kemasukan setahun. Pengambilan pertama adalah untuk kemasukan sesi Januari, Mac, Jun dan Ogos.
"Yuran pengajian dan penginapan adalah percuma sepanjang kursus termasuk menerima wang saku RM300 sebulan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kursus ini akan dikendalikan oleh Pusat Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Kolej Ketengah dengan kerjasama Ketengah Holding Sdn.Bhd.(KHSB) iaitu syarikat di bawah KETENGAH.
Menurut Razali lagi, sebaik sahaja
tamat kursus, perantis akan terus ditawarkan kontrak pekerjaan selama dua tahun di ladang-ladang kelapa sawit milik KHSB dengan bayaran gaji bulanan RM2,000 dan ke atas bergantung kepada produktiviti.
Tambahnya, antara syarat utama adalah mesti warganegara Malaysia dan keutamaan diberikan kepada penduduk di Wilayah Ketengah.
" Pemohon mestilah berumur diantara 17 hingga 35 tahun, tamat tingkatan tiga serta lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
"Sekiranya tidak lulus peperiksaan itu, pemohon mestilah mempunyai pengalaman kerja di sektor perladangan kelapa sawit selama setahun serta boleh membaca dan menulis,"ujar beliau lagi.
Orang ramai yang berminat untuk mengikuti KPOLKS, boleh melawati laman sesawang Kolej Ketengah di www.kolejketengah.edu.my dan
untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Kolej Ketengah ditalian 011-62548080.
20 Nov 20
15936
Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih
KUALA TERENGGANU, 20 November- Tandas Awam Rantau Abang, Dungun dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 bagi Kategori Kawasan Pelancongan bersempena dengan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020.
Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Dungun (MPD), ianya bukan kejayaan kali pertama kerana pelbagai anugerah telah berjaya dibawa pulang oleh MPD sebelum ini.
"Antaranya pernah dinobatkan sebagai Tandas Terbaik sempena ASEAN Public Toilet Standard 2019 — 2021 dan naib juara Kategori Pelancongan Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak ," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi MPD.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Tandas Awam Rantau Abang yang terletak sebelah kawasan pelancongan Pusat Informasi Penyu Rantau Abang juga diiktiraf sebagai Tandas Pelancongan dan merangkul Anugerah Perak bagi Kategori Tandas Awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (Bandaraya/Perbandaran) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan.
20 Nov 20
1471
Rakyat Kuala Terengganu, Paling Subur Di Malaysia
PUTRAJAYA, 20 November- Laporan Perangkaan Penting Malaysia 2020 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menunjukkan Kuala Terengganu sebagai rakyat paling subur di negara ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daerah pentadbiran ibu negeri Terengganu itu merekodkan kadar kelahiran kasar tertinggi sepanjang tahun lepas.
“Ia mencatatkan 26.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk, manakala daerah Kinabatangan di Sabah pula merekodkan kadar paling rendah di Malaysia iaitu 3.5 kelahiran,” jelas beliau.
Laporan terbaharu yang dibentangkan itu mengandungi statistik data kelahiran dan kematian mengikut ciri-ciri demografi Malaysia, negeri dan daerah pentadbiran bagi tahun 2019 lalu.
Berdasarkan perangkaan itu, bilangan kelahiran hidup ialah 487,957, menurun 2.8 peratus berbanding 501,945 pada 2018 dan angka 2019 adalah paling rendah dalam tempoh sedekad.
“Sejumlah 7,862 bayi kembar dua dan 144 bayi pula kembar tiga,” kata Mohd. Uzir sambil merujuk laporan itu menjadi input utama penggubalan dasar perancangan program kerajaan.
Selari dengan penurunan kadar kelahiran itu jelas beliau, purata umur ibu bagi bayi hidup pertama juga naik 0.1 tahun daripada 27.8 tahun pada 2018 kepada 27.9 tahun pada 2019.
Kadar kesuburan pada tahun lalu namun masih kekal pada 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun iaitu di bawah paras penggantian yang sepatutnya iaitu 2.1 anak.
Sebelas negeri merekodkan kadar kesuburan di bawah 2.1 iaitu Perlis, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing 2.0, Melaka, Perak dan Labuan pula 1.8 serta Kuala Lumpur 1.7.
Ini diikuti Selangor dan Sarawak masing-masing 1.6, Sabah 1.4 dan paling rendah ialah Pulau Pinang 1.3. Trend itu juga selari negara maju seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat.
Mohd. Uzir menambah, jumlah kematian tahun lalu ialah 173,746 kematian iaitu peningkatan 1.0 peratus berbanding sebanyak 172,031 kematian direkodkan pada tahun sebelumnya. -UTUSAN ONLINE
20 Nov 20
4187
Banjir Bukan Pesta Main Air
HULU TERENGGANU, 18 November - "Jangan jadikan banjir sebagai pesta untuk bermain air dan ibu bapa tolong awasi pergerakan anak-anak anda.
Itu peringatan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd, selepas beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam.
"Ia perlu diubah kerana banjir bukannya pesta bermain air terutama untuk anak-anak kerana boleh mengundang padah jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
"Sepanjang tinjauan saya pada hari ini, didapati ramai kanak-kanak bermain air banjir tanpa rasa takut terutama berhampiran sungai dan ini menakutkan jika dibawa arus yang deras.
"Oleh itu, saya minta ibu bapa tolong pantau pergerakan anak-anak mereka sebelum terjadi kejadian yang tidak diingini," ujarnya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Madrasah Addiniah Azzakiah, di Kampung Lubok Periuk, Ajil di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian lemas yang sentiasa berlaku sebelum ini perlu dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang.
"Keselamatan perlu diutamakan kerana nyawa tidak boleh ditukar ganti.
"Walaupun penduduk kawasan yang terjejas sudah biasa dengan situasi ini namun mereka tetap perlu waspada," kata beliau.
18 Nov 20
880
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
HULU TERENGGANU, 18 November -Walaupun musim banjir menjadi satu musibah buat penduduk yang terlibat, namun ia tetap terselit kisah yang memberi inspirasi.
Ketika paras air banjir mencecah 0.3 meter, ia tidak menjadi halangan Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 45, tetap berniaga di kedai runcitnya sekaligus menguruskan warung kopi di Kampung Nibong, Telemong.
Kata ibu kepada sembilan anak ini, perniagaan perlu diteruskan kerana penduduk perlu mendapatkan keperluan di kedainya di samping untuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga.
"Setakat ini, saya masih meneruskan operasi kedua-duanya kerana keadaan masih selamat untuk berniaga.
"Selagi keadaan selamat dan stok bahan mentah mencukupi, saya akan terus berniaga. Kebetulan pula, stok barang runcit sudah dibeli dari awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, kedai yang diusahakannya masih dibuka memandangkan paras air masih paras lutut dan akan menutup kedai sekiranya paras air meningkat sehingga membahayakan keselamatan.
Engku Hasmah juga berkata, tiada masalah untuknya menyediakan makanan walaupun premisnya dibanjiri air kerana ruangan memasak berada pada tempat tinggi.
"Lagipun saya hanya menyediakan air minuman kerana kuih-muih yang ada dihantar oleh penduduk kampung untuk dijual.
“Apapun, saya tetap mementingkan aspek kebersihan. Lagipun, ia hanya ‘air lalu’ yang dibawa arus deras (banjir), bukannya air bertakung seperti di sesetengah kawasan.
“Ini agak agak menyeronokkan juga, malah menawarkan pengalaman unik kerana dapat menikmati hidangan dalam persekitaran banjir. Ada yang tidak melepas peluang merakam gambar dan video kenangan,” katanya.
18 Nov 20
1269
APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai
KUALA TERENGGANU,18 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri terus memantau perkembangan banjir dan kenaikan paras air sungai di Terengganu.
Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, pihaknya telah meninjau kenaikan air pasang di hiliran sungai, Kuala Terengganu semalam dan hasil pemantauan mendapati kenaikan paras air tersebut ialah fasa awal musim tengkujuh seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang semalam.
“MetMalaysia telah menjangkakan notis amaran cuaca buruk (amaran jingga), hasil pemantauan APMM di sekitar Terengganu mendapati waktu kemuncak air pasang dengan peningkatan 2.4 meter pada jam 11 malam ini.
“Namun begitu, alhamdullilah hujan lebat telah berhenti pada lewat petang sehingga malam ini dan tiada pemindahan yang berlaku di kawasan berdekatan. Kesiapsiagaan pasukan APMM di seluruh negeri sedang giat dengan pemantauan berterusan.
“Pihak kami turut bekerjasama dan memaklumkan semua daerah dan sekretariat pengurusan bencana setiap daerah untuk bersiap sedia jika ada hujan lebat kerana kebarangkalian boleh berlaku pemindahan pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kerja pemantauan air pasang di Jeti Losong Ferry dan di Pulau Warisan, malam semalam.
Mengulas berkenaan kawasan berisiko untuk dinaiki air, beliau berkata, Hulu Terengganu, Hulu Besut, Setiu, Kemaman dan Dungun adalah diantara kawasan yang diberi tumpuan atas faktor seperti komposisi air di hulu tidak dapat mengalir keluar laut.
“Terutama di kawasan berhampiran sungai seperti di Losong, Pulau Sekati, Pulau Rusa dan Manir.
“Pihak berkuasa menasihati penduduk terutama di kawasan berisiko seperti di tepi sungai untuk bertindak awal atas sebab potensi kenaikan air dan memindahkan kenderaan mereka ke kawasan selamat,” ulasnya.
18 Nov 20
376
"Dok Leh Tidur Takut Air Naik"
HULU TERENGGANU, 18 November - "Kami sekeluarga tidak dapat tidur sejak semalam apabila hujan terlalu lebat sejak pagi semalam dan paras Sungai Telemong mula naik" ujar Nursuriana Abdul Ghani.
Remaja yang berusia 20 tahun itu sempat menceritakan detik-detik cemas apabila air sungai berhampiran rumahnya mula melimpah dan membanjiri kawasan sekitar hampir satu meter.
"Saya dan mak serta ahli keluarga yang lain tidak dapat lelapkan mata sebab takut air naik dalam rumah dan kami tak sempat nak berpindah.
"Kami sekeluarga mula mengemaskan barang termasuk peti ais dan dokumen penting sejak 7 petang semalam bila tengok keadaan agak berbeza sebab air naik terlalu cepat," ujarnya ketika ditemui di perkarangan rumahnya di Kampung Kepah, hari ini.
Katanya, sehingga saat ini, hanya ruang tamu sahaja belum dinaiki air berbanding dapur yang mula tenggelam.
Terdahulu, amaran hujan lebat yang dipertingkatkan oleh MET dari amaran kuning ke jingga semalam, menunjukan kawasan yang menerima hujan melebihi 150mm/hari, air sungai telah melebihi amaran dan juga bahaya.
Beberapa tempat telah mengalami banjir di daerah Setiu dan Hulu Terengganu bermula jam 10 malam di Kampung(kg) Lubuk Panjang dan Gong Terap, Kg Bukit Nyior, Kg Pelong dan Kg langkap.
Sementara itu, Kg Kuala Ping dan kg sekitar di lembangan Sungai Telemong, Hulu Terengganu juga telah mengalami banjir.
18 Nov 20
5718