Artikel "Utama" Terkini
'Pak Belalai' Ancam Kawasan Pertanian Ditangkap
SETIU, 25 Jun - Seekor gajah liar jantan dianggarkan berumur antara 12 hingga 14 tahun yang mengancam kawasan pertanian di Mukim Hulu Setiu berjaya ditangkap anggota Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu khususnya pasukan operasi yang telah bertungkus lumus sejak seminggu lepas menjayakan tugas yang mencabar terbabit.
"Esok Sabtu 26 Jun operasi pemindahan akan dilakukan ke lokasi yang belum dimaklumkan,
"Gajah denak akan berperanan untuk mengiringi gajah yang baru ditangkap bagi proses pemindahan," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung Seladang, Hulu Setiu.
Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Yusof.
Ujar Dr Azman, Kerajaan Negeri komited menjaga kepentingan survival hidupan liar dan ia perlu diuruskan dengan bijak.
Gajah denak 'Suria' dan 'Kala' yang tiba dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu malam tadi akan digunakan bagi proses pemindahan tersebut.
Gajah berkenaan yang hampir dua bulan berkeliaran di kawasan pertanian Kampung Bayas dan Kampung Seladang didakwa terlepas daripada kawanan gajah lain dan menyebabkan ia bersendirian.
25 Jun 21
283
Teori Konspirasi, Apa Kata UAI?
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Seluruh masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menyebarkan maklumat tidak sahih seperti teori konspirasi yang sengaja ditularkan di media sosial pada masa kini.
Saranan tersebut disuarakan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan orang ramai perlu memahami konsep bagi informasi tersebut.
“Pertama adalah teori, bermaksud cerita atau bagaimana kisah tersebut didapatkan, ia bukan praktikal.
“Kedua adalah konspirasi, bermaksud pakatan atau tindakan hasil daripada sebuah pakatan yang besar, bertujuan tidak baik dengan kesan skala besar seperti plot berbentuk rahsia,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI bersempena Munajat Rakyat 3.0 hari ini.
Menurut beliau, tindakan pertama adalah orang ramai boleh mendengar, tapi siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengesahkan jika ia ada dalil yang kuat.
"Jika kita ingin sembahyang atau sembelih korban, kita juga perlu ada ayat yang menyebutnya.
“Jadi pentingnya kita bertindak melalui siasat terlebih dahulu sesuatu maklumat diperloleh, kemungkinan perkara yang dikatakan itu sebenar berlaku atau cakap kosong semata-mata," jelasnya.
Ustaz Azhar menceritakan, Nabi Muhammad SAW berkata ‘jangan buang semua dan jangan ambil semua' bagi menekankan bahawa informasi mengikuti syarak boleh diambil manakala yang melanggarnya perlu dibuang.
“Kalau kita nak kongsi atau ‘share’ di Facebook, sebar perkara baik, kalau ia berunsur haram, maksiat atau aib hindarilah kerana kita akan mendapat dosa sama.
“Oleh itu, tanyalah ibu bapa, ustaz, para ilmuwan atau pegawai atasan berkenaan maklumat yang didapati, terutamanya dalam zaman masalah internet ini,” katanya lagi.
25 Jun 21
867
PKPD Kampung Tajin Ditamatkan Esok
HULU TERENGGANU, 24 Jun- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tajin, Kuala Berang ditamatkan mengikut jadual, esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, KKM telah melakukan 940 ujian saringan dan 52 daripadanya disahkan positif COVID-19.
"KKM telah mengesahkan berlaku penurunan kes di lokaliti berkenaan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ismail mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 hingga 25 Jun bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
PKPD tersebut membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 kediaman merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi dan terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuala Berang.
24 Jun 21
707
Program Outreach Vaksinasi SK Seri Kasar Sasar 1,000 Suntikan Sehari
SETIU, 24 Jun - Sebanyak 1,000 suntikan dos vaksin COVID-19 disasarkan kepada orang ramai di Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Seri Kasar, di sini pada Sabtu ini.
Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata jumlah sebanyak itu diperuntukkan kepada penduduk daripada 10 buah kampung di Mukim Hulu Nerus 1.
"Ini adalah satu kaedah bagi membantu penduduk luar bandar daerah itu mendapatkan suntikan vaksin," katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di SK Seri Kasar hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program outreach itu diatur berfokus kepada kampung yang berada jauh daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sungai Tarom.
"Setakat ini dua 'outreach' sudah dilaksanakan di SK Bukit Mundok dan SK Merang dan outreach di SK Seri Kasar ini merupakan yang ketiga buat daerah Setiu.
"Melihat sambutan yang menggalakan daripada orang ramai daripada pembukaan 'outreach' sebelum ini kita akan terus berusaha untuk membawa PPV dekat dengan mereka.
"Harapan saya agar warga daerah Setiu memanfaatkan peluang ini bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan," jelasnya.
24 Jun 21
632
Terengganu Tunggu 'Signal' MKN Sebelum Adakan Sidang DUN
HULU TERENGGANU, 24 Jun - Terengganu sedang menunggu jawapan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung permohonan untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia tentang kaedah pelaksanaan Sidang DUN dalam situasi negara sekarang.
Katanya, setelah mendapat kepastian, barulah diadakan perbincangan untuk tarikh yang sesuai.
"Insya-Allah sampai waktu dan ketika kita akan maklum.
"Kita akan buat Sidang DUN seperti mana negeri lain dan bila sampai waktu kita akan isytiharkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Berang, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, selepas perbincangan itu, beliau akan menyembah maklum tarikh cadangan untuk mengadakan Sidang DUN kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapatkan perkenan memanggil sidang dewan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata Terengganu akan menerima vaksin dalam kuantiti yang banyak bermula Julai.
"Kalau tidak ada apa halangan mungkin dalam masa dua bulan setengah ini kita boleh capai 80 peratus vaksinasi di negeri ini," ujarnya.
24 Jun 21
539
MB Sentiasa Ingatkan Jangan Pilih Kasih
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu pada Mei 2018, barisan pentadbiran sentiasa berpegang kepada prinsip tidak memilih bulu dalam menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang layak.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa menegaskan perkara itu kepada seluruh kepimpinan sehingga ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Jangan ada pemikiran pilih kasih, latar belakang politik, warna, agama dan kaum, semuanya adalah rakyat negeri yang tidak perlu disisihkan disebabkan perbezaan tersebut, penghormatan dan sumbangan mesti diutamakan.
“Kerja pengagihan sumbangan oleh setiap lapisan pentadbiran berjalan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac tahun lepas, cuma mungkin ada sedikit terlepas pandang.
“Jika rakyat diluar sana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya, mereka boleh datang berbincang di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat atau terus berjumpa JPKK di kawasan masing-masing bagi memastikan nama-nama yang layak tersenarai,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu, penyaluran bantuan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 sedang diagihkan secara dua fasa.
“Kita bersetuju untuk agihkan RM100 (RM50 dalam bentuk wang, RM50 dalam bentuk barangan keperluan) melalui ADUN dan Pegawai Penyelaras dalam negeri.
“Kata kunci bagi inisiatif ini adalah meringankan beban orang bekerja yang hilang punca pendapatan serta tidak tersenarai dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.
24 Jun 21
663
Syukur dan Terima Kasih - Penerima Berkat 3.0
HULU TERENGGANU, 26 Jun - Rakyat Terengganu rata-rata bersyukur dengan pemberian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (Berkat 3.0) yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kehidupan seharian semasa pandemik COVID-19.
Seorang petani, Mohd Zuki Daud, 38, berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian itu amat membantu warga pekebun yang berpendapatan tidak menentu.
"Berkat 3.0 dapat bantu saya yang hilang punca pendapatan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana pergerakan terhad untuk mendapatkan baja dan peralatan tani. sekurang-kurangnya lepas belanja barang dapur," katanya yang berasal dari Kampung Pela ketika ditemubual pemberita.
Sementara itu, seorang tukang cuci di Pekan Ajil, Rosli Rani, 52, menyifatkan bantuan dari kerajaan negeri amat dialu-alukan.
"Saya amat bersyukur dengan bantuan kerajaan kerana dapat memudahkan rakyat yang sangat memerlukan pada waktu sukar ini," tambahnya.
Katanya yang juga penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi kategori B40, beliau tidak dapat meneruskan pekerjaannya akibat penutupan beberapa sektor semasa 'total lockdown'.
Abdullah Saleh, 74, pula berkata beliau bersyukur atas kecaknaan kerajaan negeri kepada mereka yang terjejas sejak berlakunya sekatan ekonomi pada tahun lepas.
"Kerajaan tidak pernah mungkir janji, apa yang saya lihat pemberian Berkat kali ini adalah yang terbaik," luahnya yang tinggal di Kampung Sungai Ara.
Sementara itu, Peniaga kedai makan, Siti Fatimah Che Ali, 62, menyuarakan pengumuman bantuan terbabit tepat pada masanya dan berharap golongan sasar yang mendapat bantuan itu diperluaskan.
"Tidak dinafikan sumbangan ini amat baik membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19, namun saya berharap ia dapat diagihkan lebih adil dan saksama," jelasnya.
Untuk rekod, Berkat 3.0 telah dilancarkan dengan peruntukan RM6.4 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor sepanjang sekatan penuh yang bermula 1 Jun 2021 dengan program secara bersasar berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diagihkan secara dua fasa.
24 Jun 21
184
TrenglishxCommunity Tawar Program Bahasa Inggeris Percuma
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Program bahasa Inggeris ‘TrenglishxCommunity’ (TxC) kini membuka pendaftaran bagi sesi bulan Julai hingga Ogos dengan menawarkan pelbagai aktiviti pembelajaran menarik secara percuma.
Penolong Pengurus TxC, Muhammad Najib Ahmad berkata, acara atas talian itu menawarkan suasana pembelajaran secara tidak formal dan menyeronokkan bagi mengalakkan penggunaan serta penguasaan Bahasa Inggeris dalam komunti negeri ini.
“Ia juga berperanan sebagai penambahbaikan dan sokongan kepada pembelajaran sedia ada di sekolah, namun begitu, terdapat juga kelas buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kumpulan masyarakat lain.
“Ada sepuluh aktiviti #TxCr2 termasuk Fun English Class For All (FECFA) dan Songs to Soul yang ditawarkan secara percuma, manakala hanya dua aktiviti iaitu Better in Speaking (BESPEAK) dan Enrich Your English (EYE) mengenakan bayaran yuran minimum iaitu RM10," katanya ketika dihubungi UPDI.
Sementara itu, Pengurus Program TxC, Cik Ani Aiza Ashaari memaklumkan, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dalam menganjurkan aktiviti TxC seperti aktiviti English : The Next Level untuk pelajar sekolah yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Manir, Mohd Shaheer Ibrahim serta aktiviti My Hub English yang menyasarkan pelajar Maahad Tahfiz terpilih.
“Dengan tenaga 50 pembantu guru Bahasa Inggeris (T-HELP), sasaran penyertaan program selama dua bulan ini adalah seramai 250 orang, kekangan COVID-19 bukan penghalang dalam membangunkan keyakinan diri dalam ‘speaking’.
“Dengan pelaksanaannya juga, diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan membangunkan keupayaan berbahasa inggeris, jadi penyertaan seluruh warga Terengganu amat dialukan,” katanya lagi.
Sebelum ini, program TRENGLISH di bawah kelolaan Yayasan Terengganu (YT) dengan slogan ‘I am from Terengganu, and I speak English’ itu sebelumnya telah berjaya melaksanakan Sembilan aktiviti dalam fasa pertama program TxC pada Mac-April lalu dengan penyertaan daripada pelajar sekolah sehingga golongan warga emas.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang pendaftaran program TxC fasa dua, boleh layari Facebook, Instagram dan Youtube rasmi TxC di @TrenglishCommunity atau ke laman pautan Senarai Aktiviti #TxCR2.
22 Jun 21
571
Golongan Bapa Di Terengganu Semakin Bertanggungjawab - Kajian
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Terengganu (LPPKN) menunjukkan golongan bapa di negeri semakin bertanggungjawab terhadap isteri dan keluarga dalam melaksanakan pelbagai tugasan rumah tangga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarahnya, Muhamad Noh Abdullah melaporkan, tinjauan ke atas 176 bapa memaparkan peningkatan peratusan dalam empat kategori yang mula dilaksanakan secara bersama oleh para suami (bapa) terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.
“Antarannya kenaikan melebihi 70 peratus melibatkan tugasan rumah seperti mengemas, memasak dan mencuci pakaian, menjana dan urus kewangan keluarga, memastikan keperluan harian mencukupi serta memastikan pendidikan anak terjaga.
“Faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan ini mungkin disebabkan kurang kesibukan kerja dan lebih masa bersama keluarga, maka perasaan ingin bekerjasama dengan orang rumah itu timbul.
“Sementara itu 94 peratus mengatakan mereka (Ibu bapa) melaksanakan perkongsian maklumat dan informasi terkini berkaitan virus bersama keluarga, 92 peratus menjawab ibu bapa mengambil peranan memastikan ahli keluarga sentiasa patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa bersiaran langsung sempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2021 di TVDI, pagi tadi.
Sementara itu, Muhammad Noh menyifatkan golongan bapa dalam negeri juga semakin cakna tentang bahaya jangkitan dan kepentingan kesihatan melalui perbualan bersama ahli keluarga.
“Manakala 27 peratus bapa menyalurkan maklumat menerusi media sosial serta 26 peratus memperoleh maklumat berkaitan COVID-19 menerusi televisyen,” jelasnya.
Tambahnya, tinjauan ke atas kalangan bapa yang mempunyai anak berumur 3 hingga 24 tahun secara dalam talian selama lima (5) hari juga mendapati 49 peratus ketua keluarga mempunyai gaya ‘Authoritative Dolphine’ atau mendidik anak daripada kesilapan dan membaikinya.
22 Jun 21
1232
4,000 Keluarga Di Permaisuri Mula Terima Barangan Keperluan
SETIU, 22 Jun - Seramai 4,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri mula menerima barangan keperluan harian di bawah program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0.
Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, agihan itu akan menyasarkan golongan yang terjejas teruk sebelum dipanjangkan kepada kategori lain.
Katanya, ia selepas mengambil kira mereka yang terjejas pendapatan dan tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan.
"Alhamdulillah, dua hari kita mengambil masa untuk membuat agihan barangan bantuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan dan Keselematan Kampung (JPKK) sebelum barangan ini diperturunkan kepada penerima yang terkesan di bawah pentadbiran masing-masing.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua JPKK yang memberikan komitmen terbaik menguruskan serahan bantuan BERKAT 3.0 ini bermula dari stor operasi sehingga sampai kepada penerima", tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Agihan barangan bantuan BERKAT 3.0 peringkat DUN Permaisuri berlangsung dua hari itu dibantu beberapa petugas sukarelawan bagi melancarkan proses agihan.
22 Jun 21
274