Artikel "Utama" Terkini
Keperluan Mangsa Banjir Diutamakan
DUNGUN, 8 Januari – Kerajaan negeri akan memastikan segala keperluan dan permasalahan mangsa banjir yang terjejas di daerah ini diatasi segera.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya sedang giat menangani isu yang dihadapi mangsa banjir dari segi kesesuaian pusat pemindahan sementara (PPS) dan keperluan berbangkit.
Katanya, melihat kepada kesesakan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang, satu keputusan telah dibuat untuk mewujudkan PPS di kawasan bukit berdekatan kampung itu.
"Pihak kami sedang dalam proses menunggu peruntukan bagi menyediakan tempat berteduh alternatif kerana PPS sedia ada tidak selamat seperti disaksi ketika peristiwa banjir tahun 2014.
“Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Besi juga sedang giat menyelesaikan isu bekalan elektrik di tujuh PPS yang terputus akibat ‘substation’ ditenggelami air.
“Lima penjana elektrik akan dipinjam dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala dua lagi sedang diusahakan supaya mangsa tidak perlu bergelap pada waktu malam lagi,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) atas usaha mengagihkan bantuan awal berbentuk 39 kit banjir di kawasan tersebut.
“Pada peringkat DUN, kita akan usaha sebaik mungkin dengan menghantar barangan keperluan mentah seperti ayam dan sayur bersama jentera bot Unit Amal,” ulasnya lagi.
Terdahulu, seorang mangsa di PPS Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang, Ruslim Yusof, 50, menyuarakan cadangan supaya PPS di kampung tersebut ditambah bagi menampung hampir 200 lebih penduduk yang berisiko untuk dipindahkan.
“Tidak muat dewan ini bagi kita semua, tambah lagi dengan norma baharu yang memerlukan penjarakan sosial,” katanya yang juga bapa kepada empat orang anak.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung tersebut, Nor Zakirah Mohd Zaid, 30, turut menyuarakan kerisauan terhadap keadaan PPS tersebut kerana wujudnya risiko kenaikan air.
“Sekarang dengan 36 keluarga juga sudah tidak muat, dan beberapa mangsa telah dihantar ke rumah sanak saudara berdekatan, kita perlu membuka khemah di kawasan bukit berdekatan bagi menampung penghuni kepada lebih 90 rumah di kampung ini," katanya.
07 Jan 21
352
Lebih 11,000 Mangsa Banjir Dipindahkan Sehingga Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 7 Januari- Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila 11,898 mangsa daripada 2,987 dipindahkan ke 50 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 10 malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman mencatat bilangan paling ramai iaitu 10,153 mangsa daripada 2,469 keluarga.
"Air mula memenuhi bandar Chukai dengan lebih 10,000 mangsa dipindahkan ke PPS di daerah berkenaan.
"Kebanyakan jalan di bandar itu juga mula ditutup kepada kenderaan ringan sejak jam 7 malam tadi dan peniaga mula memindahkan barang berikutan bimbang kemungkinan berlaku kenaikan air secara mendadak lewat malam ini jika hujan lebat," ujarnya.
Katanya, banjir di Terengganu kini melibatkan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun (1,405 mangsa), Hulu Terengganu (228 mangsa), dan Besut (112 mangsa).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Dungun dan Kemaman sehingga 12 Januari ini.
07 Jan 21
1154
Limpahan Air Di Tasik Kenyir Normal
HULU TERENGGANU, 7 Januari - Limpahan air yang berlaku di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir merupakan situasi normal setiap kali tiba monsun timur laut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd, berkata hasil tinjauan hari ini menunjukkan ada berlaku kenaikan air namun orang ramai tidak perlu panik atau takut dengan fenomena itu.
"Ia adalah perkara normal dan berlaku setiap tahun dan sehingga hari ini aktiviti pelancongan masih berjalan seperti biasa.
"Pihak berkaitan sentiasa membuat pemantauan terhadap sistem keselamatan di Tasik Kenyir dan akan memaklumkan jika ada berlaku perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita setelah membuat tinjauan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini hari ini.
Dalam pada itu, salah seorang pengusaha bot laju, Indra Irwana Deraman, 41, yang ditemui berkata, air mula melimpah ke tempat letak kereta sekitar jam 8 malam pada hari Ahad.
Katanya, paras air tasik mula meningkat selepas hujan lebat melanda kawasan tersebut secara berterusan sejak empat hari.
"Saya memang terkejut bila tengok keadaan semalam sebab dah beberapa tahun ia tak berlaku sejak 2014 dan 2017.
"Namun setakat pagi ini, keadaan masih terkawal jika dibandingkan dengan banjir besar pada 2014 sehingga tapak bangunan bebas cukai berhampiran tenggelam ," katanya.
Tambah Indra lagi, jika limpahan berlaku, dia dan rakan-rakan terpaksa menambat bot-bot dan rumah bot mereka supaya tidak hanyut ke daratan.
"Jika bot kami terdampar di daratan, ia akan menyukarkan untuk dibawa turun kembali kedalam air terutama rumah bot yang memerlukan masa dan tenaga," ujarnya.
07 Jan 21
1404
Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat Petang Ini
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak mencecah 9,322 orang daripada 2,316 keluarga setakat jam 6 petang ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 6,511 mangsa banjir daripada 1,623 keluarga pada jam 10 pagi tadi.
Katanya, setakat ini 46 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat daerah terjejas iaitu 25 di Kemaman, Dungun (14), Hulu Terengganu (empat) dan Besut (tiga).
"Daerah yang paling teruk terjejas iaitu Kemaman terus merekod pertambahan jumlah mangsa kepada 7,781 orang daripada 1,875 keluarga berbanding 5,368 orang daripada 1,296 keluarga sebelah pagi tadi.
"Sementara Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 1,201 orang daripada 347 keluarga berbanding 849 orang daripada 244 keluarga sebelum ini," ujarnya.
Che Adam berkata, jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu pula merekodkan peningkatan kepada 228 orang daripada 67 keluarga, berbanding 200 orang daripada 60 keluarga.
"Manakala di Besut jumlah mangsa bertambah kepada 112 orang daripada 27 keluarga berbanding 94 orang daripada 23 keluarga," katanya.
07 Jan 21
823
Walau Banjir, Kenduri Sambut Menantu Tetap ‘On’
HULU TERENGGANU, 7 Januari - Kenduri menyambut menantu di Kampung Pengkalan Ajal, dekat sini, yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa diubah perancangannya selepas kawasan itu dilanda banjir malam tadi.
Bagi bapa pengantin lelaki, Mohd Idris Che Alas, 66, tidak menyangka hari penting untuk keluarganya itu bertukar menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan apabila kediamannya itu dinaiki air.
"Secara jujurnya, kami tidak menjangkakan banjir berlaku sekali lagi luar daripada kebiasaannya.
"Majlis yang dirancang selama dua bulan sepatutnya berlangsung dengan kemeriahan itu tetap diteruskan jika banjir tidak surut dengan menukar perancangan yang mana kami akan membungkus makanan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar yang terjejas banjir.
"Jemputan hanya terhad kepada 100 orang termasuk tempahan makanan dan ia tidak menjadi masalah jika ditukar kepada perancangan baharu yang dibuat oleh kami sekeluarga," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Sementara itu, bagi pengantin lelaki Ahmad Lokman Nil Hakim Mohd Idris, 28, berkata ia akan menjadi kenangan dalam hidupnya dan juga isteri.
Walaupun begitu dia bersyukur kerana telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Norsyamimi Mat Razi, 27, pada 2 Januari lepas.
"Ia terpaksa diteruskan sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini ekoran semua telah ditempah.
"Jemputan sudah dibuat, daripada batal lebih baik kami teruskan seperti biasa atau bungkus jika banjir masih tidak surut,” katanya.
07 Jan 21
625
Redah Banjir Hadir Akad Nikah
DUNGUN, 7 Januari - Perasaan gembira dan redha jelas di muka bakal pengantin lelaki, Mohd Al Hafiz Razilah, 32, ketika meredah banjir di Kampung Rantau Panjang di sini bagi menghadiri majlis ijab kabulnya, pagi tadi.
Hafiz yang juga kakitangan awam berkata, rumahnya tidak dinaiki air, namun jalan menghubungkan kampungnya ke luar Bukit Besi digenangi air paras pinggang.
"Persiapan kahwin telah lama buat tapi bila ditimpa musibah ini, ia suatu pengalaman besar yang tidak boleh dilupakan terutamanya dengan banjir besar sebegini.
"Barang hantaran semua selamat setelah dipindahkan ke rumah kakak, sekarang ini dengan baju pengantin di tangan akan bertukar pakaian di masjid berdekatan.
"Sekarang saya bersama ibu saya akan ke rumah pengantin perempuan, Nur Fatihah Hashim, 30, di Kampung Nyior Paka," katanya ketika ditemu bual pemberita hari ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Rantau Panjang.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut berada di tempat kejadian berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi memudahkan urusan rakyat.
"Hari ini kami dalam bagi pengagihan bantuan keperluan harian kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang," jelasnya
Menurut laporan banjir terkini sehingga jam 2.00 petang, situasi banjir di Dungun merekodkan dua PPS baharu dibuka menjadikan keseluruhan kepada 11, melibatkan 336 keluarga terjejas terdiri daripada 1159 orang mangsa.
07 Jan 21
512
Kemaman Paling Teruk Terjejas
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Kemaman kekal menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di negeri ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, setakat pukul 10 pagi ini, seramai 5,368 mangsa daripada 1,296 keluarga dipindahkan ke 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah berkenaan.
“Di Dungun pula, seramai 849 mangsa daripada 244 keluarga kini ditempatkan di sembilan PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.
“Sementara, Hulu Terengganu, 3 PPS dibuka bagi menempatkan 200 mangsa daripada 60 keluarga,” ujarnya.
Che Adam berkata, Besut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir awal pagi ini di mana 2 PPS dibuka dengan menempatkan 94 mangsa daripada 23 keluarga.
Katanya, mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 6,511 penduduk daripada 1,623 keluarga melibatkan empat daerah di negeri ini.
“Berdasarkan keadaan semasa, cuaca kelihatan mendung dan kadang-kadang hujan di beberapa tempat.
“Manakala,beberapa lembangan sungai utama di negeri ini menunjukkan trend menurun di sebelah hulu,” ujarnya.
07 Jan 21
1219
Bomba Selamatkan Tiga Beranak Terkandas Banjir
HULU TERENGGANU, 7 Januari - Tiga beranak yang terkandas banjir hampir tiga jam berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian di Kampung Kepah, Telemong, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dikerah ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.30 malam.
"Ketika tiba di lokasi, kita dapati sukar untuk menurunkan bot ke dalam sungai untuk menyeberangi ke kawasan pertanian yang terletak di seberang Sungai Telemong melalui Kampung Matang dan terpaksa menukar laluan ke Kampung Kepah.
"Air sungai yang deras agak menyukarkan untuk operasi pada malam ini, dan kita menggunakan sebuah bot untuk membawa keluar kesemua mangsa yang terdiri daripada dua orang dewasa, seorang warga emas berusia lingkungan 47 hingga 70 tahun," katanya kepada pemberita selepas operasi tamat pada jam 10.30 malam.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Mat Zaid Mamat, 47, berkata dia bersama ibunya, Minah Dollah, 70, serta kakaknya, Rohani Mamat, 54, ke seberang sungai untuk menabur benih padi bagi menggelakkannya rosak.
Katanya, mereka bertiga menyeberangi sungai menggunakan bot fiber seawal jam 2 petang bagi menyiapkan kerja pembenihan tersebut.
"Kerana terlalu asyik bekerja, kami tak sedar hari hampir gelap dan ketika ingin pulang, air sungai makin besar.
"Saya cuba untuk menyeberang menggunakan bot fiber tapi arus deras menyukarkan pergerakan menyebabkan terpaksa berpatah balik lebih-lebih lagi mak tak pandai berenang," ujarnya lagi.
Zaid yang menyedari hari hampir gelap cuba menghubungi kawan serta adiknya bagi mendapatkan bantuan daripada orang kampung untuk mengeluarkan mereka dari lokasi terbabit.
"Nasib baik mak bawa telefonnya dan saya hubungi adik untuk dapatkan bantuan tetapi orang kampung tidak berani untuk menyeberang disebabkan arus laju dan hari sudah gelap.
"Ada orang kampung yang telah menghubungi Bomba untuk selamatkan kami bertiga dan bila lihat bot bomba datang, rasa sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang," katanya.
Tambahnya, mereka bernasib baik kerana tidak kelaparan walaupun terkandas lebih dari dua jam disebabkan bekalan makanan yang dibawa dari rumah.
07 Jan 21
555
Banjir Di Terengganu Bertambah Teruk
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila 2,410 mangsa daripada 655 keluarga dipindahkan ke 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga 10 malam ini berbanding 910 mangsa (238 keluarga) di 10 PPS setakat 3 petang kelmarin.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, banjir gelombang kelima di negeri ini bertambah teruk sekali gus menyebabkan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir di empat daerah negeri ini.
Katanya, hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang besar telah menyebabkan banjir mula merebak ke daerah Setiu dan Hulu Terengganu selain Kemaman dan Dungun.
“Kemaman kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,665 mangsa daripada 422 keluarga telah dipindahkan ke 16 PPS.
“Seramai 612 penduduk dari 186 keluarga pula telah berpindah ke lima PPS di Dungun,” katanya.
Selain itu katanya, di Hulu Terengganu, dua PPS dibuka bagi menempatkan 126 mangsa daripada 43 keluarga.
"Manakala, Sebuah PPS telah diaktifkan di Setiu dengan tujuh mangsa daripada empat keluarga sudah mula berpindah masuk."
Che Adam berkata, hujan lebat masih berterusan terutama di bahagian pedalaman Terengganu.
07 Jan 21
1069
Demi Keselamatan Lapan Anak, Ibu Redah Banjir
HULU TERENGGANU, 7 Januari - Seorang ibu sanggup mengharungi air sepanjang 300 meter setiap kali banjir demi keselamatan nyawa lapan anaknya, termasuk seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU).
Roslina Mohammad, 42, yang turut ditemani suami, Mohd Zawawi Ghazali, 42, berkata, itulah rutin harus dilaluinya setiap kali musim tengkujuh kerana lokasi rumahnya yang rendah sering ditenggelami air.
“Kadang-kadang rasa sukar juga kerana perlu membawa anak-anak termasuk anak istimewa Aisyah Basyirah Zawawi, 11, dan anak bongsu yang baru berusia dua tahun sambil mengharungi air yang dalam.
"Namun demi keselamatan mereka, saya tetap gagahkan diri untuk melakukannya," katanya ketika ditemui di di pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Tapah, di sini.
Roslina bersama suami dan lapan anaknya, antara 26 mangsa banjir yang ditempatkan di balai raya berkenaan.
Jelasnya, dia mula berpindah pada jam 10 malam apabila menyedari air semakin naik akibat limpahan Sungai Berua susulan hujan lebat selama beberapa hari.
"Belakang rumah air dah naik hingga paras pinggang, mula rasa bimbang dan terus bawa anak-anak keluar sebelum ia semakin teruk.
"Tak sempat capai pakaian, cuma ambil yang penting sahaja sebab pada masa itu, hanya terlintas keselamatan kami sekeluarga," katanya.
07 Jan 21
230