Artikel "Utama" Terkini
Mangsa Banjir Terengganu Tinggal 1,694 Orang
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu semakin surut dengan hanya tinggal 1,694 mangsa daripada 504 keluarga yang masih berada di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi ini.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman masih mempunyai 1,302 mangsa daripada 404 keluarga.
“Kesemua mangsa banjir terbabit masih ditempatkan di sembilan PPS di seluruh Kemaman.
“Manakala lapan PPS pula masih aktif di Dungun dengan menempatkan 392 mangsa daripada 100 keluarga,” katanya.
Che Adam berkata, cuaca mendung dilaporkan di kebanyakan kawasan terlibat dengan cuma sebahagiannya masih hujan.
Tambah beliau, paras lembangan sungai utama di kedua-dua daerah itu juga menunjukkan trend penuranan di bahagian hulu.
Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu telah menjejaskan lebih 13,000 penduduk di lima daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
11 Jan 21
234
Kerajaan Mahu Perkasa Mahkamah Syariah Melalui RUU 355
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan pusat meneruskan hasrat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah secara komprehensif dengan pelbagai kaedah termasuk melalui pindaan Akta 355.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, komitmen negara bagi tujuan itu boleh dilihat apabila jawatankuasa teknikal untuk membuat dan menggubal beberapa akta atau pindaan-pindaan yang bersesuaian telah ditubuhkan.
“Ia melibatkan beberapa proses penting yang perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dibentangkan mengikut tertib dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Ada diantaranya sedang menunggu untuk dibentangkan di Parlimen untuk dibincangkan mengikut kesuaian masa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Hakim-Hakim, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Tahun 2021 di Bilik Gerakan, Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.
Katanya Dr Zulkifli, kerajaan akur bidang kuasa mahkamah berkenaan hari ini terbatas dengan peruntukan mengikut Akta 355 dan had hukuman diperuntukkan kadang kalanya dilihat tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.
"Kini, kita dalam usaha penambaikan dan memang memfokuskan lebih kepada menaikkan kadar hukuman sedia ada dengan melihat situasi semasa hari ini,”jelas beliau.
Sementara itu, mengulas tentang cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya melaksanakan sistem QR Code pada produk import di semua pintu masuk negara bagi mengesan daging tidak halal, pihaknya memberi jaminan akan menggunakan sistem berkenaan sebelum hujung bulan ini.
"Pihak kami sedang dalam proses meneliti proposal yang diserahkan berkaitan sistem ini dan insya-Allah sebelum akhir bulan ini, kami akan cuba laksanakan beberapa hal berkaitan dengan halal menggunakan sistem ini.
"Hasil perbincangan yang boleh dikatakan hampir setiap minggu dilakukan dengan pihak berkaitan mengenai sistem ini, pihaknya yakin penggunaan sistem QR Code pada produk import boleh menjamin keselamatan dan mengelak masalah seperti kartel daging haram berulang," katanya.
11 Jan 21
1994
Banjir Gelombang Kelima Terengganu Makin Pulih
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Banjir gelombang kelima di Terengganu yang melanda sejak Ahad lalu beransur pulih.
Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 6,613 mangsa ditempatkan di 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah negeri ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A Rahman berkata, ia membabitkan 1,612 keluarga di Kemaman dan Dungun.
"Setakat ini, masih terdapat seramai 6,045 mangsa daripada 1,416 keluarga ditempatkan di sebelas PPS di daerah Kemaman, manakala 568 mangsa daripada 151 keluarga juga masih ditempatkan di 11 PPS Dungun,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, cuaca semasa setakat hari ini mendung dan kadang kala hujan di beberapa tempat.
Terdahulu, banjir gelombang kelima yang melanda negeri ini pernah mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir melebihi 13,000 orang dengan daerah Kemaman paling teruk terjejas.
10 Jan 21
521
Pusat Kuarantin, Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 Diaktifkan
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengaktifkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu dibuat susulan peningkatan ketara kes positif yang melibatkan individu tidak bergejala dan bergejala ringan.
"PKRC ini yang mula dibuka semalam dan telah menempatkan seramai enam orang pesakit COVID-19 berisiko rendah yang dikuarantinkan selama 10 hari bagi mengelakkan daripada penularan bertambah.
“Pembukaan dibuat secara berfasa dengan kapasiti maksima sebanyak 150 buah katil. Kapasiti bagi permulaan ini adalah sebanyak 58 buah katil yang kemudian akan ditambah secara berperingkat.
“Pengoperasian PKRC ini diletakkan di bawah Hospital Sultanah Nur Zahirah dengan bantuan tenaga kerja dari hospital-hospital di negeri Terengganu, jadi elakkan daripada menjadi penyebab tambahnya beban kepada ‘frontliners’ yang banyak berkorban untuk kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan di sini.
Hadir sekali, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Menurut Dr Alias, sehingga kini sebanyak enam 'Home Surveilance Centre (HSC)' atau Pusat Kuarantin dibuka.
“Empat HSC berkenaan adalah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Marang, Institut Pendidikan Guru (IPG), Batu Rakit, Akademik Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Marang, Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILIM), Besut, Pusat Latihan dan Pembungan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur, Wakaf Tapai dan Darul Iman Training Center (DITC), Kemaman.
“Sehingga 9 Januari 2021, seramai iaitu 482 Person Under Surveillance (PUS) atau belum positif lagi, masih di kuarantin bagi tujuan pengawasan dan pemerhatian.
“Individu yang diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian kerana mempunyai risiko jangkitan COVID-19 dan dikuaratin selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan bagi memastikan selamat sebelum discaj,” ujarnya.
10 Jan 21
2443
Lebih 70 Peratus Kes Positif COVID-19 Berkait Rentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Sebanyak 73.6 peratus kes positif COVID-19 di Terengganu sejak 7 Disember adalah melibatkan individu rentas negeri dari kawasan berisiko.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya mendapati kes melibatkan golongan itu meningkat selepas saringan ke atas individu yang memasuki Terengganu diperluas.
“Ramai yang didapati positif hasil rentas negeri, apabila mereka pulang ke kampung dan berjumpa dengan ahli keluarga, perkara ini berpotensi akan menyebarkan lagi wabak tersebut secara tidak sedar.
“Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko COVID-19.
“Saya juga ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan, Kuala Terengganu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi menyatakan, keseluruhan kes positif COVID-19 di Terengganu sejak awal penularan telah mencecah 455 kes sehingga 9 Januari 2021.
“112 kes sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya lagi.
Tambah beliau, sehingga kini, tiada lagi rekod kes positif wabak melibatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sama ada yang disahkan, disyaki atau bergejala.
10 Jan 21
814
Mahkamah Sesyen, Majistret Setiu Mula Operasi Hari Ini
SETIU, 10 Januari - Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu di Taman Tarom Permai, Mukim Tasek Setiu mula beroperasi, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, perpindahan dua mahkamah itu ke premis baharu bertujuan memberi keselesaan kepada orang awam serta pihak yang berurusan dengan mahkamah.
"Perpindahan ini juga diharap dapat melengkapkan kemudahan dan memberi keselesaan kepada pegawai dan kakitangan mahkamah yang bertugas di kedua-dua mahkamah berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Menurut Takiyuddin, Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu sebelum ini beroperasi di sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak di tengah-tengah Bandar Permaisuri.
“Premis mahkamah di tapak asal yang berusia kira-kira 33 tahun mempunyai ruang pejabat terhad dan kurang kemudahan khas bagi orang kelainan upaya (OKU) dan orang awam yang berurusan dengan mahkamah.
“Ketika membuat lawatan kerja ke Mahkamah Setiu pada 22 Jun tahun lepas, saya telah bersetuju agar Mahkamah Setiu dipindahkan sementara ke bangunan baru yang lebih selesa dan kondusif,” ujarnya.
Katanya, pada masa yang sama kerajaan sedang mengusahakan satu bangunan kekal bagi Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu ini di Kampung Binjai Manis, Mukim Hulu Setiu.
“Kita jangkakan projek pembinaan mahkamah di atas tanah seluas 3 ekar ini dapat dilaksanakan pada 2023 dengan anggaran kos RM30 juta,” ujarnya.
Katanya, Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu baharu yang beroperasi di bangunan yang disewa sementara ini akan dijadikan model untuk dilaksanakan di lokasi lain di seluruh negara.
“Selain itu, kita juga telah kenal pasti lima mahkamah litar yang sedang beroperasi di bangunan yang tidak berapa selesa untuk orang awan serta pegawai dan kakitangan sendiri.
“Masing-masing dua di Sabah dan Sarawak serta satu di Johor. Untuk tahun ini kita akan naik taraf atau melakukan penambahbaikan tiga buah terlebih dahulu iaitu di Pengerang (Johor), Papar (Sabah) dan Mukah (Sarawak).
10 Jan 21
2230
Tuisyen Rakyat Beri Nilai Tambah Persediaan SPM
SETIU, 11 Januari - Program Tuisyen Rakyat yang diadakan melalui inisiatif kerajaan Terengganu menjadi satu nilai tambah kepada persediaan pelajar menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Februari nanti.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam memastikan kecemerlangan pelajar SPM di negeri ini terus dikekalkan
"Setelah segala usaha kita lakukan, kita serahkan kepada Allah SWT dengan segala kebergantungan kepadaNya, insya-Allah mudah-mudahan segala usaha kita semua diredhai olehNya."
Beliau berkata demikian ketika ucapan penutup pada program motivasi pelajar SPM DUN Permaisuri di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Kampung Guntung Luar baru-baru ini.
Program Tuisyen Rakyat yang diadakan selama tiga hari itu sebagai lonjatan dan pecutan akhir kepada pelajar tingkatan lima menghadapi peperiksaan SPM.
10 Jan 21
108
UniSZA Lahirkan Hero Komuniti Perdana
KUALA NERUS, 10 Januari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) buat julung kalinya menjalankan program komuniti dan sukarelawan yang dikenali sebagai Hero Komuniti Perdana : UniSZA Cakna di seluruh Malaysia termasuk negara luar.
Seramai 1,500 siswa melaksanakan program komuniti tersebut termasuk alumni-alumni UniSZA yang berada di luar bagi membantu masyarakat di Indonesia, Thailand, Kemboja, Nigeria, Mauritius dan Palestine.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato' Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, program itu merupakan satu inisiatif untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik ini melalui mahasiswa UniSZA yang prihatin.
“Di Sarawak, ada sukarelawan kami terpaksa meniti jambatan usang untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan OKU dan dalam masa yang sama turut mendekati barisan ‘frontliner’ negara untuk menyampaikan bantuan.
“Malah, di negeri-negeri yang dilanda banjir juga turut dibantu oleh pelajar UniSZA dengan mengadakan program gotong royong membersih rumah, menyampaikan sumbangan bantuan dan membantu mangsa banjir di pusat pemindahan”, katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Hero Komuniti Perdana : UniSZA Cakna secara atas talian yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Dr. Noraini Ahmad, menerusi platform Webex dan Facebook live di Kementerian Pengajian Tinggi (KMT) dan juga secara langsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA Kampus Gong Badak, hari ini.
Menurutnya lagi, di luar negara pula, program itu sertai oleh barisan alumni-alumni UniSZA yang berjiwa besar mahu membantu masyarakat mereka di sana.
“Keenam-enam negara ini menganjurkan program yang cukup hebat seperti di Kemboja yang membantu penduduk Islam di sana dengan membaiki infrastruktur sekolah, masjid dan pembinaan telaga.
“Di Thailand, memberi pendedahan Pendidikan komunikasi Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak luar bandar secara berterusan dan di Palestin pula, menghulurkan bantuan pemasangan langsir di sebuah dewan untuk kegunaan aktiviti masyarakat serta penanaman 100 anak pokok zaitun,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata UniSZA telah berjaya membuktikan bahawa pelaksanaan aktiviti dan program tidak terbatas serta tidak menjadi halangan dengan ketiadaan mahasiswa di kampus.
“UniSZA mengambil pendekatan kreatif dan pro aktif dengan menjadikan keberadaan mahasiswa di kampung halaman masing-masing sebagai peluang untuk membolehkan mereka berbakti kepada masyarakat di kawasan mereka.
“Saya sarankan supaya universiti lain juga, tidak mengira daripada IPTA mahupun IPTS, boleh mengambil pendekatan yang sama seperti yang telah dijalankan oleh UniSZA dan mungkin mahasiswa boleh bekerjasama dengan universiti lain bagi melaksanakan sesuatu program di kawasan mereka," ujarnya lagi.
Beliau turut menasihati pelajar-pelajar yang terlibat untuk menjaga keselamatan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutamanya kawasan yang dilanda banjir dan berstatus zon merah.
10 Jan 21
667
"Ia Adalah Satu Hadiah Tidak Ternilai"
HULU TERENGGANU, 10 Januari – "Selepas hampir 12 tahun menunggu, impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga," kata Mohd Azhar Ali, 42, seorang penerima Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang diluluskan di negeri ini.
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia yang membuat permohonan sebelas tahun yang lalu gembira apabila terpilih menerima bantuan berkenaan.
"Saya sudah lama menyewa rumah. Bantuan datang tepat pada masanya dan ini ialah hadiah dan kesenangan untuk isteri dan anak - anak saya.
“Saya sebagai suami dan ketua keluarga kini boleh menarik nafas lega kerana dapat menyediakan sebuah rumah yang selesa untuk didiami bersama isteri dan empat anak tersayang walaupun tidak sebesar mana.
"Bantuan ini meringankan beban dan memberi kemudahan kepada saya yang bekerja sebagai penghantar barang di sebuah Syarikat Kurier," katanya yang ditemui selepas menerima bantuan berkenaan baru-baru ini.
Beliau menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman kassim di majlis penyerahan di Kampung Bukit Ara, Ajil di sini.
Sementara itu, Maliaman berkata, sebanyak 3 unit Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah dilulus dan ditawarkan kepada pemohon di Dun Ajil pada tahun 2020.
“Kerajaan negeri melancarkan program PPTS ini bagi membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan mempunyai kediaman sendiri dan sentiasa memberikan keutamaan kepada pembekalan rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah dan sederhana rendah kepada penduduk di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga sentiasa komited membantu menyelesaikan isu kemiskinan di Terengganu dengan melaksanakan pelbagai program termasuk bantuan seperti PPTS.
“Kita berharap lebih banyak bantuan seperti ini dapat diberikan kerana Kerajaan Negeri komited dalam usaha membantu menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.
10 Jan 21
676
Delegasi MOSTI Mengadap Sultan Terengganu
Oleh : Safiq Sapai
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyembah maklum mengenai perolehan vaksin COVID-19, kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Hashim berkata, pertemuan mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu adalah bagi menyembah maklum perkembangan tentang perolehan vaksin COVID-19 yang dibeli oleh Malaysia serta perkembangan semasa pandemik di negara ini dan seluruh dunia.
“Saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menghadap baginda bagi menyembah maklum berkaitan perolehan vaksin COVID 19 di Malaysia.
“Saya juga menyembah maklum akan usaha kerajaan melalui Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di dalam membangunkan Pelan Vaksinasi Negara, perolehan vaksin, pembangunan kepakaran dan kemudahan pengeluaran vaksin tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas usai pertemuan yang diadakan di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, di sini, Khamis lalu.
Hadir sama dalam delegasi itu, Ketua Setiausah MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan STI, Dato’ Parang Abai@Thomas.
Sehubungan itu, Amzad turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Dato` Pengelola Bijaya Diraja dan Setiausaha Sulit Kanan Tuanku Sultan Terengganu kerana telah menyelaras majlis pertemuan itu.
09 Jan 21
1060