lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

SSM Kesan 236 Premis Niaga Di Terengganu Lakukan Kesalahan
SSM Kesan 236 Premis Niaga Di Terengganu Lakukan Kesalahan
  KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu telah menjalankan sebanyak 1,292 pemeriksaan di premis niaga di seluruh negeri dan mengesan sejumlah 236 kesalahan sejak awal tahun ini. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, daripada 236 kesalahan yang direkodkan, 40 daripadanya adalah kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016, manakala 196 daripadanya adalah kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. “Bagi peniaga-peniaga yang didapati tidak mendaftarkan perniagaan dengan SSM, notis peringatan 14 hari akan dikeluarkan sebagai peringatan untuk berdaftar dengan SSM.  “Sekiranya pemilik perniagaan atau syarikat masih gagal mendaftarkan perniagaan selepas tempoh tersebut, kompaun akan dikenakan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya selepas melakukan pemeriksaan pematuhan perniagaan di KTCC Mall di sini semalam. Tambah beliau lagi,  sepanjang Januari hingga 1 Disember 2020 juga, SSM Terengganu telah mengutip kompaun bernilai RM1.25 juta daripada 10,536 perniagaan dan 925 syarikat yang gagal mematuhi akta diperuntukkan di bawah SSM. “Kompaun berkenaan dikeluarkan kepada syarikat dan perniagaan terbabit sepanjang 2017 hingga 2019 kerana gagal mematuhi Akta Syarikat 2016 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. “Ia antara lain membabitkan kesalahan seperti pemilik perniagaan atau syarikat gagal menyerah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan kepada SSM, tidak mempamer nombor pendaftaran syarikat atau perniagaan pada premis dan gagal menyimpan rekod perakaunan syarikat,”ujarnya.
21 Dec 20
1073
Ular Sawa Peliharaan Antara 'Mangsa' Banjir Teluk Kalong
Ular Sawa Peliharaan Antara 'Mangsa' Banjir Teluk Kalong
KEMAMAN, 21 Disember – Seekor ular antara 'mangsa banjir' yang dipindahkan daripada perumahan Teluk Kalong selepas kawasan itu dinaiki air baru-baru ini. Pemilik haiwan berlesen itu, Muhammad Afendi Khalid berkata, haiwan peliharan eksotiknya itu diletakkan di dalam akuarium ketika berlakunya banjir seawal 11 pagi kelmarin. Menurut Afendi, 35, ular sawa spesis ‘Ball Phython’ tersebut kemudiannya dipindahkan ke sangkar rumah keluarganya sekitar jam 3.30 petang semalam selepas air mulai surut. “Sebelum berpindah semalam, air naik hampir tiga kaki, sejengkal lagi nak sampai tingkat. “Namun begitu, dua ekor ular betina yang saya ada selamat di dalam akuarium yang tinggi dan tidak dihanyut banjir. Afendi yang mendiami rumah tersebut bersama isterinya, mengatakan bahawa ular tersebut selamat dan tidak berbisa. “Jiran sekeliling juga sudah biasa dengan minat saya ini, ada hari biasa ada budak-budak sekeliling teruja datang ke rumah. Lesen pemeliharan haiwan reptilian dibayar setiap tahun dan ada sijil kelulusan,"ujarnya yang juga pekerja di Zoo Kemaman. Afendi adalah diantara lebih 2,000 mangsa banjir besar di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM), Teluk Kalong yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Universiti Kolej TATI.
20 Dec 20
667
Jentera Gotong-Royong, Dapur Rakyat Sedia Berbakti
Jentera Gotong-Royong, Dapur Rakyat Sedia Berbakti
KEMAMAN, 20 Disember – Jentera gotong-royong dan 'dapur rakyat' daripada pihak kerajaan negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersedia membantu penduduk khususnya di daerah Kemaman kembali selesa di kediaman masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, skuad itu melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman dan beberapa agensi lain lagi. “NGO Khidmat Malaysia Terengganu yang terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia, 4x4, serta pasukan pemuda PAS akan bersama saya dalam membersihkan rumah penduduk seperti di Air Putih pada akhir bulan November baru-baru ini. “Bermula seawal pagi esok, pihak kami akan gotong-royong membersihkan rumah di sekitar perumahan di Teluk Kalong dan program dapur rakyat akan memasak hidangan untuk lebih 3,500 orang dan 2,000 orang lagi di Kemasik,” katanya kepada pemberita selepas memantau keadaan banjir di sekitar Kemaman. Mengulas lanjut keadaan semasa banjir di Kemaman, Hanafiah yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Terengganu berkata, banjir di Air Putih mula surut, namun hasil tinjauan 4 pagi semalam mendapati air mengalir masuk ke kawasan Binjai, Kampung Pulau Tempurung, Pasir Minal, Bukit Baru, Kampung Pengkalan Pandan dan sekitarnya. “Kenaikan air kira-kira satu hingga dua meter menyebabkan 467 keluarga telah dipindahkan ke tujuh PPS melibatkan 1,053 orang, manakala banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, air mula surut terutamanya di kawasan Teluk Kalong. “Saya jangkakan dalam dua atau tiga hari lagi sebahagian mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing di mana pihak kami akan turun padang membersih sama rumah-rumah yang terkesan," tambahnya lagi. Mangsa di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) pulang mengambil barang sejak air surut Berdasarkan laporan terkini Sekretariat JPBN Terengganu setakat jam 12 tengahhari, jumlah mangsa yang dipindahkan di Kemaman melibatkan 1,544 keluarga terdiri daripada 6,282 mangsa yang ditempatkan di 29 PPS di seluruh daerah.
20 Dec 20
469
Hargai Nyawa, Elakkan Bahaya Ketika Banjir
Hargai Nyawa, Elakkan Bahaya Ketika Banjir
HULU TERENGGANU, 20 Disember - Orang ramai di daerah ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak menjadikan banjir sebagai satu pesta. Ketua Polis Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, nasihat itu diberikan bagi mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Katanya, ini kerana pihaknya mendapati setiap kali berlakunya banjir, ada penduduk sekitar menjadikannya seolah-olah satu temasya air yang menyeronokkan tanpa menghiraukan bahaya yang ada di sekitar. "Tinjauan yang dilakukan oleh pihak polis, ramai kanak-kanak yang bermain air tanpa pengawasan orang dewasa. "Walaupun mungkin bagi sesetengah penduduk di sini mereka telah biasa dengan banjir dan menganggap kawasan rumah mereka tidak berbahaya namun kita tidak tahu arus yang deras boleh membahayakan nyawa anak-anak mereka. "Kita ingatkan kepada ibu bapa pastikan keselamatan anak-anak dan cegah mereka dari main banjir di kawasan berbahaya," katanya kepada pemberita di sini. Dalam pada itu Adli berkata, banjir yang berlaku di daerah itu berpunca daripada hujan berterusan sejak Khamis lepas ekoran limpahan air Sungai Berang dan air Sungai Telemong. "Sehingga kini pasukan operasi banjir daerah  telah melancarkan operasi bencana bagi menyelamat dan memberikan bantuan kepada semua mangsa bencana bersama-sama dengan agensi-agensi yang terlibat," ujarnya. Setakat hari ini jumlah pusat pemindahan telah dicatatkan adalah sebanyak lima buah melibatkan seramai 355 mangsa yang telah dipindahkan.  
20 Dec 20
759
Bomba Kuala Berang Pujuk Ibu Muda Enggan Pindah
Bomba Kuala Berang Pujuk Ibu Muda Enggan Pindah
HULU TERENGGANU, 20 Disember -  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengambil masa hampir setengah jam memujuk seorang ibu dan tiga anaknya yang terjejas banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan pagi semalam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya mendapati mereka enggan meninggalkan kediaman dengan alasan rumah tidak dinaiki air dan belum melakukan sebarang persiapan untuk berpindah. Katanya, beliau bimbang akan keselamatan penduduk kerana hujan lebat terus melanda daerah ini selain peningkatan paras air yang boleh membahayakan nyawa. "Kami mendapat panggilan daripada Setiausaha MPKK untuk menghantar makanan kepada keluarga ini kerana terputus bekalan apabila jalan utama mula dinaiki air pada 2 petang. "Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk mendekati mereka dengan memujuk dan memberi nasihat supaya berpindah ke Kompleks Qaseh OKB bagi mengelakkan kesulitan jika air semakin tinggi," katanya. Tinjauan bersama anggota bomba di kawasan terbabit mendapati terdapat kawasan rendah yang dinaiki air setinggi 1.5 meter dan boleh membahayakan nyawa penduduk.  
20 Dec 20
1561
Masalah Banjir Teluk Kalong Diajukan Ke Kerajaan Pusat
Masalah Banjir Teluk Kalong Diajukan Ke Kerajaan Pusat
KEMAMAN, 20 Disember – Masalah banjir di Teluk Kalong terutamanya di kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) akan diusulkan kepada kerajaan pusat bagi tindakan lanjut. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, isu tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, hasil lawatan dan pemantauan keadaan serta mangsa banjir di DUN Kijal. “Isu yang melibatkan lebih 2,000 penghuni, perlu dibawa ke peringkat pusat berkenaan takungan air atau saliran yang tidak mampu menampung aliran air keluar yang banyak, menyebabkan limpahan di tali air berhampiran kawasan perumahan terbabit. “Saya telah bersetuju dengan ADUN Chukai untuk kita susuli perkara ini kepada menteri berkenaan urusan kerja raya bagi melihat tindakan yang boleh diambil. “Insya-Allah, saya akan membawa usul ini pada hari rabu depan dalam mesyuarat kabinet,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian selepas lawatan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di Pengkalan Ranggon, Kertih, malam semalam. Tambah Dr Mohd Khairuddin, anggaran peruntukan RM1.6 juta diperlukan dan beliau sebagai menteri mewakili negeri Terengganu akan menunaikan tanggungjawab yang diberi untuk menjaga negeri. Sementara itu, beliau turut menasihati rakyat agar berhati-hati dan mengikut arahan yang disampaikan oleh pemimpin negeri seperti dan parlimen bagi memastikan keselamatan nyawa serta harta benda. “Pihak kerajaan Perikatan Nasional juga sentiasa prihatin terhadap situasi yang berlaku dan akan memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang terkesan tanpa gagal,” ujarnya.
19 Dec 20
2497
Kerajaan Pusat Dan Negeri Berkerjasama Hadapi Musibah Banjir
Kerajaan Pusat Dan Negeri Berkerjasama Hadapi Musibah Banjir
KEMAMAN, 20 Disember – Barisan kepimpinan negeri daripada peringkat pusat sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) giat berganding bahu dalam memastikan keselamatan dan kebajikan buat mangsa banjir di daerah Kemaman. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, berkata, lawatan kerja tersebut diadakan di kawasan terjejas dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar DUN Kijal dan Kemasik. “Antaranya pihak kami telah melawat salah satu PPS di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon, buat sementara waktu usaha sama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memastikan bantuan keperluan harian disalurkan. “Kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa tentang keperluan rakyat Terengganu, saya akan pastikan sebarang perkembangan dan inisiatif baharu disampaikan kepada kementerian berkenaan,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili. Tambah beliau lagi, jentera penyelamat dan kakitangan yang terdiri daripada pihak NADMA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta di peringkat negeri, DUN, Parlimen dan Exco sentiasa memberi tumpuan ketika musim banjir ini. “Ini kerana isu melibatkan keselamatan nyawa dan kerosakan benda tinggi risikonya. Rekod-rekod kita turut menunjukkan bahawa persediaan bagi bencana ini ditahap yang tinggi,” ujarnya. Mengulas lanjut mengenai situasi banjir di Kemaman, beliau berkata, setakat jam 10 malam, seramai 4962 mangsa terkesan terdiri daripada 1199 keluarga dan 24 PPS telah dibuka. Menemubual seorang mangsa di PPS tersebut, Ibrahim Mohd, 78, menceritakan keadaan rumahnya dipenuhi air sehingga paras betis di Damansara, Kertih pada jam 1 pagi. Ibrahim yang mendiami rumah bersama seorang anaknya, berkata, dia memang tidak sedar langsung air naik kerana tidur ketika hujan turun pada malam itu. “Barang pun ada yang sempat naik ada yang tidak, nasib baik anak yang tinggal bersama kejutkan pada awal pagi tadi,” katanya.
19 Dec 20
641
5,776 Mangsa Banjir Di Terengganu
5,776 Mangsa Banjir Di Terengganu
  KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Banjir di Terengganu semakin buruk dengan  berikutan hujan berterusan di kebanyakan kawasan di negeri berkenaan. Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat daripada 5,420 kepada 5, 776 membabitkan 1,478 keluarga di empat daerah sehingga jam 2 petang tadi. Susulan peningkatan itu, 46 pusat penempatan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan semua mangsa di empat daerah terbabit. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa dijangka meningkat susulan hujan lebat masih berlaku di beberapa daerah. "Kemaman yang terjejas teruk terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa apabila seramai 4,279 orang daripada 1,135 keluarga terjejas banjir di seluruh daerah ini. "Seramai 710 mangsa daripada 245 keluarga pula terjejas di Hulu Terengganu dan mereka kini ditempatkan di 13 PPS di sekitar daerah itu,” katanya. Tambahnya lagi, beberapa lembangan sungai utama menunjukkan trend peningkatan dan ada sebahagiannya di hulu berlaku penurunan.    
19 Dec 20
4731
Tetap Berniaga Demi Keperluan Mangsa Banjir
Tetap Berniaga Demi Keperluan Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seorang suri rumah tetap berniaga ikan dan sayur di lokasi banjir bagi membantu penduduk yang terkandas. Raja Anisah Raja Bongsu, 46, sanggup membuka gerai berhadapan rumahnya walaupun digenangi air hampir paras lutut susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis lepas. Katanya, ini kerana ramai penduduk sukar untuk mendapatkan bekalan makanan akibat bencana itu. "Hampir 50 kilogram bekalan ikan dibekalkan setiap hari di samping sayur-sayuran dan barangan keperluan lain. "Saya jual ikan ni sebab nak mudahkan orang kampung dapatkan bekalan ikan segar walaupun mereka terkandas kerana ramai penduduk yang keluar meredah air banjir untuk membeli ikan. "Ikan yang saya jual ini adalah ikan segar seperti Selar, Kembung, Kerisi dan Selayang yang dibawa dari Kuala Terengganu. Saya menjual ikan dengan harga berpatutan dari RM10 hingga RM17 bergantung kepada jenis ikan,"ujarnya. Dia yang bermula berniaga di lokasi berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dibantu tiga anaknya yang berusia 25 hingga 29 tahun. "Malah, pelanggan gembira dengan tindakan saya kerana memudahkan mereka untuk mendapat bekalan makanan ketika waktu ini," katanya.
19 Dec 20
361
Kampung Teris Jadi Model Ladang Buluh Januari 2021
Kampung Teris Jadi Model Ladang Buluh Januari 2021
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Kampung Teris bakal menjadi perintis bagi projek model ladang buluh pertama di Malaysia dengan kos sebanyak RM5 juta yang akan dilaksanakan pada Januari 2021. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia akan melibatkan tanah seluas 15 hektar milik Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC). Katanya, projek berkenaan bakal menjadi pusat rujukan semua pihak di samping berpotensi sebagai pusat eko-pelancongan buluh di Malaysia.  "Untuk permulaan kita akan tanam lima spesies buluh iaitu betung, beting, beti, semantan dan hitam.  "Jika pembangunan ladang buluh dapat diusahakan dan diuruskan secara mampan, ia mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara.  "Melalui penubuhan model buluh ini kita bukan sahaja dapat menghasilkan sumber pokok induk yang berkualiti, bahkan menjamin ketersediaan bahan mentah bagi kegunaan pihak industri buluh di samping sebagai sumber alternatif kayu di Malaysia," katanya.  Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan permeteraian memorandum perjanjian (MoA) projek Model Ladang Buluh di TTITC hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar;  Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd. Karli; Pengerusi TTITC, Muhyidin Abdul Rashid di samping Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani.  Tambah beliau, tempoh kematangan buluh adalah singkat berbanding pokok kayu. "Buluh memiliki tempoh matang singkat antara empat ke lima tahun berbanding tempoh matang pokok kayu yang sekurang-kurangnya 15 tahun," ujarnya. Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan menawarkan pinjaman mudah sebanyak RM500 juta kepada pihak industri, koperasi dan agensi yang berminat mengusahakan penanaman buluh secara komersial.  "Bagi setiap satu hektar, pengusaha dijangka boleh mendapat hasil sehingga RM36,000 selepas tempoh matang empat tahun," katanya. 
19 Dec 20
1231