Artikel "Utama" Terkini
'Jangan Biar Sejarah Aidilfitri Berulang Kembali'
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - "Tak perlu tuding jari salahkan sesiapa. Kalau kita masih berkeras nak rentas negeri hanya untuk berhari raya dan akhirnya kita merupakan indeks atau punca kepada kluster baru, adakah kita masih nak salahkan orang lain atau salahkan pihak lain," ujar Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.
Menurutnya, beliau berharap orang ramai menangguh seketika keinginan untuk pulang atau melakukan rentas negeri di saat varian baru Delta sudah dikesan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu.
"Kekuatan jangkitan sangat luar biasa.Walaupun ada yang mempunyai pertahanan diri yang kuat tapi jangan lupa ada kumpulan yang perlu dilindungi seperti warga emas dan kanak-kanak kecil yang mungkin akan mendapat komplikasi serius.
"Sungguh hati kalian tidak berbekas dengan angka kes harian atau angka kematian yang meningkat setiap hari.
"Tidak serik kah kalian dengan sejarah musim Aidilfitri yang lalu. Dipesan-pesan untuk tangguh rentas negeri bagi mengelakkan penularan lagi besar. Tapi tidak berkesan...kerasnya hati kalian dan akhirnya kes mencanak naik," rintihnya.
Beliau berkata demikian di laman facebook rasminya setelah melihat situasi terkini apabila orang ramai berduyun duyun disyaki merentas negeri pulang ke kampung sempena sambutan Aidiladha selasa ini.
Kata Dr Nor Azimi lagi, mereka sanggup rentas negeri keluar dari kawasan wabak dan masuk kawasan kurang wabak dan membawa virus bersama untuk disebarkan di kawasan baru.
Tambah beliau lagi, jika dahulu Terengganu berjaya kekalkan angka harian hanya dua digit selama tiga minggu tetapi ia musnah angkara lapan kluster baharu dikesan dalam masa dua minggu sahaja.
"Semuanya gara-gara rentas negeri dan akhirnya bilangan kes baru meningkat. Ada kluster telah menular ke beberapa daerah. Kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini?
"Kesalnya kami dan hati kami bagai disiat siat melihat perkara itu masih berlaku," ujarnya.
Justeru itu, Nor Azimi menggesa orang ramai untuk berfikir dan bertindak bijak untuk sama-sama lindungi diri sendiri dan juga orang lain dan biarkan 'nasi sudah menjadi bubur' bila ada ahli keluarga menjadi korban COVID 19.
17 Jul 21
473
'Jangan Rentas Masuk Terengganu Tanpa Alasan Kukuh' - Polis
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu memberi ingatan kepada mana-mana individu agar tidak cuba merentas masuk ke negeri itu tanpa alasan kukuh menjelang sambutan Aidiladha.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan yang lebih teliti ke atas semua jenis kenderaan memasuki negeri itu terutama di pintu masuk di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2.
Menurutnya, PDRM Bukit Aman telah mengeluarkan arahan agar meningkatkan pengawasan terutama sempena perayaan tersebut.
"Kita tidak ada penambahan sekatan jalan raya (SJR), tetapi ingin saya ingatkan jangan cuba-cuba untuk merentas negeri atau daerah tanpa alasan yang kukuh.
"Hasil tinjauan kami di LPT 2 di Perasing mendapati aliran trafik masih terkawal walaupun pada hari hujung minggu," jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.
Terdahulu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) memaklumkan berlaku kesesakan di Plaza Tol Gombak setakat pukul 1.48 tengah hari tadi.
LLM melalui Facebooknya berkata, kesesakan berkenaan berlaku sebelum masuk Plaza Tol Gombak ke arah barat menghala ke Kuala Lumpur.
Kesesakan trafik itu turut dikesan seawal pukul 10.12 pagi tadi.
17 Jul 21
5715
RM5 Juta Setahun Tambah Baik Program Subsidi Tepung Gandum
HULU TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan pusat memperuntukan RM5 juta setahun bagi melaksanakan penambahbaikan program subsidi tepung gandum kegunaan am bermula Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata tepung gandum itu akan difortifikasi dengan Zat Besi dan Asid Folik sebagai salah satu intervensi kesihatan awam bagi menangani masalah kekurangan asid folik dan zat besi di kalangan rakyat Malaysia.
"Penambahbaikan mutu tepung ini baik untuk kesihatan jadi atas kesedaran tersebut dan atas persetujuan Perdana Menteri yang prihatin dengan dana MOF, kita akan beri produk yang sama bagi semua golongan.
"Harga tak berubah walaupun telah difortifikasikan iaitu tambahan zat besi dan asid folik iaitu RM1.35 sen sekilogram. Kalau ada yang naikkan harga, boleh lapor kepada pihak kami,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program lawatan Outreach PPV Masjid Peradong, Manir, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun.
Dalam program terbabit, Rosol turut menyerahkan lima unit kerusi roda dan dua unit router wifi kepada PPV Masjid Peradong untuk kegunaan ramai.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan penambahbaikan itu membabitkan kos tambahan ditanggung kerajaan sebanyak 5 sen bagi setiap kilogram tepung gandum atau kira-kira RM5 juta setahun di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG).
17 Jul 21
113
Pertemuan Keluarga, Kenduri Senyap-Senyap Punca COVID-19 Meningkat
MARANG, 15 Julai - Sikap segelintir individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan pertemuan keluarga dan kenduri secara senyap-senyap menjadi salah satu punca peningkatan kes Covid-19 di Terengganu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, beliau semakin bimbang pelanggaran SOP itu akan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada minggu hadapan.
Sehubungan itu, katanya, beliau memohon orang ramai mematuhi SOP ketika melakukan ibadah korban nanti bagi mengelak tercetusnya kluster baharu.
“Minggu depan Hari Raya Haji, risau juga kerana kita tahu akan ada melakukan rentas negeri dan daerah (dengan kelulusan) dan mungkin ada yang membawa virus bersama, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari negeri situasi covidnya sangat mencabar.
“Memang kita sudah sediakan SOP lakukan korban tapi kita bimbang pertemuan keluarga dan ada yang buat makan-makan secara senyap-senyap boleh sebabkan kluster baharu timbul selepas raya seperti Hari Raya Aidilfitri baru baru ini.
“Jadi harapan kami, boleh adakan korban tapi masih dalam ruang lingkup SOP yang telah ditetapkan. Kita kena jaga Terengganu apatah lagi kita sudah berjaya kawal situasi Covid-19 dengan baik sebelum ini, itu semua tugas kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Jelajah Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Siri Pertama di Pulau Kapas, di sini pada Khamis.
Hadir sama Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.
Mengulas tentang peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Terengganu daripada dua digit kepada tiga digit, Dr Nor Azimi berkata, ia dijangka akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.
"Bilangan kes akan meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana saringan besar-besaran dilakukan berikutan empat kluster baharu yang melibatkan daerah Marang, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.
“Punca utama berlakunya kluster besar serentak kerana adanya aktiviti berhimpun anak beranak. Memang tiada kenduri kerana ia tidak dibenarkan tapi pertemuan rumah ke rumah ahli keluarga masih berlaku dan menyebabkan ia merebak dengan pantas," jelasnya lagi.
Tambah beliau, saringan bersasar secara besar-besaran diharapkan dapat mengawal kluster-kluster tersebut dengan pantas.
Semalam, sebanyak 189 kes positif Covid-19 direkodkan di Terengganu pada Rabu dengan satu kematian.
15 Jul 21
6456
JKNT Sasar 10,000 Penduduk Pulau Terima Vaksin
MARANG, 15 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyasarkan hampir 10,000 penduduk dan pemain industri pelancongan di pulau-pulau utama di negeri ini menerima suntikan lengkap dua dos selewat-lewatnya akhir Oktober tahun ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata melibatkan Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir.
"Ia merupakan satu strategi untuk beri suntikan kepada mereka yang berada di pulau-pulau utama termasuk Tasik Kenyir di Terengganu untuk kita capai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.
"Kita berharap setiap daerah yang terlibat akan memberikan data yang lengkap untuk pihak kami bertindak secepat mungkin bagi memastikan penduduk dan pemain industri pelancongan menerima suntikan lengkap vaksinasi COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Kapas, hari ini.
Sementara itu, seramai 60 pengusaha resort dan pemandu bot termasuk 14 warga asing di Pulau Kapas menerima suntikan dos pertama vaksinasi bagi siri pertama program jelajah ke pulau-pulau.
Mengulas tentang penggunaan jenis vaksin yang akan diberikan kepada penduduk pulau yang terliba, Nor Azimi berkata, ia bergantung kepada bekalan vaksin yang ada.
Bagi wakil pengusaha bot, Zakaria Sulong, 60, dia menyambut baik program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan kerana tidak perlu ke tanah besar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.
15 Jul 21
302
Munajat Rakyat Kembali, Penyucian Jiwa Hadapi Musibah
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Seluruh umat Islam dalam negeri Terengganu khususnya diajak untuk sama-sama menghidup dan menghayati program Munajat Rakyat 6.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyeru masyarakat untuk sama-sama beribadat, berselawat dan mengambil ingatan daripada al-Quran dan hadis disampaikan ustaz-ustaz dan tuan guru menerusi program atas talian itu.
Menurutnya, acara anjuran Yayasan Islam Terengganu bermula hari ini sehingga esok akan menampilkan selebriti dakwah seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustazah Asma’ Harun.
“Saya mengharapkan siapa yang belum pernah mengikuti, harap dapat meluangkan masa berkunjung dan sama-sama mengimarahkan wadah ini, panjangkan juga kepada mereka yang belum pernah mendengarnya.
“Jangan lupa dan usah segan, ayuh sama-sama kita hayati dan semoga ia membersihkan hati dan jiwa kita semua,” katanya semasa ucapan perasmian Munajat Rakyat 6.0 di TVDI, pagi tadi.
Sementara itu, Mohd Nor turut mengisytiharkan acara Munajat Rakyat pada 9 Zulhijah, juga lebih dikenali sebagai Hari Arafah yang akan digerakkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Walaupun kita tidak dapat berwukuf di Padang Arafah dan menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini, namun ia bukan penghalang bagi menadah tangan, bertafakur kepada Allah SWT,” jelasnya.
Beliau turut berterima kasih kepada para penaja seperti Syarikat Air Terengganu (SATU), Kumpulan EPIC Berhad, Terengganu Inc dalam memberikan sumbagan saguhati kepada ahli panel, ustaz dan ustazah sebelum ini.
“Kerajaan negeri turut mengalukan jika ada mana-mana syarikat bersedia untuk menyampaikan penghargaan kepada para dai yang terlibat dalam pelaksanaan ini,” katanya lagi.
15 Jul 21
659
Terengganu Kongsi 'Resipi' Bangunkan Sukan Negara
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Terengganu antara kuasa besar sukan dalam negara telah diberi kepercayaan berkongsi idea dalam merangka Visi Sukan Negara (VSN) 2030 bagi menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan sukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, apa yang dibincangkan juga adalah selari dengan perancangan jangka panjang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) melalui Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun bermula 2010.
Katanya, sesi libat urus ptersebut berlangsung selama empat jam secara dalam talian dan turut disertai pemegang taruh serta penggiat industri sukan negara.
“Enam bidang utama dibincangkan antaranya iaitu pembudayaan sukan, kegemilangan sukan, pembangunan bakat, hab sukan, pemerkasaan industri sukan dan profesionalisme sukan.
“Pelan ini sentiasa dikemas kini setiap 10 tahun dan kini memasuki edisi kedua yang menjadi penanda aras program kecemerlangan industry ini melalui pencapaian atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas jemputan dan kami optimis dalam usaha dan hasrat VSN 2030 itu berada pada landasan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), Mohd Izwandy Ismail berkata, penglibatan dalam VSN bukan sahaja mengiktiraf Terengganu sebagai jaguh malah penggiat sukan berpengalaman di negeri ini.
“Kita yakin bahawa melalui gabungan idea dan pendapat di semua peringkat akar umbi, VSN ini akan dapat dirangka dengan sebaik mungkin dalam memastikan ianya berbentuk lebih komprehensif dan kolektif pada masa akan datang.
"Malah kita yakin dan percaya dengan nilai pengalaman yang cukup tersendiri selain sudah tiba masanya pengalaman ini akan didokumentasikan melalui pembentukan visi ke arah pembangunan sukan yang lebih mapan pada masa akan datang,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, VSN 2030 adalah inisiatif baharu yang dilancarkan KBS pada April lalu bagi mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh sukan seluruh negara dalam perancangan pembangunan sukan negara lebih bersepadu bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
14 Jul 21
241
'Boteq' Si Hero Kesayangan Pok Mat
HULU TERENGGANU, 14 Julai - Kekurangan diri tidak menjadi penghalang buat Che Mat Jusoh, 59, mencari rezeki selepas mengalami kemalangan pada 1982 yang menyebabkan beliau patah peha kiri.
Status orang kelainan upaya (OKU) yang kini bergantung harap dengan seekor beruk jantan miliknya untuk membantu menyara keluarga.
'Boteq' membantu Pok Mat sejak beli sembilan tahun lalu, bantu memetik kelapa, selain seekor lagi yang diberi nama 'Putih'.
Che Mat berkata, kehebatan ‘Boteq’ memetik kira-kira 500 hingga 700 biji kelapa setiap kali bekerja telah banyak membantu pemilik beruk jantan itu sehingga mampu menyara keluarga dan membesar empat anaknya.
Katanya lagi, beruk berusia sekitar enam tahun itu akan dibawa memetik kelapa milik penduduk kampung di sekitar Hulu Terengganu.
“Kebiasaannya saya mengambil kadar upah 50 sen sebiji dan ada juga penduduk menjual buah kelapa itu kepada saya berdasarkan harga di atas pokok kemudian saya jual sendiri dipasar atau kepada penduduk kampung.
“Saya jual kelapa dengan harga RM2.00 sebiji berbanding RM 2.50 harga pasaran biasa dan pendapatan sebulan saya mampu memperoleh RM700 ke RM800,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sungai Mali , di sini hari ini.
Tambah Pok Mat, beruk ini secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan utama untuk membesarkan empat orang anak.
“Bagi memastikan beruk sentiasa sihat dan cergas, saya memberi makan nasi, air milo serta air sarsi yang dicampurkan dengan telur mentah.
“Selain memetik kelapa, kedua beruk juga diajar mampu melakukan perkara sama pada pelbagai pokok berbuah seperti jering, petai, durian, dan rambutan,” katanya yang juga mendapat bantuan bulanan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ditanya mengenai komunikasi antara beliau dengan Boteq semasa proses memetik kelapa, Che Mat berkata mereka menggunakan bahasa khas untuk memberi dan menerima arahan.
“Hanya pemilik dan beruk itu sahaja memahami bahasa mereka ketika berkomunikasi dan sesiapa yang mendengarnya pasti tersenyum.
“Boteq faham arahan saya seperti naik pokok, ambil buah itu, (bezakan) kelapa muda dan tua, berhenti, ambil lagi, habis serta turun.
“Sebelum ini, tanpa bantuan beruk tersebut, adalah sukar untuk memetik buah kelapa kerana ketinggian pokok yang mencecah lebih 50 meter yang tidak mungkin mampu dipanjat oleh sesiapa pun,“ujarnya.
Pok Mat juga berkata, harga seekor beruk yang terlatih di kampung kini melambung tinggi sehingga melebihi RM1,500 seekor kerana sukar diperoleh.
14 Jul 21
878
Roti Kayu Keramat Terengganu 'Sohor' Di Portugal
KUALA TERENGGANU,13 Julai – Mengambil inspirasi dan tunjuk ajar semasa melancong di Terengganu, pasangan Portugal, Cristiana Pires dan Joao Sousa teruja menghasilkan roti kayu keramat untuk dikongsi bersama keluarga di negara eropah itu.
Lebih dikenali dengan gelaran ‘Travelgramers’ di media sosial, aksi dan gelagat pembikinan kuih tradisional dalam video berjudul ‘We made it ROTI KERAMAT in Portugal’ di Youtube mendapat jumlah penonton seramai lebih 30 ribu.
Menurut Joao, 30 , dia bersama pasangannya mencuba kuih itu di sebuah warung terletak di Kampung Seberang Marang pada November tahun lepas.
“Roti Keramat adalah makanan istimewa dari Negeri Terenganu di Malaysia, ini adalah sesuatu yang hanya anda dapati di sana.
“Sekarang Cristiana, 28, bersama ibu saudara saya, Francelina Figueira, 52, akan cuba menghasilkannya sambil memakai apron batik.
“Kami cukup bernasib baik kerana dapat menikmati makanan yang lazat ini hasil daripada Cristiana membelajari cara pembuatannya di Marang,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambahnya lagi, buat masa kini, kita tinggal bersama keluarga di kampung Cabeção dan tidak boleh melancong seperti sebelum pandemik COVID-19.
“Jadi ia peluang baik bagi memberi mereka (keluarga) mencubanya sekali,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan ‘backpackers’ eropah tersebut turut mencuba resepi ayam masak merah untuk keluarga mereka dan menyiarkan reaksi positif di dalam profil Youtubenya dengan jumlah ‘subscribers’ seramai 45 ribu.
13 Jul 21
3486
Lebih 2,000 Penduduk Di Dua Kampung Di Kemaman Nikmati 4G
KEMAMAN, 13 Julai – Lebih 2,000 penduduk di daerah ini bakal menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik selepas dua menara komunikasi baharu dibina di Kampung Pengkalan Rangoon dan Kampung Pondok Pasir.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, dua menara tersebut telah beroperasi sepenuhnya sejak bulan lepas.
“Selain itu, projek talian tetap gentian optik di daerah Kemaman juga sedang giat dilaksanakan melibatkan 8,928 premis.
“Sehingga kini, sebanyak 6,091 premis baharu telah mendapat jaringan gentian optik berkelajuan tinggi manakala baki 2,837 akan siap menjelang suku keempat tahun 2022.
Tambahnya, peluasan rangkaian gentian optik dan pembinaan menara-menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) ini akan memberi manfaat kepada komuniti untuk aktiviti atas talian.
“Melalui usaha-usaha ini, para penduduk dapat melaksanakan pelbagai aktiviti seharian seperti pembelajaran, Bekerja Dari Rumah (WFH), perhubungan mahupun aktiviti ekonomi dalam talian, dengan lancar,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Pengarah MCMC Terengganu, Mohd Fairus Muhamad dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili telah membuat peninjauan bersama pihak Maxis berkenaan operasi rangkaian 4G di Kampung Pengkalan Rangoon, Kemaman.
13 Jul 21
385