Artikel "Utama" Terkini
Anakanda Sultan Terengganu Santuni Mangsa Banjir
DUNGUN, 9 Januari- Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di Kemaman dan Dungun, hari ini.
Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu berangkat tiba bersama Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja ke Kemaman, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kemaman.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md. Azahar dan disambut oleh Pegawai Daerah serta wakil-wakil rakyat tempatan.
Pada sebelah pagi, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda berkenan mencemar duli dan menyantuni rakyat negeri Terengganu yang terlibat banjir di PPS Dewan Berlian ( 528 keluarga), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman (339 keluarga), PPS Sekolah Menengah Agama Al Falah (165 keluarga) dan PPS SK Chukai (185 keluarga) serta mengurniakan sumbangan hamper kepada mangsa-mangsa.
Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda turut berkenan mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa di di PPS Kampung Pasir Raja dan PPS Kampung Jongok Batu, daerah Dungun pada sebelah petang.
Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda juga berkenan mengurniakan sumbangan hamper selain mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir sebelum berangkat balik.
09 Jan 21
1547
PPS Di Hulu Terengganu Ditutup Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 88 mangsa banjir di Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya hari ini.
Penutupan PPS di Kampung Batu 23 dan Paya Besar, Kuala Berang itu secara rasminya pukul 4 petang tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas paras air di dua kawasan yang terjejas surut sepenuhnya.
“Semua mangsa melibatkan 21 keluarga ini sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat," ujarnya.
Sementara itu, Che Adam berkata, jumlah mangsa banjir di dua daerah yang masih terjejas iaitu Kemaman dan Dungun semakin menurun.
Katanya, setakat pukul 4 petang tadi jumlah mangsa yang ditempatkan di 50 PPS daerah berkenaan merekodkan 10,124 mangsa daripada 2,566 keluarga.
"Di Kemaman seramai 7,897 mangsa daripada 1,930 keluarga ditempatkan di 25 PPS.
"Sementara, 25 PPS di Dungun pula menempatkan 2,227 daripada 636 keluarga," ujarnya.
09 Jan 21
381
Jumlah Mangsa Banjir Tiga Daerah Di Terengganu Semakin Berkurang
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 11,699 orang pagi ini berbanding 12,727 malam tadi.
Sehingga jam 10 pagi ini, kesemua mangsa daripada 2,982 keluarga masih ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.
Pada 10 malam tadi, semua mangsa yang terdiri daripada 3,364 keluarga dipindahkan ke 53 PPS di daerah sama.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman kekal menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa seramai 9,314 orang.
Katanya, jumlah itu membabitkan 2,310 keluarga di 27 PPS berbanding 10,452 mangsa daripada 2,575 keluarga di 26 PPS.
"Di Dungun, seramai 2,297 mangsa membabitkan 651 keluarga ditempatkan di 24 PPS.
"Dua PPS masih dibuka di Hulu Terengganu bagi menempatkan 88 mangsa daripada 21 keluarga," ujarnya.
Che Adam berkata, ketika ini cuaca mendung dan ada kalanya hujan di beberapa tempat manakala paras sungai menunjukkan trend menurun di sebelah hulu.
09 Jan 21
166
Sungai Tiruan, 'Vaksin' Banjir Di Kemaman
KEMAMAN, 9 Januari – Kerajaan Negeri memohon kerajaan pusat mempercepatkan kerja-kerja pembuatan sungai tiruan (bypass) agar penduduk yang menghadapi banjir di Kemaman tidak lagi dibelenggu risiko bencana tersebut pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, difahamkan bahawa ‘tender’ akan dikeluarkan pada bulan tiga tahun ini untuk fasa pertama pembinaan.
“Bypass tersebut akan memakan masa selama lebih dua tahun untuk siap daripada Sungai Kemaman ke ‘Floodway’.
“Saya mengharapkan fasa kedua juga dipercepatkan supaya semua air mengalir turun dari Sungai Cerul dan Sungai Air Putih boleh berpecah kepada dua apabila sampai di Kemaman.
“Satu akan menghala ke Sungai Kemaman dan satu lagi arus memasuki Sungai Bukit Kuang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan udara mengenai keadaan banjir di daerah Kemaman dan Dungun, petang semalam.
Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar.
Tambah Hanafiah, birokrasi perlu dikurangkan bagi mengelakkan berlaku lagi bencana tersebut.
“Banjir hari ini mengulangi banjir pada tahun 2014, namun begitu, saya juga harap mangsa banjir di sini bersabar menerima ujian daripada Allah SWT,” katanya.
08 Jan 21
1613
Mangsa Banjir Di Terengganu Menurun Ke 12,727
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Mangsa banjir di Terengganu kini mencatatkan seramai 12,727 orang melibatkan 3,210 keluarga sehingga jam 10 malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebanyak 52 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah ketika ini iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Kemaman kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dimana 10,452 orang ditempatkan di 26 PPS.
"Dungun pula seramai 2,187 mangsa di 614 PPS manakala dua PPS di Hulu Terengganu masih lagi menempatkan 88 orang," ujarnya.
Che Adam berkata, keadaan cuaca semasa mendung dan kadang kala hujan di beberapa tempat.
"Paras sungai pula masih lagi menunjukkan trend menurun di sebelah hulu," katanya.
08 Jan 21
283
Tunggu COVID-19, Banjir Berakhir Baru PRU-15 - Abdul Hadi
MARANG, 8 Januari - "Biar selesai COVID-19 dan banjir dahulu. Tak kan tengah banjir dan COVID-19 merebak hendak buat pilihan raya," tegas Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS tidak bersetuju dengan desakan UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika negara masih bergelut dengan pandemik dan bencana bah.
Ujarnya, ia hanya akan menambah bebanan kepada rakyat Malaysia.
"Kita kena berbincang dengan pihak berkenaan termasuk dengan Kementerian Kesihatan terutama dalam suasana cuaca banjir yang tidak menentu kerana kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pihak tertentu supaya PRU-15 disegerakan selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengulangi pendirian PAS terus memperkukuh gabungan Perikatan Nasional (PN) di samping mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipertahan sebagai Perdana Menteri.
“Kita telah membina PN terus mengukuhkan gabungan itu, bukan untuk merobohkannya,” katanya.
08 Jan 21
925
Berita Palsu Banjir : Tindakan Tegas Akan Diambil
KEMAMAN, 8 Januari - Polis Terengganu memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap isu penyebaran berita palsu oleh sesetengah individu mengenai bencana banjir.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik menyatakan perbuatan tersebut adalah budaya tidak sihat dan boleh menimbukan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Penyebaran perkara yang tidak betul atau ‘fake’ adalah satu lagi budaya viral yang tidak sihat, ia juga akan menyebabkan kegusaran orang ramai.
“Pihak polis akan bertindak tegas melalui kertas siasatan jika ada laporan dibuat berkenaan isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan udara mengenai keadaan banjir di daerah Kemaman dan Dungun, hari ini.
Tambahnya, individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kemudaratan dan bencana.
Sementara itu, mengulas situasi banjir di Kemaman dan Dungun, Roslee memaklumkan berdasarkan pemantauan yang dilakukan, banjir dilihat masih bertahan dan banjir di sesetengah kawasan mula surut.
"Hasil pemantauan bersama Unit udara PDRM hari ini, kawasan Air Putih, Kampung Pasir Gajah, dilihat masih digenangi air.
“Bagaimanapun, ada kawasan yang mulai surut juga dan InsyaAllah dengan cuaca yang baik, banjir akan pulih," katanya.
Menurutnya, dua balai polis iaitu Balai Polis Pasir Gajah di Kemaman dan Balai Polis Kuala Jengai turut terkepung ekoran limpahan air Sungai Pinang dan Sungai Dungun.
08 Jan 21
581
Situasi Banjir Makin Teruk Di Bandar Chukai
KEMAMAN, 8 Januari - Situasi semasa banjir di bandar Chukai kini hampir kritikal dengan beberapa jalan utama dan kawasan perumahan dinaiki air sejak jam 5.00, petang semalam.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Chukai, Mohd Zailani Abdullah melaporkan, air dari tiga batang sungai iaitu Sungai Teladas, Sungai Tebak dan Sungai Cerul telah mengalir sepenuhnya ke bandar tersebut mengakibatkan kawasan perumahan dan kampung dinaiki air sedalam satu meter.
"Kemungkinan kita anggarkan malam dan pukul 3.00 pagi akan ada peningkatan air serta laut air pasang kira-kira 2.7 meter pasti berlaku pertembungan antara air sungai daripada hulu dan air laut.
"Antara kawasan terkesan seperti di Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Tempurung dan juga kawasan di sekitar bandar Chukai.
“Banyak jalan raya turut ditutup seperti di Jalan Pandan, hanya kenderaan berat sahaja yang dibenarkan masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita selepas kerja menyelamat di kawasan Chukai, malam semalam.
Tambahnya, air turut melimpah masuk ke jalan utama dari Cukai menghala Geliga dengan paras 0.3 meter menyebabkan kesesakan trafik buat sementara waktu.
Sementara itu, Mohd Zailani turut menasihati orang ramai terutama penduduk di Chukai supaya mengikuti arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Jika berlaku situasi dimana mereka diarahkan berpindah, segera bertindak sedemikian supaya tidak menganggu kerja anggota penyelamat,” ulasnya.
Sehingga jam 12.00 pagi ini, Kemaman merupakan daerah paling terkesan akibat banjir dengan 2,640 keluarga terjejas terdiri daripada 10,734 mangsa di 28 Pusat Pemindahan Sementara di sekitarnya.
08 Jan 21
688
Tiga Daerah Di Terengganu Masih Dilanda Banjir
KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Tiga daerah di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu masih dilanda banjir dengan seramai 12,808 mangsa ditempatkan di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 10 pagi tadi.
Setakat ini, kesemua mangsa daripada 3,216 keluarga itu ditempatkan di 28 PPS di daerah Kemaman (11,091 mangsa), 17 PPS di Dungun (1,581 mangsa) dan tiga PPS di Hulu Terengganu (136 mangsa).
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, PPS di Besut telah ditutup dengan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Che Adam berkata, keadaan cuaca ketika ini mendung, namun adakalanya hujan di beberapa tempat.
Menurutnya, paras air sungai juga menunjukkan trend menurun di sebelah hulu.
08 Jan 21
963
Banjir 'Tenggelamkan' Balai Bomba Chukai
KEMAMAN, 8 Januari – Hujan lebat berterusan di daerah ini turut mengakibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai 'ditenggelamkan' banjir pada petang semalam.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, punca kejadian tersebut berlaku adalah disebabkan peningkatan air sungai Kemaman berhampiran balai itu.
“Jarak antara sungai tersebut hanya 10 meter sahaja, banjir tahun 2017 paling memberi kesan dengan kenaikan air paras 0.3 meter.
“Namun begitu kerja penambaikan telah dijalankan bagi mengelakkan peristiwa tersebut berlaku kembali.
“Tetapi tiap kali hujan lebat dan air hulu turun, pasti akan menyebabkan balai itu dimasuki air, namun keadaan masih terkawal dan tidak menghalang kerja operasi pihak kami,” katanya ketika ditemu bual pemberita, malam semalam.
Sementara itu, Mohd Zailani juga memaklumkan rumahnya dan anggota lain turut dinaiki air banjir di sekitar Chukai.
“Kebanyakan kami (anggota) menetap di Taman Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Alamanda, Taman Pengkalan Pandan dan Taman Akasia.
“Dalam situasi tersebut, pihak kami terutamanya Jabatan Bomba telah terlatih secara fizikal dan mental, namun sedikit kesedihan itu ada kerana tidak sempat selamatkan rumah sendiri," ulasnya.
08 Jan 21
2098