Artikel "Utama" Terkini
Tandukan Penang Lebur Hasrat Terengganu
KUALA NERUS, 1 Mei- Terengganu Football Club (Terengganu FC) terlepas peluang untuk menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak Liga Super 2021 apabila tewas 1-4 kepada Penang FC dalam aksi terakhir pusingan pertama, sebentar tadi.
Empat gol menerusi tandukan yang dijaringkan Penang FC melonjakkan pasukan tersebut ke tangga ketiga dengan 22 mata.
Beraksi di laman sendiri, anak-anak buah Nafuzi Zain dikejutkan gol seawal minit ketujuh perlawanan apabila Sheriddin Boboev menanduk masuk sepakan sudut Endrik Dos Santos untuk Penang selesa di depan.
Tuan rumah cuba bangkit menyamakan kedudukan tetapi pelawat lebih mendominasi perlawanan.
Skuad kendalian Tomas Trucha lebih banyak melancarkan serangan ke kubu Terengganu FC.
Pada minit ke-21, Sang penyu sekali lagi tewas hasil sepakan sudut lawan.
Tandukan Casagrande berjaya ditepis Mohd Suhaimi Husin, namun Boboev sempat melakukan lorongan yang ditanduk mudah Endrik Dos Santos untuk Penang mendahului 2-0.
Pada minit ke-42, David Da Silva hampir meledakkan gol buat Sang Penyu, tetapi tandukannya ditepis See Tian Keat.
Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan tempo serangan dan berhasil merapatkan kedudukan melalui rembatan luar kotak Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-59.
Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang tidak menunggu lama untuk membalas.
Pada minit ke-65 Casagrande menanduk masuk hantaran lintang Quentin Jiun-Ho untuk gol ketiga Penang.
Tiga minit kemudian, penyerang dari Brazil itu sekali lagi menunjukkan taringnya dengan menanduk masuk hantaran lintang Danial Ashraf untuk pelawat selesa dengan empat gol.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan dan Terengganu FC jatuh di tangga keempat liga dengan 21 mata.
01 May 21
462
Tiada Kompromi Kes Tipu Timbang Sawit
HULU TERENGGANU, 1 Mei - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang terbabit dalam penipuan timbangan buah sawit sehingga menindas pengusaha terutama pekebun kecil dalam menikmati bayaran sepatutnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak terbabit termasuk membatalkan lesen sekiranya didapati melakukan penganiayaan terhadap pengusaha sawit di seluruh negara.
"Tindakan segera dalam menangani isu telah diambil dengan melaksanakan Ops Manipulasi Timbang Sawit.
"Sejak 16 Mac, pemeriksaan terhadap 49 lokasi pusat timbangan sawit di seluruh negara telah pun dijalankan secara bersepadu bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Cyber Security Malaysia.
"Sehingga kini, 27 kes atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM147,500 telah dikesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Iftar Ramadhan Peringkat DUN Ajil dan Majlis Penyerahan Van Jenazah Sumbangan SSM kepada Masjid Kampung(kg) Bukit Diman dan kg Gaung, semalam.
Menurutnya, sejumlah 12 kes direkodkan di bawah tindakan KPDNHEP mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala 15 kes lagi di bawah tindakan MPOB.
"Antara kesalahan dikesan dilakukan premis timbangan buah kelapa sawit adalah alat timbang tidak ditentusahkan sehingga menyebabkan bacaan timbangan tidak tepat, alat timbangan diganggu dengan wayar, tali atau apa-apa objek pada alat timbang menyebabkan timbangan tidak tepat,"ujarnya lagi.
Sementara itu, dua buah van jenazah yang lengkap dengan peralatan bernilai RM140,000 telah disumbangkan oleh SSM kepada Masjid kg Bukit Diman dan kg Gaung untuk kegunaan orang ramai.
01 May 21
408
COVID-19 : SM Imtiaz Yayasan Terengganu, Setiu Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU,30 April -Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Setiu, ditutup 14 hari bermula Rabu lepas hingga 11 Mei susulan kes COVID-19 yang dikesan di sekolah tersebut.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata terdapat 12 kes positif COVID-19 telah dikesan di sekolah berkenaan melibatkan 11 pelajar dan seorang guru.
Katanya, penutupan itu bagi membolehkan membuat saringan kesihatan dan kerja-kerja membasmi kuman dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.
"Penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit.
"Sementara itu, semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah berkenaan perlu menjalani ujian calitan dan proses kuarantin," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Tambah beliau lagi, amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mencegah penularan yang lebih besar di sekolah perlu diteruskan oleh semua guru.
"Guru juga kena sentiasa jaga jarak dengan pelajar termasuk ketika sesi 'tasmik' al-Quran kerana sudah ada kes jangkitan berlaku ketika sesi ini berjalan dan jumlahnya lebih daripada seorang," katanya.
30 Apr 21
2441
KETENGAH Peruntuk RM900 Ribu Bantu 4,500 Penerima
HULU TERENGGANU, 29 April - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM900,000 melibatkan 4,500 penerima menerusi Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH sempena Ramadan kali ini.
Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata tabung yang diwujudkan sejak 2006 yang lalu bertujuan untuk memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
"Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban dan memenuhi keperluan semua penerima serta membelanjakannya untuk diri dan keluarga.
"Majlis sumbangan ini akan diteruskan ke semua wilayah KETENGAH iaitu Dungun dan Kemaman yang dijangka berakhir pada 10 Mei ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena program KETENGAH Amik Cakne di Majlis Penyampaian Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH sempena Ramadan 1442H/2021M di Dewan Kampung Landas, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Ajil, Maliaman Kassim.
Dalam majlis tersebut, seramai 426 orang daripada 11 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerima sumbangan sebanyak RM200 dengan jumlah peruntukan RM85,200
29 Apr 21
643
Anak Yatim Terengganu Dapat Duit Raya
KUALA TERENGGANU, 29 April - Seramai 226 anak yatim daripada pertubuhan berdaftar seluruh Terengganu menerima bantuan duit raya daripada kerajaan negeri semalam. .
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya prihatin terhadap golongan sasar tersebut dan bersetuju untuk membantu dengan menyalurkan sumbangan itu kepada mereka.
“Tambah lagi, lapan pertubuhan sukarelawan anak yatim berdaftar juga menerima bantuan berjumlah RM40,000 sebagai imbuhan dan pencetus semangat ikhlas daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
“Antara penerimanya seperti Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir, Asrama Perkaya Marang, Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kito Yatim, Fakir dan Miskin PERKIM Negeri Terengganu.
“Bagi pertubuhan yang belum berdaftar ramai lagi yang saya yakin bulan ini masing-masing berkejar untuk memberi sumbangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Aidilfitri, di Wisma Darul Iman.
Menurut Pengetua Asrama Kebajikan Anak Anak Yatim/Fakir Darul Akhyar Mukim Batu Rakit, Ahmad Irshad Mustaqim Zamri yang hadir sama berkata, beliau berterima kasih kepda kerajaan negeri dan akan memanfaatkan bantuan itu untuk pengurusan asrama.
“Kami di Darul Akhyar mempunyai 125 orang pelajar (40 anak yatim) dari Tingkatan Satu sampai Lima, jumlah tersebut akan digunakan bagi kebajikan pelajar dan penambahbaikan peralatan sekolah,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Pertubuhan lain yang menerima sumbangan ialah Tahfiz Perkaya Dungun, Pusat Jagaan Berkediaman Baitul Cakna, Hulu Terengganu, Pusat Jagaan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Hijrah, Kemaman dan Asrama Darul Falah Marang.
29 Apr 21
1107
'Lebarkan Syukur, Sulam Intipati Al-Quran Dalam Diri' - MB
KUALA TERENGGANU, 29 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak rakyat negeri itu menyatakan kesyukuran kerana dapat bersama dalam memperingati peristiwa yang amat besar ertinya kepada umat Islam iaitu peristiwa Nuzul Al-Quran.
"Peristiwa penurunan al-Quran yang berlaku pada bulan Ramadan bukan sekadar peristiwa biasa tetapi merupakan suatu titik permulaan penyebaran cahaya Islam ke seluruh alam bagi menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliah.
"Manusia wajib beriman kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai petunjuk dan kayu ukur dalam menjalani kehidupan individu, bermasyarakat sehinggalah bernegara," nasihatnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Tengku Tengah Zaharah, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah serta ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Dr. Samsuri turut memetik kata-kata tokoh sarjana dalam bidang tafsir, Syeikh Muhammad bin al-Tahir bin Asyur yang menyatakan objektif utama daripada penurunan al-Quran adalah untuk merealisasikan penambahbaikan individu dan masyarakat.
"Al-Quran dijadikan rujukan utama dalam model pembangunan modal insan seorang Muslim kerana sifatnya yang menyeluruh, meliputi duniawi dan ukhrawi.
"Usaha kita hari ini adalah satu permulaan kepada hasrat dan cita-cita kita bagi memuliakan al-Quran, bukan sekadar membacanya tetapi mengambil intipati dan panduan yang merupakan mukjizat yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW," katanya.
29 Apr 21
109
Raih Pahala Dengan Wakaf Al-Quran Bersama YIT
KUALA TERENGGANU, 28 April - Yayasan Islam Terengganu (YIT) membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menyumbang bagi program wakaf al-Quran sekali gus meraih ganjaraan bernilai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata sumbangan itu akan membantu kepada mereka yang daif dan meluaskan lagi medium kebajikan serta kemanusiaan untuk membantu mereka yang memerlukan al-Quran.
Katanya, dengan wang tersebut, ia akan digunakan untuk mencetak al-Quran untuk disumbangkan ke pusat-pusat pengajian al-Quran, masjid, surau dan pihak yang memerlukan.
"Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama membuat pelaburan yang modalnya serendah RM5 yang mampu dilakukan oleh semua golongan masyarakat tetapi ganjarannya cukup besar.
"Bayangkan pahala mengalir masuk daripada setiap ayat yang dibaca oleh penerima wakaf al-Quran secara berterusan," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengurusan Wakaf Al-Quran Yayasan Islam Terengganu sempena Sambutan Hari Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu tahun 2021 di Dewan Tingkat 4, Menara YIT, hari ini.
Turut hadir, Pengarah YIT, Rozali Salleh.
Tambahnya lagi, wakaf al-Quran ini bermula dengan harga RM5 iaitu 1/4 bahagian daripada senaskah al-Quran yang bernilai RM20 bergantung kepada kemampuan pewakaf.
Mohd Nor berkata pihaknya juga akan merancakkan aktiviti wakaf al-Quran secara berterusan bagi menggalakkan umat Islam untuk beramal jariah tanpa mengira bulan.
Tambah beliau, pihaknya turut akan memperluaskan program wakaf al-Quran ke luar negara bagi mereka yang memerlukan seperti di Syria dan Yaman jika mendapat permintaan.
Orang ramai yang berminat untuk salurkan sumbangan boleh melayari laman Web Rasmi Yayasan Islam Terengganu https://yit.gov.my atau facebook yayasanislamterengganu_official atau https:yit.onpay.my.
28 Apr 21
402
Selepas Berunding, Pemaju Janji Sambung Projek Terbengkalai
KUALA TERENGGANU, 28 April – Selepas dipanggil berbincang bersama kerajaan negeri hari ini, pemaju perumahan Kampung Gong Cempedak, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd berjanji untuk menyambung semula projek terbengkalai itu sebaik sahaja selesai Aidilfitri nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, komitmen pemaju swasta terbabit memberi sinar harapan kepada 120 pembeli.
“Insya-Allah mereka berjanji untuk memulakan kembali projek ini selepas perayaan Aidilfitri tahun ini setelah isu kewangannya diselesaikan.
“Kerajaan negeri memberi persetujuan untuk membantu semaksimum mungkin bersama Pejabat Tanah dan Daerah Marang melalui beberapa cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak mereka.
“Pemaju ini akan usaha untuk mendapat pembiayaan melalui beberapa kaedah dengan bantuan kerajaan negeri bagi menyiapkan lagi 30 peratus proses pembinaan lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.
Katanya, projek tersebut dianggar memerlukan dana sekitar RM5 juta lagi bagi menyiapkan fasa ketiga yang terdiri daripada 120 unit rumah teres berukuran sekitar 830 kaki satu unit.
Mengulas lanjut faktor perumahan tersebut tidak menepati tarikh siap pada 2019, Dr Alias memaklumkan, pemaju memaklumkan mereka mengalami keuntungan kurang memberangsangkan hasil penyiapan fasa satu dan dua.
“Pemaju sudah komited kembali dalam menunaikan janji rumah yang selesa dengan harga murah, kita akan pastikan mereka dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, tahun terdahulu pihak kerajaan melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri telah menghantar aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT) untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan 100 peratus tanggungjawab pemaju swasta.
Tegas Dr Alias, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.
Jelasnya, projek ini kemudiannya terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan sejak dari itu sehingga 2019.
“Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal kita (kerajaan negeri) pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT).
“Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini (hari ini) bagi menyelesaikan isu tersebut," jelasnya.
28 Apr 21
951
Modul Itqan Insani Medium Pembangunan Sahsiah Rakyat
KUALA TERENGGANU, 28 April - Pembangunan modul Itqan Insani menjadi usaha terbaru Kerajaan Terengganu dalam melengkapkan proses pendidikan, pentarbiahan dan pembangunan modal insan yang mencakupi pelbagai segmen masyarakat rakyat di negeri itu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam suasana semasa dan masa depan yang penuh cabaran dari pelbagai sudut, kerajaan bertanggungjawab menyediakan dan melengkapkan rakyat untuk berdepan dengannya.
"Kita mengetahui bahawa manusia merupakan punca utama dalam menentukan ketamadunan sesebuah negara atau negeri. Oleh itu, manusia merupakan modal paling benilai dalam sesebuah negara atau negeri yang kita sebut sebagai modal insan.
"Hari ini kita mengorak langkah dalam membawa agenda modal insan sekali gus melengkapkan inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan negeri. Modul ini juga dilihat secara komprehensif kerana menyasarkan 10 golongan yang merangkumi kebanyakan rakyat Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu merasmikan pelancaran Modul Itqan Insani di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, pembangunan modal insan perlu dilakukan secara bersepadu dan sistematik agar ia dapat memberikan manfaat besar dan baik kepada negara atau negeri.
"Sebelum ini, kita sudah menggerakkan Dasar Intergriti Darul Iman (DIDI) dan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. Modul ini merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri dalam melengkapkan proses pendidikan dan pentarbiahan rakyat Terengganu.
"Besarlah harapan kita kepada agensi pelaksana dalam memastikan setiap modul yang dilaksanakan mencapai objektifnya, sekaligus melahirkan jati diri dan budaya sebagaimana yang dihasratkan dalam dasar Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
28 Apr 21
649
770,000 Penduduk Terengganu Sudah Dibanci
KUALA TERENGGANU, 28 April - Seramai 770,000 atau 61 peratus daripada 1.26 juta penduduk di negeri ini selesai dibanci meliputi 220,000 tempat kediaman setakat tempoh sehingga semalam.
Ketua Perangkaan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Banci Malaysia 2020 mendapat kerjasama yang baik daripada seluruh penduduk negeri Terengganu.
Bagaimanapun katanya, bagi respon mengikut etnik pula, kaum Cina dan India mencatatkan peratus respon yang agak rendah iaitu masing-masing 27 dan 20 peratus.
“Respon penduduk yang melebihi 70 peratus melibatkan daerah Setiu (98.59 peratus), Besut (78.65 peratus), Marang (78.1 peratus), Hulu Terengganu (71.82 peratus) dan Kuala Nerus (71.1 peratus).
“Manakala Kuala Terengganu (67.08 peratus), Kemaman (55.56 peratus) dan Dungun (54.61 peratus) mencatatkan kadar respon di bawah 70 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program turun padang operasi Banci Malaysia 2020 di Seberang Takir, hari ini.
Katanya, dengan kekuatan 300 pembanci beliau yakin, kesemua daerah di Terengganu disasarkan akan selesai sepenuhnya kerja-kerja pembancian di lapangan pada pertengahan Jun ini.
“Hari ini kita adakan program turun padang di Terengganu bertujuan memantau operasi Banci Malaysia 2020 secara bersemuka di lapangan dan membuat publisiti terhadap pelaksanaan banci secara bersemuka dan operasi pembancian.
“Program sebegini secara tidak langsung dapat menyebarluaskan maklumat mengenai program Banci Malaysia 2020 secara bersemuka yang sedang dijalankan di seluruh negara sehingga 30 Jun 2021.
“Diharap program publisiti seperti ini akan membantu hebahan di kalangan kaum Cina dan India selain Melayu untuk memberi respon kepada pihak kami samada menerusi kaedah bersemuka ataupun secara atas talian,” ujarnya.
Katanya, Banci Malaysia 2020 amat penting bagi kerajaan medapatkan data untuk merancang pembangunan termasuk pendidikan, kesihatan, capaian internet serta kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik.
“Data yang dikumpul menjadi sumber utama dalam pembentukan dasar oleh kerajaan dalam merangka program serta inisiatif yang lebih bersasar untuk rakyat,” jelasnya.
Menurut beliau, diperingkat negara, jumlah penduduk yang telah dibanci sehingga semalam adalah seramai 17.02 juta orang atau 52.1 peratus berbanding 32.7 juta anggaran penduduk tahun 2020.
28 Apr 21
1716