Artikel "Utama" Terkini
Tiada Kes Daging Import Haram Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Terengganu tidak mencatatkan sebarang kes berkaitan isu daging sejuk beku import haram atau tidak halal berdasarkan pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, kementerian sebelum ini telah mengarahkan pemeriksaan di seluruh negeri bagi mengesan lokasi penghantaran produk haram tersebut.
“Ini adalah tindak balas segera selepas menerima berita tentang kegiatan kartel daging di Johor Bharu, baru-baru ini.
“Setakat ini, hasil pemeriksaan berterusan mendapati tiada isu berbangkit berkaitan dagin import, halal dan sebagainya di Terengganu, boleh dikatakan daging import di sini selamat,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Mengulas isu kenaikan harga bawang, Saharuddin berkata, setakat ini tiada aduan diterima dan belum ada tindakan yang perlu diambil berkenaan perkara tersebut.
“Kebiasaannya ramai pihak merujuk kepada kami tentang mengapa berlaku sesuatu peningkatan harga, kemudian penjelasan akan diberikan bersama sebab peningkatan oleh kementerian sendiri.
“Peningkatan harga bukan bermakna item tersebut tiada di pasaran tetapi kuantitinya terbatas.
“Pihak kerajaan telah mengambil tindakan dalam isu bawang sekarang seperti isu bawang kecil dari India, solusi alternatif diambil adalah membekalkan barangan sama daripada negara lain seperti Pakistan, China, Vietnam dan sebagainya,” katanya.
24 Dec 20
6236
KPDNHEP Rampas Barang Berjumlah RM400,000
Oleh: Nur Farah Amirah Hamzah
KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merekodkan sebanyak RM446,278 hasil nilai rampasan dan RM147,750 nilai kompaun daripada tindakan 569 kes di beberapa daerah sekitar Terengganu bagi tahun 2020.
Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia berkata, Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 241 kes diikuti dengan 127 kes di Besut, 108 kes di Kemaman dan kes terendah di Dungun dengan 93 kes.
“Jumlah kes tersebut adalah mengikut statistik pemeriksaan yang merangkumi 49,777 pemeriksaan di seluruh negeri Terengganu pada tahun sama.
"Pecahan daripada jumlah data operasi tersebut melibatkan 22,169 pemeriksaan di Kuala Terengganu, 9,017 di Kemaman, 9,412 di Dungun dan 9,179 di Besut. Kesemua pemeriksaan ini melibatkan 4,007 bilangan premis," katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas peringkat Terengganudi Pasaraya PXR, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, semalam.
Tambahnya, 15 kes telah disabit kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM192,300 untuk hukuman denda oleh mahkamah. Kesalahan ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Akta Cap Dagangan 2019.
Sementara itu, Saharuddin turut menasihati para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan dalam memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan melalui aplikasi telefon pintar, EzADU dan whatsapp ke 019-2794317.
"Aduan juga boleh diajukan di Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian telefon di 1800-886-800, e-mel menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my, di media sosial Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu atau laporkan ke mana-mana pejabat KPDNHEP Negeri Terengganu," katanya lagi.
24 Dec 20
623
Banjir Gelombang Keempat Di Terengganu Mula Surut
KEMAMAN, 23 Disember – Perkembangan terkini fasa keempat banjir di Terengganu menunjukkan trend penurunan dari segi mangsa terlibat dan penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keseluruhan PPS di Terengganu menurun kepada 9 buah melibatkan 257 keluarga dan 999 orang mangsa masih terjejas.
“Jangkaan masa terdekat akan ditutup beberapa lagi pusat, namun kawasan pedalaman di Dungun kemungkinan ada kes lagi kerana situasi belum surut lagi.
“Antara cabaran yang telah diatasi dalam pengurusan fasa ini dalam aspek pengedaran bahan-bahan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perkara ini telah ditangani secepat mungkin tidak sampai 12 jam," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas tentang jangkaan fasa seterusnya, beliau berkata, tiada jangkaan buat masa sekarang sebagaimana laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Jika ada hujan berterusan dan tidak terlalu lebat di satu atau dua tempat pada hari Krismas ini. Setakat ini air pasang pun telah tamat pada 21 Disember lalu dan jangkaan akan datang pada awal januari nanti,” katanya petang semalam.
Beliau turut menasihati mangsa yang sudah dibenarkan ke rumah agar sentiasa berhati-hati terhadap risiko binatang berbisa dan objek asing di rumah.
“Perkara ini perlu dilihat terlebih dahulu sebelum dibersihkan secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zakaria Shaaban berkata, pengurusan banjir di Terengganu adalah lancar dan teratur.
“Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri turut berpuas hati dengan keadaan pengurusan mangsa di PPS ini,” ujarnya.
23 Dec 20
619
Kerajaan Lulus RM4.5 Juta Atasi Masalah Banjir
KEMAMAN, 22 Disember - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM4.5 juta bagi pembinaan empat laluan pembentung untuk mengatasi masalah banjir di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, projek itu akan dilaksanakan pada Jun depan di kawasan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.
"Projek ini diluluskan Perdana Menteri selepas kerajaan negeri membuat permohonan sebelum ini, berita baik ini telah dimaklumkan semasa kunjungan sebentar tadi
"Pembinaan pembentung sepanjang 30 meter ini dijangka akan bermula bulan Jun tahun hadapan dan siap dalam tempoh enam bulan, insya-Allah.
"Ini satu berita yang menggembirakan bagi penduduk di Kemaman khususnya yang tinggal di RMM Teluk Kalong selepas setiap tahun, mereka terlibat dengan banjir dan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Di kawasan perumahan ini terdapat 500 rumah membabitkan lebih 2,000 penduduk dan saya berharap peruntukan besar ini mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat PPS di Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Mentok hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid..
Ahmad Samsuri (kiri) dan Hanafiah (tengah) berbincang mengenai situasi banjir di Kemaman bersama Muhyiddin (kanan).
Dalam perkembangan berkaitan, Hanafiah memaklumkan, projek tebatan banjir atau sungai tiruan berhampiran Binjai ke Tasik Buku, Kemaman bagi fasa satu akan dimulakan Mac 2021.
"Fasa itu melibatkan kos RM150 juta, manakala peruntukan RM150 juta lagi bagi fasa kedua dengan tender akan dikeluarkan selepas (selesai) fasa pertama," ujarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai itu, peruntukan tambahan RM40 juta turut dipohon bagi menyelesaikan beberapa urusan pengambilan tanah dalam fasa pertama.
"Apabila siap dalam tempoh antara lima hingga ke tujuh tahun lagi, kita harap banjir tidak akan lagi melanda bandar Chukai, insya-Allah," katanya.
22 Dec 20
2114
Perdana Menteri Santuni Mangsa Banjir Kemaman
KEMAMAN, 22 Disember - Seramai 487 mangsa banjir disantuni Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bukit Mentok.
Beliau yang diiringi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut mengagihkan bantuan keperluan harian kepada 140 keluarga di PPS berkenaan.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada penduduk dari sekitar Tanjung Bukit Mentok Sejak pembukaan PPS tersebut pada 19 Disember, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Menemubual seorang penerima, Ismail Mamat, 56, menyatakan perasaan terkejut apabila pertama kali berjumpa dengan Perdana Menteri Malaysia.
"Walaupun sudah lima hari berkampung disini bersama isteri dan dua anak tapi seronok dapat jumpa dan sempat bersembang tanya khabar dengannya," katanya yang juga seorang penghidap strok.
22 Dec 20
756
Peniaga 'Bundle' Berputih Mata Rugi RM5,000
KEMAMAN, 22 Disember – Seorang peniaga ‘bundle' rugi lebih RM5,000 apabila beg-beg jualan ditenggelami air banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, baru-baru ini.
Mangsa, Saiful Mohd, 32, berkata, dia tidak menyangka air naik setinggi paras pinggang pada hari Jumaat lalu.
“Walaupun telah meletakkan barangan ke tempat tinggi, tapi air naik di luar jangkaan dan menyebabkan stok 400 kilogram (kg) atau hampir 1,000 beg bundle terapung atas air.
“Itu tidak termasuk barangan rumah juga yang tidak sempat diselamatkan. Namun begitu, mana-mana beg bundle yang dapat diselamatkan saya akan guna kembali.
“Harap supaya saya dapat meniaga kembali seperti biasa dalam masa terdekat di Padang Astaka, Chukai (khamis), berdekatan Pasar Borong, Dungun (jumaat), ‘Carboot sale’ Taman Tas, Kuantan (Sabtu) dan Pasar Karat, Kuantan (Ahad)," katanya yang juga seorang bapa kepada dua anak.
Mengulas tentang usaha pembersihan Khidmat Malaysia Terengganu di kawasan perumahannya, Saiful berkata, bantuan tersebut meringankan bebannya dalam menghadapi musibah ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata, mereka di perumahan tersebut menghadapi musibah besar buat kali pertama sejak tahun 2015.
“Antara punca paling besar adalah hujan turun di Kemasik hampir 313mm dalam sehari berbanding 200mm sebulan.
“Masalah keberkesanan ‘culvert’ juga antara faktor, oleh itu permohonan sedang diusulkan kepada peringkat kerajaan pusat bagi peruntukan RM 1.6 juta bagi culvert tambahan.
“Kerajaan negeri akan membantu semampu yang mungkin dalam isu ini,” ujarnya.
22 Dec 20
2432
Adun Belia Mahu Kerajaan Perbanyakan Peluang Kerja
KUALA TERENGGANU, 21 Disember- Sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu menyuarakan hasrat kepada kerajaan negeri agar mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia dan graduan dalam pelbagai sektor.
Langkah itu penting bagi mengelak angka pengangguran di negeri ini terus meningkat kepada tahap yang lebih membimbangkan.
Ianya perlu difikirkan walaupun menyedari negara, termasuk Terengganu kini berdepan penularan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.
Adun Belia Kuala Berang, Che Wan Amir Che Wan Mansor mencadangkan supaya industri pembuatan dan pertanian di negeri ini terus diperkasakan.
Katanya, kedua-duanya saling berkait, sebagai contoh, bagaimana kilang-kilang yang menghasilkan produk-produk yang berasaskan bahan mentah daripada minyak kelapa sawit, mengambil bahan mentah seperti pati, minyak dan juga bahan-bahan yang berasaskan kelapa sawit yang di tanam oleh petani .
“Oleh itu, di antara perkara yang mampu untuk memberi nilai tambah kepada banyak pihak, atau pepatahnya 'serampang dua mata', adalah cuba memberi suatu kemudahan atau galakan kepada industri pembuatan, yang mana ingin bertapak dan beroperasi di negeri ini menggunakan bahan mentah atau sumber dari produk pertanian negeri ini.
“Hal ini secara tidak langsung mampu merancakkan industrI pembuatan yang mana telah lama dikenal pasti sebagai industri yang menawarkan peluang kerjaya yang tinggi kepada golongan belia khususnya serta mampu memberi pulangan kepada belia yang mengusahakan aktiviti agrikultur yang berkaitan,” katanya.
Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh, berkata kerajaan perlu memastikan golongan belia mendapat peluang pekerjaan yang benar-benar membuat mereka mampu mengatasi tekanan kos sara hidup sedia ada dan juga tekanan masa depan.
Katanya, penekanan perlu dibuat bagi memastikan peluang pekerjaan yang mahu ditawarkan kepada anak muda adalah bermaruah.
"Beri peluang pekerjaan, beri dana yang betul-betul mampu angkat anak muda ini mampu menghadapi tekanan masa hadapan, hadapi tekanan kos sara hidup yang semakin terdesak, “katanya.
21 Dec 20
441
Gabungan Dua Exco Bersama 300 Sukarelawan Di Teluk Kalong
KEMAMAN, 21 Disember –Lebih 300 anggota sukarelawan daripada Khidmat Malaysia Terengganu bersama dua Exco Kerajaan Negeri turun padang mencurah bakti membersihkan rumah hampir 500 buah yang terjejas akibat banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam gotong-royong kali ini adalah sukarelawan daripada Jabatan Amal, Terengganu Volunteer (T-VOLT), Alternative Riding Club Terengganu (ARC) dan lain-lain lagi.
“Program dapur rakyat turut menyediakan makanan untuk tuan-tuan rumah dan ahli keluarga yang terkesan di sini pada jam 11 pagi.
“Pasukan kami mengeluarkan harta benda dan peralatan rumah yang rosak dan membersihkan kawasan dalam rumah, mana barangan yang boleh diguna pakai kami selamatkan dan selebihnya dilupuskan menggunakan lori.
“Sekiranya ada lagi tempat lain di sekitar kemaman yang memerlukan tenaga kerja, kami akan santuni mereka juga,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Kijal, Hazri Jusoh.
Sementara itu, Hanafiah yang juga Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, berkata, pihak kerajaan dan sukarelawan terlibat bukan sahaja datang untuk membantu membersihkan rumah , tetapi menyalurkan makanan kepada penduduk setempat melalui dapur rakyat.
“Kita berkampung di Teluk Kalong bagi menjalankan sedikit usaha kebajikan sebagai nikmat kepada rakyat disini, walaupun mereka bersedihan, Insya-Allah, kita akan menolong semampu yang mungkin,” ujarnya.
Salah seorang mangsa, Nurfaraliza Che Hussein, 35, dia turut melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas usaha semua sukarelawan terlibat dalam membersihkan rumahnya yang paling teruk terjejas di kawasan itu.
“Hampir semua barang rosak termasuk peti sejuk, mesin basuh dan lain-lain lagi akibat paras air meningkat hingga paras pinggang.
“Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Exco kerana mengadakan gotong-royong dan pek hidangan harini, bantuan RM500 juga akan dimanfaatkan bagi membeli barangan keperluan,” katanya.
21 Dec 20
1202
“Terima kasih Primula Beach Hotel"
KUALA NERUS, 21 Disember – “Memang saya terharu dan tidak menyangka Pengurus Besar Primula Beach Hotel bersama-sama anak buahnya datang untuk membaiki atap yang rosak akibat ribut baru-baru ini,” ujar Ahmad Ameram Abdullah, 53 yang merupakan salah seorang kakitangan hotel berkenaan.
Bapa kepada tiga orang anak ini yang telah berkhidmat di hotel berkenaan sejak tahun 1991, kelihatan teruja dengan kedatangan pihak majikannya berkata dia cuma dimaklumkan bahawa ada pihak hotel akan datang membantunya membaiki atap yang rosak.
“Bila tengok Puan Suaibah sendiri yang datang, sebagai pekerja memang rasa terharu dengan kecaknaan yang ditunjukkan oleh beliau.
“Terima kasih yang tidak terhingga sebab membantu saya dan keluarga dalam keadaan diri yang masih tidak dapat bekerja buat sementara waktu ini…hanya Tuhan yang dapat membalasnya,”ujarnya yang turut patah tangannya antara siku dan bahu ketika cuba menukarkan atap berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pihaknya memperuntukan RM1,000 bagi kerja baik pulih bumbung kediaman pekerjanya yang terjejas susulan hujan lebat baru-baru ini.
“Peruntukan itu adalah bagi menukar sebahagian atap yang sudah pecah dan bocor termasuk membeli kayu dan peralatan lain.
“Saya amat berbesar hati dapat melaksanakan inisiatif mulia ini dengan kerjasama kakitangan-kakitangan lain serta dapat mempamerkan keprihatinan, kasih sayang dan komitmen dalam menangani pelbagai isu yang selaras demi keluarga besar hotel kami,”jelasnya.
Suaibah berkata demikian ketika ditemui selepas melawat rumah Ahmad Ameram di Taman Permint Perdana, Seberang Takir dekat sini, hari ini.
Tambah beliau, program itu adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana masyarakat mahupun kerajaan akan mengiktiraf usaha tersebut dalam memantapkan dan mengukuhkan lagi sesebuah organisasi melalui pandangan masyarakat yang merupakan pelanggan dan pekerja sebagai pihak berkepentingan paling utama.
21 Dec 20
791
Kediaman Terbakar, ADUN Manir Sumbang Bantuan Segera
HULU TERENGGANU, 21 Disember - Nasib 13 mangsa kebakaran melibatkan dua kediaman di kampung Beladau Kolam Manir semalam, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun.
Mangsa, Razman Razak, 45, dan Abdul Halim Mahmud, 40, menerima sumbangan wang tunai bantuan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Manir ketika turun diziarahi selepas kejadian itu.
Ustaz Hilmi berkata, sumbangan tersebut adalah tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin pihaknya kepada warga DUN.
“Biarpun masih belum mencukupi untuk menampung jumlah diperlukan, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mangsa,” jelasnya ketika ditemui pihak media semalam.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Manir, Ustaz Syuqiman Tahar berkata, pembinaan rumah baharu akan dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan.
“Agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan PKM DUN Manir bertanggungjawab membantu mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini," katanya.
Dilaporkan semasa kejadian, tuan rumah Razman berada di sangkar ternakan ikannya dan ketika kejadian juga anak-anak bermain di luar rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
21 Dec 20
507