lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Melebihi RT Negara
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Melebihi RT Negara
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Terengganu merekodkan kadar kebolehjangkitan (RT) COVID-19 tertinggi iaitu 1.31 manakala Malaysia terus catat penurunan untuk hari kelima berturut-turut dengan angka terbaharu, 1.09. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri ini turut mencatatkan sejumlah 171 kes harian virus baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 13,158. Menurutnya, selain Terengganu, tiga lagi negeri yang turut merekodkan nilai RT tertinggi adalah Kedah (1.25), Sabah (1.21), Pulau Pinang (1.21) dan Johor (1.20). "Manakala negeri pantai timur lain seperti Pahang (1.19) dan Kelantan (1.18)," katanya menerusi kenyataan di Twitter rasminya, semalam. Katanya, berdasarkan Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian Covid-19, nilai RT negara akan meningkat kepada 1.2 dengan kes harian baharu mencapai 13,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). Terdahulu, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini adalah 0.81 pada 3 Mac lalu manakala yang tertinggi dicatatkan 1.21 pada 23 Mei. Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
21 Jul 21
658
12 Lokaliti Di Dungun, Kemaman Dikenakan PKPD
12 Lokaliti Di Dungun, Kemaman Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang berkuatkuasa pada 21 Julai ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2. “Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurutnya lagi, pelaksanaan PKPD kawasan-kawasan tersebut akan dilaksanakan sehingga 3 Ogos. Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu antara dua negeri yang mencatatkan kes positif Covid-19 harian di bawah 200 dengan 144 kes dikesan manakala kes di seluruh negara melebihi 10,000 kes iaitu 10,972 kes.
19 Jul 21
2263
Pegawai Exco Terengganu Lapor Polis Berhubung Kenyataan Fitnah
Pegawai Exco Terengganu Lapor Polis Berhubung Kenyataan Fitnah
KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Mohd Sukri Mazlan membuat laporan polis susulan kenyataan mengfitnah Ariffin Deraman. Menurut Mohd Sukri, dakwaan jahat dan tidak benar yang disebarkan individu tersebut adalah menyatakan Ariffin sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan satu tuntutan palsu bernilai RM1.65 juta. Mohd Sukri Mazlan “Kenyataan ini adalah satu fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat dan berniat untuk menjatuhkan kredibiliti beliau. “Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera supaya masyarakat tidak terpalit dengan taburan fitnah sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis hari ini. Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menyuarakan kekecewaan terhadap penyebaran berita palsu dengan menyifatkannya seperti ‘membaling batu, sembunyi tangan’. Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin “Jika ada bukti-bukti boleh terus ke SPRM, jangan berselindung di sebalik permainan politik murahan ini yang berniat sinis untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan seorang exco yang banyak mengharumkan industri pelancongan negeri. “Terutamanya ketika kerajaan sedang giat berusaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, perkara sebegini tidak membawa sebarang kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi. Laporan polis dibuat bagi mewakili Ariffin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 11.40 pagi.
19 Jul 21
3704
Nenek Berusia 102 Tahun Terima Suntikan Vaksin Dari Cucu Sendiri
Nenek Berusia 102 Tahun Terima Suntikan Vaksin Dari Cucu Sendiri
KUALA NERUS, 18 Julai - Penerima vaksin tertua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Fatimah Muda, 102, berkongsi detik istimewa apabila disuntik vaksin oleh cucunya sendiri, Mohd Borhan Hassan, 31. Dia yang juga Jururawat Hospital UniSZA, berkata peluang yang diberikan itu cukup bermakna kerana berpeluang berkhidmat untuk nenek kesayangannya. Warga emas itu ditemani anak ketiganya, Azhari Mohd, 56, ke PPV UniSZA dengan ambulans ke PPV UniSZA dan ditolak menggunakan kerusi roda dan dia turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. "Kesepakatan anak-anak dalam memberikan dorongan untuk memastikan nenek disuntik akhirnya berjaya pada hari ini dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar. "Paling bermakna kerana saya diberi peluang untuk memberi suntikan kepada nenek," kata cucu ke-20 Fatimah itu ketika ditemui di PPV UniSZA. Menurutnya, sebagai cucu, dia bersyukur neneknya sudah menerima suntikan vaksin pertama lebih-lebih lagi dalam keadaan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat kini. Mohd Borhan dalam masa sama turut menggalakkan orang ramai mengambil vaksin demi kebaikan bersama. Fatimah mempunyai lima anak berusia 50 hingga 70 tahun dan 30 cucu serta 30 cicit  kelihatan ceria sebelum dan selepas suntikan pertama  akan menerima vaksin dos kedua pada 8 Ogos di PPV UniSZA.        
18 Jul 21
881
26 SJR Kekal Dalam Fasa Kedua PPN
26 SJR Kekal Dalam Fasa Kedua PPN
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu masih mengekalkan 26 Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negeri sehingga kini dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Norhalid Kimi berkata, SJR tersebut dilaksanakan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk dengan kolaborasi pelbagai jabatan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya. “Sementara itu, 135 pasukan pemantau pematuhan Prosedur Opearsi Standard (SOP) diketuai PDRM dengan kerjasama agensi berkaitan digerakkan bagi memastikan masyarakat negeri Terengganu mematuhi peraturan dan mengekang potensi penularan wabak COVID-19. “Antara jentera yang digerakkan dalam usaha ini melibatkan kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Tambahnya, pihaknya turut membuat tinjauan ke pusat tumpuan orang ramai seperti di bank, pasar, taman perumahan dan lain-lagi di samping membuat hebahan mengenai SOP serta amaran kompaun jika berlaku ketidakpatuhan. Sementara itu, Norhalid turut melaporkan 554 pemeriksaan dijalankan di seluruh negeri di bawah Ops Patuh bagi mengekang penularan khusus di sektor kilang, rumah asrama pekerja dan premis perniagaan besar. “Sehingga pertengahan Julai ini, sembilan kompaun dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ini adalah sebagai pengajaran supaya kita sentiasa mematuhi SOP terutamanya di tempat kerja,” katanya lagi. Menurutnya lagi, keseluruhan tenaga penguatkuasa PDRM Terengganu yang telah dan sedang digerakkan sejak PKP pertama hingga kini adalah seramai 2,137 orang.
18 Jul 21
1079
Malaysia Mahu Pertingkat Eksport Sawit Ke Mesir
Malaysia Mahu Pertingkat Eksport Sawit Ke Mesir
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Malaysia-Mesir memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama meneroka peluang memperkasakan eksport sawit ke negara utara Afrika itu. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata persetujuan itu dicapai ketika pertemuan dengan Menteri Perbekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy. Katanya, MoU itu bertujuan melihat keperluan mewujudkan terminal sawit di Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) bagi menjamin bekalan berterusan sawit kepada pemain industri berkaitan komoditi itu di Mesir. "Ia juga bertujuan mengkaji kepentingan perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi pengeluaran dan strategi pemasaran sawit menerusi pelaburan bersama dalam syarikat berkaitan kerajaan antara dua negara dengan kerjasama swasta dan pemain industri sawit di kedua buah negara," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja Misi Ke Mesir: Memperkasa Hubungan Dagang Agrikomoditi Negara selama empat hari bermula Sabtu lalu. Mohd Khairuddin berkata, pada tahun 2020 sebanyak 155,000 tan sawit dan produk sawit dieksport ke Mesir dengan nilai dagangan sebanyak RM777 juta, manakala eksport getah pula mencatatkan nilai RM184 juta manakala subsektor koko sebanyak RM87 juta. "Eksport sawit, getah dan koko mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan melihat pada bilangan penduduk seramai 104 juta orang serta kedudukan geografi strategik Mesir yang strategik iaitu berada pada laluan masuk ke Eropah menerusi Terusan Suez. "Begitu juga Mesir berpotensi untuk menjadi pintu ke negara-negara Afrika Utara kerana Mesir menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut," katanya. Mengulas mengenai misi itu, Mohd Khairuddin berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dagang antara Malaysia dan Mesir khususnya membabitkan AgriKomoditi Malaysia seperti sawit, perkayuan, getah dan koko. Katanya, ia sebagai menyambung perbincangan dua hala secara maya antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Presiden Republik Mesir, Abdul Fattah al-Sisi pada 17 Jun lalu. Dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Mesir, Dr Nigena Gamea, Khairuddin berkata, kedua-dua pihak turut memeterai MoU bagi memperkasakan bekalan kayu dari Malaysia untuk perusahaan perkayuan di Bandar Perabot di Dimyat, Mesir khususnya membabitkan kayu getah. Katanya, peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi getah Malaysia seperti teknologi 'seismic bearing' yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk bangunan tinggi, jambatan, lebuh raya dan platform minyak di laut. "Selain peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar teknologi tauar Ecoprina yang dimiliki oleh Lembaga Getah Negara (LGM)," katanya. Mohd Khairuddin berkata, dalam mesyuarat khas bersama pimpinan Kumpulan Savola diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samih yang terbang khusus dari Arab Saudi ke Mesir untuk pertemuan itu, beberapa isu teknikal membabitkan pemasaran sawit ke Mesir dibincangkan secara terperinci ke arah usaha memperluaskan pemasaran sawit di bumi Mesir dan Afrika Utara. Katanya, Kumpulan Savola adalah syarikat terbesar milik kerajaan Arab Saudi dan bidang utama perniagaannya ialah pemakanan dengan pendapatan tahunan sekitar USD8 bilion (RM33.27 bilion). "Kumpulan Savola memiliki anak syarikat yang besar di Mesir iaitu Savola Foods Egypt dengan fokus utama perniagaan dalam bidang pemprosesan dan bekalan makanan. "Menariknya Kumpulan Savola juga bersetuju meneroka peluang pemasaran koko Malaysia untuk pasaran tempatan Mesir dan juga Asia Barat," katanya. Beliau berkata, dalam majlis makan malam bersama ahli perniagaan dan pemain industri utama sawit di Mesir anjuran Ketua Pegawai Eksekutif Pasifik Interlink, Dr Fuad Hayel, iaitu sebuah syarikat pengeksport sawit berpangkalan di Malaysia, beberapa cadangan pemerkasaan pemasaran sawit dilontarkan oleh pemain industri menerusi ucapan Dr Fuad dan ucapan oleh Pengerusi Majlis Industri Makanan dan Komoditi Mesir, Syafie Zakaria. "Saya juga berpeluang berbincang bersama pakar kajian sawit, Prof Dr Hanafi Abd Elaziz Hashem dan Dekan Fakulti Pertanian, Universiti al-Azhar, Prof Dr Gamal A Abdurrabah untuk mewujudkan kerjasama antara kementerian dan Universiti al-Azhar bagi mengkaji dan meneliti penemuan terkini membabitkan kelebihan sawit terhadap dunia pemakanan, nutrisi dan farmaseutikal," katanya. "Prof Dr Hanafi adalah pakar pertanian yang banyak membuat kajian berkaitan dengan sawit. Ia satu langkah ke arah kempen yang baik untuk sawit di seluruh dunia khususnya Asia Barat oleh sebuah universiti terkemuka dunia," katanya. -- Berita Harian
18 Jul 21
110
Penyu Agar Ditemui Mati Terdampar
Penyu Agar Ditemui Mati Terdampar
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Seekor penyu jenis Agar dewasa ditemui mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun oleh penduduk kampung, semalam Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata haiwan yang diancam kepupusan ditemukan penduduk kampung pada 9 pagi sebelum membuat laporan kepada jabatan berkenaan. "Bangkai penyu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu didapati telah mula reput dengan anggota badan haiwan itu membengkak manakala usus sudah keluar dari bahagian belakang badan. Penyu itu dipercayai mati kira-kira seminggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. Ruzaidi berkata tiada sebarang kecederaan akibat khianat seperti kesan jerutan tali atau kesan hentakan ditemukan di kepala penyu itu. Beliau berkata pihaknya sudah menerima 24 laporan mengenai kematian penyu tahun ini termasuk penyu itu. Orang awam boleh memaklumkan kepada Pejabat Daerah Perikanan terdekat atau menghubungi talian 03-88885019 sekiranya menemukan penyu hidup atau mati, katanya.  
18 Jul 21
758
KETENGAH Sasar 70,000 Penduduk Terima Vaksin Akhir Ogos
KETENGAH Sasar 70,000 Penduduk Terima Vaksin Akhir Ogos
DUNGUN, 18 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan 70,000 penduduk  yang layak berdaftar bagi suntikan vaksinasi COVID-19 di wilayah tersebut menerima suntikan lengkap pada akhir  Ogos ini.  Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, sehingga 11 Julai 2021, seramai 51953 orang penduduk telah berjaya didaftarkan dan daripada jumlah tersebut, seramai 10,700 telah menerima vaksin di lapan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Outreach yang dilaksanakan. “Saya yakin dapat mencapai sasaran tersebut menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihaknya di tiga wilayahnya iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau PPV Outreach di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi, di sini, semalam.  Menurutnya lagi, proses vaksinasi di kawasan wilayah Ketengah perlu disegerakan sebelum musim tengkujuh memandangkan lebih 60 peratus kawasan di wilayah tersebut akan dilanda banjir setiap tahun.  "Bila dah masuk musim tengkujuh, proses untuk vaksinasi akan sukar kerana kita perlu bawa penduduk ke PPV dan susah untuk kita masuk ke kawasan pedalaman," katanya. Tambah Razali, pihaknya juga mencadangkan Balai Orang Ramai di Bandar Al Muktafi Billah Shah dijadikan sebagai PPV tetap untuk dilaksanakan program suntikan vaksin secara harian.  "Kita sedia bekerjasama untuk memberikan peralatan dan kelengkapan, dan Kementerian Kesihatan hanya perlu menyediakan petugas serta bekalan vaksin sahaja," katanya. 
18 Jul 21
102
Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Dan Terkawal
Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Dan Terkawal
HULU TERENGGANU, 18 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan mentah mencukupi menjelang sambutan hari raya korban tidak lama lagi.  Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, masyarakat tidak perlu khuatir mengenai kekurangan barangan tersebut kerana ia mencukupi dan terkawal. Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tiada berlaku sebarang kenaikan harga mendadak yang akan menekan pengguna. "Kita memberi jaminan bekalan barangan makanan mencukupi pada musim perayaan ini dan pengguna tidak perlu risau. "Jadi kita tidak akan tunggu, sebaik sahaja terima sebarang aduan berhubung sebarang isu, pemantauan, kawalan serta penguatkuasaan akan terus dilakukan segera,"katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke Program Outreach Vaksinasi di PPV Masjid Peradong Manir. Jelasnya lagi, orang ramai tidak perlu bimbang tentang ketidakcukupan barangan keperluan harian sepanjang tempoh sekatan perjalanan menyeluruh dan serta tidak perlu mencipta situasi pembelian panik. Tambah beliau, pihak pemborong dan pembekal telah diminta menambah stok masing-masing untuk menampung pembekalan di musim perayaan. Dalam pada itu, Rosol berkata, kerajaan kini mengenal pasti isu kenaikan harga telur di pasaran yang dimaklumkan berlaku sejak beberapa hari lalu. Tambahnya, harga telur ayam pelbagai gred mencatatkan kenaikan harga lebih tiga peratus menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini berikutan banyak ladang ternakan tidak beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Hasil siasatan awal mendapati kenaikan itu dikatakan berpunca daripada pengurangan telur diperingkat pengeluaran. "Kami lakukan siasatan menerusi Akta Pencatutan. Kalau naik kerana mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan, tindakan akan diambil," ujar Rosol.
18 Jul 21
460
10 Menara Telekomunikasi Sedang Dinaik Taraf
10 Menara Telekomunikasi Sedang Dinaik Taraf
DUNGUN, 17 Julai - Sebanyak 10 menara sedia ada sedang dinaik taraf di beberapa kawasan di daerah Dungun melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan ia dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti capaian internet. Ujar kenyataan itu, antara kawasan terlibat di sepanjang jajaran laluan Kampung Minda sehingga ke Pasir Raja di bawah Mukim Jengai dan Mukim Pasir Raja. “Ini termasuk Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Rantau Panjang, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongkok Batu, Kampung Shukor serta Kampung Pasir Raja. “Pada 10 Julai lalu, MCMC dengan wakil KETENGAH telah bertemu dengan penduduk sekitar bagi mendapatkan maklum balas berkaitan dengan kualiti liputan selain meninjau infrastruktur di kawasan berkenaan. “Sehingga kini, satu pembekal perkhidmatan sahaja telah selesai menaik taraf menara yang sedia ada dan dapat memberikan perkhidmatan liputan 4G di kawasan tersebut,” jelas MCMC. Ujar kenyataan itu lagi, kerja-kerja naik taraf menara-menara dijangka siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga Februari 2022 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan itu. MCMC turut menyarankan agar penduduk memanfaatkan perkhidmatan jalinan gentian optik (UNIFI) yang telah dilengkapi di sepanjang jajaran tersebut, dengan melanggan pakej bersesuaian.
17 Jul 21
519