lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PN Berjaya Keluarkan Rakyat Daripada Suasana Tak Harmoni
PN Berjaya Keluarkan Rakyat Daripada Suasana Tak Harmoni
KUALA TERENGGANU, 27 Februari –  Selama hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengeluarkan Malaysia daripada suasana tidak harmoni sejak awal 2018. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepimpinan kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjalankan tugas yang terbaik. “Walaupun berdepan dengan kedudukan yang sukar terutamanya menghadapi ketidaktentuan politik dan keadaan ekonomi yang merudum, banyak perkara telah dibatalkan dan sebagainya, kita masih berjaya mengawal dengan baik. “Dalam masa sama kita juga berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19, namun kerajaan PN telah melakukan yang terbaik bagi mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tak begitu harmoni pada tahun sebelum ini semasa awal 2018,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam. Mengulas berkenaan dakwaan UMNO yang ingin ‘merampas' semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15), beliau berkata perbincangan masih berjalan di peringkat pusat. “Ada formulanya, selagi belum berakhir perundingan kita akan pertimbangkan apa juga kemungkinan, tentulah mana-mana parti ingin mempertahankan hak masing-masing. “Kita akan melihat kerusi-kerusi lain dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan menentukan siapa yang sesuai bertanding atas faktor boleh menang kerana kita ingin mencapai kemenangan yang maksimum dalam PRU-15,” tambahnya.  
27 Feb 21
441
Pemvaksinan Fasa Satu Terengganu Selesai Selewatnya Bulan Mei
Pemvaksinan Fasa Satu Terengganu Selesai Selewatnya Bulan Mei
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Proses pemvaksinan fasa satu di Terengganu iaitu kepada keseluruhan petugas barisan hadapan yang bermula 2 Mac ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Mei. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia akan melibatkan lebih 15,000 orang ‘frontliners’ di seluruh negeri berpandukan senarai nama petugas. “Penerima tersebut terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan juga petugas barisan hadapan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain lagi. “Untuk makluman, bilangan dos vaksin diterima adalah sebanyak 16,380 dos yang disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sejurus sampai ke Terengganu sebelum diagihkan kepada kira-kira 20 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh daerah,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam. Tambah Nor Azimi yang juga antara penerima vaksin pertama, pusat pemberian vaksin akan melibatkan enam hospital dan 14 buah klinik kesihatan di seluruh negeri. “Fasa pertama ini mungkin akan tamat pada bulan April atau Mei bergantung kepada setakat mana kita boleh selesaikan senarai penerima vaksin. “Kita juga berbeza dengan negeri luar dan jumlah ‘frontliner berlainan dari negeri ke negeri,” katanya lagi.  
26 Feb 21
596
'Semut Gigit Lagi Sakit' - Reaksi MB Disuntik Vaksin
'Semut Gigit Lagi Sakit' - Reaksi MB Disuntik Vaksin
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menjadi individu pertama di negeri ini yang berjaya disuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech. Dr Samsuri berkata, proses pemvaksinan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesukaran. "Semut gigit lagi sakit, jarum pun tidak ada apa-apa kesukaran, tidak ada rasa pening-pening semasa melalui rawatan tersebut. "Oleh itu, saya seru semua rakyat supaya tidak perlu takut dan teruja menanti saat giliran masing-masing," katanya ketika ditemubual pemberita. Dr Samsuri menerima suntikan pada  jam 4.05 petang oleh jurusuntik, Sujanah Muhimin yang juga merupakan Ketua Jururawat Kesihatan HSNZ. Suntikan itu sebagai tanda simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan. Selain Menteri Besar, turut menerima suntikan vaksin ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus. Suntikan ke atas individu-individu berkenaan dibuat sempena pelancaran Program Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Rawatan Ibu Dan Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, sebentar tadi. Majlis diakhiri dengan menandatangani perasmian program tersebut di peringkat negeri kemudian kesemua penerima dipantau 30 minit selepas disuntik sebelum pelepasan diberikan.
26 Feb 21
681
PAS-T Sedia Kemahiran Vokasional Anak Autism
PAS-T Sedia Kemahiran Vokasional Anak Autism
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Terengganu kini dalam proses menyiapkan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAS-T) iaitu pusat jagaan anak-anak autism yang menyediakan pendidikan kemahiran vokasional bagi memupuk nilai berdikari. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat tersebut telah menelan belanja kos kira-kira RM2 juta dan dijangka bakal beroperasi pada Jun depan di Batu Buruk “Bangunan (belakang Kuala Terengganu Specialist Hospital) tersebut telah diubahsuai daripada kuarters kerajaan lama yang mempunyai empat bangunan, melibatkan kos termasuk kos operasi, kelengkapan pembelajaran kira-kira RM2 juta. “Kita akan menempatkan golongan sasar tersebut seawal dari umur tiga tahun. “Kebanyakan pusat autisme tidak memfokuskan pendidikan secara menyeluruh, oleh itu, model baharu yang dirangka ini akan memfokuskan kemahiran vokasional, kelas bersama pengajar pertuturan, kelas al-Quran dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya, melalui kesinambungan pendidikan yang diberi secara percuma kepada golongan B40, pusat tersebut dapat melahirkan lepasan berumur 17 hingga 18 tahun dengan kemahiran melakukan kerja dan mampu membina hidup sendiri. Terdahulu, cadangan pembangunan pusat model baharu itu telah dibentangkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rina Mohd Harun dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini. Untuk rekod, terdapat lebih 500 kanak-kanak autism di seluruh Terengganu yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
26 Feb 21
930
164 Peserta RTB DUN Telemong Terima Borang 5A
164 Peserta RTB DUN Telemong Terima Borang 5A
HULU TERENGGANU 24 Februari - Seramai 164 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) pertanian dan perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN)Telemong menerima notis borang 5A. Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, penerimaan borang berkenaan menandakan bahawa tanah tersebut akan dimiliki oleh peserta sepenuhnya tidak lama lagi  Katanya, ia melibatkan tiga kawasan RTB pertanian iaitu RTB Bukit Sireh di Kampung Kemat sebanyak 32 lot, Macang Gerahim di Kampung Matang 51 lot dan RTB Dusun 35 lot. Manakala satu RTB Perumahan di Bukit Jelutong 2, Kampung Nibong sebanyak 46 lot. "Peserta hanya perlu menjelaskan bayaran premium tanah yang ditetapkan untuk mendapatkan geran hakmilik. "Nak dapat tanah ini bukanlah suatu mudah, ada diantara kita telah menunggu sejak puluhan tahun untuk sampai ke tahap ini (Notis borang 5A), "Saya harap peserta dapat segerakan pembayaran premium yang ditetapkan, kerana ianya akan menamatkan penantian sekian lama untuk mendapatkan geran kekal," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyerahkan borang 5A kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Telemong, baru-baru ini. Tambah Safari lagi, pihaknya akan terus  membantu rakyat untuk memiliki tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto sebelum Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu. “Terdapat beberapa RTB pertanian dan RTB tapak rumah sedang dalam proses permohonan. "Dalam masa terdekat ini kita akan adakan majlis pengundian RTB lot rumah Kampung Tapah dan RTB pertanian Sungai Dura di Mukim Jenagor,"tambahnya.
25 Feb 21
688
SATU Harap Pengguna Bersabar, Terus Salurkan Maklumat
SATU Harap Pengguna Bersabar, Terus Salurkan Maklumat
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Syarikat Air Terengganu (SATU) berharap pengguna di Kuala Terengganu dan Marang yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak semalam, dapat bersabar dan terus menyalurkan maklumat tentang keadaan di lokasi masing-masing kepada SATU dari masa ke masa. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir. Atemin Sulong memaklumkan, pihaknya berusaha untuk menangani masalah tersebut sebaik mungkin. "Untuk tindakan segera, kita telah membekalkan lima lori tangki ke lokasi-lokasi terlibat untuk menampung keperluan masyarakat bagi tempoh sementara.Selain itu, kita juga telah dibantu oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang turut menghantar lori tangkinya ke sini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu melakukan tinjauan di tapak loji SATU yang sedang dibina di Pulau Bahagia, hari ini. Menurutnya, masalah berkenaan yang akhirnya dapat diatasi pada awal pagi semalam dan SATU telah membekalkan bekalan air ke Marang dengan penggunaan sebanyak 100 peratus manakala, bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kekal 75 peratus. "Majoriti mula menerima bekalan pada tekanan rendah dan situasi ini akan berlanjutan berikutan loji memerlukan masa beberapa hari untuk kembali stabil. "Sebanyak kira-kira 3,000 buah akaun di kawasan bandar pula masih belum menerima bekalan kerana masalah sumbatan angin dalam paip dan kita masih mengatasinya," jelasnya. Beliau menyatakan, SATU terpaksa menunggu paras air tangki meningkat untuk menyelesaikan isu terbabit ditambah keutamaan mendahulukan bekalan air kepada pengguna semasa. Jelas Atemin, isu gangguan bekalan air yang melanda sejak semalam itu sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal gangguan tenaga elektrik yang berlaku di Loji Air Kepong 1 dan 2, dua hari lalu. "Pada 23 Februari lalu, sewaktu program servis dilakukan, berlaku 'tripping' (pemutusan transmisi elektrik) pada sistem di dua loji berkenaan mengakibatkan bekalan air keseluruhan sistem di loji itu lumpuh sepenuhnya sekaligus menyebabkan air tangki berada pada paras minimum.  "Kita berjaya memulihkan masalah tersebut sebelum tengahari, namun apabila ia berlaku buat kali kedua pada sebelah petang, kita terpaksa mengambil masa lebih lama untuk memulihkannya," katanya. Loji air SATU di Pulau Bahagia yang bakal siap tidak lama lagi. Beliau menyatakan, pihak SATU sentiasa melakukan persediaan berdepan krisis seperti ini. Bagaimanapun, sistem loji di Terengganu yang telah berusia menyukarkan proses penukaran alat ganti. "Kami masih menunggu alat ganti yang dijangka tiba malam ini dan insya-Allah keadaan akan kembali normal dlm beberapa hari lagi," katanya.      
25 Feb 21
819
Pengusaha Pelancongan Perlu Kreatif Tarik Pengunjung
Pengusaha Pelancongan Perlu Kreatif Tarik Pengunjung
HULU TERENGGANU, 25 Februari- Penggiat industri pelancongan di Tasik Kenyir harus tampil lebih kreatif dengan pakej pelancongan yang boleh memenuhi kehendak pelancong disaat sektor ini terjejas akibat wabak pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin  Deraman berkata pandemik yang berlaku telah mengubah kehidupan masyarakat setempat dan pengusaha pelancongan sepertinya perlu menerima keadaan baharu itu dengan melakukan perubahan strategi pemasaran. Katanya, cadangan yang masih di peringkat perancangan itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang melihat keunikan Tasik Kenyir. "Inisiatif seperti menawarkan pakej pelancongan pada kadar harga lebih rendah kepada pelancong tempatan boleh dibanyakkan, memandangkan sempadan negara masih ditutup akibat pandemik COVID-19. "Sehubungan itu, penggiat industri pelancongan seperti pengusaha rumah bot dan bot laju wajar merebut peluang dalam menarik lebih ramai pengunjung termasuk menyediakan pakej istimewa ini,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) kepada wakil pemandu bot dan pengusaha houseboat serta malim gunung di Tasik Kenyir, disini hari ini. Pada majlis tersebut, seramai 230 pemandu bot dan pengusaha houseboat serta 33 malim gunung mendapat bantuan secara one-off berjumlah RM300 setiap seorang, melibatkan kos keseluruhan bantuan bernilai RM78,900. Menurutnya lagi, bantuan ini akan diagihkan kepada penerima secara berperingkat dengan disalurkan terus ke dalam akaun penerima.
25 Feb 21
476
Vaksin Selamat Tiba Di Tiga Daerah Dalam Terengganu
Vaksin Selamat Tiba Di Tiga Daerah Dalam Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kumpulan pertama vaksin Pfizer BioNTech yang mengandungi lebih 16,000 dos telah selamat sampai ke tiga daerah di dalam negeri ini termasuk di Unit Farmasi Utama, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini 1.30 tengah hari tadi. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, ketibaan vaksin tersebut yang dibawa oleh sebuah van DHL telah disambut pihak Jabatan Kesihatan Negeri bersama kontinjen polis peronda Terengganu dari Subang, Selangor. "Seperti mana dimaklumkan, majlis pelancaran pemvaksinan akan bermula dengan suntikan pertama yang akan diterima oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. "Manakala proses pemberian vaksin bagi petugas barisan hadapan sama ada daripada Kementerian Kesihatan (KKM) atau bukan KKM akan bermula pada 2 Mac ini," katanya ketika ditemui pemberita tengah hari tadi. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa melaporkan penghantar vaksin ke tiga daerah penyimpanan vaksin iaitu di Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu telah diringi tiga kenderaan polis bersama lapan orang anggota melalui Op Pelali. "Pihak kami akan membuat rondaan berkala di tempat penyimpanan vaksin tersebut dari semasa ke semasa," katanya.
25 Feb 21
1714
MAIDAM Tidak Guna Wang Zakat Beli Pelitup Muka Untuk Calon SPM 2020
MAIDAM Tidak Guna Wang Zakat Beli Pelitup Muka Untuk Calon SPM 2020
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Pembelian pelitup muka untuk diagihkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) tidak menggunakan wang zakat. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, ia diperolehi melalui hasil sumbangan kakitangan jabatan berkenaan termasuk pegawai dan kakitangan anak syarikat agensi kerajaan negeri.    "MAIDAM juga menggunakan peruntukan pentadbiran untuk memenuhi permintaan pengurusan beberapa sekolah menengah di negeri ini. "Jika ada permohonan dari pengurusan sekolah, kita akan pertimbangkan, tetapi bergantung kepada hasil sumbangan dan peruntukan pentadbiran," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan pelitup muka untuk kegunaan calon SPM 2020, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan Kuala Berang, di sini hari ini. Pada majlis itu, M Rozi yang mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda menyerahkan 2,000 pelitup muka dan pelbagai jenis makanan dan minuman ringan bernilai RM3,000 kepada Pengetua SMK Tengku Ampuan Intan, Mohd Sohaimi Zakaria. SMK Tengku Ampuan Intan Kuala Berang mempunyai seramai 94 calon SPM 2020, dan 56 calon tinggal di asrama sekolah berkenaan.
25 Feb 21
153
Mak Nik Terharu Terima Rumah Baharu
Mak Nik Terharu Terima Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka, Nik Abdullah atau Mak Nik, 85, menyatakan kesyukuran apabila menerima sumbangan rumah baharu semalam. “Syukur alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas keperihatinan wakil rakyat terhadap nasib kami,” luah Mak Nik ketika ditemui oleh pemberita baru-baru ini. Sumbangan rumah tersebut diberikan susulan tragedi kebakaran yang telah mengakibatkan rumah beliau hangus sepenuhnya pada 7 September lalu.  “Alhamdulillah, rumah ini telah siap sepenuhnya dan hari ini kami serahkan rumah ini kepada Mak Nik. “Insya Allah rumah ini akan memberikan kehidupan baru yang lebih baik kepada Mak Nik sekeluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merasmikan majlis penyerahan rumah tersebut. Rumah tersebut merupakan hasil bantuan dana daripada Tabung Darul Iman dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan diuruskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk. Terdahulu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama agensi-agensi kebajikan telah hadir menghulurkan sumbangan secara ‘one-off’ bagi meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh Mak Nik.  
25 Feb 21
408