lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Degil, Polis 'Terjah' Rumah Penduduk
Degil, Polis 'Terjah' Rumah Penduduk
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Gara-gara kedegilan segelintir penduduk Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga yang enggan menjalani ujian calitan Covid-19 menyebabkan rumah mereka diterjah pihak berkuasa.  Pihak polis dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mengambil langkah itu bagi memastikan penduduk melakukan 'swab test' di balai raya kampung yang diadakan selama dua hari sejak semalam. Rata-rata penduduk yang enggan keluar memberikan alasan mereka bukan kontak rapat, tidak bergaul dan tidak keluar rumah. Terdahulu, penduduk Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga disarankan supaya menjalani ujian saringan Covid-19, kerana dikhuatiri mempunyai risiko selepas beberapa penduduk di kampung berkenaan didapati positif. Ujian calitan dilakukan berikutan terdapat 11 orang daripada beberapa keluarga didapati positif Covid-19 selepas mereka dikatakan menziarahi kematian di Telemong, Hulu Terengganu. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seberang Baruh, Mohd Junaidi Long yang ditemui berkata, seramai 1,000 penduduk dikenal pasti untuk menjalani ujian berkenaan. Namun begitu katanya, tidak semua memberi kerjasama dan meletakkan sasaran hanya 700 orang daripada jumlah yang dikenal pasti akan keluar menjalani ujian berkenaan. "Ini terbukti apabila dalam tempoh dua hari, hanya 690 penduduk yang keluar menjalani ujian berkenaan yang ditutup setakat 2 petang tadi. "Hari pertama sambutan agak baik iaitu seramai 398 orang, tetapi pada hari ini sambutan dingin iaitu hanya sekitar 50 orang sahaja yang keluar menyebabkan polis terpaksa campur tangan," jelas beliau. Justeru itu katanya, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan dengan pergi dari rumah ke rumah penduduk bagi memastikan mereka keluar untuk mengambil ujian calitan Covid 19 walaupun pelbagai alasan diberikan. "Ternyata tindakan yang diambil pihak berkuasa  dilihat berkesan bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 di kampung berkenaan," ujarnya.  
21 Jun 21
10015
Samiun Bersara, Tengku Farok Pegawai Kewangan Negeri Baharu
Samiun Bersara, Tengku Farok Pegawai Kewangan Negeri Baharu
 KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Bekas Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh bersara wajib berkuatkuasa semalam (20 Jun) selepas hampir tiga bulan memegang jawatan itu.  Sementara itu, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil telah memulakan tugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri bermula hari ini. Samiun yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti of Wales, United Kingdom (UK) sebagai Pegawai Kewangan Negeri Terengganu bermula pada 14 Mac 2021 bagi menggantikan Dato Zainal Abidin yang bersara wajib pada 10 Mac 2021. Samiun. Terdahulu, beliau berkhidmat sebagai Pengarah/Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) (Pembangunan) di Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) bermula 3 November 2019. Samiun adalah seorang yang berpengalaman dalam pentadbiran negeri, termasuk pernah menjadi Setiausaha Majlis Daerah Kemaman; Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT);Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Pada 2 Jun 2014, beliau berkhidmat sebagai TSUK (Pengurusan) dan kemudiannya Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) (2016-2017), Datuk Bandar MBKT (2017-2019) serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT (15 Januari 2019 - 02 November 2019).      
21 Jun 21
2279
Tujuh Beranak Hilang Tempat Berteduh Dapat Perhatian MB
Tujuh Beranak Hilang Tempat Berteduh Dapat Perhatian MB
MARANG, 21 Jun - Peristiwa tragis tujuh beranak yang hilang tempat berteduh akibat kebakaran mendapat perhatian Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah berkata, Ahmad Samsuri hadir ke tempat kejadian di Kampung Batu 9, Bukit Payong semalam dan mahu agar bantuan segera disalur kepada keluarga terbabit. Katanya, susulan itu, keluarga Abd Wahab Ismail akan ditempatkan di rumah sewa sementara milik orang kampung dan bantuan lain akan menyusul. “Dalam jam sekitar 9 malam semalam, Saya bersama MB bergegas ke rumah Abd Wahab untuk meninjau apa-apa keperluan yang perlu disalurkan segera. “Kebakaran yang difahamkan berpunca daripada litar pintas telah memusnahkan keseluruhan rumah, akibatnya mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang kecuali sebuah kereta yang sempat diselamatkan,” katanya menerusi Facebook rasminya, semalam. Kejadian yang berlaku pada 4.50 petang itu turut melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun dan 12 bulan, namun kedua-duanya dilaporkan selamat. Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Khairul Azmi Ismail, pihaknya menerima panggilan pada 5 petang, susulan itu tiga jentera termasuk dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi. "Anggota mengambil masa selama 30 minit untuk kerja-kerja pemadaman dan selesai sepenuhnya pada 6.10 petang,” katanya sepertimana dilaporkan Harian Metro.  
21 Jun 21
929
Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat
Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – 2,000 pek bantuan makanan asas bagi fasa keempat Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah mula diagihkan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui kesemua 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak beberapa hari lepas. “700 pek daripada jumlah bantuan tersebut telah diagihkan lebih awal kepada kawasan di Mukim Bukit Besar yang termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 12 buah JPKK. “Manakala selebihnya diagihkan pada pada hari-hari seterusnya,” katanya ketika ditemubual oleh pemberita baru-baru ini. ADUN Batu Buruk turut sama membantu dalam proses agihan Menurutnya lagi, sejurus Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah menyusun bantuan untuk disalurkan secara berperingkat. “Pada fasa pertama, kita telah agihkan sebanyak 2,000 kilogram ikan kepada masyarakat yang terjejas. “Manakala fasa kedua sebanyak 900 pek bantuan makanan asas telah diagihkan. “Fasa ketiga pula, kita telah agihkan sebanyak 1,100 ekor ayam kepada mereka yang terjejas pendapatan,” tambahnya lagi. Beliau juga berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP ini. “Bantuan ini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi. Selain itu, beliau menasihatkan agar masyarakat kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga keselamatan dengan mengikut arahan yang ditetapkan sekiranya berada di luar rumah. Proses agihan makanan asas dijalankan  
21 Jun 21
405
KPDNHEP Mohon Pertimbang Kebenaran Operasi Kedai Alat Tulis
KPDNHEP Mohon Pertimbang Kebenaran Operasi Kedai Alat Tulis
HULU TERENGGANU, 20 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu mengemukakan permohonan supaya premis alat tulis  dibenarkan beroperasi  sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0). Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata, permohonan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Dato Seri Ismail Sabri Yaakob atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang terdekat. Katanya, beliau difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mengemukakan permohonan sama kepada MKN kelmarin. "Kedai alat tulis serta barangan persekolahan termasuk fotostat wajar dibenarkan beroperasi semasa sekolah ditutup dan kelas berjalan di rumah. "Ini merupakan antara permintaan ibu bapa bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya. Rosol berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas Sekatan Jalanraya (SJR) di Kampung Tajin, hari ini. Justeru itu katanya, beliau berkeyakinan permohonan pembukaan semula kedai alat tulis dan fotostat tersebut akan diputuskan MKN pada masa terdekat.
20 Jun 21
1073
19 Kompaun Premis Dikeluarkan Sepanjang 'Total Lockdown'
19 Kompaun Premis Dikeluarkan Sepanjang 'Total Lockdown'
Sebanyak 664 premis telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dalam tempoh 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Fasa Pertama) yang bermula 1 Jun lalu.  
20 Jun 21
235
COVID-19 : Jangan Alpa Dengan Penurunan Kes Positif
COVID-19 : Jangan Alpa Dengan Penurunan Kes Positif
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Masyarakat di Terengganu sekali lagi diingatkan supaya tidak alpa dengan penurunan kes positif COVID-19 di negeri ini. Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata pandemik itu masih belum berakhir, malah boleh kembali melarat jika tidak dipandang serius. "Jangan leka dan alpa walaupun negeri ini melaporkan hanya dua digit kes harian COVID 19 sejak seminggu yang lalu. "Kita tak mahu situasi 'yoyo' atau turun naik berterusan tanpa kesudahan yang boleh menyebabkan rakyat letih, petugas kesihatan letih dan ekonomi pun letih.  "Sampai masa kita semua mesti bersungguh sungguh terus kekalkan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sebab kita belum menang lagi," katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini. Menurut Nor Azimi, semua rakyat Terengganu perlu mengekalkan kepatuhan SOP bagi membolehkan penurunan kes atau keluk Epid landai dicapai.  Namun begitu katanya, masih terdapat jangkitan besar dalam keluarga dan akhir nya merebak ke tempat kerja seperti kes Alor Limbat (17 orang), kes Atas Tol (23 orang), kes KN (20 orang) dan kes Wakaf Mempelam seramai 23 orang. "Kita pun masih melaporkan  ramai kes import B (rentas negeri) dan akhirnya menular ke  keluarga. "Ia seolah-olah  sukar nak putus rantaian jangkitan COVID 19 ni.Sekiranya masih ada yang tidak  cakna dan tak kisah maka tentulah lagi sukar," ujar beliau.
19 Jun 21
891
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Elaun atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 tetap dibayar seperti biasa meskipun acara dwi-tahunan yang sepatutnya berlangsung pada 2021 itu dibatalkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kebajikan kepada altet sukan negeri ini. Katanya, elaun bulanan berfasa kepada para atlet SUKMA diteruskan dengan perubahan minima akibat pertukaran tarikh baharu acara itu ke tahun hadapan. “Fasa pertama melibatkan pembayaran elaun kepada penggiat sukan sebanyak RM130 sebulan, jumlah bagi fasa kedua juga sama manakala bagi seterusnya kita akan bayar sebanyak RM390 sebulan. “Sehingga sekarang kita masih meneruskan bayaran elaun seperti biasa kepada warga sukan, jurulatih dan selebihnya yang terlibat. Namun kini kita kembali kepada fasa pertama dan akan mulakan fasa ketiga jika menghampiri tarikh pertandingan. “Selain itu, Skim Penggiat Sukan sebanyak RM650 sebulan kepada atlet Terengganu berusia 18 tahun ke atas turut diwujudkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Tambah Wan Sukairi, Kerajaan Negeri melalui Badan Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga telah meluluskan Skim Khas Sukma 2022. “Seperti sedia maklum, had umur atlet bagi SUKMA adalah tidak lebih daripada 21 tahun kebawah, namun begitu dengan berlaku tundaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk melonggarkan syarat tersebut. “Peserta boleh berdaftar dalam acara yang akan diadakan di Johor Darul Takzim itu walaupun berumur dengan maksimum sehingga 23 tahun dan layak menerima skim tersebut. “Jumlah elaun tersebut bergantung kepada pencapaian dan syarat ditetapkan, contohnya jumlah diberikan adalah RM650, namun jika dinilai, mereka layak menerima RM1,000,” katanya lagi. Jelasnya, insentif kebajikan khas tersebut berperanan sebagai penyunting semangat dan persediaan dalam menghadapi acara sukan tahunan kebangsaan tersebut.
19 Jun 21
540
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Pelaksanaan program Munajat Rakyat Terengganu oleh Kerajaan Negeri adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan semangat rakyat dalam mengharungi musibah pandemik COVID-19. Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan, antara dua syarat untuk Allah SWT mengampunkan dosa umat-Nya ketika menghadapi malapetaka adalah dengan mengamalkan sifat redha dan berusaha untuk bermunajat. “Allah SWT ingin mengajar kita dengan musibah, ini kerana apabila manusia melaluinya, kita akan kembali untuk beribadat kepada-Nya. “Antara hikmah berlakunya sesuatu kejadian yang tidak baik, pertama Nabi Muhammad SAW berkata tuhan memberikan kita susah begini, dengan sebab itu dosa kita sebesar gunung Allah ampunkan,” katanya ketika bersiaran langsung sempena Kuliah Dhuha Munajat Rakyat, pagi tadi. Dalam bual bicara yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah itu, Ustaz Azhar turut berkata, musibah bermakna perkara atau kejadian tidak baik menimpa ke atas manusia. “Persoalannya jika penularan virus ini musibah atau tidak, jawapannya semua yang tidak baik tidak disukai manusia dipanggil musibah, apatah lagi keadaan semasa dengan kes kematian yang meningkat,” katanya lagi. Sementara itu, Pendakwah Selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam berkata, dalam menghadapi masalah seperti kesihatan, kewangan dan sebagainya, Islam mengajar umatnya untuk berikhtiar. “Khususnya apabila dilanda wabak, antara ikhtiar yang boleh diambil seperti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), mengambil vaksin, pemakanan sihat dan lain-lain lagi. “Hanya istimewa untuk orang Islam sahaja, munajat sebenarnya juga adalah bentuk yang paling utama sekali, kerana Allah SWT adalah maha berkuasa untuk mencipta dan menghapuskannya (virus), alhamdullilah Munajat rakyat yang diadakan ini juga adalah di antaranya,” jelasnya.  
18 Jun 21
388
Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai
Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai
KUALA NERUS, 17 Jun - Pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu akan dilaksanakan bermula 1 Julai ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak memaklumkan, dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu. "Kita telah melalui proses yang panjang untuk melaksanakan satu lagi manifesto bagi memenuhi janji kepada rakyat iaitu untuk melaksanakan rawatan kelas ketiga percuma. Alhamdulillah, persiapan kita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan, terima kasih bagi membantu menjayakan program ini di Terengganu. "Caj Wad Kelas Ketiga Percuma ini akan melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu melibatkan anggaran 1,390 buah katil secara keseluruhannya," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, semalam. Jelasnya, golongan yang menerima faedah program tersebut ialah semua pemegang kad pengenalan Terengganu merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan. "Semua caj ini adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan jumlah kira-kira kos RM3.7 juta setahun. "Berdasarkan rekod kita dapati jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan dan menggunakan wad dalam tempoh setahun adalah sekitar 90 ribu orang.  "Buat masa ini, program ini tidak terpakai kepada bukan rakyat Terengganu, namun akan dipertimbangkan untuk lebih baik pada masa akan datang atau mereka yang tidak bernombor kad pengenalan 11 tetapi mengundi di Terengganu turut dapat mendapat manfaat ini. Ini kerana, kita fokus untuk meringankan golongan berpendapatan rendah (B40) yang terbeban dengan pendapatan harian dan sebagainya. "Bagaimanapun, insya-Allah, selagi PAS Terengganu terus memerintah, caj percuma wad kelas ketiga akan diteruskan," katanya.  
17 Jun 21
1304