Artikel "Utama" Terkini
Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini
MARANG, 25 April – Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan projek perumahan bermasalah di Kampung Gong Cempedak di sini melalui beberapa kaedah termasuk dengan mengadakan pertemuan bersama pemaju swasta terlibat, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd pada rabu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan lanjut itu diambil selepas projek seluas 48.671 ekar itu masih tertangguh meskipun aduan kepada pihak berwajib telah dibuat.
Katanya, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.
“Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT).
“Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Sebenarnya projek ini sudah terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan, meskipun pada tahun 2018 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sendiri, sepatutnya pada waktu itu beliau boleh menyelesaikan isu ini dan membantu pembeli, namun itu tidak berlaku sehingga menyebabkan pembeli terus sengsara,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Sementara itu, Ketua Penolong SUK (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Dan Tanah Marang untuk menghantar aduan kelewatan projek ke peringkat pusat.
“Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara kerana langkah selanjutnya akan diambil oleh JPN,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Khas Menteri Besar DUN Rhu Rendang, Wahad Osman memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah sejak 2019 melalui perbincangan bersama Pegawai Bahagian SUK Perumahan mengenai aduan berkenaan.
“Hasil siasatan, pengisian projek tersebut bukan di bawah Pengkalan Data SUK Perumahan Negeri, tetapi pembelian terus pembeli dengan pemaju.
“Projek bermula tahun 2006 dengan tanah kerajaan (MMKN) bersetuju menyerahkan kepada pemaju (di bawah konsep penswastaan) telah diserah secara pajakan selama 99 tahun membabitkan 497 buah rumah dan dipecahkan kepada lima zon.
“Zon 1 (53 unit) dan 2 (112 unit) telah siap manakala zon 3 melibatkan 120 buah unit yang sepatutnya siap pada tahun 2018 masih dalam pembinaan dan hanya mencecah 70 peratus sahaja,” jelasnya.
Tambahnya, zon 4 (104 unit) dan 5 (108 unit) masih belum mendapat pengesahan status tanah oleh Pejabat Tanah Marang.
25 Apr 21
1220
Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu supaya tidak hanya memastikan peruncit atau peniaga sahaja mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebaliknya pemantauan dan penguatkuasaan lebih serius juga harus dilakukan ke atas pemborong.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dibuat pihaknya mendapati kebanyakan peruncit masih mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan walaupun terpaksa menerima margin keuntungan yang sangat kecil kerana tidak boleh menaikkan harga runcit sesuka hati.
“Cuma ada beberapa isu yang diberitahu oleh peniaga antaranya pemborong kurang mematuhi harga yang dicadangkan pihak kerajaan.
“Saya mengharapkan pihak penguatkuasa semak semula keadaan yang berlaku di pasar-pasar borong yang telah dikenalpasti kerana kita tidak mahu peruncit tertekan dengan kawalan harga ini,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau jualan barangan basah di Pasar Besar Kedai Payang, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya mengharapkan KPDNHEP Terengganu akan mengambil tindakan segera terhadap aduan peniaga berkaitan isu pemborong ini dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Bila sembang dengan peniaga tadi, kita dapati mereka terpaksa menerima keuntungan yang sedikit kerana patuh akan saranan kerajaan ekoran berlaku kegagalan pematuhan di peringkat pemborong.
“Sebagai contoh, harga maksimum ayam standard yang ditetapkan kerajaan untuk pemborong ialah RM7.10 tapi ditolak kepada peniaga sehingga RM7.50 ada yang dapat RM7.80 sedangkan harga saranan runcit RM7.90,” ujarnya.
Katanya, bagi memastikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dipatuhi dan peniaga tidak ditindas, perkara ini perlu diselesaikan di peringkat pemborong terlebih dahulu.
25 Apr 21
236
Penyu 'Moreh' Daging Harimau Menangis
KUALA TERENGGANU, 25 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila menang tipis 1-0 ke atas pendahulu Liga Super 2021 itu, malam tadi.
Jaringan tunggal pemain muda, Hakimi Abdullah pada minit ke-57 memastikan Sang Penyu membawa pulang tiga mata sekali gus terus mengekori rapat Harimau Selatan dengan perbezaan dua mata.
Beraksi di Iskandar Puteri, malang berganda buat JDT apabila pertahanan kentalnya, Mauricio Dos Santos turut cedera dipercayai terseliuh ketika cuba menghalang pergerakan Faisal Halim.
JDT cuba menyamakan kedudukan dengan memperkuatkan serangan apabila Benjamin Mora memasukkan Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah dan Nazmi Faiz.
Namun, anak buah Nafuzi Zain kental bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kemenangan tersebut menoktahkan 'maraton' tanpa kalah JDT yang kali terakhir tewas di tempat sendiri dalam saingan Liga Super kepada PJ City pada Julai 2019.
Sumber foto: Media Terengganu Football Club
24 Apr 21
1150
Terengganu FC II, Selangor FC 2 Kongsi Mata
KUALA TERENGGANU, 24 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 ketika menentang Selangor FC 2 dalam aksi kesembilan Liga Premier 2021, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), tuan rumah bermula garang apabila mendahului lawan menerusi sepakan percuma Jordan Mintah pada minit ke-23.
Pasukan pelawat cuba menyamakan kedudukan namun keputusan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, The Turtle semakin menjarakkan kedudukan apabila Mintah sekali lagi muncul penjaring dengan rembatan deras tepat ke sisi kiri gol lawan.
Bagaimanapun, tuan rumah nyata mensia-siakan kelebihan dua gol apabila lawan kembali merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import tunggal Selangor FC 2, George Tetteh pada minit ke 63.
Pelawat turut mengejutkan The Turtle dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-71 apabila Mohamad Shafawi menampan rembatan Saiful Iskandar Adha ke gawang sendiri.
Keputusan kekal 2-2 sehingga tamat perlawanan.
24 Apr 21
909
Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 24 April - Aktiviti rentas negeri melibatkan mereka yang bergejala tanpa kuarantin kendiri adalah pencetus utama berlaku penularan COVID-19 di dalam negeri.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, isu rentas negeri adalah sesuatu yang sensitif untuk diperkatakan kerana antara faktor penyebaran COVID-19 adalah merentas sempadan tanpa rasa tanggungjawab.
"Yang jadi isu, seseorang yang bergejala balik rentas negeri tetapi tetap masuk kerja, masih ambil masa dua hari untuk pergi klinik (melakukan 'swab test') menyebabkan semua rakan sekerja disaring dan dikuarantin.
"Contoh lain, yang bergejala masih lagi bersama dalam majlis berbuka puasa bersama 25 ahli keluarga, akhirnya semua terlibat terpaksa disaring dan dikuarantin, keluarga di sana sudah ada positif dan di sini belum tahu lagi. Kita berharap sangat tiada kluster baru akibat ini.
"Kita perlu ingat tiga atau empat hari sebelum dan selepas seseorang itu bergejala, kadar jangkitan sangat tinggi," katanya di laman facebook rasminya, hari ini.
Tambahnya, beliau menasihati agar semua masyarakat tidak mengambil mudah dengan situasi COVID-19 yang kini semakin membimbangkan.
Sementara itu, beliau turut menyarankan supaya mengekalkan adab sopan berbudi bahasa serta empati kepada warga petugas kesihatan barisan hadapan.
"Mereka bekerja tanpa rehat cukup sejak setahun yang lalu. Bulan puasa ini ke hulu hilir buat saringan, kesan kontak rapat, angkut pesakit ke hospital.
"Orang tanpa segan silu maki, kutuk dan kecam. Kita sudah jauh terpesong daripada budaya adab sopan berbudi bahasa. Petugas kesihatan yang terkena tempias sedangkan mereka hanya menjalankan tugas," jelasnya.
Beliau juga mengibaratkan cabaran pandemik sebagai berdepan dengan api dan bara yang perlu dipadam.
"Jika api sahaja dipadam dan bara dibiarkan, bara ini lah nanti akan membakar semula," nasihatnya.
Sehingga hari ini, Terengganu merekodkan 50 kes positif baharu dengan jumlah kes keseluruhan dikesan berjumlah 4,002 kes, peningkatan mendadak daripada 11 kes pada semalam.
24 Apr 21
651
600 Nelayan Terengganu Terima Lesen
BESUT, 22 April - Sebanyak 600 Lesen Sampan Khas diluluskan ibu pejabat Jabatan Perikanan Malaysia buat nelayan-nelayan negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, Terengganu menjadi negeri pertama yang menerima kelulusan lesen dengan jumlah sebanyak itu.
"Tidak keterlaluan juga jika saya katakan, selain menjadi negeri pertama mengangkat permohonan lesen bagi rakyat, Terengganu juga menjadi perintis ke arah penyelesaian isu lesen nelayan sampan bagi seluruh negara yang berjumlah puluhan ribu.
"Ini kerana, ekoran permohonan ini pihak kementerian dan Jabatan Perikanan Malaysia telah membuka kembali permohonan dari seluruh negara sejak ia dibekukan pada tahun 1982,' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan lesen kepada 85 nelayan di Beting Lintang, semalam.
Dalam program tersebut, sebanyak 53 nelayan sampan Besut dan 31 nelayan dari Setiu menerima lesen bagi sesi agihan pertama oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT).
Jelas Dr. Azman, daripada 800 permohonan yang diangkat, sebanyak 600 lesen diluluskan bagi fasa pertama dengan Setiu serta Besut menjadi daerah pertama menerimanya.
"Untuk baki 200 permohonan lagi, saya telah mohon dengan JPNT untuk kita buat rayuan bagi fasa kedua.
"Mungkin ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan kita yakin akan dapat diselesaikan," katanya.
Tambahnya lagi, dengan adanya lesen maka dapatlah nelayan menikmati beberapa kemudahan dari kerajaan dan mereka dapat turun dengan tenang ke laut serta tidak dinafikan darpada dapat elaun sara hidup nelayan, bantuan bencana dan sebagainya.
Beliau berharap, dengan usaha tersebut sektor perikanan akan berkembang dan hasil tangkapan yang didaratkan akan dapat direkodkan.
"Sebelum ini, memang ada ikan didaratkan nelayan sampan tetapi banyak yang tidak direkodkan kerana mereka tidak mempunyai lesen.
"Tujuan asal direkodkan supaya mereka dapat subsidi minyak. Tetapi, apabila mereka tiada lesen maka mereka tidak layak dapat subsidi minyak," katanya.
Tegasnya, kejayaan memperoleh lesen tersebut merupakan kejayaan bersama para nelayan dan agensi.
"Kita mahu industri perikanan kita melonjak lebih jauh selepas ini.
"Kita jauh ditinggalkan oleh Perak dari segi jumlah pendaratan hasil dan tidak seiring dengan panjang pantai dan keluasan zon tangkapan kita kerana beberapa isu berbangkit sebelum ini.
"Satu daripada isu besar yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan berjaya diselesaikan, sekurang-kurangnya kita sudah mengorak langkah," katanya.
24 Apr 21
1480
Primula Beach Hotel Ukir Senyuman Anak Yatim, Asnaf
KUALA TERENGGANU, 23 April - "Ini adalah kali pertama saya berbuka puasa di hotel tetapi bukan bersama keluarga sebaliknya bersama rakan senasib," kata Arash Armawi, 16, salah seorang penghuni Asrama Darul Falah yang diraikan Primula Beach Hotel dalam majlis berbuka puasa.
Dia yang tinggal bersama tiga lagi adik-beradiknya di asrama berkenaan sejak tahun lepas berkata, peluang untuk berbuka puasa di hotel sangat dinantikan kerana dapat merasai makanan yang dianggap mewah bagi mereka sekeluarga.
"Saya tidak pernah merasainya sebelum ini, kerana keluarga kami orang susah dan tidak mampu berbuat demikian,” katanya yang berasal dari Gong Bayor, Besut ketika ditemui selepas majlis Iftar di Dewan Gamelan Ballroom, Primula Beach Hotel(PBH), hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 60 orang anak-anak yatim dan kanak-kanak asnaf dari Asrama Darul Falah, SK Pagar Besi, SK Kampung Tengah dan Pusat Tahfiz Tengku Ampuan Bariah turut memeriahkan majlis tersebut.
Hadir sama, Pengerusi Primula Beach Hotel, Dato’ Mustafa Ali dan ahli Lembaga Pengarah PBH iaitu Burhanuddin Hilmi Harun
Turut diraikan ialah kakitangan
Primula Beach Hotel yang berstatus ibu tunggal seramai 11 orang.
Bagi Siti Nur Intan Zulieya Ahmad Zul Hatta,15, bulan Ramadan adalah bulan yang paling ditunggu sejak tinggal di Darul Falah, dia tidak pernah terlepas daripada menyertai majlis berbuka puasa di hotel.
"Kalau saya tidak tinggal di Darul Falah, sudah tentu tidak merasai suasana ini, kerana ibu tidak mampu membawa saya dan adik beradik berbuka di tempat mahal.
"Kadang-kadang saja dapat makan dekat hotel, itu pun masa bulan puasa... tapi memang seronok sebab lauk banyak dan sedap,"katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, program khidmat masyarakat itu diadakan untuk mengeratkan hubungan di antara staf hotel dan masyarakat luar.
"Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada mereka di bulan mulia ini.
"Apa yang kami harapkan, mereka rasa dihargai dan tidak rasa terpinggir, kerana ada ramai insan lain di luar sana yang mengambil berat serta menyayangi mereka,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Asrama Darul Falah, Bukit Payung, Nurul Fatihah Razali, berterima kasih kepada Hotel Primula kerana menjemput mereka dan dirai di majlis berbuka puasa.
"Saya bersyukur kerana banyak menerima sumbangan aripada pelbagai pihak dan majlis sebegini sudah tentu dapat memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak ini terutama menjelang Syawal yang bakal tiba.
"Majlis ini sekurang-kurangnya dapat memberi peluang anak-anak ini berasa dikasihi, sekali gus membuktikan mereka tidak disisihkan," katanya.
22 Apr 21
1018
Abai Kebersihan, 52 Notis Dikeluar Kepada Peniaga Bazar
KUALA TERENGGANU, 23 April - Sebanyak 52 notis dengan jumlah amaun kompaun RM5,450 dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan dijalankan terhadap bazar Ramadan di seluruh negeri dan bagi mencegah berlakunya kejadian penyakit bawaan makanan seperti kes keracunan makanan, kolera dan kepialu.
Katanya, kesemua 52 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).
"Daripada 52 notis itu, 31 notis disebabkan kesalahan tidak memakai apron, peniaga atau pekerja tidak mengikuti kursus pengendalian makanan (11), kebersihan diri yang tidak memuaskan (lapan) dan lain-lain kesalahan (dua).
"Notis tertinggi dikeluarkan di daerah Besut iaitu 14, diikuti Marang (12), Setiu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh), Kuala Terengganu (tiga), Dungun (tiga), Kemaman (tiga) dan Hulu Terengganu (satu)," katanya ketika dihubungi pemberita.
Justeru itu katanya, pihak JKNT akan terus menjalankan pemantauan sehingga akhir Ramadan bagi tujuan pencegahan penyakit.
"Sampel makanan yang dijual turut diambil secara rawak bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual.
"Oleh itu, pilih gerai jualan yang bersih, makanan yang bertutup serta guna kaedah hidu dan rasa sebelum makan juadah yang dibeli," katanya.
22 Apr 21
238
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Mula Reda
KUALA TERENGGANU, 21 April - Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Terengganu kini mengalami penurunan kepada 1.15 setelah direkodkan menjadi negeri dengan kadar nilai tertinggi di Malaysia, baru-baru ini.
Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Terengganu masih antara negeri dengan kadar Rt melebihi 1 diikuti Selangor and Sabah (1.10), Johor and Kedah (1.09), Melaka (1.06), and Pahang (1.0).
“Kelantan kini mempunyai angka Rt dengan 1.43 melepasi Rt negara iaitu 1.19.
“Nilai tersebut merupakan jangkaan mengikut kes harian pada Selasa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Terengganu turut merekodkan penurunan kepada satu kes sahaja jumlah kes baharu COVID-19 seperti perlis (1 kes) diikuti dengan Labuan (2 kes) manakala jumlah kumulatif kes sebanyak 2,340 kes dalam negara, pada hari ini.
Untuk pengetahuan, nilai Rt merujuk kepada tahap penularan virus, iaitu berapa jumlah individu yang mampu dijangkiti oleh satu kes positif.
Contohnya, semakin rendah nilai tersebut, kemungkinan jangkitan bagi kes positif adalah berkurang.
21 Apr 21
1155
Modul Itqan Insani Bangunkan 10 Segmen Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 21 April – Modul Itqan Insani menyasarkan pembangunan insan secara holistik kepada 10 segmen masyarakat selaras dengan dasar Islam yang dibawa kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam membangunkan aspek fizikal, intelektual dan spiritual melalui penghayatan modul yang digerakkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS).
“Segmen yang terlibat bermula daripada pegawai dan penjawat agama negeri sehinggalah ke peringkat tenaga buruh.
“Ia juga akan melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Guru KAFA di bawah kerajaan negeri, pimpinan ulamak dan pendakwah bebas, mahasiswa, remaja (belia dan beliawanis), peniaga dan usahawan serta golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempromosikan Modul Itqan Insani, di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini.
Mohd Nor turut mengajak seluruh masyarakat menyertai majlis pelancaran modul tersebut pada 28 April ini secara maya.
“Insya-Allah, perasmian akan dibuat oleh Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dapat ditonton secara rasmi di laman Facebook Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), TV Darul Iman atau ‘Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS),” katanya lagi.
Untuk rekod, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan modal tersebut bersama Program Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) sebahagian daripada teras pertama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda islam dan pembangunan modal insan.
Sementara itu, Mohd Nor turut mengajak warga islam dalam mengikuti program Ramadan Di Hati bersama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang berlangsung sepanjang bulan tersebut.
“Antara pengisian adalah program Sahur Rohani (5.30 pagi) dan Ihya Ramadan (10.00 pagi) yang diadakan secara langsung di Facebook DUAT dari Ahad hingga Khamis, manakala setiap hari akan diisi dengan rancangan seperti 'Time for Quran' (1.30 petang) dan 'Time for Hadis' (5.00 petang),” jelasnya.
Untuk maklumat lebih lanjut boleh melayari halaman page di Facebook @DUATterengganu.
21 Apr 21
731