Artikel "Utama" Terkini
HSNZ Tak Benar Pelawat Masuk Wad
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Pengurusan Tertinggi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan pelawat masuk ke wad hospital berkenaan.
HSNZ dalam satu kenyataan berkata, ia susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini dengan kes mencecah tiga angka dalam beberapa hari berturut-turut.
"Namun, kebenaran masuk hanya diberikan kepada penjaga yang telah mendapat kebenaran bertulis daripada wad.
"Arahan ini terpakai kepada semua tanpa mengira siapa anda.
"HSNZ memohon maaf di atas keputusan yang terpaksa diambil, namun ia demi menjaga kesihatan awam dan demi membendung penularan wabak COVID-19," jelas kenyataan itu
Jelasnya, diharapkan agar arahan tersebut dapat dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat.
Pada masa kini, Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kini menempatkan 13 kes COVID-19 dengan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
19 May 21
2831
Terengganu Terus Catat Tiga Angka COVID-19
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Terengganu terus mencatat tiga angka bagi kes harian baharu COVID-19 apabila sebanyak 203 kes baharu dilaporkan, hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan 64 kes discaj dan dengan 203 kes baharu menjadikan terdapat 1,230 kes COVID-19 yang aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,144 kes.
Menurut kenyataan tersebut, sebanyak 1,217 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 13 kes menerima rawatan di ICU HSNZ dan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Berdasarkan infografik, daerah Besut tetap mendahului dengan 83 kes positif baharu, diikuti dengan Setiu sebanyak 35 kes dan Kuala Terengganu (32 kes).
Turut direkodkan ialah satu kluster baharu, kluster Jalan Tuan Hitam yang mana kes indeks bagi kluster ini adalah Kes 4813 yang merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun, Warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Mei 2021 hasil saringan individu bergejala.
Terkini, enam daerah yang diletakkan di bawah zon merah ialah Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Marang dan dua daerah di bawah zon kuning iaitu Kemaman dan Hulu Terengganu.
Untuk makluman, daerah yang mempunyai 41 kes aktif dan ke atas dikategorikan sebagai zon merah manakala bagi yang mempunyai satu hingga 40 kes adalah zon kuning.
Sementara itu, kes positif harian hari ini (6,075) adalah tertinggi pernah dilaporkan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Kali terakhir Malaysia merekodkan angka harian tertinggi ialah pada Januari lalu membabitkan sebanyak 5,725 kes.
19 May 21
2030
PKPD Di Mukim Pelagat Bermula Khamis
KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Kerajaan mengambil langkah drastik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Pelagat, Besut bermula Khamis ini sehingga 2 Jun.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan sebanyak 199 kes positif COVID-19 telah direkodkan sehingga kelmarin.
“Kes tersebut direkodkan di semua lokaliti terbabit (13 Kampung) selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 1,092 ujian saringan.
"KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut.
Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, 13 kampung yang terbabit di mukim berkenaan ialah Kampung Alor Selinsing, Kampung Bukit Yong, Kampung Tok Motong, Kampung Lak Lok Dalam, Kampung Lak Lok, Kampung Padang Landak, Kampung Padang Luas, Kampung Padang Luas Hilir dan Kampung Padang Tapong.
"Turut terbabit ialah Kampung Paroh, Kampung Kubang Siam, Kampung Seberang Jerteh, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 & 3," tambahnya.
18 May 21
560
COVID-19 : Lepak, Cetus Jangkitan Baharu Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Tindakan rakyat Terengganu yang tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa dengan melakukan aktiviti lepak membawa padah apabila negeri itu terus mencatatkan kes positif COVID-19 sebanyak tiga angka hari ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jangkitan bertambah buruk dan berlaku dengan pantas selepas kebanyakkan aktiviti yang dilakukan disahkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Lepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu. Akhirnya 17 disahkan positif melibatkan kawan lepak dan ahli keluarga. Seramai 162 kontak rapat dikesan,” katanya menerusi laman Facebook rasmi, sebentar tadi.
Menurut Nor Azimi, penganjuran majlis berbuka puasa melibatkan 20 individu turut menyumbang kepada peningkatan kes di Terengganu dan mencetuskan Kluster Bukit Pauh di Dungun.
"Kluster itu merekodkan 78 orang positif dan 496 orang kontak rapat dikesan setakat ini. Situasi kedua melibatkan majlis jenis sama di sebuah surau di Marang dengan 26 orang positif serta 283 orang kontak rapat," jelasnya.
Tegas Nor Azimi, beliau tidak menolak kemungkinan trend kes tiga digit akan terus berlaku esok akibat sikap rakyat sendiri.
"Sebagai contoh kes terbaru, pergi mesyuarat di Kuala Lumpur. Tidak buat penilaian risiko, masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif dan ribuan kontak terpaksa disaring
"Berpuluh-puluh kisah yang disahkan tiada pematuhan SOP boleh dikongsi untuk diambik iktibar. SOP semua 'ke laut'. Sebab apa 'ke laut'. Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekehkan pematuhan SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mahu semua pihak serius, tidak pandang rendah terhadap SOP seperti mengadakan perbincangan menyemak kertas peperiksaan hingga mengakibatkan tiga guru positif.
“Semua pemimpin masyarakat daripada semua peringkat dan ketua jabatan perlu memastikan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat, anggota dan organisasi masing-masing,” rayu beliau.
Untuk rekod katanya, seramai 14 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) buat masa ini.
18 May 21
1768
16 Kes Positif, UniSZA Tutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Gong Badak di Kuala Nerus ditutup selama 14 hari berikutan 16 kes positif Covid-19 yang dikesan di institusi itu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata arahan penutupan tersebut dibuat mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Arahan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja sanitasi bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit dan mengesan kontak rapat kepada semua kes positif tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru itu, Nor Azimi berkata, sekiranya ada kakitangan atau mana-mana individu datang dari zon merah, penilaian risiko mesti dibuat dan mereka yang mempunyai gejala sepatutnya tidak dibenarkan memasuki kampus.
"Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sangat penting.
"Oleh semua kakitangan, pelajar kampus tersebut dan pelajar yang telah pulang ke kampung agar sentiasa mematuhi dan segera menjalani ujian kesihatan sekiranya mengalami sebarang gejala," ujarnya.
18 May 21
2581
Drawbridge Diwarnai Cahaya Bendera Palestin Tanda Solidariti
KUALA TERENGGANU, 17 Mei -Jambatan angkat atau drawbridge dilimpahi cahaya lampu melambangkan warna bendera Palestin sebagai tanda solidariti barisan kepimpinan dan rakyat Terengganu terhadap penduduk di sana yang sedang diserang rejim Zionis Israel ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata limpahan cahaya lampu empat warna iaitu merah, hijau, putih dan hitam mula dipasang pada pukul 7 malam ini selama tujuh hari berturut-turut.
"Disebabkan ketika ini adalah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka tempoh pemasangan lampu adalah selama lima jam sahaja setiap hari iaitu sehingga 12 tengah malam.
"Nyalaan cahaya lampu ini merupakan tanda solidariti kepada rakyat Palestin. Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin dan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya lagi, pihaknya akan memasang selama seminggu dan akan diselaraskan dengan perkembangan di Gaza.
Jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu mula dibuka kepada orang ramai pada 2019 menelan kos sebanyak RM248 juta kini menjadi ikon kebanggaan Malaysia khususnya rakyat Terengganu.
17 May 21
1087
Nafi Kuat Kuasa Had masa Keluar Rumah
KUALA TERENGGANU, 17 Mei – Polis Marang menafikan pihaknya telah mengeluarkan arahan perintah berkurung bermula jam 10 malam dan akan menangkap sesiapa yang melanggar arahan berkenaan.
Ketuanya, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya mengesan berita palsu berkenaan yang ditularkan melalui media sosial sejak Ahad lalu.
"Kenyataan yang dikeluarkan itu adalah tidak benar.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak mudah mempercayai serta terpengaruh dengan berita yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan niat membuat penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.
PDRM bagaimanapun meminta orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini bagi mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19 dalam komuniti.
Pada Ahad, tular maklumat palsu mengatakan PDRM Marang akan melaksanakan pematuhan PKP dan menguatkuasakan had masa PKP bermula malam Ahad.
Info tersebut turut mengatakan mana-mana individu atau kumpulan yang didapati berada di luar rumah atau premis kediaman melebihi jam 10 malam tanpa alasan munasabah akan dikenakan tindakan dan kompaun mengikut Akta 134.
Berdasarkan maklumat tersebut, nilai kompaun yang akan dikenakan ialah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kesalahan.
17 May 21
1030
Malaysia Iktiraf Perjuangan Palestin Sejak 1957
KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Malaysia telah berperanan lama dalam mengiktiraf dan menyokong perjuangan Palestin iaitu sejak awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia pernah memainkan peranan yang sangat berani semasa pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
“Beliau tegar menjemput Syeikh Mohammed Amin al-Hussaini, Mufti Palestin dan pemimpin gerakan Palestin yang diharamkan oleh negara-negara barat daripada mendapat visa untuk melawat seluruh dunia kerana tidak mendukung Berikat yang mempunyai Zionis dalamnya ketika Perang Dunia Kedua.
“Tindakan Syeikh Amin al-Hussaini yang tidak mendukung Berikat menyebabkan beliau sudah disekat pergerakannya.
“Namun, ketika Musabaqah al-Quran yang pertama pada tahun 1960, saya masih ingat lagi walaupun masih remaja, Almarhum Syeikh Amin al-Hussaini dijemput oleh Kerajaan Malaysia untuk datang ke Malaysia dan berucap dalam Musabaqah al-Quran yang pertama itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine, malam semalam.
Sementara itu, beliau yang juga Presiden PAS tidak menolak kemungkinan besar berlakunya gencatan senjata di kawasan bergolak itu namun berpendapat ia bukan bertujuan untuk berdamai.
“Senario ini kemungkinan digerakkan oleh Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia bagi mempengaruhi negara-negara Islam dan Arab supaya menerima gencatan senjata.
“Tujuannya bukan untuk berdamai, namun untuk menyelamatkan Israel yang ganas. Usaha itu sedang dijalankan sekarang.
“Kita doakan supaya Allah SWT memberikan kekuatan iman, ikhlas, dan istiqamah kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang mengorbankan diri, jiwa raga, keluarga, anak-anak, harta, dan segala nikmat, termasuklah bekalan air yang terputus. Inilah pengorbanan,” katanya lagi.
16 May 21
255
Taman Awam Pantai Batu Burok Ditutup Hingga 7 Jun
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Taman awam pantai Batu Burok, di sini, ditutup buat sementara waktu berkuatkuasa semalam sehingga 7 Jun depan bertepatan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lukema Meri Salleh berkata, penutupan taman awam itu dibuat kerana sikap pengunjung yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkumpul.
"Sikap masyarakat yang berkumpul tanpa mematuhi SOP termasuk membawa anak kecil berkumpul menyebabkan tindakan penutupan taman awam pantai Batu Burok terpaksa dilakukan.
"Tindakan penutupan taman awam itu antara kaedah bagi mengelakkan berlaku penularan pandemik Covid-19 kalangan komuniti," katanya.
Justeru itu katanya, pihak MBKT telahpun memasang pagar menghalang kemasukkan pengunjung ke kawasan rekreasi taman awam Pantai Batu Burok berkenaan.
Sementara itu, beberapa taman rekreasi termasuk di Bukit Besar juga akan ditutup sementara sepanjang tempoh PKP sehingga 7 Jun depan.
16 May 21
2307
1,627 Kompaun Dikeluarkan Sehingga Kini, Masih Ramai Keliru SOP
KUALA TERENGGANU, 15 Mei – Sejumlah 1,672 kompaun telah dikeluarkan daripada 8 April sehingga kini atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kes terbaharu melibatkan 43 individu yang bersiar-siar sekeliling tempat awam di dataran drawbridge Kuala Terengganu.
“Sebanyak 43 kesalahan adalah melibatkan individu tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal di kawasan sepanjang Pantai Seberang Takir kemudian kawasan sekeliling Jambatan Angkat sehingga ke Pantai Batu Buruk.
“Jumlah keseluruhan kompaun adalah RM172,000 telah dikeluarkan kepada 43 individu ini mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Sementara itu, sepanjang tempoh Hari Raya pada jumaat dan hari ini, 47 individu dikompaun dengan tiga kesalahan tiada surat rentas negeri, rentas daerah dan dua kesalahan langgar SOP.
Menurutnya juga sepanjang Khamis dan Jumaat minggu ini, sembilan individu dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai topeng pelitup muka, tidak mendaftar nama dan mengimbas suhu dengan empat kesalahan tiada surat rentas negeri.
Tambah Roslee, beliau turut menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan SOP semasa PKP pada musim Aidilfitri bagi mengelakkan penularan COVID-19.
“Masih ramai keliru mengenai aktiviti ziarah sepanjang musim perayaan, saya ingin tegaskan sekali lagi, walaupun rumah bersebelahan dengan jiran atau keluarga masih tidak boleh ziarah.
“Kita sudah PKP setahun lebih dan masih lagi segelintir yang tidak faham, terdapat garis panduan menentukan aktiviti apa dibenarkan dan dilarang sepanjang tempoh PKP.
“Kita terpaksa bertegas jika ada yang masih tidak mengambil cakna tentang peraturan SOP, diharapkan agar masyarakat terus mematuhinya demi menjaga kita semua,” jelasnya.
15 May 21
1449