lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PKPD Kampung Teluk Menara, 1,240 Penduduk Jalani Saringan
PKPD Kampung Teluk Menara, 1,240 Penduduk Jalani Saringan
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kampung Teluk Menara, Manir dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Julai sehingga 9 Ogos.  Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, kerajaan bersetuju untuk mengenakan PKPD di lokaliti-lokaliti terbabit," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Ahad. Sementara itu berdasarkan infografik di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 44 kes positif Covid-19 direkodkan dalam Kluster Teluk Menara dengan empat kes baharu, hari ini.  Kluster komuniti itu didaftarkan sejak Jumaat lalu difahamkan gara-gara merentas daerah.  Dalam pada masa yang sama, seramai 1,240 penduduk Kampung Teluk Menara di Manir di sini diarahkan menjalani saringan bersasar Covid-19 selama dua hari, bermula hari ini.  Setiausaha Masjid Kampung Teluk Menara, Roslan Mat berkata, beliau bersyukur kerana penduduk kampung memberi kerjasama baik dengan tampil secara  sukarela tanpa dikerah pihak berkuasa seperti yang berlaku di beberapa penempatan lain sebelum ini. "Pada hari ini, 600 orang telah selesai ujian saringan itu pada hari pertama manakala baki akan disambung esok,"katanya.  
25 Jul 21
1726
Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
MARANG, 24 Julai – Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan 45 tukun tiruan rekreasi yang akan memperkayakan sumber marin. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan tukun tersebut juga bertujuan untuk mengawal tangkapan hidupan laut secara rekreasi. “Insya-Allah kita letak sasaran sebelum bulan Oktober 2021 untuk selesaikan program melabuhkan tukun ini di perairan Terengganu  “Ia akan melibatkan beberapa daerah bermula dari Kemaman sehingga Besut, khususnya kepada zon tangkapan nelayan pantai 5 batu nautika daripada pesisiran pantai,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja melabuh tukun tiruan konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi. Tambahnya lagi, usaha lain seperti program unjang komuniti bersama nelayan setempat dan melabuhkan bot-bot nelayan asing yang dirampas sebagai inisiatif menambahkan sumber perikanan. “Kita juga telah bekerjasama dengan pihak PETRONAS dan Jabatan Perikanan, komponen pelantar yang telah dinyahtauliahkan (Rig-To-Reef) telah dijadikan tukun dan dilabuhkan pada tahun 2017 berdekatan Pulau Kapas, Marang, Terengganu,” katanya. Untuk rekod, laporan diterbitkan pada 2020 mendapati terdapat antara 129 sehingga 6,047 kilogram biomass ikan direkodkan pada satu tapak tukun tiruan dengan nilai sumber tertinggi berjumlah RM 84,759.60 (Muhammad Amirullah Al Amin Ayob et. Al, 2020. Jabatan Perikanan Malaysia).
24 Jul 21
260
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
MARANG, 24 Julai – Sebanyak 12 tukun tiruan konservasi telah dilabuhkan di kawasan perairan taman laut Pulau Kapas bertujuan untuk pemuliharaan khazanah laut sekali gus memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun di bawah peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM300,000 itu akan menjadi tempat pembiakan kepada pelbagai spesis ikan. “Ramai penggiat laut bertanya justifikasi labuhkan di kawasan yang tidak boleh memancing, jawapannya tukun bertindak sebagai rumah kepada hidupan lautan yang kemudian akan keluar ke laut untuk jadi rezeki tangkapan akan datang. “Spesifikasi 12 tukun tiruan ini adalah berat sekitar 17 tan dibuat daripada bahan konkrit gred 35 akan bertahan di dasar laut sekitar 50 tahun. “Ia turut berfungsi sebagai zon penampan untuk pukat tunda menghalang kepada pencerobohan di kawasan ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja melabuh tukun konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi. Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh. Tambah Dr Azman, jangkaan hasil tukun tiruan tersebut akan mengambil masa dalam beberapa bulan untuk ditumbuhi hidupan laut dan spesis marin. “Sejak tahun 2006 lagi, banyak tukun konservasi telah membuahkan hasil dan pelbagai kejayaan yang boleh didokumentasikan termasuk hasil spesis ikan gred A yang bertandang dan menjadikannya sebagai tempat perlindungan,” jelasnya lagi.
24 Jul 21
410
KETENGAH Peruntuk RM22,000, Sembelih 10 Ekor Lembu Untuk Diagih Kepada Asnaf
KETENGAH Peruntuk RM22,000, Sembelih 10 Ekor Lembu Untuk Diagih Kepada Asnaf
KUALA TERENGGANU, 22 Julai- KETENGAH memperuntuk sebanyak RM22,000 untuk pelaksanaan ibadah korban tahun ini. Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 10 ekor lembu disembelih untuk diagihkan dagingnya kepada asnaf zakat dan tujuan akikah. "Setiap tahun KETENGAH menganjurkan program korban dan akikah tanda kesyukuran kepada Allah SWT. "Pelaksanaan ibadah korban dan akikah kali ini diadakan dengan kerjasama dengan Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS)," ujarnya. Katanya, KETENGAH melaksanakan korban pada kali ini sepanjang dua hari (20 dan 21Julai 2021) bagi membolehkan pengamalan SOP sempurna dilaksanakan. "Program melibatkan 20 orang petugas yang terdiri daripada kakitangan KETENGAH dan ahli jawatankuasa masjid secara sukalera bagi langkah-langkah mengekang penularan wabak COVID-19. "Agihan diserahkan kepada wakil iaitu melalui lima JPKK Bandar AMBS untuk menyempurnakan agihan kepada seramai 250 orang asnaf," ujarnya.
22 Jul 21
212
391 Kes, Angka COVID-19 Terengganu Semakin Membimbangkan
391 Kes, Angka COVID-19 Terengganu Semakin Membimbangkan
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kes positif harian COVID-19 di Terengganu semakin membimbangkan selepas mencatatkan 391 kes baharu hari ini dan 171 semalam. Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, daerah Dungun mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 203 kes diikuti Marang (99 kes) dan Kemaman (56 kes). Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga kini sebanyak 13,548 kes. “Data saringan kluster sehingga semalam turut merekodkan 32 kes baharu melibatkan 11 kluster di dalam negeri, kluster terbaharu dicatatkan sehingga 12 tengah hari tadi adalah Kluster Padang Pulut. “Manakala jumlah kematian harian adalah 3 orang dengan kes yang sedang dirawat adalah seramai 1,201 orang,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang tadi. Tambah kenyataan itu lagi, kategori kes positif tertinggi adalah melibatkan kategori satu menunjukkan 336 kes diikuti kategori 2 (48 kes) dan kategori tiga (7 kes). Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan. “Ini membabitkan lokaliti Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dilanjutkan bermula 24 Julai sehingga 6 Ogos depan," jelasnya. Dalam pada itu, dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun juga sedang menjalani PKPD yang berkuatkuasa semalam sehingga 3 Ogos.
22 Jul 21
1981
300 Pemain Industri Pelancongan Tasik Kenyir Terima Vaksin
300 Pemain Industri Pelancongan Tasik Kenyir Terima Vaksin
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 300 individu yang terlibat dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini, termasuk 200 penduduk sekitar mula menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pemberian vaksin kepada kumpulan itu dilihat dapat membantu memulih dan merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk. "Langkah itu juga membantu meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti dan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan pemain-pemain industri pelancongan di Tasik Kenyir. "Tasik Kenyir merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat popular di Terengganu, dan sekiranya berjaya mencapai status imuniti kelompok, maka ia dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris. Sementara itu, Razali berkata pihaknya sentiasa bersedia dalam mempromosikan kembali pelancongan di Tasik Kenyir agar kembali rancak dengan kehadiran pelancong pada bila-bila masa sahaja.  
22 Jul 21
402
Anak Perantau Terima Sumbangan Daging Korban
Anak Perantau Terima Sumbangan Daging Korban
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 70 anak perantau Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil di sekitar Lembah Kelang menerima sumbangan berupa daging korban dari wakil rakyatnya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini semalam. Sekretariat program,Mohd Fauzi Ismail, 38, berkata sumbangan lembu dari ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim telah diuruskan oleh syarikat Al Ahzar Care. "Daging korban yang melibatkan seekor lembu ini diagihkan kepada anak perantau di sekitar Lembah Kelang. "Aktiviti ini pertama kali dilakukan tahun ini menggambarkan keprihatinan dan tanda ingatan untuk anak perantau yang tidak dapat pulang menyambut hari raya korban bersama keluarga di kampung yang mana kita harapkan ia terus kekal dan jalinan erat antara pemimpin dan rakyat di sini,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi. Seorang penerima agihan daging korban berkenaan, Pegawai Waran Satu, Aida Azma Md Nor, 38, yang berasal dari Felda Jerangau Barat merasa terharu kerana pertama kali menerima daging korban dari seorang ADUN. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada YB dan team kerana atas kiriman daging korban ini. “Walaupun tidak dapat balik kampung di musim pandemik ini tapi adanya daging korban ‘fresh’ dari Terengganu dapat mengubat rindu pada kampung halaman yang sekian lama tidak boleh balik. Pemberian ini amat bermakna bagi saya," katanya yang bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sejak dua tahun lepas. Bagi Mohd Nor Hairi Jusoh, 38, berkata inisiatif tersebut amat bermakna, walaupun hanya sekilo daging korban tetapi ingatan dari pemimpin yang juga bekas guru yang mengajar dirinya semasa beliau menuntut di SMK Landas. "Saya sangat bersyukur kerana kami diingati dan ini adalah sumbangan pertama yang kami perolehi dari Terengganu dan sedikit sebanyak kami dapat menikmati daging korban seisi keluarga," katanya yang merupakan anggota polis. Manakala seorang usahawan, Mohd Kamaruzaman Kasim, 36, pula menyifatkan sumbangan daging korban itu sangat bermakna. “Asalnya untuk diagihkan kepada yang berada di sekitar Shah Alam sahaja, namun disaat akhir pengagihan, kita berjaya agihkan kepada perantau Ajil yang berada di lembah klang. "Walaupun tak semua, tapi 95 peratus agihan berjaya dilaksanakan dan terima kasih kepada semua yang menjayakannya,"katanya.  
22 Jul 21
742
Penggiat Pelancongan Perlu 'Bersedia' Sebelum Dibenar Beroperasi
Penggiat Pelancongan Perlu 'Bersedia' Sebelum Dibenar Beroperasi
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan negeri akan memastikan semua pemain industri pelancongan di Terengganu menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai persediaan sekiranya sektor itu dibuka kembali. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia sekali gus dapat memberi kenyakinan kepada pelancong untuk melancong dengan selamat ke destinasi pilihan mereka. Menurutnya, program vaksinasi terhadap golongan terbabit melibatkan lebih 5,000 pemain industri pelancongan dan penduduk di Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir. "Program vaksinasi kepada penggiat industri pelancongan dijangka selesai sepenuhnya sebelum akhir bulan Ogos bagi mencapai status imuniti berkelompok. "Ia merupakan satu persiapan penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan tempatan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  Dato'  Razali Idris. Tambahnya lagi, program outreach vaksinasi pelancongan telahpun bermula di Pulau Kapas dan kini diteruskan Tasik kenyir, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol. "Kita amat berharap pembukaan industri pelancongan akan dapat mengimbangi kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan," katanya.  
22 Jul 21
89
Erti Sebuah Pengorbanan Dan Keikhlasan
Erti Sebuah Pengorbanan Dan Keikhlasan
Oleh : Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali/ Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Pengorbanan datang dalam perbagai warna. Warna-warna inilah yang mulai mengisi keindahan kehidupan manusia. Tanpa pengorbanan sudah pastilah tiada bernilai erti kasih sayang dan keikhlasan. Kisah tentang pengorbanan ini tidak pernah lekang daripada kehidupan manusia. Adalah menjadi lumrah berlakunya pengorbanan dalam kehidupan. Meneliti di sebalik sejarah umat manusia yang diminta untuk mempersembahkan korban pertama. Pastinya kembali diingatkan kepada kisah Nabi Adam diturunkan ke bumi oleh Allah dan takdirkan Hawa menjadi isterinya yang diciptakan dari tulang rusuk kiri Baginda. Takdirnya menyebutkan baginda diturunkan ke bumi, dengan nikmat kasih sayang Allah maka lahirlah dua pasang anak kembar. Allah memerintahkan Qabil berkahwin dengan kembar Habil, manakala Habil berkahwin pula dengan kembar Qabil. Walaubagaimanapun Qabil tidak dapat menerima perkara sedemikian dan memprotes perintah berkenaan kerana mahu berkahwin dengan kembarnya sendiri. Sesetengah riwayat menyatakan, Qabil dan kembarnya dikandungkan di syurga dengan memiliki rupa paras yang tampan dan cantik menyebabkan berlakunya konflik dalaman. Sebagai solusi paling adil, Nabi Adam mengadu kepada Allah. Lalu Allah berfirman, jika hendak tahu siapa yang layak mengahwini adik Qabil, maka mereka perlu mempersembahkan korban. Itu antara kisah ikon simbol yang pertama dalam sejarah kehidupan manusia. Dalam kisah ini jelas menunjukkan pengorbanan ini berlaku dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah Taala. Dalam memilih korban yang baik, Habil memberikan korban yang terbaik kerana dia pengembala kambing.Dia memberikan kambing paling elok dan gemuk sebagai persembahan kepada Allah. Manakala Qabil yang juga abang kepada Habil adalah petani. Malangnya, dia memberikan hasil pertaniannya yang sudah rosak selain korban yang dilakukan atas dasar hasad dengki. Lalu Allah menurunkan api dari langit dan menyambar korban Habil sebagai isyarat korban itu diterima Allah. Sorotan pengorbanan tidak berakhir di sini, pastinya membawa kepada perintah Allah kepada Nabi Ibrahim untuk memyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail. Atas dasar kasih sayang, dan keimanan yang tinggi, berdua mereka pun tanpa ragu lantas mengikut perintah Allah. Siap Nabi Ismail untuk dikorbankan. Dipusingkan Baginda ke arah kiblat, seperti mana ibadah korban, diletakkan pisau dileher untuk disembelih oleh Nabi Ibrahim, Allah Taala menurunkan rahmat dan kasih sayangNya dengan menggantikan kibas sebagai sembelihan. Maka bergembira mereka berdua dalam rahmat dan kasih sayang Allah diturunkan bagi mereka yang bersabar mengikut perintah serta ujian kehidupan. Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah, sudah tentu kita tidak kisah berkorban wang ringgit dan harta benda untuk mencapai tahap ketakwaan. Begitu juga menggunakan semula konsep ibadah korban dalam kehidupan. Pengorbanan diangkat sebagai isitilah yang amat mulia di sisi nilai kehidupan. Keadaan situasi bencana virus COVID-19 sangat memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang amat tinggi. Terutamanya dalam menempuhi era kehidupan yang mencabar ini. Nilai keikhlasan yang ditunjukkan daripada barisan hadapan sudah tidak disangsi lagi. Mereka rela berkorban seadanya masa, tenaga, juga nyawa dalam memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat jelata. Hampir dua tahun, mereka dikelubungi dengan ‘personal protective equipment’ (PPE) yang bukan sekadar membasah keringat malah ada nyawa turut terkorban. Alfatihah disedekahkan kepada mereka yang berjuang di medan jihad ini, semoga Allah memberikan tempat terbaik buat mereka. Kini kita sebagai masyarakat perlu mengambil cakna, serta turut memberikan penumpuan penuh kepada usaha mambanteras virus COVID-19 yang semakin menggila ini Varient baru ini memerlukan kita mengambil langkah lebih protektif, duduk di rumah dan menjaga kebersihan diri, untuk berkorban menghadapi situasi COVID-19 ini. Pergorbanan kita sebagai entiti masyarakat ini menzahirkan kasih sayang serta keikhlasan yang turut dinilai di hadapan Allah nanti. Kasih sayang inilah yang membawa kepada perasaan kita sebagai jiran dan warga masyarakat mengambil cakna kepada keperluan jiran yang memerlukan bantuan makanan. Sekali gus, dapat menyelesaikan isu, kehabisan barang makanan di rumah bagi mereka yang kurang berkemampuan akibat tidak dapat bekerja mahupun sepanjang situasi PKP berlangsung. Ini kembali kepada konsep korban yang mahu menghilangkan sifat sombong, bongkak dan ego golongan kaya. Konsep inilah yang turut diterapkan bagi mereka yang menjalankan ibadat Haji, kembali dalam keadaan fitrah. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat sebagai saksi dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, berbahagialah dirimu dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)  
21 Jul 21
1557
Pasar Besar Dungun Cetus Kluster Baharu, Diarah Tutup
Pasar Besar Dungun Cetus Kluster Baharu, Diarah Tutup
DUNGUN, 21 Julai - Pasar Besar Dungun diarahkan tutup bermula hari ini sehingga 3 Ogos bagi mengekang penularan wabak dan kluster COVID-19. Analisa Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam melaporkan, Kluster Pasar Besar Dungun melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pasar awam yang terletak di daerah itu. "Kes indeks bagi kluster ini merupakan Kes No. 905712, perempuan, warganegara Malaysia berumur 42 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Julai 2021 hasil saringan individu bergejala. "Sehingga kini, enam kes baharu dikesan manakala jumlah kes positif adalah 51 orang, jumlah saringan yang dijalankan adalah seramai 159 orang sehingga 20 Julai," katanya dalam satu kenyataan. Menurut kenyataan itu lagi, kes mengalami gejala bermula pada 9 Julai 2021. Sementara itu, notis penutupan sementara oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) itu juga dilaksanakan di premis dan perkhidmatan pengoperasian dan pentadbirannya sehingga 30 Julai.  
21 Jul 21
2639