lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jambatan Ikonik Tasik Kenyir Beroperasi Mei Ini
Jambatan Ikonik Tasik Kenyir Beroperasi Mei Ini
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Jambatan Ikonik yang kini dalam proses akhir pembinaan pastinya menjadi kebanggaan penduduk daerah ini apabila beroperasi sepenuhnya  pada pertengahan Mei 2021. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin  Deraman berkata, jambatan yang dibina di Pulau Poh, Tasik Kenyir itu merupakan sebahagian daripada skop projek pembangunan Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir menelan kos RM107 juta. "Mercu tanda ini bakal mencipta sejarahnya tersendiri sekali gus dilihat menjadi tarikan baharu pengunjung ke tasik buatan manusia yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong luar dan dalam negara. "Dengan bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala itu menelan kos sebanyak RM107 juta kini dalam proses sentuhan akhir sebelum dibuka pertengahan Mei nanti," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) kepada wakil pemandu bot dan pengusaha houseboat serta malim gunung di Tasik Kenyir, di sini hari ini. Dalam perkembangan yang sama, Ariffin turut berkata Projek pembangunan Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pulau Poh yang sedang berjalan kini hampir seratus peratus siap. "Antaranya melibatkan pembinaan Terminal Utama Jeti Penumpang, Jeti Kargo, Pembinaan Kawasan R&R, Tempat Letak Kenderaan, Pembinaan Sistem Perparitan. "Ini termasuk Keperluan Pengurusan Pengawalan Alam Sekitar (EMP), Kemudahan Sistem Rawatan Kumbahan dan hotel 150 bilik bertaraf 3 bintang yang mana kesemuanya telah siap hampir 95 peratus," katanya lagi. Beliau berkata,  apabila kesemua projek di Pulau Poh siap kelak, ia menjadi satu lagi produk  pelancongan tambahan di Tasik buatan terbesar ini, secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada produk-produk sedia ada di sini. 
25 Feb 21
6679
MB Terengganu Empat Individu Terawal Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Esok
MB Terengganu Empat Individu Terawal Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan antara empat individu terawal yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri Terengganu mulai esok. Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, selain tiga individu lain termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus yang akan turut menerima suntikan. “Pihak Kementerian Kesihatan memberi jaminan tiada kesan sampingan akan berlaku selepas suntikan. Bagaimanapun pemantauan akan turut dibuat bagi setiap individu yang menerima suntikan vaksin ini. "Selain itu dianggarkan 15,000 barisan hadapan termasuk 530 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan turut menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa satu. “Ia akan dilakukan secara berperingkat di 20 pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan dibuka di lokaliti masing-masing,” katanya pada sidang media sempena Taklimat Pemerkasaan Komuniti Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) di Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini hari ini. Dalam pada itu, jelasnya, barisan hadapan terlibat akan menerima notifikasi tarikh dan lokasi penerimaan suntikan vaksin COVID-19 masing-masing melalui aplikasi MySejahtera. Kesemua 530 pegawai dan anggota APM negeri telah diwajibkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan mengikut jadual ditetapkan.  
25 Feb 21
2042
Bantuan Banjir RM6.4 Juta Lebih Disalurkan Bermula Esok
Bantuan Banjir RM6.4 Juta Lebih Disalurkan Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan banjir sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bermula sabtu, 27 Februari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sumbangan keseluruhan bernilai RM 6,406,500.00 kepada 12,813 KIR di seluruh negeri akan dimulakan di daerah Kemaman dengan perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. “150 penerima akan menerima bantuan pada majlis di daerah yang boleh dikatakan paling terjejas akibat musim banjir pada Januari lalu. “Manakala dalam 8,300 mangsa banjir di seluruh Terengganu akan mendapat bantuan dalam bentuk wang melalui Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah masing-masing. “Peruntukan hampir RM7 juta ini melibatkan mangsa yang terjejas akibat banijr pada akhir tahun lepas dan awal Januari,” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi semalam. Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, bagi setiap daerah adalah di bawah Pejabat Daerah kemudian diagihkan di Pejabat DUN masing-masing oleh wakil rakyat atau pegawai penyelaras berkenaan. “Insya-Allah, pembayaran akan selesai dilunaskan pada minggu hadapan. “Jumlah mangsa yang paling ramai adalah di Kemaman, iaitu di DUN Chukai dan DUN Air Putih dengan jumlah keseluruhan mangsa di Chukai seramai kira-kira 3,200 orang,” tambahnya.
25 Feb 21
2720
Pusat Kanak-kanak Terbiar Dibuka Bulan Mac
Pusat Kanak-kanak Terbiar Dibuka Bulan Mac
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Terengganu bakal membuka pusat kanak-kanak terbiar bernilai RM2 juta pada 15 Mac nanti. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, 'Raudhatul Jannah' itu akan berpusat di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman. Katanya, ia akan menempatkan kanak-kanak yang diabai, didera atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga. "Buat permulaan kita akan masukkan seramai 20 lelaki dan 20 perempuan dalam usia lingkungan pelajar sekolah rendah, bukan sahaja dalam kalangan anak Terengganu. “Ini kerana kes-kes serius seperti penderaan tidak berlaku dalam negeri sahaja, oleh itu pusat ini untuk seluruh negara, terutamanya ketika menghadapi tekanan hidup akibat kekangan wabak pandemik COVID-19. “Pengisian bagi mereka semasa di pusat ini akan menggunakan modul keagamaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi semalam. Tambah Hanafiah, walaupun isu itu tidak terlalu serius dalam negeri ini, kerajaan tetap memberi tumpuan terutamanya kepada mereka yang terbiar dan didera. Mengulas lanjut berkenaan kos menyiapkan pusat tersebut, Hanafiah memaklumkan, kos baikpulih dan kelengkapan prasarana melibatkan hampir RM600,000. "Jika dicampur bersama kos operasi jumlahnya dalam sekitar RM2 juta. “Pusat ini merupakan fasa pertama dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Amal, jika fasa ini berjaya, maka kita akan lihat kepada keperluan untuk berkembang ke daerah lain,” jelasnya.  
25 Feb 21
1034
Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN
Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Penderitaan adik Adam yang menghidap penyakit saraf, lumpuh serta otak di luar tempurung mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Manir Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Adam atau Sayyid Uwais Al-Qarni Lekman yang kini berusia 42 hari disahkan mengalami penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' akan dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, pada bulan hadapan. Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya akan segera memohon bagi mendapatkan bantuan agensi kerajaan bagi rawatan susulan anak istimewa itu. “kerajaan negeri ada menyediakan peruntukan menerusi Tabung Darul Iman untuk membantu pesakit kronik dan mangsa bencana yang benar-benar memerlukan pembelaan. “Kes ini akan turut segera dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi adik Adam dan keluarga di kediaman datuk dan neneknya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini, semalam. Terdahulu, Timbalan Penyelia Institut Modal Insan I-MiTS Manir, Norhayati Mohd dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Hampar hadir bagi menyampaikan sumbangan kewangan bagi menampung kos pembedahan awal tulang belakang adik Adam. Dalam pada itu, Norhayati berkata,  Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)  Manir menampung kos pembedahan awalnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disamping ditanggung sebahagian besar oleh subsidi kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sementara itu, ibu Sayyid Uwais Al-Qarni, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada ADUN dan bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu. "Saya bersyukur kerana penderitaan dialami bayi saya mendapat perhatian. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung memandangkan suami saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu," katanya.
24 Feb 21
433
Rungutan Peniaga Kini Berakhir
Rungutan Peniaga Kini Berakhir
KEMAMAN, 24 Februari - Rungutan dan keluhan daripada peniaga di Medan Selera Kampung Pantai Penunjuk, Kijal kini berakhir setelah longkang air kumbahan di medan tersebut dibina. Infrastruktur yang baru dibina. Ianya hasil daripada permohonan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh melalui Ahli Majlis Zon Kijal berserta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Ibai dan Pantai Penunjuk yang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Pengerusi JPKK Ibai dan Pantai Penunjuk, Zainal Muda ketika ditemui semalam di medan selera tersebut mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam pembinaan prasarana tersebut. Zainal Muda. "Alhamdulillah, infrastruktur ini telah hampir siap pembinaannya setelah sekian lama ianya menjadi rungutan oleh peniaga di sini. "Cuma tinggal sedikit sahaja lagi 'finishing' yang perlu diselesaikan oleh kontraktor yang dilantik oleh MPK ini," katanya. "Saya ucapkan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha kerajaan untuk menyejahterakan semua lapisan masyarakat kampung terutama di Kampung Ibai dan Pantai Penunjuk ini," ujarnya lagi. Sebelum ini sisa air buangan itu disalurkan ke dalam lubang yang digali oleh peniaga di tepi medan selera tersebut di mana baunya agak kurang menyenangkan kepada pengunjung yang datang untuk makan di situ.  
24 Feb 21
769
RMM Tajin Dijangka Siap Pertengahan Tahun Ini
RMM Tajin Dijangka Siap Pertengahan Tahun Ini
HULU TERENGGANU, 24 Februari - Proses pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pembinaan RMM Tajin di atas tanah seluas 10 hektar sedang giat dijalankan sejak dirasmikan pada Julai 2019. "Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini. "Pada bulan enam atau bulan tujuh tahun ini, projek ini akan siap dan kita akan agihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu ini, " jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini. Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, pembinaan RMM Tajin sedang melalui kerja-kerja terakhir. "Kerja-kerja akhir seperti pemasangan longkang, pendawaian elektrik, pagar dan kerja-kerja berkaitan dengan jalanraya berjalan dengan baik," katanya.
24 Feb 21
3495
PAS Optimis Bersama Bersatu, Umno Dalam PRU15
PAS Optimis Bersama Bersatu, Umno Dalam PRU15
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - PAS optimis kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Umno akan terus berjalan termasuk dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Bersatu dan Umno kini dilihat tidak sehaluan tetapi pihaknya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik. "Langkah akan diambil oleh barisan kepimpinan PAS, Bersatu dan Umno dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. "PAS sendiri sudah menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan kedua-dua parti itu bagi menjamin keharmonian antara parti," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi tadi. Menjawab tuduhan pihak tertentu mengenai proses agihan kerusi antara ketiga-tiga parti menemui jalan buntu, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menafikan perkara tersebut. "Dalam pendapat saya, situasi sekarang masih tidak buntu, dan pihak kami telah mengadakan dua pertemuan, jadi keadaan sekarang tidak boleh dikatakan menemui jalan buntu. "Kita optimis dalam kerjasama ini supaya ia akan berjaya," jelasnya. Katanya, itu adalah pandangan peribadi mereka dan sebagai kepimpinan utama semua pihak perlu mencari jalan terbaik. Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, perbincangan dengan rakan sekutunya di Terengganu mungkin sudah menemukan jalan buntu berikutan Umno negeri itu menuntut 16 kerusi DUN dan empat parlimen. Difahamkan tuntutan itu juga tidak selari dengan persetujuan agihan kerusi di peringkat pusat iaitu pengekalan status quo atau PAS dan Umno kekal bertanding di kerusi yang mereka menangi.  
24 Feb 21
273
Vaksin COVID-19 Tiba Di Terengganu Esok
Vaksin COVID-19 Tiba Di Terengganu Esok
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech akan tiba di Terengganu esok, 25 Februari 2021 dan fasa pertama suntikan dijadualkan pada 26 Februari ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja pemvaksinan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan dimulakan dengan kakitangan barisan hadapan termasuk mereka yang terpilih. "Difahamkan bahawa Menteri Besar akan menjadi orang pertama yang akan disuntik vaksin. "Fasa pertama ini juga akan melibatkan dalam 15,000 orang yang telah disusun oleh pihak berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman pagi tadi. Mengulas lanjut, beliau berkata perincian tempat dan masa suntikan pertama tersebut ditentukan oleh JKNT. "Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diuruskan bersama 'frontliner' di tempat masing-masing. "Semua ADUN tidak mengira parti akan dijadualkan untuk suntikan bagi mereka yang sukarela," tambahnya.
24 Feb 21
2982
Pengusaha Teksi, Pemandu Pelancong Terima Bantuan RM44,100
Pengusaha Teksi, Pemandu Pelancong Terima Bantuan RM44,100
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Lebih 100 pemandu teksi dan pemandu pelancong telah menerima insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2021 bernilai RM44,100 secara berperingkat pada petang semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, bantuan tersebut disalurkan kepada wakil setiap persatuan seperti Persatuan Pemandu Pelancong Bandar, Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi dan Persatuan Pemandu Teksi. “Seramai 44 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di samping 103 pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang. “Terdahulu, pihak kami telah memaklumkan jumlah bantuan dalam RM200 seorang tetapi telah dinaikkan kepada RM300 seorang buat pemandu yang terkesan teruk akibat kemelesetan sektor tersebut akibat kekangan pandemik. “Bantuan ini diberi secara berperingkat atas sebab pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan selebihnya akan disalurkan melalui akaun penerima masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika sidang media. Beliau berkata demikian semasa sidang media program agihan Berkat kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu di sini. Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim. Sementara itu, seorang penerima, Rustam Mokhtar, 48, menceritakan, pengalaman pahit ketandusan rezeki ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini amat memeritkan. “Boleh dikatakan 80 peratus terkesan, satu minggu itu hanya meraih dalam RM30 sahaja berbanding kebiasaanya dalam RM100 sehari sebelum dilanda musim COVID-19. “Namun begitu, alhamdullilah pemandu-pemandu persatuan kami bersyukur dengan bantuan diberi kerajaan negeri, ini sedikit sebanyak akan ringankan beban dan kami akan terus redha menghadapi ujian ini,” katanya ketika ditemubual pemberita. Rustam yang juga antara 44 pemandu teksi LTSM menyokong usaha kerajaan Terengganu yang akan memohon kelonggaran rentas daerah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri untuk melancarkan ekonomi penggiat pelancongan.
23 Feb 21
991