lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hanya Tinggal Hulu Terenggganu, Zon Hijau Di Semenanjung
Hanya Tinggal Hulu Terenggganu, Zon Hijau Di Semenanjung
KUALA TERENGGANU, 15 Mei -Daerah Hulu Terengganu, menjadi satu-satunya daerah di Semenanjung Malaysia yang masih 'selamat' dari jangkitan pandemik COVID-19 dalam kalangan penduduknya apabila berada dalam kategori Zon Hijau. Berdasarkan infografik yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook rasminya, beberapa negeri dilihat berstatus merah sepenuhnya iaitu Selangor dengan 17,738 kes diikuti Kuala Lumpur (5, 327), Pulau Pinang (3,422) dan Melaka (100,9) serta Putrajaya (136). Sementara itu, di Sarawak, kawasan berstatus hijau adalah daerah Kabong dan Telang Usan manakala Sabah pula adalah di daerah Tambunan, Kudat, Nabawan, Pilas, Tenom, Kuala Penyu, Tongod dan Telupid. Menurut CPRC, status merah adalah daerah yang mempunyai bilangan 41 kes ke atas manakala jingga (21-40 kes), kuning (1-20 kes) dan hijau (tiada kes). Dalam masa yang sama KKM juga berkata, Varian Afrika Selatan B.1.351 kini telah menular dalam komuniti.  Justeru itu, orang ramai diminta  berhati-hati dan duduk di rumah bagi mengelakkan penularannya.
15 May 21
821
Semua Dikompaun, Tiada 'Double Standard'
Semua Dikompaun, Tiada 'Double Standard'
BESUT, 14 Mei - “Semua orang tanpa terkecuali tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan saya akan menjelaskan kompaun sebagaimana orang lain,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi seperti yang dipetik dalam Utusan Malaysia memaklumkan, kompaun tersebut dibayar di Pejabat Kesihatan Besut, Ahad ini. Beliau hari ini dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung larangan aktiviti ziarah pada Aidilfitri. Terdahulu, Azman dalam hantaran terbaharu di laman Facebook turut memaklumkan selesai memberikan keterangan berhubung isu berkenaan dan menerima kompaun atas kesalahan dilakukan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, turut dikenakan kompaun RM2,000 ialah tetamu yang juga jirannya, Zakaria Mahmud. “Kedua-dua mereka menerima kompaun berkenaan selepas hadir memberikan keterangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira pukul 12 tengah hari ini,” katanya. Sejak semalam, tular dua gambar yang memaparkan Zakaria berkunjung ke kediaman Azman di Besut selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri. Bagaimanapun, kedua-dua gambar yang dimuat naik Zakaria di laman Facebook miliknya itu didapati sudah dipadam.
14 May 21
420
COVID-19: 41 Pelajar SM Agama Setiu Positif
COVID-19: 41 Pelajar SM Agama Setiu Positif
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Seramai 41 pelajar Sekolah Menengah (SM) Agama Setiu di Setiu disahkan positif COVID-19 hasil keputusan sampel kedua, setelah mereka dikuarantin 10 hari di asrama sekolah.  Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sehingga semalam hampir 50 peratus iaitu 99 orang dari 208 pelajar perempuan di asrama SM Agama Setiu telah dijangkiti virus tersebut. Katanya, indek kes merupakan seorang guru perempuan yang merupakan kontak rapat kepada kes Kluster Tok Has yang didaftarkan pada 3 Mei lalu. “Bila dikuarantin lama di asrama terutama pada hari raya, hanya Allah jer tahu hati dan perasaan pelajar termasuk ibu bapa mereka.Mau meraung nya budak budak ini. Bukan sahaja pelajar yang 'menderita', pihak pengurusan sekolah malah ibu bapa akan 'menderita' sama. "Saya sentiasa cakap bahawa Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di asrama sangat sukar walaupun mereka mungkin tinggal tiga atau empat orang sebilik. Mereka bergaul rapat dan berkongsi segala galanya. “ Sebab itu, virus Covid-19 mesti dihalang masuk ke sekolah bermula dari pintu masuk lagi terutama di sekolah-sekolah berasrama,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini. Justeru itu, beliau memohon kerjasama semua pihak agar sentiasa memastikan kawalan pencegahan yang ketat dan maksimum supaya kluster sama tidak berulang di masa depan. Dalam perkembangan sama, satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di Besut semalam dan kematian terbaru ini menjadikan jumlah kematian  di Besut seramai 11 orang dengan 525 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh dua minggu Mei. Kes kematian terbaru membabitkan wanita berusia 63 tahun dari Kampung Gertak 100 yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan angin ahmar.    
14 May 21
2495
Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin
Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin melalui kaedah ‘crowdfunding’ dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta. Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam. "Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin. "Kami dengan penubuhan 'Sekretariat #Aid4Palestine' yang akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini. "Sekretariat ini turut akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam. Menurut beliau yang juga Presiden PAS, hasil kutipan fasa pertama berjumlah RM350 ribu akan disalurkan pada 10 Syawal. "Hasil kutipan terkumpul melalui NGO PAS Relief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia. "Manakala kutipan fasa kedua minima RM650 ribu akan dibuka sehingga 30 Syawal. "Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin. "Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin," jelasnya lagi. Tambah Abdul Hadi, infak dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.  
13 May 21
889
Segera Daftar Vaksin COVID-19 - Titah Sultan Mizan
Segera Daftar Vaksin COVID-19 - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh masyarakat negeri ini untuk mendaftarkan diri dalam program vaksinasi Covid-19. Titah Baginda, pengambilan vaksin adalah mustahak kerana ia sebagai langkah keselamatan untuk keluarga dan masyarakat di negara ini supaya dilindungi daripada virus tersebut. "Beta dan Sultanah mengharapkan semoga ia menjadi titik permulaan berakhirnya wabak penyakit ini dan kehidupan akan kembali seperti sedia kala," titah baginda dalam perutusan khas sempena sambutan Aidilfitri. Baginda turut menyeru agar seluruh rakyat memberi kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan Covid-19 menerusi penggunaan vaksin yang menjadi satu daripada ikhtiar melalui kaedah sains perubatan. Sultan Mizan juga mengingatkan semua rakyat Terengganu supaya bersama-sama menghargai pengorbanan dan perkhidmatan diberikan pelbagai pihak terutamanya petugas barisan hadapan. “Mereka sedang bekerja keras membendung wabak Covid-19 sehinggalah kemeriahan Aidilfitri dapat disambut dengan suasana aman, tenteram dan harmoni. "Beta dan Sultanah menzahirkan penghargaan dan mendoakan segala khidmat bakti mereka diterima dan diberkati oleh Allah di dunia dan di akhirat," titah baginda. Dalam pada itu, Sultan Mizan berharap rakyat dapat meneruskan amalan menjalinkan hubungan silaturahim dengan memanfaatkan kemudahan media baharu dan elektronik untuk menghubungi kaum keluarga, sahabat dan jiran tetangga, bersempena Aidilfitri yang disambut dalam suasana norma baharu. Baginda bertitah amalan salam-bersalaman dan ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara boleh diganti dengan bertemu di alam maya dari rumah masing-masing. "Kerinduan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa serta ahli keluarga Insya-Allah akan terubat walaupun dapat bertemu dalam talian. Dengan cara ini dapatlah juga kita bertanya khabar dan bermaaf-maafan antara satu sama lain," titah baginda. Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru umat Islam untuk terus merealisasikan dan mempraktikkan sifat sabar yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan ini. "Maka janganlah dengan ketibaan Syawal, segala pelajaran yang diterima sepanjang Ramadan dilupakan begitu sahaja. Inilah masa untuk umat Islam mempraktikkan pendidikan Ramadan hingga kembali Ramadan tahun hadapan, agar segala dosa kita dihapuskan Allah," titah baginda. Sehingga semalam, Terengganu masih terendah berbanding negeri pantai timur lain dengan jumlah 280,900 pendaftaran, (Pahang: 398,027 pendaftaran) (Kelantan: 338,298 pendaftaran) berdasarkan laporan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
13 May 21
280
Besut Catat 10 Kematian Akibat Covid -19
Besut Catat 10 Kematian Akibat Covid -19
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Daerah Besut kini mencatatkan lebih separuh daripada angka keseluruhan kematian di Terengganu selepas dua lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan. Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, jumlah tersebut menjadikan jumlah maut dari daerah itu kini seramai 10 orang daripada  17 orang di seluruh negeri sejak tahun lalu.  Katanya, kes kematian terbaharu membabitkan warga emas lelaki berusia 71 tahun dari Kampung Pelagat 3 di samping wanita berumur 55 tahun dari Kampung Bukit Tumbuh.  "Daripada 11 kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), tujuh merupakan warga Besut. "Setiap kematian akibat Covid 19 sangat menyayat hati apabila berada di Hospital atau ICU keseorangan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Bila meninggal, juga kesorangan kerana yang menguruskan jenazah adalah pihak lain bukan ahli keluarga.  "Ahli keluarga hanya mampu melihat dari jauh atau mereka berada di Pusat Kuarantin,"katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.  Tambahnya lagi, data harian kes Covid 19 adalah benar termasuk data harian kematian malah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga benar dalam mencegah jangkitan wabak.  Sehubungan itu, Nor Azimi menuntut orang ramai untuk berikrar kekal duduk di rumah di samping mengehadkan pergerakan dan mengelakkan berkumpul beramai-ramai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.  Katanya, langkah itu penting bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19 dengan cepat. "Janganlah kita menjadi punca kemudaratan kepada orang lain," katanya. 
13 May 21
1414
Lebih 400 Pelita Terangi Malam Raya Keluarga Zamani
Lebih 400 Pelita Terangi Malam Raya Keluarga Zamani
KUALA NERUS, 13 Mei – Budaya malam pelita raya bagi menghidupkan suasana Aidilfitri diteruskan dengan rekaan tersendiri oleh sebuah keluarga di Kampung Padang Air. Menurut Mohammad Zamani Harun, 45, lebih 400 pelita digunakan dengan reka bentuk unik menerangi kawasan rumahnya. “Kos minyak kira-kira RM80 sehari, ia digunakan kerana harganya lebih murah berbanding minyak tanah. “Setakat ini kami membelanjakan lebih RM500 untuk minyak diesel, pelita besi dan menggunakan kayu buluh untuk dijadikan pelita. “Dengan adik beradik yang tinggal berdekatan disini, jadi ia memeriahkan dan memudahkan aktiviti menghiaskan sekeliling kediaman,” katanya ketika ditemubual pemberita. Tambahnya, penggunaan buluh sebagai pelita raya turut menjimatkan kos berbanding membeli pelita biasa namun cabarannya datang daripada mencari saiz yang sesuai. Sementara itu, Zamani turut mencetuskan idea untuk membina replika kapal selam KRI Nanggala 402 yang karam di Indonesia baru-baru ini sebagai tanda mengingati pengorbanan mereka. “Untuk memasang rekaan kapal selam itu pula memakan masa sehari, namun usaha itu berbaloi kerana ramai datang berkunjung untuk bergambar. “Tahun lepas juga kita jadikan kereta using sebagai tarikan, ini adalah amalan tradisi keluarga yang diteruskan walaupun dalam norma baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Walaupun hari raya disambut secara sederhana, aktiviti sebegini menaikkan semangat Aidilfitri dan eratkan hubungan kami sekeluarga," jelas Zamani.
13 May 21
752
Sultan Terengganu Tunai Solat Aidilfitri
Sultan Terengganu Tunai Solat Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 40 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini, hari ini. Keberangkatan tiba Sultan Mizan pada jam 8.25 pagi dengan berpersalinan lengkap baju Melayu berwarna putih turut ditemani Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az. Mengiringi baginda bertiga, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Solat sunat Aidiladha hari ini diimamkan Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Tidak sebagaimana kebiasaan, selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, baginda bersama kedua anakanda berangkat pulang tanpa menziarahi makam diraja yang terletak di kawasan Masjid Al-Muktafi Billah Shah sebagai perkenan menghormati SOP yang ditetapkan kerajaan sempena sambutan Aidilfitri kali ini. Para jemaah yang hadir juga dilihat mematuhi segala SOP dengan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri. Pihak pengurusan masjid turut membuat pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu bagi memastikan hanya jemaah yang sihat sahaja menunaikan solat.
13 May 21
640
Terengganu Benarkan Solat Aidilfitri Terhad 40 Jemaah
Terengganu Benarkan Solat Aidilfitri Terhad 40 Jemaah
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu membenarkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau negeri ini terhad kepada 40 jemaah lelaki tidak termasuk Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, tetapi ia hanya membabitkan melibatkan jemaah lelaki dan pemastautin sahaja selain perlu jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Katanya, solat jumaat juga turut dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah tidak termasuk jawatankuasa masjid dan surau setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mengadakan ibadah itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0). "Solat sunat Aidilfiti di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan kehadiran jemaah lelaki sahaja seramai 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa masjid dan surau. "Manakala Solat fardu lima  waktu di masjid dan surau juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 20 orang," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah Osman lagi, kehadiran ahli jemaah ke masjid dan surau dibenarkan bagi kalangan ahli qaryah yang bermastautin sahaja kecuali mana-mana orang yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Dalam pada itu, beliau memaklumkan ziarah tanah perkuburan ketika sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan. Jelas Osman, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lain juga tidak dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau sepanjang tempoh PKP. Beliau juga berkata,  mana- mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan. Sementara itu, Sultan Mizan dalam pada masa yang sama menzahirkan rasa dukacita dan memahami akan kesulitan dan kesusahan yang perlu dihadapi oleh rakyat jelata lebih-lebih lagi dalam suasana Hari Raya Aidilfitri yang tidak berapa hari lagi akan disambut oleh umat Islam. Baginda juga mengharapkan semoga semua rakyat jelata bersabar dengan situasi yang perlu dihadapi dan berdoa semoga dilindungi dari wabak tersebut.
12 May 21
1397
Hotel Primula Bantu Penjaja Jalanan, Ikhlaskan Hati ‘Memberi’ Walau Sedikit
Hotel Primula Bantu Penjaja Jalanan, Ikhlaskan Hati ‘Memberi’ Walau Sedikit
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Primula Beach Hotel terus komited  menyantuni 25 penjaja jalanan di sekitar daerah ini menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata pihaknya terpanggil untuk tampil memberikan sumbangan seumpama makanan dan kuih raya agar penerima dapat menikmati kehidupan seperti orang lain. "Jika kita daripada golongan yang kurang terjejas, masih ada makanan dan minuman diatas meja untuk disuap, masih ada menanti gaji tetap setiap bulan, inilah masalah untuk kita membantu golongan yang terkesan ini. "Tidak salah untuk ikhlaskan hati ‘memberi’ kepada mereka walaupun sedikit. Semoga dengan cara ini dapat memberi kebahagiaan, harapan dan keazaman buat mereka untuk terus berniaga, mencari rezeki halal dan meneruskan kelangsungan hidup," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan di hadapan Maybank Kuala Terengganu, hari ini. Tambah Suaibah lagi, pihak hotel memperuntukan lebih RM3,000 ringgit bagi menyediakan makanan untuk berbuka puasa serta kuih raya untuk program CSR kali ini. "Kami berharap program seperti ini dapat mendidik dan menjadi penggerak kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan buat golongan di luar sana yang amat memerlukan bantuan," ujarnya.  
12 May 21
211