lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kursus Tampal Cantum Jana Ekonomi Wanita
Kursus Tampal Cantum Jana Ekonomi Wanita
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Penganjur Program Kursus Jahitan Intensif mensasarkan 20 orang wanita yang terlatih dalam bidang jahitan tampal cantum dari setiap daerah di Terengganu bagi menjana ekonomi kendiri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata program yang diberi nama Program Kursus Jahitan Intensif Penghasilan Produk Dari Perca Kain / Pakaian Terpakai Melalui Jahitan Tampal Cantum (Patchwork / Quilting) itu merupakan salah satu daripada siri-siri Projek Jom Cipta Kerjaya (JCK) anjurannya. Zuraida berucap ketika majlis perasmian. Menurut beliau lagi, objektif utama penganjuran ialah untuk memberi kemahiran jahitan sulam tampal pelbagai jenis produk kepada wanita di samping bagi menambah pendapatan sampingan dengan memasarkan produk secara atas talian. “Untuk program ini, kami sasarkan 20 usahawan jahitan tampal cantum di setiap daerah. Kami sudah selesai berkursus di Daerah Kuala Nerus, sekarang sedang berlangsung di Daerah Marang dan insya-Allah selepas ini, akan ke kawasan-kawasan lain pula. “Pada masa yang sama, kami ingin beri pendedahan kepada wanita bahawa penghasilan produk tampal cantum ini boleh dilakukan dengan kos minima dan dengan hanya menggunakan mesin jahit ringan," ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika merasmikan kursus tersebut di Bengkel Jahitan Komuniti KAFA Masjid Titian Baru Kuala Terengganu, baru-baru ini. Dalam majlis yang sama, turut berlangsung gimik perasmian Pusat Komuniti Wanita Sejahtera Marang yang disempurnakan oleh ADUN Wanita dan penyerahan mesin jahit kepada penerima oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu. Hadir bersama-sama, Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Zarani Othman, Isteri Ahli Parlimen Marang, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah dan Isteri ADUN Bukit Payung, Zainun Abdul Wahab. Sebahagian peserta program.  
02 Mar 21
211
Pemilik Tanah Terbiar Disaran Tanam Durian
Pemilik Tanah Terbiar Disaran Tanam Durian
Penduduk luar bandar yang memiliki tanah terbiar di Terengganu ini digalakkan untuk mengusahakan tanaman durian, terutama Musang King.
01 Mar 21
132
Ekonomi Malaysia Kembali Pulih
Ekonomi Malaysia Kembali Pulih
KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Kedudukan ekonomi Malaysia bergerak ke arah positif pada tahun ini selari dengan aktiviti perdagangan dunia yang semakin pulih sejak menghadapi pandemik COVID-19. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus. "Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7.0 peratus dan 6.7 peratus. “Prestasi memberangsangkan melihat pasaran bon mencatatkan aliran masuk sebanyak RM23.1 bilion sehingga Ogos 2020 dan pelaburan asing bersih meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM22 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020. “Antara faktor keyakinan pelabur luar ini kerana usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan (PKP),” katanya. Beliau berkata demikian dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini, di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta. Sebelum ini Ahmad Samsuri menyifatkan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Malaysia berada di landasan baik dalam mengurangkan ketidaktentuan politik dan meningkatkan kedudukan ekonomi meskipun dalam pandemik COVID-19. "Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri dan barisan kepimpinan negara yang bertungkus-lumus dengan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walaupun negara berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya pandemik COVID-19 ketika ini. "Kerajaan negeri menyambut baik perkara yang disampaikan terutamanya agenda pemerkasaan bumiputera, usaha untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan negara," katanya menerusi ciapan di halaman Facebooknya.
01 Mar 21
159
Pura Tanjung Sabtu Bangkit Kembali Sebagai Produk Pelancongan Komuniti
Pura Tanjung Sabtu Bangkit Kembali Sebagai Produk Pelancongan Komuniti
KUALA NERUS, 1 Mac - Kerajaan negeri sedang dalam kerja membangun kembali potensi Pura Tanjung Sabtu dan lain-lain lokasi pelancongan di Buluh Gading sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang mampu menjana ekonomi bagi penduduk setempat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin  Deraman berkata, kerajaan negeri bersama sokongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengambil inisiatif melalui peruntukan pembangunan infrastruktur dan kebersihan serta sedang giat melestarikan lokasi seperti di Pura Tanjung Sabtu. "Alhamdullilah, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu turut bekerjasama dalam bergotong-royong di sini yang juga kelihatan seperti rumah tradisional antik dan pernah tular di media sosial. "Konsep CBT ini mesti melalui usaha bersama JPKK, kerana mereka juga pemegang taruh dalam sektor pelancongan dalam komuniti mereka sendiri.    “Dengan harapan supaya masyarakat di sini terlibat sekali dan mendapat manfaat daripada peningkatan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke lokasi CBT di Buluh Gading, baru-baru ini. Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mencari potensi baharu bagi menambahkan lagi lokasi menarik sebagai lubuk pelancongan, dan kertas kerja telah dimaklumkan dan akan dibincang di peringkat negeri dari semasa ke semasa. Turut hadir, ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin. Sementara itu, Ariffin turut menceritakan lokasi lain seperti tokong Sampohkong Keramat Cheng Ho yang merupakan tempat persinggahan Laksamana Cheng Ho dan Kampung Tanjung Bunut. “Seperti difahamkan Laksamana Cheng Ho merupakan seorang tokoh pelaut tersohor yang dipercayai juga seorang muslim pada abad ke-15, lokasi ini dengan nilai sejarah tersebut mampu menjadi tarikan kepada pelancong terutamanya warga Cina. “Produk pelancongn lain seperti ‘river trail’ atau bot menyusuri dua sungai iaitu ke Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan Sungai Nerus juga akan diperkembangkan supaya ia menyusuri lokasi-lokasi sedemikian dalam satu pakej,” tambahnya. Menurut ADUN kawasan tersebut, Ridzuan Hashim, beliau memaklumkan antara kerjasama terlibat bersama tiga JPKK iaitu JPKK Tanjung Sabtu, JPKK Tanjung Bunut dan JPKK Teluk Pasu. “Secara tidak langsung, masyarakat setempat juga boleh meraih peluang ekonomi ini dalam menjana pendapatan di dengan komuniti sendiri,” katanya.
01 Mar 21
4526
JPKK Perlu Bantu Penduduk Daftar Vaksin COVID-19
JPKK Perlu Bantu Penduduk Daftar Vaksin COVID-19
KEMAMAN, 28 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membantu penduduk di kawasan masing-masing untuk mendaftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. "Saya minta JPKK terutama di Terengganu yang menjadi nadi masyarakat supaya mengenal pasti dan membantu mereka yang ada kesukaran untuk daftar. Begitulah kepada anak-anak yang ada kemampuan dan ada ruang, daftarlah untuk ibu bapa yang tidak ada kemampuan dan kesempatan," katanya. Beliau mengunjurkan seruan tersebut pada sidang media selepas menyempurnakan penyampaian Bantuan Banjir Terengganu di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman, semalam. Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang sasaran pendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 kerana fasa satu pemberian vaksin mengutamakan pasukan barisan hadapan. "Kita sedang melihat menilai maklum balas bagi fasa kedua dan ketiga yang sedang masuk. Dalam tempoh ini kita akan lihat kecenderungan pendaftaran, jika agak perlahan kita akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk langkah-langkah yang perlu dilaksanakan supaya dapat kadar penerima vaksin dimaksimumkan," jelasnya. Dalam program bantuan tersebut, seramai 160 penerima daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) daerah Kemaman menerima bantuan tunai sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri. Bantuan bagi daerah lain yang terlibat akan disalurkan bermula esok.  
28 Feb 21
396
Bantuan Banjir Terengganu Mula Disalurkan Kepada Mangsa Terlibat
Bantuan Banjir Terengganu Mula Disalurkan Kepada Mangsa Terlibat
KEMAMAN, 28 Februari - Bantuan banjir bagi 12,000 mangsa bencana itu di negeri Terengganu diluncurkan oleh kerajaan negeri, bermula semalam. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM6.4 juta berupa bantuan tunai sebanyak RM500 kepada setiap ketua isi rumah bagi membantu mereka. "Alhamdulillah, hari ini kita mula menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir selepas kelima-lima fasa bencana itu berakhir, baru-baru ini. "Tentu sumbangan ini tidak mampu menyelesaikan masalah tetapi diharapkan dapat meringankan beban semasa yang ditanggung mereka. Dan, pada masa sama, semua wakli rakyat dan agensi akan terus memberikan bantuan dari masa ke masa," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan penyampaian bantuan banjir kepada 160 mangsa bencana di daerah Kemaman, semalam. Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri , Dato' Zainal Abidin Hussin serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat. Dr. Samsuri juga menyatakan, bantuan kerajaan Persekutuan akan turut disampaikan melalui tabung bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit.  Tambahnya, keseluruhan bantuan tersebut akan disalurkan ke setiap daerah terlibat, Isnin ini.  
28 Feb 21
380
PERTANDINGAN VIDEO PENDEK 2020 - TEMPAT PERTAMA
PERTANDINGAN VIDEO PENDEK 2020 - TEMPAT PERTAMA
PERTANDINGAN VIDEO PENDEK 2020 - TEMPAT PERTAMA Tajuk : Aib Pemenang : Sukri Sulaiman
28 Feb 21
462
THD 2021 Melabuhkan Tirai
THD 2021 Melabuhkan Tirai
KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Setelah sebulan Kempen Terengganu Hijab Day (THD) 2021 berlangsung, hari ini merupakan hari terakhir perjalanan kempen tersebut bagi tahun ini. THD merupakan acara tahunan yang dianjurkan bermula 2019 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu di samping melibatkan kolaborasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita dalam Negeri Terengganu. Menurut ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, tahun ini adalah tahun ketiga penganjuran meskipun dalam norma baharu berbanding kempen-kempen tahun sebelumnya, ianya masih berlangsung dengan meriah. “Program Terengganu Hijab Day tahun 2021 bertemakan ‘Sempurnakan Auratmu’ berlangsung selama satu bulan bermula 1 Feb 2021 sempena sambutan World Hijab Day. “Program ini adalah anjuran ADUN Wanita Terengganu dengan kerjasama NISA’ Terengganu (Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu), HANEES Terengganu (Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu) dan SETIA Terengganu (Persatuan Kebajikan Sedia Setia Terengganu)," katanya. Zuraida berkata demikian pada majlis penutup Terengganu Hijab Day 2021 yang diadakan secara atas talian, baru-baru ini. Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam dalam menjayakan sambutan bulan tersebut. “Kita mahu mendidik masyarakat, mengikis streotaip bahawa bertudung dengan mengikut syariat (labuh sehingga menutup dada) bukan semata-mata untuk mereka yang bergelar ustazah sahaja tetapi wajib bagi semua muslimat. “Kita juga mahu mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu sekaligus menjadi benteng kepada penularan budaya kuning barat. Hal ini penting bagi mencapai misi Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera," ujarnya.
28 Feb 21
205
Warga Emas Hilang Dijumpai Selamat
Warga Emas Hilang Dijumpai Selamat
HULU TERENGGANU, 27 Februari - Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini menemui titik noktah apabila warga emas tersebut ditemui selamat malam tadi. Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Berang, mangsa dikenali sebagai Lijah Embong, 81, ditemui dalam lingkungan jarak 1 kilometer dari kediamannya, sekitar 10.30 malam. "Mangsa didapati sihat dan hanya mampu duduk dibawah pokok kelapa sawit. "Pihak bomba menghantar mangsa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan. Sementara itu, anak mangsa, Mohd Aziz, 49, berkata, dia bersama penduduk kampung meneruskan pencarian ibunya malam tadi selepas isyak terdengar suara memanggil “nak balik’. "Sejurus terdengar suara tersebut saya memanggil emak  berulang kali dan terus meluru ke tempat tersebut. “ Allhamdullilah, saya bersyukur mak ditemui dalam keadaan sihat hanya kepenatan dan kelaparan disebabkan beberapa hari hilang,"katanya. Kehilangan Lijah Embong, 81, yang tinggal bersendirian itu disedari anaknya yang datang menjenguk dan disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu. Mangsa dikatakan mempunyai tabiat gemar berjalan-jalan di sekitar kampung, namun, lazimnya balik ke rumah menjelang petang. Operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula sejurus menerima laporan kehilangannya pada Khamis lalu. Khidmat anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan khidmat anjing pengesan Unit K9 Polis juga digunakan untuk mengesan mangsa hilang dari Kampung Gaung Hangus di sini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga semalam. Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau mengucapkan berterima kasih kepada semua Agensi Awam dan masyarakat yang bertungkus lumus beberapa hari ini mencari mangsa yang hilang sehingga ditemui malam ini.  Ia menandakan semangat berganding bahu masyarakat dalam menghadapi situasi sukar seperti ini yang tidak kenal erti penat lelah untuk membantu sehingga mangsa ditemui dengan keadaan selamat," katanya.  
28 Feb 21
888
Pencarian Warga Emas Hilang Masih Diteruskan
Pencarian Warga Emas Hilang Masih Diteruskan
HULU TERENGGANU, 27 Februari - Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini masih diteruskan pada hari ke tiga selepas disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula pada sejurus menerima laporan kehilangannya pada keesokannya.  Menurutnya, seramai 68 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Amal Hulu Terengganu terlibat dalam operasi tersebut. Pada masa sama, katanya, seramai 80 penduduk kampung turut membantu mencari warga emas itu yang juga mengalami masalah ingatan. “Operasi mencari dan menyelamat pada hari ini melibatkan kawasan seluas 10 kilometer dari rumah wanita terbabit. “Setakat ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk ditemui sejak operasi itu dilancarkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gaung Hangus di sini hari ini. Sementara itu,  menantu mangsa, Muhamad Rashid, 42, berkata, ahli keluarganya  masih berharap agar mertuanya ditemui dalam keadaan selamat walaupun hilang kira-kira empat hari lalu. Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau memohon kepada semua supaya dapat sama-sama berdoa dan solat hajat agar makcik Lijah dapat ditemui dengan keadaan selamat. Maliaman turut meluangkan masa meninjau operasi pencarian pada hari ini.
27 Feb 21
561