lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Individu Dari Zon Merah Diminta Hubungi Jabatan Kesihatan
Individu Dari Zon Merah Diminta Hubungi Jabatan Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 11 Disember  - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko Covid-19. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia susulan kebenaran rentas daerah dan negeri yang bermula 7 Disember lepas. Katanya, sebagai langkah kawalan, mereka ini diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah dan menyediakan borang deklarasi yang perlu dilengkapkan. "Sejak 7 Disember  kami mengesan ramai juga kontak rapat kepada kes positif atau kluster dari luar Terengganu. Juga kes positif dikesan yang bergerak masuk ke Terengganu.  "Kita menjangkakan peningkatan kes ekoran kebenaran ini dan negeri bersebelahan Terengganu juga menunjukkan peningkatan kes dan situasi ini merisaukan kita.   "Jadi kita mesti ambil langkah berjaga-jaga untuk 'protect' Terengganu yang situasi Covid 19 masih terkawal. Jika tidak, ini bakal mengundang kluster baharu di Terengganu," ujarnya kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook miliknya hari ini. Tambahnya, ada  yang masuk dari zon merah tetapi terus ke Klinik Kesihatan untuk membuat saringan tanpa singgah di mana-mana perhentian. "Mereka dikesan positif dan terus dimasukkan ke Hospital. Sikap begini sangat baik dan patut dipuji kerana ia membantu mengelakkan penularan dalam komuniti dan patut dicontohi oleh pengembara lain,"ujarnya lagi.    
11 Dec 20
10323
72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah
72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah
KEMAMAN, 10 Disember – Seramai 72 penduduk Kampung Bujal di sini kembali mendapat tanah mereka selepas proses penyerahan hak milik tertangguh lebih 16 tahun. Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setelah pelbagai peristiwa pahit dilalui para penerima terbabit kini dapat memajukan kembali tanah yang diperolehi. "Terima kasih kepada para pemohon kerana bersabar, diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. “Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini kerajaan Terengganu dapat memberi geran tanah terkilan kepada 72 orang di Kijal pada majlis fasa pertama ini.  “Bagi Fasa kedua, sebahagian kecil lagi masih berada di Pejabat tanah disini dalam proses melengkapkan maklumat untuk dibawa kepada PTG dan terus ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN), saya harap dalam tiga atau empat bulan insya-Allah dapat menyerahkan kepada 62 permohonan berbaki ini,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok Terkilan Bagi Tapak Bangunan Kediaman di Desa Makmur Bujal, Kijal, Kemaman hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar. Menurut seorang penerima, Zaitun Che Ku Abdul, 59, dia menyuarakan rasa syukur dan lega atas pengembalian hak tanah yang ditunggu sejak 16 tahun lalu. "Terima kasih kepada Yang Berhormat dan kerajaan dalam usaha ini. Dulu rumah diruntuh tapi sekarang ini rumah baharu akan dibina untuk keluarga," kata ibu kepada tiga orang anak itu. Sementara itu, Samsudin Abdullah, 71, berkata, dia gembira setelah hak yang dinafikan kini dikembalikan dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam memperjuangkan perkara tersebut. “Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih atas usaha kerajaan negeri, belum pernah saya miliki tanah sebelum ini,  walaupun sudah berusia tua, diharapkan supaya masjid dapat didirikan kembali di Kampung Bujal bagi kegunaan bakal penduduk di sini. "Insya-Allah tanah akan dimanfaatkan untuk membina rumah bagi kemudahan anak-anak saya," tambahnya.  
10 Dec 20
656
Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan
Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan
HULU TERENGGANU, 10 Disember - Bermula sekadar hobi atau suka-suka bagi mengisi masa lapang, kini Mohd Azree Mohd Razali 40, dari Kampung Lubuk Periuk bergelar usahawan ternakan ikan kelah merah yang berjaya. Pernah berkhidmat di  sektor perkilangan dan perkhidmatan perkomputeran di Melaka selama 12 tahun, usahawan akuakultur ini berkata pilihannya tidak menjadi sia-sia setelah memilih untuk pulang ke kampung dan seterusnya berjinak dalam bidang ini. “Pada mulanya saya kembali ke kampung halaman untuk meneruskan hobi dan minat ayah mencari dan menjual spesis ikan kelah merah kepada pengusaha ikan hiasan atau untuk dijadikan hidangan mewah. "Akan tetapi apabila saya melihat populasi ikan ini makin berkurangan akibat beberapa faktor terutama pencemaran sungai dan tangkapan berlebihan, saya mula terfikir untuk menternaknya secara serius,"ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui, baru-baru ini.   Justeru itu katanya, dia  mengambil keputusan memulakan perusahaan itu secara serius kira-kira tiga tahun lalu dengan modal serta bantuan kelengkapan hampir RM100,000 selepas menimba ilmu serta teknik pembiakan ikan kelah daripada pihak yang berpengalaman. “Alhamdullilah projek saya ini mendapat sokongan dan peralatan daripada pihak Jabatan Perikanan seperti mesin pam air dan tangki yang bertujuan mengurangkan kadar kematian khususnya anak ikan yang memerlukan pengaliran air bersih semulajadi selain penjagaannya tersendiri," ujarnya. Menurut Azree, dia cukup berterima kasih kepada Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) Negeri Sembilan yang banyak memberi banyak tunjuk ajar dan maklumat terkini sehingga ke hari ini. Kini, dia memiliki empat kolah kecil serta tangki bersaiz sederhana yang di tambah baik ini juga digunakan untuk menampung sementara induk ikan terpilih ketika proses pengasingan dilaksana. Tambahnya lagi, peminat peminat kebanyakannya suka membela dari kecil, dan jumlah permintaan sekarang mencecah sehingga 10,000 ekor sebulan. Jumlah induk yang ada sekarang ni aktif sekitar 300 ekor dan dijangka sehingga akhir tahun ni saya ada stok induk sehingga 500 ekor. "Anak ikan berukuran sekitar tiga inci ini dijual dengan harga RM8 hingga RM9 seekor secara borong,"kata Azree.    Sementara itu , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim  berkata, Azree merupakan satu satunya usahawan penternakan ikan kelah di daerah Ajil sentiasa konsisten serta komitted dalam perlaksanaan projeknya. "Oleh sebab itu, kami di peringkat DUN Ajil melantik dia sebagai ikon belia bagi sektor Akuakultur dan Peladangan bagi memberi semangat pada belia lain menceburi bidang yang sama. “Nasihat saya kepada belia ialah rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bayar balik jasa ibu bapa kita,” katanya yang meluangkan masa meninjau perkembangan ternakan ikan kelah tersebut.
10 Dec 20
5462
Primula Beach Hotel Ambil Langkah Pencegahan COVID-19
Primula Beach Hotel Ambil Langkah Pencegahan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Primula Beach Hotel melaksanakan operasi sanitasi membabitkan bangunan dan persekitaran hotel secara berkala. bagi meningkatkan keyakinan pelancong datang ke Terengganu. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata program itu bertujuan untuk memastikan Primula Beach Hotel kekal selamat dan bersih agar dapat memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk menginap di hotel yang merupakan salah satu anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Katanya, ia juga bagi memberikan kesedaran kepada umum untuk sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. “Kami telah mengambil inisiatif dalam mencegah penularan wabak COVID-19 dengan menganjurkan program sanitasi  Primula Beach Hotel secara berperingkat dengan kerjasama oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu. “Antara kawasan hotel yang terlibat adalah kawasan yang melibatkan tumpuan orang ramai seperti Kawasan Lobi Hotel, Bayu Restaurant,Anjung Bistro, Kuala Kopi Launge,Bayu Launge,Dewan Seminar, Bilik Tetamu dan sekitarnya,”katanya ketika dihubungi. Seramai 17 orang anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu yang diketuai oleh Puan Rozizah Ibni Hajar,Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Hiliran dan juga Pegawai Bomba Kanan II mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kota telah turut serta program kali ini. Tambah Suaibah, pihak hotel berharap dengan penganjuran program seperti ini,  dapat bersama-sama membendung wabak Covid-19 daripada terus menular dan memberikan kepercayaan kepada awam untuk mengunjungi Primula Beach Hotel tanpa rasa ragu. "Pekerja kami juga melakukan kerja nyah cemar dan sanitasi secara berterusan di semua bilik dan kemudahan hotel sejak PKP lagi selain mematuhi garis panduan ketat diarahkan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga,”katanya.  
09 Dec 20
1117
Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu
Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu
  HULU TERENGGANU, 9 Disember - Di kala remaja seusianya masih mencari identiti diri, Nur Hidayu Rosli, 20, tidak kisah bergelumang dengan najis lembu malah pernah digelar gadis lembu kerana menguruskan ternakan itu yang menjadi minatnya sejak kecil. Anak bongsu daripada lima beradik itu menganggap 10 ekor lembu peliharaannya sebagai teman terbaik sejak kecil lagi dan pernah terluka ketika menyelamat salah seekor lembunya yang terbelit tali di bawah rumah.  “Saya tak kisah tanggapan orang ramai malah bangga menceburi bidang ini.Memang ada yang kata saya berkawan dengan lembu dan banyak menghabiskan masa dengan haiwan kesayangan tapi ada juga yang memuji. "Saya tidak kekok melakukan kerja menguruskan lembu seperti memberi makan dan membersihkan najis malah sanggup mencerut rumput  untuk memberi makan tanpa rasa penat atau segan. “Rutin setiap hari, jam 10 pagi akan mengheret lembu-lembu ini ke padang rumput sejauh 200 meter dan akan jenguk dua kali sebelum membawa pulang pada lewat petang,”katanya yang lebih mesra denggan panggilan Ayu ketika ditemui di kampung Pantai Ali, Kuala Berang. Dia yang turut dibantu oleh abang, Muhammad Faizal, 27, berkata bidang penternakan lembu sudah sebati dengannya sejak berusia enam tahun kerana selalu mengikut arwah ayah dan setelah kehilangan tonggak keluarganya akibat kanser hati pada bulan Mac 2020, dia mengambil alih tugas berkenaan dengan rela hati. “Soal jantina tidak menjadi penghalang, apa yang penting minat dan kesanggupan untuk bergelumang dengan najis dan bau busuk lembu. “Keluarga tidak pernah memaksa melakukan kerja menguruskan lembu termasuk memberi makan dan membersihkan najis di kandang sebaliknya ia dilakukan kerana minat sebelum keluarga memberi kepercayaan kepada saya menguruskan ternakan,”ujarnya lagi. Setiap lembunya mempunyai nama tersendiri seperti Kembang, Jantan, Merah, Siti dan Sor merupakan kesayangan Ayu sejak kecil  malah pernah menangis apabila Sor kemalangan ketika berusia tiga bulan yang mengakibatkan rahang patah. “Setelah pihak klinik mengatakan Sor tidak ada harapan untuk pulih, saya dan mak mula merawatnya dengan mengikat kain di sekeliling rahang dan memberikan daun kayu untuk di makan. “Syukur Alhamdulillah, akhirnya Sor sudah normal seperti biasa dan kami cukup gembira melihatnya,”katanya yang bercita-cita menjadi penternak wanita berjaya satu hari nanti. Sementara itu, Zaini  berkata, dia bangga dengan kecekapan anak perempuan bongsunya  menguruskan lembu di ladang seperti orang lelaki. Jelasnya lagi, dia tidak kisah dengan cemuhan dan tanggapan masyarakat sekeliling terhadap Ayu kerana sebagai ibu, dia lebih mengenali anak sendiri. “Ayu merupakan anak yang baik, dia buat semua untuk saya dan tidak semua orang seusianya yang sanggup mengurus lembu di ladang, cukup lasak namun anak saya mampu melakukannya dengan baik dan ia sesuatu yang membanggakan. “Dia sanggup korbankan cita-citanya dan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam Diploma Senibina di UiTM Machang dengan alasan kalau dia tiada siapa yang nak uruskan ternakan, mak kan tak sihat. “Hatinya cukup penyayang terutama kepada binatang, dan sekarang Ayu turut membela 13 ekor kucing di rumah termasuk binantang lain,”ujar Zaini lagi. Sebagai ibu, Zaini yakin Ayu mampu  pergi jauh dalam bidang ini selain berharap pembabitan anaknya itu dapat membuka mata masyarakat terutama golongan wanita untuk turut sama menceburi bidang ini. “Saya bangga dengan kesanggupan anak menguruskan lembu di kandang kerana saya sedia maklum dengan cabaran yang ada walaupun dia masih remaja. “Bukan semua wanita mampu dan sanggup menguruskan lembu di kandang tetapi apabila dia mampu melakukannya dengan baik, ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.  
09 Dec 20
4998
Setiu Model Pembangunan Tanah Terbiar
Setiu Model Pembangunan Tanah Terbiar
SETIU, 8 Disember – Daerah Setiu bakal dijadikan sebagai model membangunkan tanah terbiar dengan pelbagai aktiviti pertanian. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, terdapat lebih 1,000 hektar tanah terbiar yang boleh dimajukan menjadi tanah produktif dengan mengeluarkan hasil pertanian. Katanya, tanah-tanah tersebut mempunyai pemilik namun tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut. "Bayangkan dengan keluasan tersebut jika ditanam dengan benda yang boleh memberi manfaat, berapa banyak hasil yang kita akan dapat. Contohnya Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Setiu ada 27 hektar tanah yang telah diberi milik melalui proses RTB daripada tahun 2000 dan ke atas, namun 2020 ini tidak sampai 20 peratus daripada tanah telah diusahakan.  "Kita bekerja bersungguh-sungguh menunaikan hasrat rakyat untuk memiliki tanah tapi dalam masa yang sama ia perlu ada gabung jalin daripada bawah yang bersungguh-sungguh mengusahakannya. Akhirnya, ia memberi pulangan hasil kepada keluarga kita sendiri. "Kita akan jadikan RTB di Pengkalan Aman sebagai ‘pilot’ projek bagi memajukan tanah terbiar. Antaranya kita akan tanam dengan tanaman kontan dan juga mangga harum manis," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik (Geran) dan Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, baru-baru ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, tanaman harum manis sangat subur jika ditanam di kawasan-kawasan berkenaan. Ini kerana kadar kemanisan buah harum manis yang ditanam di Rhu Tapai telah mendapat bacaan brix meter sehingga 23 berbanding di Perlis hanya 22. "Ia membuktikan bahawa harum manis ini mampu ditanam di kawasan tanah beris. "Sebenarnya tanah yang tidak dimajukan ini mengikut Kanun Tanah Negara ada peruntukan hak yang membolehkan kita rampas semula tapi kerajaan negeri bukan mahu merampas. "Yang kita mahukan adalah berpakat fikir cari jalan, buat kajian, panggil jumpa berbincang apa sebab dan apa faktor yang menyebabkan tanah ini terbiar," jelasnya. Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 253 orang telah menerima geran dan 104 penerima jadual 5A. "Jadi bukan semua di kalangan rakyat kita bernasib baik untuk mendapat tanah. Maka yang boleh tanah ini tidak dimanfaatkan ia menjadi satu kerugian, sekiranya memerlukan bantuan teknikal dan sebagainya jabatan-jabatan sedia membantu," katanya. Beliau turut menegaskan kepada penerima jadual 5A supaya menjelaskan bayaran sebelum habis tempoh. "Ini kerana ia akan merumitkan lagi keadaan untuk proses seterusnya. Jangan dibandingkan dengan harga tanah zaman dahulu kerana ia bergantung kepada penilaian tanah semasa," jelasnya.
08 Dec 20
1390
138 Pemilik Terima Kunci Rumah Taman Kertih Sri Gemilang 2
138 Pemilik Terima Kunci Rumah Taman Kertih Sri Gemilang 2
KEMAMAN, 8 Disember - Seramai 138 pemohon menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Kerteh Sri Gemilang 2, Kerteh di sini hari ini. RMM ini merupakan salah satu projek bermasalah yang menjadi rumah penswastaan pertama di bawah kerajaan negeri dan berjaya diselesaikan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata pembiayaan RMM itu ditanggung sepenuhnya oleh pemaju, dan pembeli hanya perlu membuat bayaran setelah segala proses perumahan itu siap sepenuhnya. "Yang ni peruntukan daripada pemaju 100 peratus, kita hanya beri tanah sahaja bawah tabung warisan dan untung pun tidak banyak. "Kelulusan masuk tapak pada 2016, selepas berunding secara muhibbah dan alhamdulillah pihak pemaju ambil tindakan dan siapkan dalam tempoh yang dijanjikan," katanya. Beliau berkata demikian di majlis penyerahan kunci RMM terbabit hari ini. Menurut Dr Alias, rumah teres berharga RM73 hingga RM80 ribu setiap satu itu yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Sementara itu, menyifatkan penerimaan kunci rumah hari ini sebagai rezeki, Che Yam Sri Che Sulaiman, 36, salah seorang penerima RMM tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya. Che Yam yang bekerja juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kerteh berkata, dia memohon rumah tersebut sejak 2011 lagi dan tidak menyangka menjadi salah seorang daripada pemilik 138 unit rumah yang dibina. “Saya memang tak sangka, bersyukur sangat dapat rumah ini kerana ini rezeki saya, isteri dan lima anak kami. "Memang susah nak dapat dan selama lima tahun pertama saya mengharap kelulusan tetapi selepas itu, saya tidak lagi meletakkan sepenuhnya pengharapan yang ia akan berjaya," ujarnya. Bagi Rohaizan Abd Manan, 38, hari ini merupakan detik bersejarah baginya dan suami setelah menunggu hampir 10 tahun sejak 2010. "Memang sangat berharap dapat rumah sendiri sebab dah lama menyewa.Memang tak sabar nak berpindah lepas ni," katanya. Untuk rekod, satu lagi projek penswastaan bawah kerajaan iaitu RMM Padang Setengga kini dalam proses akhir disiapkan setelah mengalami pelbagai masalah.
08 Dec 20
3540
Penternak Siakap Sangkar Kerugian RM50,000
Penternak Siakap Sangkar Kerugian RM50,000
KUALA TERENGGANU, 8 Disember – Banjir kilat yang melanda pada 2 Disember baru-baru ini telah mengakibatkan seorang pengusaha ternakan ikan siakap sangkar kerugian kira-kira RM50,000.  Pengusahanya, Talib Manap, 61, berkata kejadian tersebut berlaku kerana terdapat kayu yang hanyut di Sungai Kuala Ibai dan melanggar sangkar ikan miliknya. Keadaan sangkar ikan yang pecah “Apabila kayu itu hanyut dan melanggar sangkar ikan saya, maka sangkar itu pecah dan ikan-ikan dalam sangkar tersebut semua terlepas. “5 buah sangkar telah pecah dan menyebabkan kira-kira 3,500 ekor ikan telah terlepas,” kata Talib ketika ditemu bual oleh pemberita. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut hadir ke lokasi, semalam bagi meninjau keadaan sangkar ikan itu.  Muhammad Khalil menemui pengusaha sangkar ikan “Kami di pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkenaan perkara ini. “Insya-Allah tindakan selanjutnya akan diambil untuk sekurang-kurangnya dapat meringan bebanan kerugian yang ditanggung oleh pengusaha,” kata Muhammad Khalil. Dimaklumkan, kira-kira 40 peratus kadar kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha melibatkan sebanyak 20 buah sangkar ikan secara keseluruhannya. Talib menunjukkan paras air ketika banjir berlaku
08 Dec 20
1041
Rentas Negeri, Jangan Ambil Mudah
Rentas Negeri, Jangan Ambil Mudah
KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil mudah atau leka selepas kerajaan membenarkan aktiviti merentas daerah dan negeri di seluruh Malaysia kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Dato’ Dr Aminuddin Hassim meminta rakyat supaya kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk memakai topeng muka ketika berada di luar rumah. Katanya, aspek keselamatan terutamanya dalam situasi sekarang sangat penting kerana rakyat Terengganu khususnya perlu menangani 'bencana dalam bencana' iaitu banjir dan pandemik COVID-19. “Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menamatkan semua sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara bermula hari ini dan kemungkinan akan ada pergerakkan kenderaan merentas daerah dan negeri yang agak tinggi hujung minggu ini. “Justeru, saya harap orang ramai patuh kepada SOP dan amalkan kebersihan yang tinggi termasuk sentiasa memakai topeng muka terutama ketika berada dalam kalangan ramai orang dan menjaga penjarakan sosial,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Bencana Negara (BGBN) Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman. Mengulas mengenai lawatan ke negeri ini, beliau berkata, pihak NADMA sudah melakukan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengenai  isu-isu berkaitan banjir dan COVID-19 seperti persiapan dan kemudahan malah mendapat pelbagai maklum balas serta cadangan. “Sebagai agensi pusat kita akan lihat apa yang boleh dibantu, kerana banjir kali ini agak mencabar kerana bukan sahaja masalah banjir tetapi juga COVID-19. Maka, kita juga akan mencari jalan terbaik bagi mengatasinya,” katanya. Sementara itu katanya, kebenaran merentas daerah dan negeri ini diharapkan tidak dijadikan pesta oleh orang ramai dengan berkumpul beramai-ramai terutamanya di kawasan berisiko banjir. “Walaupun mereka hendak ziarah keluarga, atau sebagai NGO yang mahu sumbang makanan kepada mangsa banjir, di musim COVID-19 ini ada tatacara yang perlu dipatuhi. “NGO sepatutnya gunakan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) di daerah-daerah untuk menghantar barang bantuan supaya kita dapat rekod dan aturkan ke mana perlu bantuan tersebut disalurkan manakala orang ramai pula perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan diri menjadi keutamaan,” ujarnya.  
07 Dec 20
1064
Komited Bantu Nasib Pengusaha Bot Penambang - Dr. Khairuddin
Komited Bantu Nasib Pengusaha Bot Penambang - Dr. Khairuddin
KUALA NERUS, 7 Disember - Masa depan industri bot penambang di Kuala Terengganu yang kini tidak menentu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Mohd Khairuddin dalam satu majlis telah menyerahkan bantuan pelampung keselamatan, kewangan serta beras dan minyak masak secara bulanan kepada 15 pengusaha sektor tersebut. Beliau turut berkata, pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk merancang dan melaksanakan kaedah terbaik untuk meningkatkan sambutan bot penambang dengan mengadakan promosi dari semasa ke semasa.  "Sebelum ini perkhidmatan awam air  mendapat sambutan pada awal tahun  walaupun tambang dinaikkan RM2 sehala namun setelah wabak Covid-19 melanda sejak Mac lalu, sambutan semakin merosot.  "Di peringkat kerajaan, saya akan turut berbincang dan memberi suntikan program-program menerusi Duyong Marina Resort yang mempunyai para pelanggan yang hendak menikmati pandangan sekitar ‘Drawbridge’," ujarnya selepas Majlis Penyerahan Pelampung Keselamatan Pengusaha Bot Penambang di Jeti Penambang di Kampung Seberang Takir, baru-baru ini.     Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bot Penambang Terengganu, Muhamad Ibrahim, berkata jumlah pengusaha bot penambang terus berkurangan dari sejak akhir-akhir ini. “Dua tahun lepas, terdapat 17 pengusaha bot penambang, tetapi kini hanya tinggal 15 sahaja yang aktif. Ramai berhenti kerana tidak puas hati dengan pendapatan dan sambutan diterima," ujar beliau.  Bagi Mahmud Harun, 62, salah seorang pengusaha bot penambang di Seberang Takir, dia pernah merasai zaman kehebatan bot penambang pada satu ketika dahulu. "Bot penambang bukan asing di Terengganu. Jika dahulu ia menjadi pengangkutan terpenting namun kini kemodenan tidak lagi memihak kepada pengusahanya. "Akan tetapi ia sudah berubah, lebih-lebih lagi apabila tiba musim tengkujuh, pendapatan kami sebagai pengusaha bot penambang sangat merosot," katanya.      
06 Dec 20
499