lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

328 Jurumandi Jenazah, Pembantu Terima Elaun RM100 Sebulan
328 Jurumandi Jenazah, Pembantu Terima Elaun RM100 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Kerajaan Negeri meneruskan pemberian insentif bulanan kepada Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebanyak RM100 sebulan dengan bayaran enam bulan pertama 2021 pada Julai ini. Ketua Penolong Pesuruhjaya (Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong berkata, bayaran bagi enam bulan pertama 2021 akan dibuat pada Julai depan selepas mengalami sedikit kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal 2021. Katanya, kerja kemaskini borang baharu sedang giat dilaksanakan dengan turut menyenaraikan penerima tahun sebelumnya. "Pembayaran yang bermula sejak tahun 2019 hingga kini memberi manfaat kepada seramai 328 orang golongan sasar yang berdaftar. “Semua ini ditambah lagi dengan peruntukan sebanyak RM720,000 setahun bagi pembayaran imbuhan pemandian jenazah dengan kadar RM100 kepada jurumandi dan RM50 kepada pembantunya, yang juga berjalan seperti biasa. "Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM2,000 bagi Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah berdaftar yang berkhidmat melebihi lima tahun. Manakala RM1,000 kepada yang  berkhidmat kurang daripada lima tahun,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini. Jelasnya, sumbangan insentif dan khairat kematian oleh kerajaan Terengganu itu adalah sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas khidmat bakti golongan itu dalam menunaikan tuntutan Fardu Kifayah kepada masyarakat Islam. Untuk rekod, peruntukan pemberian elaun bulanan tersebut telah diumumkan semasa perbentangan bajet negeri 2019 daripada teras ketiga iaitu kebajikan.
10 Jun 21
1170
'Saya Masih MB Terengganu, Biar Polis Siasat Fitnah'
'Saya Masih MB Terengganu, Biar Polis Siasat Fitnah'
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - "Saya masih lagi Menteri Besar (MB)Terengganu sehingga pagi ini ," demikian kata Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, perkara tersebut tidak perlu diulas lagi kerana ia telah diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan terperinci berkenaan spekulasi pergolakan politik yang membabitkan dirinya dengan pihak istana Terengganu mengenai jawatan MB. "Bangun pagi ini, masih lagi seorang MB, walaupun setiap jam ada sahaja gambar tentang 10 orang bakal MB baharu. "Rasanya perkara ini tidak perlu ditimbulkan lagi, biarlah polis jalankan siasatan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat kediaman mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su di sini hari ini. Tambahnya, orang ramai diminta untuk menghentikan spekulasi tentang politik di Terengganu dan membuat sebaran fitnah tentangnya. Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana. Mengikut laporan portal itu antara lain mendakwa Ahmad Samsuri  hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS selain wujud usaha-usaha menjatuhkan beliau daripada seorang Ahli Parlimen parti berkenaan.
10 Jun 21
2196
Projek Lulus, Masalah Muara Merchang Cetek Bakal Berakhir
Projek Lulus, Masalah Muara Merchang Cetek Bakal Berakhir
MARANG, 8 Jun – Masalah muara cetek yang dihadapi lebih 300 nelayan di Kuala Merchang bakal berakhir selepas satu projek berskala besar di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diluluskan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, tender bagi projek itu sudah dibuka pada 3 Jun lalu dan akan ditutup pada 13 Julai nanti sebelum kerja-kerja mendalamkan muara berjalan. “Difahamkan, masalah ini berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu. Kuala Merchang menjadi laluan utama nelayan ke laut, apabila semakin cetek serta menjejaskan dan merugikan nelayan. “Usaha kita bersama kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bagi memulihkan semula muara Sungai Merchang kepada muara yang akan membolehkan nelayan Merchang ke laut kini hampir menemui penyelesaian,” ujarnya kepada UPDI. Pada Mac tahun ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata lebih RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan untuk projek pembangunan JPS di Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12. “Daripada peruntukan tersebut, dianggarkan RM861 juta untuk projek pemuliharaan muara sungai yang melibatkan muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun,” katanya. Sementara itu, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sementara menanti projek berjalan sepenuhnya, kerja-kerja pengorekan pasir bagi tujuan alur pelayaran sebagai langkah penyelesaian jangka pendek telah dijalankan.
09 Jun 21
2835
Pasar Besar Kuala Berang Kembali Beroperasi Esok
Pasar Besar Kuala Berang Kembali Beroperasi Esok
HULU TERENGGANU, 9 Jun - Pasar Besar Kuala Berang kini dibuka kembali kepada orang ramai bermula esok setelah ditutup sementara selama 14 hari. Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dalam satu kenyataan berkata kebenaran membuka semula premis yang diberi perintah penutupan di bawah subseksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342). Terdahulu, penutupan pasar utama di daerah ini tersebut diarahkan Jabatan Kesihatan Terengganu mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Ia susulan operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas beberapa pekerja am di premis itu dilaporkan telah dijangkiti Covid-19.
09 Jun 21
914
Terengganu Negeri Kedua Paling Sejahtera - Skor IKK
Terengganu Negeri Kedua Paling Sejahtera - Skor IKK
KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Terengganu menjadi negeri kedua tertinggi di Malaysia dari segi tahap kesejahteraan keluarga berdasarkan Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) yang dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, negeri ini mencatatkan skor 8.10 daripada 10 diikuti Negeri Sembilan (8.03) dan didahului Wilayah Persekutuan Putrajaya (8.37). “Penanda aras tersebut dibuat berdasarkan lapan domain seperti hubungan kekeluargaan, ekonomi keluarga, kesihatan dan lain-lain lagi dimana kita menyasarkan skor 8 di semua aspek tersebut. “Contohnya, domain keluarga, peranan agama dan amalan kerohanian memperoleh markah tertinggi dengan 8.75 diikuti dengan domain hubungan kekeluargaan (8.63).   Infografik Skor IKK mengikut lapan domain “Berdasarkan skor itu, kita boleh menganggap bahawa rakyat disini telah mencapai indeks keluarga yang baik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri telah dizahirkan dalam tindakbalas positif itu,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI. Tambahnya, skor IKK Terengganu pada 2019 merupakan peningkatan daripada berbanding pada tahun terakhir pada 2016 (7.56) dan melepasi nilai kebangsaan iaitu 7.72. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan pencapaian penilaian tersebut adalah selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. “Kerajaan negeri akan terus komited dalam meneruskan dasar merangkumi Maju, Berkat dan Sejahtera serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam perancangan program lebih tepat dan releven dengan keperluan kekeluargaan semasa,” katanya. Untuk rekod, IKK bertujuan untuk memantau kesejahteraan keluarga Malaysia serta menjadi panduan kepada para penggubal dasar membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya.
09 Jun 21
4013
'Keadaan Terengganu Tenang, Tiada Pergolakan Politik' - Polis
'Keadaan Terengganu Tenang, Tiada Pergolakan Politik' - Polis
HULU TERENGGANU, 9 Jun - Polis hari ini mengesahkan bahawa keadaan politik di Terengganu berada dalam keadaan tenang sekali gus menafikan dakwaan yang tular semalam berkait perubahan Menteri Besar. Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa berkata, tiada bukti dan sumber kukuh yang boleh mengesahkan berlaku masalah perkara terbabit. Katanya, sehubungan dengan itu orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau berkongsi maklumat tidak sahih di media sosial. "Tindakan tegas dari segi undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang terlibat dengan berita palsu sebegini. "Dan saya nasihatkan masyarakat agar tidak memviralkan isu sensitif yang boleh menjejaskan ketenangan negeri," ujarnya ketika ditemui dalam lawatan ke lokasi Sekatan Jalan Raya di Kampung Kuala Kejir, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan sebuah portal berita berhubung kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa dalam situasi genting ketika ini.  Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana. Laporan portal itu antara lain mendakwa Ahmad Samsuri hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS selain wujud usaha-usaha menjatuhkan beliau daripada seorang Ahli Parlimen parti berkenaan. Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan selepas laporan polis lain turut dibuat oleh wakil-wakil rakyat daripada PAS dan penegasan Yang Dipertua PAS Kawasan melalui satu kenyataan hari ini.
09 Jun 21
2274
Vaksin Satu Dos Antara Kaedah Terbaik Pujuk Orang Asli
Vaksin Satu Dos Antara Kaedah Terbaik Pujuk Orang Asli
HULU TERENGGANU, 8 Jun - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan 63,734 Orang Asli yang menolak vaksinasi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka. Timbalan Menteri 1, Dato Sri Abdul Rahman Mohamad berkata walaupun ia bukan satu tugas yang mudah untuk meyakinkan mereka, namun pihaknya dan JAKOA akan terus meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan dan manfaat apabila menerima vaksin dengan kerjasama pelbagai pihak. Katanya, antara kaedah yang difikirkan adalah pemberian vaksin hanya satu suntikan sahaja yang sedang dipertimbangkan Menteri Penyelaras Vaksin, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. "Vaksin jenis CanSino hanya memerlukan satu dos bukan sahaja praktikal kepada masyarakat Orang Asli malah lebih menjimatkan kos logistik penghantaran. "Mereka yang menolak ini merupakan yang terpengaruh dengan hasutan oleh golongan antivaksin yang datang ke perkampungan mereka, ada juga yang memberi alasan tertentu tidak mahu divaksin kerana takut mati. "Sekarang ini kita berkempen dan cari kaedah terbaik untuk perjelaskan kembali kepada mereka, memandangkan ramai yang menerima maklumat yang salah dan kurang jelas mengenai kebaikan vaksin Covid-19, " katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bantuan Bakul Makanan kepada 136 Ketua Isi Rumah di Kampung Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini. Dalam masa yang sama, KPLB melalui JAKOA meluluskan peruntukan sebanyak RM100 ribu bagi proses menaiktaraf dewan serbaguna di perkampungan berkenaan. Tambah Abdul Rahman lagi, sehingga hari ini, JAKOA telah menerima sebanyak 15,307 borang pendaftaran daripada masyarakat Orang Asli yang bersetuju untuk menerima suntikan vaksin. Beliau berkata kira-kira 3,018 Orang Asli  telah menerima suntikan dos pertama dan seramai 1,330 orang telah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Berua, Rosli Desoh, 48, berkata dia berharap kerajaan dapat mempercepatkan suntikan vaksin kepada semua rakyat kerana bimbang dijangkiti Covid-19 ketika keluar. "Kita tidak seharusnya terpedaya dan percaya dengan cerita palsu mengenai vaksin yang disediakan kerajaan, jagalah diri dan keluarga serta masyarakat Orang Asli," ujarnya. Bagi, Ishak Namat, 58 yang ditemui berkata  dia menerima baik untuk suntikan vaksin bagi keselamatan diri dan keluarga. "Walaupun ada perasaan takut tapi vaksin tu penting sebagai perlindungan dari wabak Covid-19 dan saya rasa kalau diwajibkan suntikan ini lagi bagus. "Betul orang asli kat sini lebih selamat sebab tidak keluar tapi bila orang luar datang, mereka boleh mengancam keselamatan kami semua," ujarnya yang mengisi borang persetujuan vaksinasi pada bulan lepas.  
08 Jun 21
261
Kluster Berkait Ziarah Raya Merebak Ke Tiga Kampung
Kluster Berkait Ziarah Raya Merebak Ke Tiga Kampung
HULU TERENGGANU, 7 Jun - Kluster Kampung (kg) Matang menjadi kluster terbesar di daerah ini apabila telah merebak ke generasi kelima melibatkan tiga buah kampung. Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, seramai 127 kes positif dikesan daripada kluster, 725 orang kontak rapat dan 975 sampel sedang menunggu keputusan. Katanya, ini tidak termasuk  saringan bersasar yang melibatkan ke tiga buah kampung iaitu Felcra Bukit Kepah, Kg Tengkawang dan Kg Pulau Kudat dan penularannya masih aktif. "Kluster ini merupakan yang terbesar di Hulu Terengganu hasil rentas negeri sebelum raya, ziarah raya dan kunjung mengunjung melibatkan keluarga besar.  "Bayangkan 19 dikesan positif dari hanya dua buah keluarga. Habis raya yang bekerja masuk kerja. Tanpa sedar menjangkiti rakan sekerja pula.  "Lebih risau sudah ada jemaah masjid dijangkiti. Akhirnya jangkitan bersambung sambung dan anda boleh sambung sendiri cerita ini...," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini. Tambah beliau, pihaknya akur bahawa jangkitan dalam keluarga agak sukar dibendung namun apabila melibatkan beberapa keluarga, jiran tetangga dan pejabat akhirnya merebak hingga ke beberapa buah kampung, ia amat dikesali. "Situasi ini kita amat kesal dan marah. Jika keadaan begini berterusan dan kluster baru tumbuh bagai cendawan bila masa kita boleh kawal semua kluster tu serentak?. "Jika keadaan begini berterusan mampu ke kita landaikan lekuk epid dalam masa dua minggu ini?," ujarnya.  Justeru itu kata Nor Azimi, kawalan kendiri sangat penting dan kekal duduk rumah kecuali ada urusan penting maka tidak ada akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain. "Insya-Allah, pencegahan itu sangat lebih baik daripada merawat. "Fikir orang lain, jaga orang lain dan jangan fikir diri kita sahaja," rayu beliau.  
07 Jun 21
2093
PKP 3.0 : KETENGAH Peruntuk Hampir RM1 Juta Bantu Masyarakat Luar Bandar, Para Usahawan
PKP 3.0 : KETENGAH Peruntuk Hampir RM1 Juta Bantu Masyarakat Luar Bandar, Para Usahawan
KUALA TERENGGANU, 7 Jun- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM917,443 bagi meringankan beban masyarakat luar bandar terutamanya para usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata, insentif selama tiga bulan bermula bulan Mei hingga Julai 2021 melibatkan seramai 4443 orang penerima manfaat meliputi tiga program. "Pertama, program KETENGAH ambik Cakna Lockdown dimana bantuan bakul makanan diagihkan kepada seramai 3200 buah keluarga dengan implikasi kewangan sebanyak RM366,000. "Selain itu, kita turut mengenakan pengecualian penyewaan premis perniagaan KETENGAH dalam tempoh tiga bulan buat 1042 orang usahawan dengan perbelanjaan sebanyak RM397,263. "Ketiga, pihak kami juga akan membuat penangguhan bayaran sewa beli rumah kediaman KETENGAH melibatkan 201 buah keluarga dengan peruntukan sebanyak RM172,180," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Tambahnya, insentif penangguhan tersebut turut disertakan dengan penjadualan semula moratorium atau bayaran balik serta pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman. "Ini akan diberikan secara automatik dan serta merta tanpa perlu mengemukakan permohohan," katanya. Tambah Dato' Razali, tiga bantuan tersebut merupakan kesinambungan daripada insentif terdahulu yang telah dilaksanakan bermula PKP 1.0 yang lalu di mana melibatkan kos RM1.1 juta bagi tujuan yang sama. Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga mengambil langkah bagi menjayakan program vaksinasi nasional melalui Stay Safe-KETENGAH Region (S-Reg) bagi membantu meningkatkan kecekapan peratusan pendaftaran vaksinasi nasional dalam Wilayah KETENGAH. "Data kaji selidik penduduk diwujudkan bagi mendapat data tepat bagi dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). "Kita turut bersedia berkerjasama menyediakan persiapan tempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu serta kemudahan pengangkutan kepada penduduk," jelasnya.
07 Jun 21
1091
COVID-19 : Semakin Ramai Ingin Divaksinasi - Kajian
COVID-19 : Semakin Ramai Ingin Divaksinasi - Kajian
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kajian terhadap sikap rakyat Malaysia mengenai kesedaran dan keyakinan mengenai usaha pemvaksinan COVID-19 menunjukkan keputusan memberangsangkan dengan 85 peratus rakyat menerimanya secara positif. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia adalah suatu perkembangan positif terutamanya apabila dibandingkan dengan hasil dapatan sebelumnya pada akhir Februari iaitu hanya 67 peratus daripada responden memilih untuk disuntik. “Peningkatan penerimaan hasil selidik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding sebelum bermula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga April merupakan petanda baik dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin pada hujung tahun ini. “Selain itu, peratusan golongan yang menolak vaksin sepenuhnya atas pelbagai sebab dan dakyah turut berkurang daripada 16 peratus (Februari) menurun sehingga lima peratus (April). “Keyakinan ini juga boleh disumbangkan oleh keadaan semasa dunia dengan 1.8 bilion dos vaksin yang telah disuntik di seluruh dunia dengan kadar kesan sampingan yang sangat rendah,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai masalah keraguan kalangan umat Islam dalam negeri, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mencadangkan supaya masjid dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). “Kita telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang tawarkan sukarelawan dalam usaha memulakan projek perintis ini di Terengganu. “Diharapkan agar ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan keberkesanan dalam salah faham berkaitan vaksin dalam komuniti islam yang sebilangannya masih teragak-agak untuk pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya lagi. Menurut statistik daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sehingga 5 Jun, Terengganu mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin seramai 85,595 orang untuk dos pertama dan 50,053 untuk dos kedua.
06 Jun 21
163