lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Anak Muda Diseru Sertai Pencalonan Anugerah Belia Terengganu
Anak Muda Diseru Sertai Pencalonan Anugerah Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Belia dan beliawanis dalam negeri ini dipelawa untuk mendaftar dan menyertai pencalonan Anugerah Khas Belia Terengganu 2021 bermula 6 Mei. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, anugerah yang menawarkan hadiah terkumpul sehingga RM20,000 itu membabitkan lima kategori bagi mengiktiraf kemampuan anak kelahiran Terengganu. “Antara kategori tersebut adalah Anugerah Usahawan Belia Terengganu, Anugerah Belia Tani, Anugerah Sukarelawan, Anugerah Pemimpin Muda Terengganu (15 hingga 25 tahun) dan Anugerah Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu. “Sebaik pendaftaran dibuka, borang penyertaan boleh dimuat turun dan diisi secara atas di  www.beliaterengganu.org.my bermula 6 sehingga 20 Mei 2021. “Untuk pengetahuan, program ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) & Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT),” katanya. Beliau berkata demikian semasa Sidang Hebahan Program tersebut di Permai Hotel, malam semalam. Tambah Wan Sukairi, program tersebut mula diperkenalkan di peringkat negeri pada tahun 2019 bagi menghargai kumpulan belia dan beliawanis di dalam kategori Usahawan, Asas Tani, Permata dan Sukarelawan. “Pada tahun 2021, anugerah tersebut terus dikekalkan dengan penambahan bagi kategori khas ADUN Belia Terengganu. “Selain itu, ia juga meraikan kejayaan belia dan beliawanis yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang serta menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan belia ke arah meningkatkan pembangunan belia,” jelasnya. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.beliaterengganu.org.my atau talian Whatsapp di 09-624 2200.
05 May 21
414
Terengganu FC Kembali Kejar Puncak Liga
Terengganu FC Kembali Kejar Puncak Liga
KUALA NERUS, 4 Mei- Terengganu Football Club (Terengganu FC) menepati jangkaan apabila menang mudah 3-0 ke atas UiTM FC, dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Super Malaysia 2021, sebentar tadi. Melayan kunjungan pasukan tercorot liga, anak-anak buah Nafuzi Zain tampil lebih yakin dengan meledakkan dua gol awal mengatasi lawan. Seawal minit ke-8, David Da Silva yang mendapat umpanan Mohamad Faisal Abdul Halim bijak menggelecek dua pertahanan dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan yang menerjah jaring lawan. Dua minit kemudian, Faisal pula menanduk masuk hantaran lintang Mohamad Hakimi untuk gol kedua Sang Penyu. Tuan rumah cuba mendapatkan lebih banyak gol dengan meningkatkan asakan ke kubu pelawat namun, kali ini The Lion Troops ampuh bertahan. Memasuki babak kedua, skuad kendalian Frank Benhardt cuba bermain lebih terbuka dan meningkatkan serangan. Bagaimanapun, Terengganu FC jelas mendominasi perlawanan. Pada minit ke-77, Mohamad Rahmat Makasuf yang masuk menggantikan Faisal menerima lorongan Konate, berjaya melarikan bola ke kotak penalti lawan dan melakukan rembatan leret lolos dari tampanan Muhammad Azfar Arif untuk gol ketiga Terengganu FC. Keputusan kekal 3-0 sehingga tamat perlawanan. Sang Penyu kini mendaki ke tangga kedua liga dengan 24 mata, tiga mata di belakang pendahulu, JDT yang menang ke atas Kedah Darul Aman FC di Alor Setar.
04 May 21
841
PERTIMA Agih 250 Pek Bubur Lambuk
PERTIMA Agih 250 Pek Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - PERTIMA Trengganu Sdn. Bhd. (PERTIMA) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Adis telah mengadakan agihan 250 pek bubur lambuk kepada orang ramai. “Antara tujuan program komuniti ini diadakan adalah untuk mendekatkan PERTIMA dengan masyarakat. “Kita hendak ‘recall’ semula orang-orang lama yang telah mengenali PERTIMA dan mendekati orang yang baru mengenali kami,” kata Pengurus PERTIMA, Syed Mohd Asdi Tuan Ngah ketika ditemu bual pemberita. Program ini merupakan tahun kedua PERTIMA bekerjasama dengan JPKK Kampung Tok Adis bagi menjayakan agihan bubur lambuk. PERTIMA berhasrat untuk menjadikan ia sebagai program tahunan. “Insya-Allah, kita berhasrat untuk meluaskan lagi jalinan kerjasama dengan JPKK lain dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Batu Buruk bagi program agihan bubur lambuk ini pada masa akan datang,” tambah Syed Mohd Asdi lagi. Menurut beliau, selain agihan bubur lambuk, PERTIMA telah menganjurkan beberapa program lain seperti program berbuka puasa bersama anak yatim, sumbangan untuk petugas barisan hadapan dan agihan bubur lambuk di stesen RTM. Kini, PERTIMA sedang mengadakan promosi jualan Combo Aidilfitri di pasaraya Sabasun sehingga 31 Mei 2021 bagi membantu orang ramai mendapatkan produk PERTIMA dengan harga yang berpatutan.  
04 May 21
599
Anak Kemaman Pembawa Jalur Gemilang Di Olimpik Tokyo 2021
Anak Kemaman Pembawa Jalur Gemilang Di Olimpik Tokyo 2021
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Jaguh memanah kelahiran Terengganu, Khairul Anwar Mohamad mencatatkan sejarah baharu sebagai pembawa bendera jalur gemilang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai akan datang. Anak jati Kemaman itu akan bersama pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Yang, menampilkan dua pembawa bendera negara buat kali pertama sepertimana diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Isnin lalu. Khairul menyifatkan ia merupakan satu penghormatan buatnya dan beliau gembira dan berterima kasih kepada Lembaga Eksekutif MOM atas penghormatan dan kepercayaan tersebut. "Ia akan menjadi pemangkin semangat kepada saya semasa di pentas Olimpik nanti. "Daripada segi persiapan untuk Olimpik, program latihan saya di Bukit Jalil berjalan lancar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Khairul Anuar, 29, dari Kampung Pasir Gajah, yang bertanding sebagai pemanah recurve merupakan warga Terengganu kedua diberikan penghormatan tersebut setelah digalas oleh jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizul Hasni Awang di Beijing 2008. Sebelumnya, beliau yang juga merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Memanah Dunia 2019 akan menyasarkan kedudukan podium bagi acaranya di Olimpik selepas menyertai London 2012 dan Rio 2016. Tahun lepas, sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort, Khairul Anuar dan Azizulhasni Awang menerima insentif 'Olympian' sebanyak RM100,000 seorang. "Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dalam inisiatif terhadap atlet olimpik ini, saya boleh cakap buat kali pertama saya mendapat bantuan bernilai tinggi sebegini. "Harapan saya upaya seluruh warga Terengganu dan Malaysia terus menyokong atlet Malaysia yang akan bertanding, tidak mengira sukan atau latar belakang," katanya.  
04 May 21
1641
Kerajaan Giat Harungi Rintangan Wujudkan Peluang Pekerjaan
Kerajaan Giat Harungi Rintangan Wujudkan Peluang Pekerjaan
KUALA LUMPUR, 4 Mei - Pandemik Covid-19 telah menjadi suatu cabaran buat kerajaan dalam usaha membangunkan negeri Terengganu dari sudut meningkatkan ekonomi rakyat serta mewujudkan peluang pekerjaan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasrat berkenaan mengalami sedikit kesulitan kerana suasana yang ada memberi kesan kepada kemasukan pelaburan namun kerajaan tetap optimis. "Situasi semasa pelaburan yang menunjukkan projek-projek besar boleh menghasilkan peluang pekerjaan yang banyak itu dengan sendirinya kini mengalami proses yang sukar. "Pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat kesan berantai disebabkan pandemik Covid-19, walaupun begitu insiatif masih berjalan, saya tak nak sebut berapa jumlahnya, tetapi masih mencapai bilion jumlah pelaburan yang masuk terutama dari syarikat Petronas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap  merasmikan Program Sidang Meja Bulat Pimpinan NGO Terengganu Di Perantauan Berserta Majlis Iftar Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri, di Sunway Putra Hotel, di sini, kelmarin. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pegawai Kewangan negeri, Samiun Salleh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urus Setia, Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Mohd Nasir Abdul Razab dan Ketua Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff. Mengulas lanjut, Dr Samsuri berkata, dari sudut nilai semasa telah mengalami perubahan yang ketara. "Fakta yang sangat penting untuk diperhalusi  ialah 200 juta nilai pelaburan pada 10 tahun dahulu jika dibandingkan pada waktu ini berbeza, dahulu ia membawa maksud akan mencipta peluang pekerjaan yang banyak. "Saya hendak kongsi satu projek oleh Petronas telah dihasilkan dalam setahun dua ini, namun peluang pekerjaan itu masih berada di tahap rendah yang dahulunya boleh menghasilkan ribuan peluang apatah lagi selepas wujudnya Revolusi Industri 4.0. "Semua orang bercakap dan teruja sedangkan kita tak sedar bahawa ia memberi kesan kepada anak-anak Terengganu dari sudut berkenaan," ujarnya. Namun katanya, komitmen pihak kerajaan dalam usaha berkenaan terus dilakukan dengan pelbagai insiatif serta program yang diadakan. Dalam pada itu katanya, pertemuan di antara pihak kerajaan bersama perantau melalui perbincangan sidang meja bulat tersebut sangat bermanfaat. "Sebagai satu komitmen untuk bersama-sama bertemu dan mengadakan perbincangan bagi mengemukakan idea-idea yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam usaha untuk kita melaksanakan apa jua kebaikan bagi membangunkan negeri Terengganu ke arah sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.  
04 May 21
477
Terengganu Beri Anugerah Khas Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
Terengganu Beri Anugerah Khas Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Dengan hanya berbekal telefon mudah alih bagi mengikuti pembelajaran atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kejayaan Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, mendapat tempat pertama di kalangan pelajar Malaysia dan ketujuh peringkat antarabangsa dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) merupakan sesuatu yang amat luar biasa.  Fatin Nabihah telah menerima penganugerahan daripada ACCA apabila berjaya mendapat markah tertinggi iaitu 88 bagi memperoleh kedudukan pertama di Malaysia dan ketujuh dunia untuk kertas Strategic Business Report (SBR) selain turut berjaya lulus di dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX). Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, pencapaian yang diperoleh tersebut sangat membanggakan semua pihak terutamanya kerajaan negeri serta turut menyifatkan ia jarang diperolehi anak Melayu khususnya anak Terengganu. “Tahniah saya ucapkan kepada Fatin Nabihah yang berusaha keras untuk mendapat kejayaan seumpama ini. Sudah tentu semua pihak merasa sangat bangga dengan kemampuan beliau mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia. “Apa jua cara yang kerajaan negeri boleh bantu, kita akan usahakan sebaik mungkin untuk masa hadapannya. Kita akan berusaha memberi galakan daripada sudut kewangan, memberi panduan dalam dunia pekerjaan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Pelajar Terbaik Dalam Subjek SBR Peperiksaan Mac 2021 Peringkat Kebangsaan Dan Antarabangsa di sini hari ini. Hadir sama dalam majlis berkenaan, ibu Fatin Nabihah, Noriah Ahmad, 46, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham. Atas pencapaian tersebut, kerajaan negeri memberikan penghargaan berupa wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil penghargaan kepada Fatin Nabihah dalam majlis kali ini. Beliau masih perlu menduduki dua lagi kertas di peringkat Strategic Professional sebelum dijangka menamatkan pengajian ACCA pada bulan September nanti. Sementara itu, menurut Fatin Nabihah, beliau sama sekali tidak menyangka mendapat tempat dalam ranking tertinggi SBR serta penghargaan dan pengiktirafan sebegitu besar daripada semua pihak. “Saya sangat terkejut sewaktu terima keputusan, saya cuma doa untuk lulus peperiksaan dan tak pernah target setinggi itu. Alhamdulillah sangat bersyukur dengan kejayaan yang Allah kurniakan, lebih dari apa yang saya perlukan. “Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat. Atas pengharapan semua orang, saya akan berusaha memberi balik kepada masyarakat insya-Allah,” jelasnya. Pelajar  INTEC Education College (INTEC) di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut baru-baru ini. Anak sulung daripada empat beradik itu dibesarkan oleh ibunya dan ayah tiri, Mustape Che W Abdullah, 68, sebaik kematian ayah kandung ketika berumur 11 tahun akibat sakit jantung. “Berkat doa dan dorongan ibu supaya terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan, akhirnya saya diumumkan pelajar terbaik Malaysia bagi peperiksaan SBR," katanya yang ketika ini menerima tajaan Yayasan Sime Darby. Fatin Nabihah turut berkongsi petua untuk mudah faham, sentiasa tenang dan ingat apa yang dipelajari, antaranya memulakan ulangkaji pelajaran seawal 4.00 pagi hingga 6.00 pagi. “Sebelum ulangkaji buat solat sunat dan baca al-Quran, lepas itu amalkan sedekah waktu subuh dan seterusnya solat Dhuha,” katanya.  
03 May 21
1123
'Maghi Candat Sotong' Kembali Dengan Norma Baharu Ketat
'Maghi Candat Sotong' Kembali Dengan Norma Baharu Ketat
KUALA NERUS, 3 Mei - Kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu sedang berbincang mengenai pelaksanaan dan kaedah sesuai bagi penganjuran Program Maghi Candat Sotong pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut berikutan musim mencandat sotong bermula April hingga September ini akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19. Katanya, peraturan dan prosedur akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keadaan semasa untuk memastikan pelancong domestik boleh datang bagi menyertai aktiviti tahunan tersebut. "Antaranya pengusaha bot bagi aktiviti perairan ini bersedia untuk mengurangkan kira-kira 50 peratus jumlah peserta berbanding musim biasa. "Tahap ketersediaan pengusaha terlibat semuanya dalam keadaan baik dalam pematuhan-peraturan yang ditetapkan supaya aktiviti mencandat berjalan tanpa sebarang masalah. "Berkaitan SOP bagi sesebuah bot, jumlah kapasiti peserta akan dikurangkan kepada 12 orang berbanding 20 orang bergantung kepada muatan dan saiz bot," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis moreh bersama media, malam semalam. Mengulas lanjut berkenaan pemeriksaan terperinci peserta yang akan terlibat, Ariffin memaklumkan, pihaknya akan menjalankan tindakan sesuai bagi memastikan risiko penularan dikurangkan. "Tambah lagi, kita juga akan meneliti aspek kebenaran penyertaan sama ada hanya boleh diberikan kepada mereka yang sudah lengkap menerima dos vaksin, atau telah menjalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum memasuki Terengganu," jelasnya. Untuk rekod, Program Maghi Candat Sotong merupakan program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada Julai tahun lepas.
03 May 21
395
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Kembali Tertinggi Di Malaysia
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Kembali Tertinggi Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Terengganu kembali menyaksikan peningkatan mendadak Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia dengan mencatatkan nilai 1.66. Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut menunjukkan kenaikan kepada 1.11 semalam daripada 1.10 pada hari sebelumnya. Terengganu turut mengalami peningkatan jumlah kes baharu positif virus merekodkan 184 kes baharu pada hari Isnin berbanding 42 kes pada awal minggu ini. "Jumlah kes aktif yang sedang dirawat dalam negeri adalah 404 kes dengan jumlah kumulatif kes berjumlah 4,419 kes," sepertimana dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi laman Facebook rasmi. Sementara itu, Kelantan, Kedah, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan adalah di antara negeri dengan kadar kebolehjangkitan tinggi melebihi angka 1.0. Statistik angka tinggi di negeri lain yang melebihi 1.0 juga direkodkan di Johor, Melaka, Perak, Putrajaya, Sarawak dan Pulau Pinang. Untuk pengetahuan, nilai Rt merujuk kepada tahap penularan virus, iaitu berapa jumlah individu yang mampu dijangkiti oleh satu kes positif. Contohnya, semakin rendah nilai tersebut, kemungkinan jangkitan bagi kes positif adalah berkurang.
03 May 21
524
Mintah Hatrik, Terengganu FC II Kekal Rekod Tanpa Kalah
Mintah Hatrik, Terengganu FC II Kekal Rekod Tanpa Kalah
KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi pusingan pertama Liga Premier 2021 apabila menang selesa 4-1 ke atas Kelantan United FC (KUFC), sebentar tadi. The Turtle melayan kunjungan KUFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) cemerlang meledak empat gol dengan Jordan Mintah mencetak hatrik pertamanya musim ini. Penyerang kelahiran Ghana itu mencetak gol melalui sepakan penalti pada minit keempat sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-31, juga melalui penalti. Tuan rumah yang selesa di depan bagaimanapun dikejutkan pelawat pada minit ke-40 apabila Alfusainey Gassama mencetak gol untuk KUFC merapatkan kedudukan. Memasuki babak kdeua perlawanan, anak-anak buah Akira Higashiyama cuba bangkit, namun dinafikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali. Jaringan Argrim Redzovic menerusi sepakan percuma pada minit-55 dan penyudah sempurna Mintah melalui sepakan lencong pada minit ke-69 melengkapkan kemenangan Terengganu FC II. Keputusan kekal 4-1 sehingga wisel penamat ditiupkan. The Turtle menutup pusingan pertama dengan tujuh seri dan tiga kemenangan kini berada di tangga ketiga liga dengan 16 mata.    
02 May 21
1168
Tiada Laporan Penganjuran Iftar Di Kawasan Lapang
Tiada Laporan Penganjuran Iftar Di Kawasan Lapang
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Sehingga kini tiada sebarang laporan diterima pihak berkuasa berkenaan penganjuran majlis berbuka puasa di kawasan terbuka dan lapang di negeri ini selepas aktiviti itu dilarang sejak awal Ramadan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihak penguatkuasa akan segera bertindak sekiranya terdapat laporan tentang pelanggaran arahan tersebut. “Walau bagaimanapun, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar Ramadan masih boleh dipertingkatkan. “Kesalahan biasanya seperti penjarakan fizikal yang kurang memuaskan kerana faktor ramai pengunjung yang hadir membeli juadah berbuka, tetapi nasihat akan terus diberi manakala kompaun adalah tindakan terakhir sahaja,” katanya ketika ditemubual pemberita. Sebelum ini, pihak berkuasa negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti iftar di kawasan terbuka dan lapang sepanjang Ramadan 2021. Mengulas mengenai salah faham arahan had umur kanak-kanak bawah 12 tahun, Dr Alias menjawab, larangan tersebut hanya termaktub di bazar Ramadan sahaja. “Tiada keperluan untuk bawa anak-anak kerana urusan penting adalah hanya untuk membeli atau menjual juadah berbuka, hanya ibu bapa sahaja boleh belikan. “Ini untuk kita kurangkan penularan COVID-19 di tempat yang sesak kerana risiko jangkitan kepada kanak-kanak adalah tinggi," katanya. Tambah beliau, had umur kanak-kanak tersebut tidak melibatkan Ekspo jualan pakaian Aidilfitri. “Salah faham ini timbul kerana had tersebut hanya melibatkan bazar Ramadan dan bukan bagi urusan pembelian pakaian raya,” jelasnya.  
02 May 21
227