Artikel "Utama" Terkini
MPKK Padang Kubu Guna Traktor Bantu Mangsa Banjir
KEMAMAN, 18 Disember - Demi memastikan penduduk yang terjejas banjir mendapat barangan keperluan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Kubu di sini mengambil inisiatif menggunakan traktor untuk membuat penghantaran bekalan mereka.
Setiausaha MPKK Kampung Padang Kubu, Sudin Muda berkata ia berikutan laluan utama ke kampung tersebut terputus hubungan, setelah dinaiki air banjir, pagi tadi.
"Pihak kami terpaksa gunakan traktor untuk menghantar pelbagai barangan bantuan kepada 50 mangsa banjir daripada 15 keluarga di kampung itu.
"Kesemua mangsa tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kediaman mangsa terletak di kawasan yang agak tinggi,"katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya lagi, pihak MPKK akan memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa.
"Kita perlu pastikan mereka tidak terputus makanan kerana terperangkap di dalam rumah ketika ini," ujar Sudin.
Setakat ini, terdapat seramai 142 mangsa banjir daripada 42 keluarga ditempatkan ke PPS terdekat, iaitu Balai Raya Kampung Padang Kubu.
18 Dec 20
561
Lebih 2,000 Penduduk Hulu Kemaman Terputus Hubungan
KEMAMAN, 18 Disember- Lebih 2,000 penduduk di Hulu Kemaman terputus hubungan hari ini apabila jalan raya menjadi laluan penghubung utama mereka dilimpahi air sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim berkata hujan lebat yang berterusan menyebabkan limpahan air Sungai Tebak mula menenggelami jalan di beberapa lokasi mulai 7.30 pagi tadi.
"Hasil tinjauan saya pagi ini mendapati penduduk di beberapa kampung seperti Seberang Tayor, Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 14 Tebak tidak boleh keluar kerana paras air yang agak tinggi di jalan tersebut.
"Saya juga berharap penduduk tidak mengambil risiko untuk melalui jalan itu walaupun dengan kenderaan pacuan empat roda kerana arusnya agak deras dan ini boleh membahayakan keselamatan mereka," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sementara itu, orang ramai di Kampung Tebak yang ingin ke Bandar Chukai terpaksa berpatah balik kerana laluan utama di Seberang Tayor tidak boleh dilalui.
18 Dec 20
714
Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai
KEMAMAN, 16 Disember – “Umur sudah mencecah 66 tahun, saya yang tidak pernah dapat tanah, tetapi setelah tunggu lebih 20 tahun, alhamdullilah Kerajaan Negeri telah realisasikan hasrat ini,” luah seorang nelayan, Abd Ghani Ismail, setelah menerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Sivik, Kemasik, Kemaman, pagi tadi.
Abd Ghani atau lebih mesra disapa Pok Ya, berkata sangat menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan kerajaan Terengganu atas pemberian hak milik tanah tersebut.
“Sekarang saya tinggal di Kampung Baru Kiri, insya-Allah harapan supaya dimurahkan rezeki bagi mendirikan rumah ini memandangkan saya seorang nelayan, tapi sekali lagi saya nak berterima kasih kepada ADUN Kemasik dan Majlis Daerah Kemaman,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Baru Kemasik, Suriyani Abdullah, 43, yang mewakili suaminya, Mat Zawan Muhammad, mengakui gembira dan tidak percaya kerana mendapat hak milik tanah sendiri.
“Inilah satu tanah pertama yang pernah dapat, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu.
“Selama ini pun tiada rumah tetap, tapi dengan tanah ini akhirnya dapat dirikan rumah sendiri. Hasil manifesto ini boleh dikatakan sebagai jadi sungguh,” ujar Suriyani yang juga ibu kepada empat orang anak.
Sementara itu, Saiful Azmi berkata, penghargaan diberikan kepada Pegawai Daerah dan seluruh kakitangan Pejabat Daerah atas usaha dalam memastikan hasrat kerajaan disempurnakan secepat mungkin.
“Kerajaan negeri telah menjanjikan 20 manifesto, sehingga sekarang sebahagian daripada 18 manifesto telah dilaksanakan atau sedang berjalan, usaha RTB ini adalah bukti proses merealisasikan sedang diteruskan.
“Bagi DUN Kemasik terdapat tujuh RTB bagi tapak kediaman, dan hari ini adalah RTB keenam yang dapat disempurnakan. Harapan supaya baki satu lagi akan dapat direalisaiskan pada suku pertama tahun hadapan," katanya ketika ditemubual pemberita.
16 Dec 20
397
Bantuan Banjir RM500 Disalur Sebelum 15 Januari
KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Kerajaan negeri memberi jaminan bantuan kecemasan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas berikutan bencana banjir baru-baru ini akan dibuat sebelum 15 Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, bayaran itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Hanafiah berkata, kerajaan negeri melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diketuai Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman kini dalam proses akhir untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan.
"Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan negeri untuk bantuan kecemasan itu bergantung kepada data yang kini sedang dikemaskini.
"Saya sudah maklum kepada semua pegawai daerah supaya sebelum berakhir 30 Disember ini nama-nama kita akan angkat dan pembayaran boleh dibuat sebelum 15 Januari agar mangsa banjir dapat menerima bantuan disaat mereka benar-benar memerlukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan ExxonMobil di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Hanafiah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang meluluskan bantuan RM500 kepada mangsa banjir.
“Sementara itu mangsa banjir lumpur di Kemaman pula akan menerima bantuan kecemasan sekali bayaran daripada tabung dana khas berjumlah RM1,000 satu keluarga,” ujarnya.
16 Dec 20
2566
Kes Adib Akan Selesai Tidak Lama Lagi
KUALA LUMPUR, 14 Disember - Kes berkaitan dengan kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kasim, akibat rusuhan pada 27 November 2018 akan berakhir tidak lama lagi.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Zainuddin Hamzah, berkata kes yang telah menjadi polemik politik tersebut kini telah berada di fasa akhir siasatan.
"Saya dah jelaskan dalam dewan ini (tempoh hari bahawa) beberapa orang telah ditangkap dan dibawa ke mahkamah.
"Penyebab kematian (Allahyarham Adib) akan dimaklumkan selepas segala siasatan selesai dijalankan," ujar beliau dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer telah bangkit mencelah ketika sesi soal jawab lisan bagi bertanyakan tempoh masa dan bentuk hukuman yang akan dijatuhkan kepada pembunuh Allahyarham Adib.
"Kita akan bawa (kes ini) kepada Peguam negara untuk menentukan (bentuk hukuman yang sesuai)," tambah beliau.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera teruk dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dan meninggal dunia selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 4 Ogos yang lalu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah membuka semula siasatan berkenaan kes ini dan telah menahan 12 orang suspek dibawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
14 Dec 20
420
Khidmat Malaysia Setiu Bantu Mangsa Pasca Banjir
SETIU, 14 Disember - Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia atau Khidmat Malaysia kawasan Setiu hulur bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas.
Pengerusinya, Mohd Nor Hamid berkata kerja-kerja gotong-royong atau pasca banjir ini adalah sebahagian tanggungjawab kami dalam menjayakan kerja kebajikan yang telah diamalkan sebelum ini.
"Hari ini kita turun ke pusat tahfiz menjalankan kerja-kerja seperti mesin rumput, membersih longkang dan sebahagian kawasan yang terlibat dengan banjir baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)baru-baru ini.
Pusat Tahfiz Al-Quran Baitulrahmat baru-baru ini turut ditenggelami banjir lebih dua meter mengakibatkan tingkat bawah tenggelam 100 peratus.
Bentuk geografi muka bumi di kawasan ini yang mengakibatkan saban tahun terlibat banjir menjadikan penduduk di sini lebih bersedia apabila tiba musim tengkujuh.
14 Dec 20
309
Barang Cukup, Tidak Perlu Pembelian Panik
HULU TERENGGANU, 13 Disember - Orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik susulan terdapat ramalan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia pada awal tahun hadapan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya yakin rakyat lebih bijak dalam membuat penilaian sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac tahun ini.
"Jika kita lihat pada awal diumumkan PKP telah berlakunya pembelian panik dan ia berubah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan seterusnya PKPP yang mana rakyat mula tidak panik melakukan pembelian sehinggalah sekarang.
"Pegawai KPDNHEP akan melaporkan kepada saya setiap hari tentang barangan dalam pasaran berserta dengan harganya.
"Tidak perlu bimbang kerana pihak kita memang pantau barang apa yang berkurangan atau barang mana yang naik harga,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke ladang Fertigasi di Kampung Pela, Ajil, hari ini.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau percaya ramalan bahawa kes COVID-19 akan menjadi serius tidak berlaku.
"Lagipun tahun depan Malaysia dijangka akan dapat vaksin jadi perkara itu tidak akan berlaku," ujarnya lagi.
Terdahulu, seorang pakar dari China meramalkan kes penularan COVID-19 di Malaysia menjadi lebih serius dengan bakal mencecah sehingga 187,997 kes menjelang 25 Januari tahun depan
Sementara itu, dalam lawatan kali ini, beliau turut mempertimbangkan permohonan peruntukan hampir RM30,000 untuk baikpulih sistem paip air bukit di Pusat Tanaman Fertigasi berkenaan.
13 Dec 20
554
Galak Belia Ternak Arnab
HULU TERENGGANU, 12 Disember - Golongan belia di negeri ini digalakkan menceburi bidang pertanian dan penternakan sebagai pekerjaan yang memberi pendapatan lumayan.
Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman berkata, bidang pengeluaran makanan dan pertanian adalah penting untuk masa depan negara dan golongan muda perlu mengambil peluang yang disediakan sebagai salah satu cabang kerjaya.
"Saya berharap agar golongan belia di negeri ini tidak melepaskan peluang yang ada demi masa depan mereka sendiri.
"Kerajaan sering menyediakan ruang dan terpulang kepada mereka untuk mengambil inisiatif membangunkannya secara berkesan," ujarnya ketika ditemui di Kursus Asas Penternakan Arnab di RestHouse Kuala Berang, hari ini.
Majlis perasmian Kursus anjuran Majlis Belia Hulu Terengganu (MBDHT) telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid.
Seminar bagi menggalakkan penyertaan golongan muda dan memberi panduan serta dorongan kepada mereka untuk terbabit dalam sektor penternakan arnab. berjaya menarik 72 peserta dari Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Sementara itu, Rosol berkata penternakan arnab mampu menjadi satu prospek baharu dalam bidang pertanian.
Beliau turut yakin masa depan industri ternakan arnab pedaging dan hiasan amat cerah serta mampu memberi pulangan yang menguntungkan, sekiranya diusahakan dengan skala besar.
"Permintaan terhadap daging arnab semakin meningkat dan ia mampu menjadi alternatif kepada sumber protein selain lembu dan kambing.
"Hasil pendapatan pun lumayan dan saya difahamkan seekor arnab hidup dijual RM12 sekilo, daging RM35 sekilo dan tanpa tulang RM45 sekilo," katanya.
12 Dec 20
973
Hulu Terengganu Bukan Lagi Zon Hijau
HULU TERENGGANU, 12 Disember - Satu-satunya daerah di Terengganu yang sebelum ini bebas daripada jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) akhirnya dikategorikan sebagai zon kuning selepas satu kes baharu dikenal pasti di sini, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui laman sosial Facebooknya.
Menurut kenyataan tersebut, kes baharu iaitu kes 249 merupakan kes import B dan didaftarkan di mukim Penghulu Diman, Hulu Terengganu.
"Kes merupakan pesakit terlantar dan mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi, diabetes dan angin ahmar.
"Kes dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada 11 Disember 2020 dengan masalah pernafasan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
"Berdasarkan kepada keadaan klinikal semasa, kes telah dimasukkan ke ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan,"ujar kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi pada hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merekodkan pertambahan enam kes baru Covid-19 menjadikan terdapat 13 kes Covid-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 250 kes.
Susulan itu, bagi membendung penularan tempatan dan menjaga zon hijau di negeri ini, individu yang memasuki Terengganu digalakkan hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan.
Arahan untuk tindakan seterusnya bergantung kepada hasil penilaian tersebut. - Gambar fail.
12 Dec 20
19415
Penyanyi, Pemuzik Yang Tercicir Dari Senarai Royalti Diminta Hubungi MyIPO
HULU TERENGGANU, 11 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalu-alukan penyanyi dan pemuzik rakaman yang tercicir dari senarai pembayaran awal royalti muzik menghubungi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, mana-mana yang bernaung di bawah badan pelesenan Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) boleh berbuat demikian secepat mungkin untuk tindakan seterusnya.
Katanya, ia mungkin berlaku keciciran di pihak pengurusan di Jabatan Insolvensi dan pertubuhan yang menguruskannya kerana menghadapi kekangan kerana ketiadaan rekod.
"Kami di KPDNHEP memang sentiasa peka dan memahami keresahan penggiat industri seni yang terkesan kerana hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.
"Walaupun KPDNHEP melalui agensinya, MyIPO hanya sebagai pemudahcara atau badan perantara dalam isu ini, kami memandang serius permasalahan yang membelenggu penggiat seni tempatan ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tanah runtuh di Kampung Pasir Nering, hari ini.
Tambah Rosol, bayaran awal tunggakan royalti kira-kira 1,000 penyanyi dan pemuzik rakaman hanya dapat dibuat pada Januari 2021, kerana tertakluk kepada prosedur kewangan kerajaan yang dilaksanakan pada setiap akhir tahun.
"Mereka akan menikmati bayaran awal tunggakan royalti berkenaan yang akan dibayar oleh Music Rights Malaysia (MRM) kepada RPM dan PRISM melalui Jabatan Insolvensi (MDI) selaku badan penyelia PRISM, selepas ia dibubarkan pada November 2018," ujarnya.
Justeru itu, katanya, adalah tidak adil mengatakan kerajaan main-main atau melewatkan pembayaran tunggakan royalti muzik itu kerana hakikatnya ia terpaksa dibayar pada Januari berikutan tertakluk kepada prosedur kewangan kerajaan.
“Jadi apabila berjaya menemui jalan penyelesaian pada mesyuarat Rabu lalu di MyIPO, kita putuskan untuk salurkan bayaran awal dahulu RM500 kepada ahli RPM dan PRISM yang terlibat dan bakinya akan kita bayar selepas selesai mendapatkan jumlah bayaran yang tepat.
"Ini kerana bayaran bagi setiap ahli adalah berbeza mengikut kadar pengunaan dan penyiaran karya mereka di stesen radio dan televisyen tempatan,” katanya.
11 Dec 20
482