lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
SETIU, 16 Jun - Seramai 811 penduduk menerima suntikan vaksin dos pertama dalam penganjuran Outreach Vaksinasi di bawah Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di daerah ini. Sekolah Kebangsaan Merang, Setiu yang dijadikan pusat PICK dibuka seawal 8.00 pagi itu mula menerima kehadiran orang ramai. Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata, pendaftaran merekodkan seramai 888 penduduk. "Namun, yang dibenarkan untuk disuntik adalah seramai 811 sahaja dan selebihnya tidak dibenarkan disebabkan beberapa faktor kesihatan. "Terima kasih kepada semua yang terlibat pada hari ini Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, JKR Setiu, APM Daerah Setiu, Penghulu Mukim, Jabatan Amal dan semua Pengerusi JPKK yang terlibat". Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhir program PICK hari ini. Dalam pada itu, PICK turut menerima kunjungan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan memeriahkan program dengan edaran 'goodies bag' kepada orang ramai. PICK kali kedua ini diadakan selepas kali pertama di Sekolah Kebangsaan Bukit Munduk, Langkap awal Jun lalu.
16 Jun 21
273
OKU Pun Tak Takut Disuntik Vaksin
OKU Pun Tak Takut Disuntik Vaksin
HULU TERENGGANU, 16 Jun – Kekurangan fizikal bukan penghalang buat dua Orang Kurang Upaya (OKU) di Kuala Berang untuk mengambil suntikan vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sabariah Mohd, 36, yang mempunyai kekurangan fizikal mengakui teruja mendapat suntikan dos pertama, semalam. “Walaupun dengan keadaan kaki sebelah yang pendek, ia tidak menyusahkan saya untuk datang ke sini dengan kenderaan sendiri dari Bukit Tok Bat. “Bagi saya, vaksin sangat penting bagi kita semua untuk menguatkan sistem imunisasi badan, tambah lagi ia akan memudahkan urusan bagi saya yang suka melancong,” katanya yang juga seorang guru al-Quran bagi warga emas. Sementara itu, bagi OKU pendengaran dan penghidap penyakit co-morbid, Megat Putra Megat Mansur, 61, menjelaskan, usahanya untuk datang ke PPV sebagai ikhtiar melawan virus COVID-19. Dia yang hadir berkerusi roda dengan bantuan sukarelawan MyVac menyifatkan kesanggupannya mengambil suntik vaksin adalah demi menjaga keselamatan diri dan keluarganya serta mengurangkan jangkitan wabak itu. “Pada lima tahun lalu, saya ditimpa musibah semasa bekerja sebagai pemandu lori, sekarang pergerakan saya terbatas namun saya tetap bersungguh untuk datang ke sini. “Tiga minggu lepas sudah terima dos pertama dan hari ini dos kedua, saya tidak dapat datang jika tiada sokongan padu yang diberikan kakitangan daerah yang datang ambil saya daripada Kampung Tok Randuk, Ajil,” katanya. Menurut Penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong, golongan OKU dan mereka yang tiada kenderaan akan dibantu untuk ke pusat tersebut melalui perkhidmatan pengangkutan percuma hasil inisiatif Pejabat Daerah Hulu Terengganu. “Dengan kerjasama pelbagai agensi daerah ini seperti Pejabat Agama, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Kerja Raya (JKR), golongan seperti Megat akan dibantu untuk ke PPV di sini. “Bilik Gerakan Imunisasi COVID-19 daerah akan menelefon bakal penerima sehari sebelum temu janji dan bertanyakan jika tiada kenderaan. “Purata sehari dalam tiga orang penerima vaksin akan datang diambil oleh kenderaan agensi berkaitan,” jelasnya.
16 Jun 21
353
Cadang Utamakan Vaksin Kepada Pemain Industri Pelancongan
Cadang Utamakan Vaksin Kepada Pemain Industri Pelancongan
HULU TERENGGANU, 15 Jun – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) sedang dalam usaha bagi memberi keutamaan vaksin COVID-19 kepada para penggiat industri tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perbincangan sedang berjalan dengan agensi pelancongan bagi menyusun maklumat tentang angka sebenar pemain pelancongan yang akan didahulukan. Katanya, jika pemberian vaksin dilaksanakan dan aktiviti pelancongan dibenarkan, orang ramai akan berasa selamat apabila melancong. “Semalam kita sudah ada pertemuan dengan 76 orang pengayuh beca dan pemandu bot penambang di Kuala Terengganu dan Seberang Takir untuk proses seterusnya. “Cadangan saya mungkin akan dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). “Antara golongan yang dicadangkan seperti pengayuh beca tiga tayar, pemandu ‘houseboat’ Tasik Kenyir, pemandu teksi, pengusaha pulau dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, pagi tadi. Beliau berkata demikian selepas menyantuni petugas barisan hadapan dan penerima vaksin di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang. Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong Dalam program tersebut, Ariffin bersama Tourism Terengganu, Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu turut menyantuni dam memberi penghargaan di sini kepada 297 penerima vaksin dan 45 orang ‘frontliners’. “Siri jelajah ketiga ini sedang dilaksanakan di seluruh negeri dengan Dungun sebagai destinasi seterusnya. “Sumbangan makanan disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan minuman MyCoklat adalah sebagai tanda sokongan kepada petugas di sini dan sokongan terhadap PICK," jelasnya.  
15 Jun 21
542
Pengayuh Beca Gembira Kerajaan Bagi RM200 Sebulan
Pengayuh Beca Gembira Kerajaan Bagi RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Rata-rata pengayuh beca di negeri ini gembira dengan keputusan kerajaan negeri yang akan menyalurkan bantuan bulanan bernilai RM200 bermula Julai. Asmat Muhammad, 73, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dia tidak lagi berkayuh membawa pelanggan seperti dahulu. “Kami hanya duduk berehat sahaja, ini membuatkan kami hilang mata pencarian,” luahnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Asmat atau mesra disapa Mat berkata, kariernya sebagai pembawa pelancong di kawasan Pasar Payang bermula sejak 1974. "Bermula dari situ kami mendapat rezeki yang agak baik untuk menyara keluarga, namun sejak COVID-19 melanada, kami mengalami penyusutan kewangan kerana ketiadaan pelancong tempatan apabila sempadan daerah dan negeri ditutup. “Sekarang ini kita termenung sahaja, sebelum ini (PKP) kebiasaannya sehari ada boleh sehingga RM40 dengan pelanggan sehingga 10 orang, kebanyakkan daripada hotel yang ingin pergi ke Pasar Payang. “Sekarang punca rezeki saya selama empat dekad ini memang terjejas, boleh kira hampir tiada pelanggan langsung,” katanya. Mengulas mengenai bantuan bulanan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, semalam, Asmat mengakui dia sangat bersyukur. “Alhamdullilah, dengan bantuan oleh Exco pada hari ini (semalam) dan sebelumnya ada juga, ia dapat meringankan beban membeli barangan dapur untuk empat orang anak bersama isteri di Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu. “Saya berharap supaya virus ini terhapus, dan jalan (sempadan) dapat dibuka kembali seperti biasa,” katanya lagi. Terdahulu, Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada dua golongan tersebut sebahagian daripada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan), awal tahun ini.
15 Jun 21
325
Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang Terima Elaun RM200 Sebulan
Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang Terima Elaun RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 bermula bulan depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif kerajaan negeri itu berikutan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap golongan terbabit. Katanya, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 57 pengayuh beca dan 18 pemandu bot yang telah direkodkan. “Bantuan berjumlah RM15 ribu sebulan yang akan berjalan sehingga Disember nanti itu juga bertujuan untuk mengekalkan nostalgia dan nilai warisan pelancongan negeri yang dibawa oleh mereka. “Fokus sekarang adalah bagi mengenalpasti jumlah sebenar mereka yang beroperasi dalam sektor ini kerana sesetengah kalangan penggiat berumur lebih daripada 80 tahun, Insya-Allah kita akan perincikan kembali data senarai tersebut. "Saya turut menyarankan kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya," katanya ketika ditemubual di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak. Tambah Ariffin, beliau turut berterima kasih kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab yang sentiasa berhubung dengan pihaknya bagi menyalurkan maklumat berkait nasib golongan itu. Pada masa yang sama, Ariffin turut menyampaikan bantuan RM2,000 dan barangan keperluan harian kepada 10 wakil penarik beca dan persatuan bot penamban. Untuk rekod, pada awal bulan ini, pengayuh beca dan pemandu bot penambang telah menerima elaun bulanan sebanyak RM300 seorang daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Ketengah berkata, pembayaran elaun khas selama tiga bulan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). "Golongan ini adalah ikon kepada sektor pelancongan di Terengganu dan khidmat mereka perlu dihargai. "Kebanyakan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berusia antara 70 tahun dan 85 tahun menghadapi kesukaran mencari rezeki berikutan ketiadaan pelanggan," jelasnya.
14 Jun 21
886
Peningkatan Insiden Laut Di Terengganu Membimbangkan
Peningkatan Insiden Laut Di Terengganu Membimbangkan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Statistik operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) atau insiden laut terkini menunjukkan peningkatan membimbangkan setelah merekodkan tujuh kes dalam enam bulan pertama tahun ini. Pegawai SAR Maritim Negeri Terengganu, LT KDR (M) Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kadar insiden tersebut bagi enam bulan berbaki terutamanya pada musim monsun timur laut nanti. “Bagi tahun 2020, jumlah insiden perairan direkodkan adalah 14 insiden termasuk situasi seperti bantuan kecemasan, mangsa lemas atau hilang, kerosakan bot dan seumpamanya. “242 kejadian direkodkan pada tahun lepas dan 81 kes pada pada tahun ini sehingga 31 Mei bagi seluruh Malaysia melibatkan insiden kehilangan nyawa, harta benda, mangsa lemas atau tidak dijumpai dan sebagainya. “Namun begitu sejak penubuhan pada 2006 sehingga kini, statistik harta benda yang diselamatkan adalah agak besar sebanyak RM622 juta, menggambarkan usaha dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha mengurangkan kadar penswastaan, kehilangan dan kerosakan harta benda,” katanya. Beliau berkata demikian selepas bersiaran langsung di TVDI bersempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim, baru-baru ini. Mengulas tentang berlakunya insiden melibatkan penggiat aktiviti laut, Arizan menjelaskan antara punca-punca utama adalah kurang kesedaran tentang pemakaian jaket keselamatan dan penggunaan peralatan sokongan kecemasan yang dapat membantu operasi CARILAMAT. “Oleh itu, pertama sekali kita sarankan kepada sesiapa yang menjalankan aktiviti perairan untuk sediakan jaket dan peralatan keselamatan di atas bot, kerana kita tidak pasti bila kejadian akan berlaku. “Kedua, kita galakkan penggunaan lampu isyarat kecemasan atau PLP, alat sebesar tapak tangan ini akan beri isyarat kepada pusat kawalan dan memudahkan kerja mencari jika berlaku kecemasan. Beliau turut menasihati kepada komuniti maritim agar merujuk laporan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum turun ke laut dan tangguh jika keadaan tidak mengizinkan.
14 Jun 21
627
PKPD : 15 Jalan Ditutup Di Mukim Bukit Besar, Serada
PKPD : 15 Jalan Ditutup Di Mukim Bukit Besar, Serada
KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Sebanyak 15 laluan ditutup berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan di Mukim Bukit Besar dan Serada bermula hari ini sehingga 26 Jun. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya turut membuka lima Sekatan Jalan Raya (SJR) di dua mukim terbabit. Katanya, empat SJR di Mukim Bukit Besar dilaksanakan di Jalan Masuk Panji Alam dari Simpang Pengadang Akar, Jalan Keluar Panji Alam ke Simpang Pengadang Akar, Jalan Masuk Pasir Panjang dari Gong Kapas dan Jalan Keluar Pasir Panjang ke Gong Kapas. Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din “Di Mukim Serada, hanya satu SJR iaitu di Jalan Kepong, tujuan sekatan ini bagi mengelakkan berlaku pergerakan keluar dan masuk kenderaan serta orang ramai di kawasan PKPD berkenaan. “Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenalpasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Sementara itu, Abdul Rahim berkata, dua balai polis bergerak atau subtek Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuka di Hadapan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar dan Dewan Sivik Serada. “Ia khusus bagi memudahkan penduduk di kawasan berkenaan untuk mendapatkan sebarang maklumat atau bantuan hal-hal kecemasan semasa kawalan pergerakan dilaksanakan,” jelasnya. Beliau turut menegaskan cubaan atau tindakan untuk mengalih, mengubah, melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) yang telah ditempatkan di kawasan pkpd boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang. “Bagi 19 mukim yang lain pula hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Pkp 3.0) dan mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab dan urusan-urusan yang telah ditetapkan mengikut SOP,” katanya lagi. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Pusat Kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322377.
13 Jun 21
6157
PKP 3.0 Dilanjut Hingga 28 Jun
PKP 3.0 Dilanjut Hingga 28 Jun
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung selama dua minggu bermula 15 Jun sehingga 28 Jun ini. Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari. Melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan, beliau menyatakan senarai positif/negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal sama seperti mana diumumkan sebelum ini. "Kerajaan persekutuan turut melanjutkan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di Kuala Terengganu iaitu Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada bermula 13 Jun sehingga 26 Jun 2021. "Keputusan melanjutkan PKPD di kedua-dua mukim berkenaan dibuat setelah KKM mendapati masih terdapat peningkatan ketara kes di kawasan terbabit hasil daripada saringan bersasar," katanya. Tambahnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan Persekutuan bersetuju menamatkan PKPD di baki 19 Mukim di daerah berkenaan pada 12 Jun 2021. Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 461 kes positif COVID-19 di semua mukim sepanjang tempoh tersebut dan terdapat penurunan kes kecuali melibatkan dua mukim itu. Selain itu, PKPD turut di beberapa kawasan di Kedah, Sabah, Johor dan Sarawak bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
11 Jun 21
713
PKPD Kg Tajin : Tiga SJR Dan Laluan Utama Ditutup
PKPD Kg Tajin : Tiga SJR Dan Laluan Utama Ditutup
HULU TERENGGANU, 11 Jun -Tiga sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di sekitar Kampung (Kg) Tajin  berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  bermula jam 12.01 tengah malam ini. Antara SJR terbabit termasuk di hadapan Surau Hijau Kampung Telaga, hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) dan hadapan gelanggang Futsal Kg Kuala Akob.   Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata PKPD berkenaan membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 buah rumah meliputi  kawasan seluas 10 kilometer persegi. "Sekatan ini didirikan untuk mengawal dan menyekat pergerakan keluar dan masuk ke kawasan kampung tersebut. "Seramai 70 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia(APM) dan RELA  terbabit dalam penugasan di sini. "Pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya turut diperketat dengan tapisan individu dibuat lebih teliti bagi memastikan hanya mereka yang dibenarkan sahaja boleh berada di jalan raya,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan SJR di Kg Tajin, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Tambahnya lagi, laluan jalan utama Kg Tajin (kawasan PKPD)  hanya akan dibenarkan kepada kenderaan Jabatan/Agensi dan pembekalan 'esential' ke kawasan PKPD sahaja. "Oleh kerana Kg Tajin terletak di laluan utama Sungai Tong ke Kuala Berang, jadi pengguna perlu menggunakan  jalan altenatif Kg Kepah-Payang Kayu untuk ke Kuala Berang dan sebaliknya kerana penutupan jalan ini. "Papan tanda laluan alternatif akan disediakan," kata beliau. Untuk rekod, penularan jangkitan mula berlaku di kg Tajin akibat dari kluster berkaitan pergerakan semasa sambutan Aidilfitri 2021 yang berlaku di Kampung Matang dan Kampung Tengkawang. Akibat daripada penularan jangkitan dari kedua-dua kluster tersebut seramai 502 orang penduduk telah disaring dan 31 orang dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.17 peratus  dan seramai 57 orang sedang dikuarantin.  
11 Jun 21
2199
PKPD Di Kampung Tajin Bermula 12 Jun
PKPD Di Kampung Tajin Bermula 12 Jun
HULU TERENGGANU, 10 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 Jun sehingga 25 Jun 2021. Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat susulan penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan. Katanya, sehingga kini, seramai 502 individu telah disaring dan daripada jumlah itu 31 dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.17 peratus. "Pelaksanaan PKPD ini untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti dan kampung lain," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, yang dijadualkan tamat pada 11 Jun 2021 (11.59 malam), seperti yang dijadualkan. Ismail berkata, keputusan ini diambil setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM. Tambahnya, sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 946 ujian saringan dan 62 daripadanya disahkan positif COVID-19. KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.
10 Jun 21
2482