lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

JPJ Terengganu Kutip Hasil Bayaran Tanpa Tunai Lebih RM8 Juta
JPJ Terengganu Kutip Hasil Bayaran Tanpa Tunai Lebih RM8 Juta
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengutip lebih RM8 juta hasil pembayaran melalui aplikasi digital tanpa tunai atau 'cashless' sepanjang tahun lalu berbanding lebih RM5 juta tahun sebelumnya. Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, peningkatan yang berjaya direkodkan sebanyak 63.42 peratus berbanding tahun 2019 itu dilihat ketara selepas sistem pembayaran digital menerusi aplikasi tanpa tunai (cashless) diperkenalkan. Katanya, dengan peningkatan kutipan pembayaran lebih 50 peratus itu, pihaknya percaya pelanggan sudah mula menyenangi kewujudan aplikasi baharu itu yang merupakan satu budaya baharu dalam kehidupan hari ini bagi memutuskan penularan wabak Covid-19. "Kami yakin pelanggan sudah mula faham dan sedar pembayaran melalui aplikasi cashless diperkenalkan ini memudahkan urusan mereka dengan tidak perlu lagi datang ke mana-mana kaunter pembayaran selain tidak perlu lagi beratur di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi mengeluarkan wang seperti sebelum ini. "Kewujudan sistem baharu ini juga dapat meningkatkan tahap keselamatan bagi semua pengguna kad ATM, myDebit atau kad kredit," katanya ketika dihubungi Rabu. Menurut Zulkarnain, meskipun aplikasi baharu ini dilihat mendapat sambutan memberangsangkan, namun pihaknya masih meneliti dan mempertimbangkan keputusan untuk menggunakan sepenuhnya aplikasi cashless tersebut. "Kami akui pelanggan sudah mula menyenangi aplikasi baharu ini tetapi kita perlu juga mempertimbangkan situasi pelanggan terutama kategori warga emas. "Jadi, buat permulaan ini, kami menyediakan kemudahan aplikasi baharu ini mengikut jadual ditetapkan," katanya. Sementara itu, Zulkarnain turut mengingatkan kepada semua pelanggan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka serta menjaga penjarakkan sosial ketika berurusan di mana-mana premis JPJ di negeri ini.- SINAR HARIAN  
14 Jan 21
722
80 Sukarelawan UniSZA Bersedia Bantu Mangsa Banjir Di Kemaman
80 Sukarelawan UniSZA Bersedia Bantu Mangsa Banjir Di Kemaman
KUALA NERUS, 14 Januari - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memulakan inisiatif membersihkan kawasan terjejas banjir  dengan menghantar 80 sukarelawan bagi membantu operasi pasca banjir di Daerah Kemaman yang dilanda musibah itu. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr Mohd Afandi berkata, pihaknya menumpukan kepada membersih dan membaiki kediaman penduduk yang rosak akibat banjir baru-baru ini. "Alhamdulillah, sebanyak 25 buah rumah, tadika, balai raya serta surau telah dibersihkan oleh sukarelawan UniSZA dalam masa satu hari" "Penduduk kampung juga turun padang membantu sukarelawan ini selain dapat mengeratkan silaturrahim," katanya yang juga turut serta dalam Misi Bantuan Banjir UniSZA-KPT 2021. Sementara itu, menurut Mohd Afandi lagi, misi itu akan turut dilaksanakan di beberapa negeri yang dilanda banjir antaranya Johor, Perak, Pahang dan Kelantan. "Kita sudah pun ada pasukan Hero Komuniti di setiap negeri terbabit dan insyaAllah mereka akan melaksanakan misi masing-masing dengan membersih rumah yang dilanda banjir selain memberi sumbangan bantuan keperluan asas. "Setakat ini pun dah ada beberapa tempat yang telah melaksanakan misi tersebut walaupun tanpa peralatan dan pengangkutan yang cukup tapi mereka tetap meneruskan misi berkenaan dengan jayanya,”ujarnya.  
14 Jan 21
353
COVID-19 : Kuala Terengganu, Dungun Kini Zon Merah
COVID-19 : Kuala Terengganu, Dungun Kini Zon Merah
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Daerah Kuala Terengganu dan Dungun kini diisytihar sebagai zon merah susulan peningkatan kes COVID-19 di kedua-dua kawasan itu dalam tempoh 14 hari lepas. Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkata, 16  daripada 27 kes jangkitan baharu yang direkodkan di negeri ini adalah dari daerah Kuala Terengganu. "Sementara itu, daerah Dungun di sini berada dalam kedudukan kedua tertinggi dalam zon merah dengan 45 kes. "Berikutan pertambahan tersebut ia menjadikan kes dalam rawatan melonjak kepada 197 orang berbanding 178 semalam," jelas JKNT. Kenyataan juga menyebut, daripada 27 kes baru pada hari ini, lima kes adalah import B dan 22 kes penularan tempatan. "Sehingga hari ini, JKNT telah merekodkan pertambahan lapan kes sembuh dan 27 kes baru COVID-19 menjadikan terdapat 197 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 572 kes.  "Kesemua 197 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), PKRC Marang dan PKRC ILKKM Kuala Terengganu," menurut kenyataan itu. Berdasarkan rekod mulai 7 Disember 2020 hingga 13 Januari 2021, terdapat 118 kes Import B (rentas negeri) yang telah dicatatkan di Terengganu. "Setakat ini, kes-kes import B tersebut telah menghasilkan 59 kes penularan tempatan.  "Selain daripada itu, terdapat 59 kes penularan tempatan disebabkan oleh pendedahan kepada kes positif negeri luar yang datang ke negeri ini. "Oleh, itu bagi membendung penularan tempatan dan menjaga Zon Hijau di negeri ini, JKNT menggalakkan individu yang memasuki Terengganu hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan. "Sementara itu, mereka yang telah menjalani ujian saringan di luar Terengganu dinasihatkan untuk menunggu sehingga keputusan ujian diperolehi sebelum membuat perjalanan ke negeri ini," tambah JKNT. 
13 Jan 21
2631
PKPB : MAIDAM Terengganu Salur Bantuan Khas RM9.6 Juta
PKPB : MAIDAM Terengganu Salur Bantuan Khas RM9.6 Juta
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan bantuan khas sebanyak RM9.6 juta untuk membantu meringankan beban golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berkuat kuasa hari ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Rozi Bidin memberitahu, seramai 24,000 golongan asnaf yang terkesan susulan PKPB akan menerima bantuan khas antara RM300 dan RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR). Katanya, pengagihan bantuan khas itu akan dimasukkan terus ke akaun KIR selewat-lewatnya Rabu depan. "Bantuan khas yang akan disalurkan tidak membabitkan pemotongan bantuan bulanan dan bantuan sara hidup. "Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf yang turut terkesan berikutan bencana banjir dan PKPB seperti diumumkan kerajaan, kelmarin," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda pada sidang media di pejabatnya, hari ini. Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Zakat, Nazli Amirri Ngah. Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kaedah pengagihan bergantung kepada jumlah tanggungan. "Mereka yang mempunyai tanggungan melebihi tiga orang akan menerima sebanyak RM500 manakala kurang dari tiga tanggungan menerima RM300. "Ahli majlis mesyuarat MAIDAM memutuskan meluluskan bantuan khas selepas mengambil kira bebanan yang terpaksa dihadapi golongan asnaf yang terkesan susulan bencana banjir dan terbaharu PKPB diumumkan kerajaan membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah," katanya.
13 Jan 21
3658
PKPB: Lima Sekatan Jalan Raya Di Terengganu
PKPB: Lima Sekatan Jalan Raya Di Terengganu
HULU TERENGGANU, 12 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) selama 24 jam di lima lokasi yang diaktifkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok. Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata SJR selama dua minggu itu akan melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Besut. "Pihak kami akan mengadakan sekatan jalan raya  di sempadan antara Kemaman dengan Kuantan, Pahang iaitu RNR Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Pachakan dan Tok Saboh di Besut selama 24 jam. "Tindakan tersebut dilakukan di pintu-pintu sempadan negeri bagi memantau pergerakan keluar dan masuk terutama mereka dari zon merah  dalam usaha membendung penularan koronavirus (COVID-19). "Oleh itu, saya nasihatkan masyarakat supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana peningkatan kes yang begitu ketara akhir-akhir ni menyebabkan satu kegusaran kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas lawatan pemantauan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, di sini hari ini. Sementara itu, Rosli berkata pasukan pematuhan rondaan pematuhan SOP juga telah digerakkan di seluruh daerah seperti biasa. "Pihak kami mempunyai 544 pegawai dan anggota di seluruh daerah untuk menjalankan rondaan di semua tempat bandar kampung taman perumahan dan sebagainya. "Kita telah melalui PKP ini dari bulan Mac tahun lepas hingga sekarang jadi masing-masing sudah faham tentang SOP, jadi tolong bagi kerjasama kepada pihak berkuasa dan frontliner untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,"tambah beliau.  
12 Jan 21
40022
Tindakan Tegas Jika Sebar Berita Palsu Empangan Kenyir
Tindakan Tegas Jika Sebar Berita Palsu Empangan Kenyir
HULU TERENGGANU, 12 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berkaitan Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir.    Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata ini berikutan masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan berita palsu tentang banjir yang berlaku di Pantai Timur berpunca dari pelepasan air Tasik Kenyir. "Saya cuma nak bagi amaran kepada mereka di luar sana yang suka viral dengan mengatakan banjir di Terengganu disebabkan oleh air yang dilepaskan empangan, adalah tidak betul. "Jika ada mereka yang suka viral isu ini, kita boleh ambil tindakan dan siasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda. Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang didapati menyebarkan berita palsu,"katanya kepada pemberita selepas lawatan pemantauan ke Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud, di sini hari ini. Beliau berkata, Empangan Tasik Kenyir sebenarnya selamat dan telah banyak menyelamatkan kampung-kampung dan bandar di sekitar pesisir sungai Terengganu daripada banjir.    
12 Jan 21
2888
300 Tan Sampah Banjir Dilupuskan
300 Tan Sampah Banjir Dilupuskan
KEMAMAN, 12 Januari - Sekitar 300 tan sampah berjaya dikumpulkan dari seluruh kawasan banjir di daerah Kemaman. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memaklumkan, sebanyak lima kawasan pengumpulan turut diwujudkan bagi menampung kuantiti sampah yang dipungut oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). "Untuk pasca banjir, kita sudah bersihkan majoriti rumah-rumah terlibat dengan kerjasama beberapa anak syarikat negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Amal Malaysia, pejabat daerah, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan. "Kita juga telah kutip hampir semua sampah untuk dilupuskan. "Saya jangkakan semua sampah ini akan mengambil masa lima hingga tujuh hari untuk selesai dilupuskan," katanya. Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan proses pengumpulan sampah di Taman Asoka, Chukai hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri atas kemudahan yang disediakan. "Jutaan terima kasih kerajaan negeri, kerana memberi arahan kepada PBT seluruh negeri untuk menghantar keperluan pengangkutan dan tenaga kerja yang saya anggarkan hampir 100 buah lori bagi membantu kami," katanya. Dalam pada itu, Yang Dipertua MPK, Jusman Ibrahim menyatakan, tapak pelupusan sampah yang baru di Bukit Jemalang turut dibuka memastikan pengurusan sampah berlaku dengan baik. "Tapak itu sebenarnya dalam perancangan akan dibuka Jun ini, tetapi MPK buat keputusan supaya dibuka segera memandangkan ada keperluan dan ia mempunyai kemudahan yang lebih baik. "Ini kerana keadaan di tapak pelupusan di Bukit Takal agak padat ketika ini," katanya. Tambahnya, dijangkakan kuantiti sampah yang terkumpul mungkin meningkat sehingga 500 tan menjelang hujung minggu ini. "Setiap hari, kira-kira 500 orang kakitangan ditempatkan untuk urus proses pengumpulan. Dijangkakan, hujung minggu ini MPK akan tutup tempat ini. Manakala, baki sampah yang dianggarkan sekitar 10 peratus lagi akan dikutip dari rumah ke rumah selepas ini," katanya.                    
12 Jan 21
284
GLC Terengganu Hulur Sumbangan Bantu Mangsa Banjir
GLC Terengganu Hulur Sumbangan Bantu Mangsa Banjir
KEMAMAN, 12 Januari – Seramai 150 orang kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya menghulurkan bantuan kewangan bagi mengurangkan beban yang dihadapi mangsa banjir. Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, selain Epic Berhad yang menyumbang dana sebanyak RM150,000, tenaga sukarelawan bagi mencuci rumah mangsa banjir turut digerakkan anak-anak syarikat lain. “Di bawah pimpinan Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc dan EPIC Berhad, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kami telah gerakkan kerja kebajikan sejak mulanya banjir. "Antaranya seperti bantuan Kewangan oleh SATU sebanyak RM300,000 melalui Tabung Darul Iman. "Tambah lagi, bantuan air mineral kepada kawasan terjejas, bekalan sumber air bersih dan air mineral oleh Syarikat Air Terengganu (SATU), serta penyerahan 500 pasang kasut but kepada anggota penyelamat dan sukarelawan semasa banjir di Teladas, November lalu. “100 orang bersama-sama dengan EPIC Berhad turut dihantar membersihkan kawasan di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok sejak semalam. Usaha ini dilihat dapat membawa kakitangan kami untuk dekat bersama masyarakat dan memahami keperitan mereka,” katanya.  Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Strategik EPIC Berhad, Noor Tuah Jaafar. Sementara itu, Noor Tuah berkata, pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah lain seperti menyediakan tenaga pembersihan seramai 70 orang bersama jentera dan peralatan agar kesan banjir dapat dihapuskan dengan cepat.  "Kolaborasi berterusan sentiasa diadakan dengan DUN Chukai sekiranya ada keperluan usaha bantuan banjir di kawasan lain,” ujarnya. Dalam pada itu, Hanafiah Mat menyatakan, kira-kira RM100,000 telah dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan bagi lebih 1,000 buah rumah di Kemaman. "Secara keseluruhan di Chukai, lebih 20 kawasan perumahan terdiri daripada hampir 2,000 rumah terjejas, pihak kami akan cuba sedaya upaya bermula dengan pembersihan 500 buah rumah pada hari ini "Jutaan terima kasih kepada semua pihak sukarelawan GLC yang terlibat dalam usaha ini membersihkan Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Seri Nilam, Pengkalan Pandan dan kawasan lain di sini,” katanya. Prgram semalam disertai kakitangan Terengganu Inc, EPIC Berhad, SATU, TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Golden Pharos Berhad, TI Properties, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel.  
11 Jan 21
904
Banjir Di Terengganu Pulih, Semua Pusat Pemindahan Tutup
Banjir Di Terengganu Pulih, Semua Pusat Pemindahan Tutup
DUNGUN, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu pulih selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 2 petang tadi. Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, mangsa banjir terakhir yang menghuni PPS di Kemaman dan Dungun sudah dibenarkan pulang sebentar tadi. “Semalam, dua PPS di Kemaman dan Dungun merekodkan data terakhir pada pagi tadi sebanyak 1,694 mangsa lagi. “Banjir gelombang ini turut merekodkan data tertinggi mangsa dipindahkan sejak bermula musim banjir pada bulan November dengan hampir 14,000 ribu di seluruh negeri pada hari keenam,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita selepas tinjauan ombak di Pantai Teluk Lipat, Dungun, tengah hari tadi. Tambah Che Adam, beliau menasihati penduduk supaya bersiap sedia, walaupun tiada jangkaan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). “Terutamanya mereka di kawasan hulu dan pedalaman dan kita sentiasa kemas kini data terbaharu dengan jabatan berkenaan. “Tempoh amaran ombak laut dan angin kencang kini bertiup dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj sehingga 12 Januari manakala air pasang setinggi 2.7 meter direkodkan di Kuala Terengganu,” ujarnya.
11 Jan 21
279
Sultanah Terengganu Berkenan Lawat Mangsa Banjir
Sultanah Terengganu Berkenan Lawat Mangsa Banjir
DUNGUN, 11 Januari - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Masjid Kampung Serdang, di sini, hari ini. Keberangkatan baginda diiringi anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11.10 pagi turut diiringi oleh Puan Sri Nariah Mahmud, Datuk Radzuan Radziwil serta Cik Azizatul Shima Tan Sri Abdullah dan disambut Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan isteri, Suhaida Muhammad. Baginda turut berkenan mendengar taklimat yang disampaikan Pegawai Daerah Dungun. Sultanah Nur Zahirah dan anakanda berkenan mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa penduduk yang terjejas bah sebelum mengurniakan sumbangan makanan dan keperluan harian. Penerima sumbangan, Maliza Mat Ali 40, berkata kesempatan kali pertama dapat bersua dengan Sultanah Terengganu cukup menggembirakannya. Kata ibu kepada tiga anak itu, dia hanya melihat Sultanah Nur Zahirah di televisyen sebelum ini dan peluang dapat berjumpa dengan baginda cukup mengujakan. "Saya lebih bersyukur kerana baginda turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sini. "Terima kasih kepada baginda dan anakanda yang sudi menjenguk dan menghulurkan sumbangan," katanya yang terpaksa berpindah dua kali sejak gelombang keempat melanda Terengganu. Setakat 12 tengahari ini, mangsa banjir terus menurun kepada 517 orang di dua daerah di Terengganu berbanding 1,694 orang pada 10 pagi tadi
11 Jan 21
2056