Artikel "Utama" Terkini
Rakyat Akur Arahan Kerajaan
KEMAMAN, 11 Mei - Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diumumkan di seluruh negara semalam, terdapat penurunan ketara dalam bilangan kenderaan yang memasuki negeri Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Roslee Chik memaklumkan, pengurangan lebih kurang 12 peratus itu menunjukkan masyarakat memang akur dengan arahan kerajaan untuk tidak merentas negeri.
"Setakat ini, di Terengganu tidak berlaku lagi penyalahgunaan borang rantas negeri.
"Tetapi, ada yang merentas daerah sempadan secara haram di mana di Kemaman sendiri ada sebanyak tujuh lorong tikus telah dikenalpasti yang dicerobohi oleh mereka yang ghairah merentas daerah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Sekatan Jalan Raya (SJR) Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, semalam.
Jelasnya, sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan di Besut dan 11 di Kemaman dengan nilai satu kompaun sebanyak RM5,000 akibat rentas sempadan secara tidak sah.
"Untuk maklumat terbaru, di Besut sehingga hari ini kita telah menutup lebih kurang 30 lorong tikus yang digunakan untuk merentas daerah dan negeri.
"Situasi di India perlu dijadikan pengajaran bagi rakyat kita khususnya di Terengganu.
"Kita telah mempelajari PKP sejak tahun lalu, saya rasa masyarakat telah cekap dan mahir apa yang boleh dan tidak boleh dibuat.
"Harapan kami mewakili barisan hadapan, teruskan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Beliau turut menyatakan, sebanyak 25 SJR melibatkan 373 anggota telah didirikan di seluruh negeri.
"Selain itu, kita ada pasukan pematuhan dan pemantauan sebanyak 190 pasukan melibatkan hampir 800 anggota yang akan bergerak di kampung-kampung sepanjang hari raya untuk memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada arahan yang dikeluarkan.
"Kita sebagai barisan hadapan amat mengharapkan masyarakat patuh kepada SOP ditetapkan kerana tanggungjawab memutuskan rantaian pandemik ini adalah tanggungjawab bersama," katanya.
12 May 21
254
Bazar Aidilfitri Ditutup 10 Malam Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Operasi bazar aidilfitri di Terengganu ditamatkan pada jam 10 malam tadi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negeri.
“Bazar Aidilfitri sebelum ini sudah diputuskan untuk tutup sehari sebelum raya.
“Para peniaga bazaar Aidilfitri masih ada peluang untuk meneruskan perniagaan sehingga malam ini dan kita harap mereka dapat mematuhi arahan tersebut.
“Namun begitu, bagi bazar Ramadan, tarikh akhir operasi yang dibenarkan adalah sehingga jam 7 malam esok (Rabu),” katanya ketika dihubungi Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Jelasnya, penguatkuasaan tersebut adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu sebelum ini.
“Peraturan ini melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah kecuali Besut,” katanya lagi.
Beliau turut menasihati kepada para pengunjung supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar dengan menjaga penjarakan sosial serta menghindari daripada aktiviti berkumpul beramai-ramai.
11 May 21
443
Kes Positif Covid-19 Di Besut Melonjak 835 Peratus
KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Kes positif harian COVID-19 di Besut menunjukkan trend peningkatan yang menggusarkan dengan peningkatan 835 peratus kes positif dalam tempoh kurang dua bulan bermula April lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, data tersebut jelas menunjukkan penularan jangkitan dalam komuniti yang sangat tinggi.
Katanya, daripada 60 kes positif dilaporkan dalam bulan Mac, ia telah meningkat kepada 561 kes pada April dan Mei.
"Bermula 1 April hingga 8 Mei, sebanyak 9,936 ujian saringan dibuat dengan 662 kes positif dikesan di samping kadar positiviti 6.66.
"Situasi Covid-19 di Besut sangat merisaukan kita dengan puluhan kes positif dilaporkan setiap hari.
"Kita risau apabila ia menular jauh, maka sukar untuk kita hambat virus Covid-19," katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.
Tambahnya lagi, terkini seramai lima penduduk daerah berkenaan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Nor Azimi juga berkata, saringan bersasar juga telah dilakukan melibatkan beberapa buah sekolah dan lokaliti yang mempunyai kepadatan kes positif Covid-19 yang tinggi.
"Petugas kesihatan bersungguh-sungguh membuat pengesanan kontak, saringan, pengasingan dan memberi rawatan, jadi warga Besut turut diminta membuat kawalan kendiri.
"Hadkan pergerakan, elak berkumpul beramai-ramai, patuh prosedur operasi standard (SOP), duduk rumah di samping menjaga diri dan orang lain, jika semua perkara ini diberi perhatian maka segala usaha dalam memutuskan rantaian wabak di Besut akan berjaya," katanya.
Sehubungan itu, Nor Azimi menasihatkan mana-mana individu yang mempunyai gejala demam, batuk, selsema, sakit tekak serta hilang deria bau dan rasa agar segera membuat pemeriksaan.
"Ringkasnya bila rasa tak sedap badan tu, datang untuk pemeriksaan dulu dan percaya lah ini sangat membantu mengesan awal kes dan mencegah penularan," ujarnya.
11 May 21
664
Genap Tiga Tahun, Sukar Tapi 'On Track'
KEMAMAN, 10 Mei - Sempena tiga tahun pentadbiran kerajaan Terengganu hari ini ia boleh disifatkan sebagai mencabar namun berada di landasan tepat apabila beberapa kejayaan telah dicapai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran pelbagai manifesto telah dilaksanakan.
“Dalam tempoh ini cabarannya memang banyak kerana kita mulakan kerajaan ini bukan daripada kosong contohnya masalah berkaitan projek atau bangunan terbengkalai, sistem yang perlu diperbaiki dan sebagainya yang sememangnya memakan masa.
“Selain itu, bagaimana kita hendak memurnikan keadaan yang ada dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat, sudah tentu tiga tahun tidak sama dengan 30 tahun, saya harap rakyat berilah mandat kepada kerajaan hari ini untuk melakukan sesuatu perubahan yang lebih besar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tiga tahun pentadbiran kerajaan negeri selepas mengadakan lawatan ke Madrasah Ad Dirasat Al Islamiah ,Bukit Kijang Kemasik dan Akademi Pendidikan Al Bahjah ,Kijal di sini semalam.
Katanya, antara manifesto yang telah dilaksanakan termasuk pengecualian cukai pintu, pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu dan lesen percuma untuk anak muda.
“Banyak lagi yang kita buat termasuk pemberian lot tanah rumah yang sedang berjalan kerana ianya perlu dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya.
Katanya, kerajaan telah menyalurkan bantuan rakyat yang begitu banyak tetapi di waktu yang sama terpaksa menanggung pembayaran projek yang disiapkan kerajaan sebelum ini yang berasaskan pembayaran secara berjadual untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, diharap rakyat dapat beri kepercayaan kepada kami untuk melunaskan janji-janji manifesto sebelum ini,” ujarnya.
10 May 21
529
Terengganu Manfaat Kejayaan Anak Negeri
Anak Terengganu yang mencipta kejayaan dan menempa nama dalam kerjaya, sukan dan pendidikan menjadi kebanggaan kerajaan negeri akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
10 May 21
52
Seruan Daripada Pengarah i-MiTS
((Malam Ini))
Majlis Sambutan 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman
Tarikh : 10 Mei 2021M bersamaan 28 Ramadan 1442H
Hari : Isnin
Masa : 09.30 Malam
Siaran langsung menerusi laman rasmi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman
10 May 21
137
Pelita Raya Kampung Budaya 'Terpadam', Sambutan Masih Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 di Kampung Budaya, Muzium negeri terpaksa menutup tirai awal semalam berbanding tarikh asal iaitu 11 Mei selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga 6 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan tersebut mengambil kira pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keadaan penularan COVID-19 yang meningkat, baru-baru ini.
“Namun begitu, hasil ‘walkabout’ menyaksikan sambutan sepanjang program amat luar biasa dengan had pengunjung 300 orang pada satu-satu masa dan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard oleh penganjur ke atas pengunjung.
“Pihak kami tidak merasa kesal malah menyambut baik sekatan penularan untuk kebaikan kita semua,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam.
Sementara itu, keputusan pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 kategori daerah dan atas-talian akan diumumkan selepas hari raya.
Ketika bertanya tentang konsep penganjuran tersebut, Ariffin menjelaskan, pelita raya melambangkan suasana lebih 50 tahun dahulu yang tiada elektrik.
“Kebanyakan rumah guna pelita dan apabila masuk malam tujuh likur Ramadan, cahaya api menerangi laluan sepertimana asas dilakukan orang terdahulu.
“Penganjuran di Kampung Budaya juga adalah unik kerana suasana budaya dan rumah-rumah lama ditambah seri dengan cahaya pelita menggamit suasana tradisional,” tambahnya.
10 May 21
1238
Air Percuma Diperluas Kepada Seluruh Rakyat Sempena Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kerajaan negeri bersetuju untuk memperluaskan pemberian air percuma kepada seluruh rakyat Terengganu sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar berkata, air percuma sebanyak 20 meter padu pertama itu melibatkan perbelanjaan berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan bermula 1 Mei hingga 31 Mei 2021.
"Ia bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik COVID-19.
"Pemberian air percuma ini akan memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat," katanya melalui Facebook rasminya, sebentar tadi.
Menurut beliau, sebelum ini, Kerajaan Negeri telah pun memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penerima bantuan eKasih, Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak 2019.
"Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda dan sebagai tanda simpati serta prihatin kerajaan terutama di musim perayaan tahun ini," jelasnya.
09 May 21
684
Gelombang COVID-19 Terengganu Lebih Besar Berbanding Tahun Lepas
BESUT, 9 Mei – Gelombang terbaru COVID-19 di Terengganu pada tahun ini menunjukkan trend peningkatan lebih parah berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) pada Mac tahun lepas.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, situasi membimbangkan di Besut dengan peningkatan kes tinggi merebakkan penularan lebih meluas berbanding gelombang sebelumnya.
“Bilangan kes positif Covid-19 yang direkodkan di Besut pada hari ini cukup tinggi dengan 45 kes berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 71 kes.
“Sekiranya perkara ini tidak dibendung, pergerakan kes positif Covid-19 akan berhijrah ke daerah terdekat seperti Setiu, yang kini turut mencatatkan pertambahan jangkitan dalam tempoh beberapa hari lepas.
“Paling menakutkan jika Covid-19 menular ke seluruh daerah di Terengganu, jadi saya merayu rakyat agar mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, Terengganu akan menjadi seperti negeri lain jika kes melonjak tinggi sehingga berlarutan berbulan-bulan menjadikan kawalan penularan sukar diturunkan.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan, semalam.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyuarakan kerisauan terhadap peningkatan jumlah kenderaan masuk ke Terengganu menjelang Aidilfitri.
“Ini amat dikhuatiri akan cetuskan pertambahan kes positif virus terutama jika pergerakkan berasal dari zon merah,” jelasnya.
09 May 21
906
Jumlah Kenderaan Masuk Terengganu Meningkat 25 Peratus
BESUT, 9 Mei -Jumlah kemasukan kenderaan di negeri ini meningkat 25 peratus kepada 18,771 buah menjelang Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan walaupun kerajaan masih mengenakan tindakan larangan rentas negeri.
Ketua Polis negeri, Dato’ Roslee Chik berkata, pertambahan lebih 3,000 kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dikesan dua tiga hari lalu berbanding purata kira-kira 15,000 sebelum ini.
Menurut beliau, kebanyakan individu yang merentas negeri dikenal pasti dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.
“Peningkatan trafik kenderaan dari pantai barat ke Terengganu meningkat 25 peratus dan antara alasan popular atas urusan perniagaan, tuntutan kerja, menghantar dan mengambil anak, menziarahi orang tua uzur selain kematian,” kata beliau di SJR Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan di sini hari ini.
Menurut beliau, banyak juga kenderaan diarahkan berpatah balik apabila melalui sekatan SJR.
Terdahulu Roslee mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memantau antara 26 laluan tikus yang terdapat di sepanjang daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam perkembangan sama, Roslee berkata, sehingga kini lapan individu dikompaun RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.
Katanya, antara kesalahan kerap dilakukan masyarakat bagi merentas sempadan Terengganu-Kelantan ialah mengemukakan surat kebenaran lama yang sudah luput tarikh.
Tegasnya, kawalan dan pemantauan lebih ketat kini dilaksanakan di kesemua 26 laluan tikus di sempadan Besut-Pasir Putih menjelang Aidilfitri.
“Di samping itu, seramai 150 pasukan pematuhan dan pemantauan melibatkan 1,000 petugas termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bersiap-siaga untuk memastikan penduduk Terengganu menyambut Hari Raya Aidilfitri mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
09 May 21
592