lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

ADUN Ambil Langkah Segera Tangani Gangguan Bekalan Air
ADUN Ambil Langkah Segera Tangani Gangguan Bekalan Air
KUALA NERUS, 4 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengambil langkah segera bagi menangani isu gangguan bekalan air yang melanda beberapa tempat di daerah ini sejak Isnin lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan hebahan media terkini Syarikat Air Terengganu (SATU), tempoh masa yang agak lama perlu diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana kerumitan proses baik pulih di dasar sungai. Susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif menyusun beberapa langkah termasuk menempatkan tangki statik di semua taman perumahan dan perkampungan yang terjejas mengikut populasi. “Selain itu, lori air sendiri turut digerakkan sebagai bantuan sokongan buat ‘tanker’ air SATU dan lain-lain agensi. “Mobile Team (bilangan masih terhad) yang akan bergerak dengan tangki kecil dari rumah ke rumah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam. Menurut Hishammuddin, pasukan kerja pihaknya telah memulakan langkah bergotong-royong menyiapkan semua ini bermula selepas Isyak (malam tadi). “Perbincangan dengan pihak Bomba dan SATU untuk mendapatkan air melalui pili bomba juga telah diperolehi,” ujarnya. Sementara itu katanya, persetujuan dan kebenaran juga sempat diperolehi melalui pihak sekolah dalam kawasan Tepoh melalui pihak Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus untuk memberikan kebenaran penduduk berdekatan mendapatkan bekalan air sekadar keperluan keluarga sementara air di tangki sekolah masih ada. “Malam ini kena siapkan senarai lengkap lokasi yang perlu ditempatkan tangki statik dan keperluan-keperluan lain. “Semoga dipermudahkan urusan untuk membantu semua penduduk yang terjejas bekalan air kali ini. Harap bersabar semua, kita sama-sama berganding usaha sementara usaha baik pulih dijalankan,” tulisnya. Terdahulu, SATU memaklumkan, kawasan yang terlibat di Kuala Nerus ialah Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, UNISZA, Bukit Sudu, Pagar Besi, UMT dan Padang Nenas. “Turut terjejas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi,” ujar SATU.   Manakala bagi daerah Kuala Terengganu kampung yang terlibat ialah Buluh Gading Masjid, Sebahagian Banggo Peradong, Buluh Gading Dewan, Manir, Banggol Tuan Muda, Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Telok Menara dan Jeram.
04 Aug 21
677
Peningkatan Kes 500 Peratus Bukan Kerana Varian Tapi...
Peningkatan Kes 500 Peratus Bukan Kerana Varian Tapi...
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Peningkatan kes sehingga 500 peratus dalam tempoh dua minggu di Mukim Manir termasuk Teluk Menara adalah disebabkan penularan di kalangan kontak keluarga dan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, hasil kajian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu melaporkan peningkatan kes positif harian COVID-19 daripada 74 kes kepada 398 kes dalam masa dua minggu di kawasan tersebut. “Penularan akibat kontak keluarga dan rakan setempat ini melibatkan kes seperti rentas negeri dan daerah serta aktiviti sosial secara senyap-senyap terutamanya ketika musim hari raya Aidiladha. “Hasilnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh mukim Manir dilaksanakan sehingga 18 Ogos melihat kepada penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya ketika bersiaran secara langsung di TVDI, semalam. Sementara itu, Dr Alias turut menyentuh soal varian membimbangkan (VOC) Delta dan menafikan berita yang tular berkaitan 39 pesakit COVID-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai. “Dalam negeri kita, hanya dua kes varian ini dikesan dan sembilan kes VOC Beta dilaporkan. “Kenapa sejak kebelakangan ini berlaku rebakan kes begitu cepat dalam negeri? “Ini bukan kerana varian, tetapi sikap kita sendiri yang gagal mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa,” jelasnya.
04 Aug 21
2906
COVID-19 : Kes Kategori 3, 4, 5 Menurun Hasil Vaksinasi
COVID-19 : Kes Kategori 3, 4, 5 Menurun Hasil Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berita baik tersebut menunjukkan majoriti kes harian hanya melibatkan kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan. “Ini menggambarkan kesan vaksinasi dalam menangani kes sederhana dan teruk. “Contohnya, kes kategori 5 yang memerlukan unit rawatan rapi (ICU) dan bantuan pernafasan menurun daripada 0.7 peratus (12 Julai) hingga tiada kes (2 Ogos). “Bagi kategori 4, pada 12 Julai ia mencatatkan 6.4 peratus kemudian berkurang kepada 0.5 peratus (2 Ogos) daripada jumlah kes harian, sama seperti kategori 3 yang juga mencatatkan hanya 0.5 peratus pada 2 Ogos,” katanya ketika bersiaran secara langsung di TVDI, semalam. Katanya, secara purata kategori 3 dan 4 adalah kira-kira 2.1 peratus sahaja daripada kes harian yang selebihnya memadai dipulihkan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC). “Ini satu perkembangan penting, semakin tinggi vaksinasi semakin berkurang kes kritikal ke hospital,” katanya lagi. Beliau turut menasihati agar seluruh masyarakat yang mendapat temujanji vaksin agar menghadiri sesi yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. “Ini bagi mengelakkan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kita tidak sesak, jadi ikutilah jadual ditetapkan, jangan temujanji pukul dua, kita datang pagi,” jelasnya. Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 2 Ogos, Terengganu mencatatkan 28.1 peratus (353,511 orang) yang telah disuntik dos pertama, manakala 17.7 peratus (223,227 orang) telah selesai dua dos suntikan.
04 Aug 21
422
MOVAK Sasar 3,500 Penduduk Luar Bandar Di Hulu Terengganu Divaksinasi
MOVAK Sasar 3,500 Penduduk Luar Bandar Di Hulu Terengganu Divaksinasi
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di daerah ini bakal memastikan seramai 3,500 penduduk beberapa kampung di kawasan pedalaman menerima vaksin Covid-19, bulan ini.  Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid berkata, inisiatif digerakkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Jabatan Perpaduan Negara itu  sekali gus akan membolehkan pihaknya mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok menjelang bulan depan.   Katanya, pendekatan suntikan menggunakan bas bergerak amat dialu-alukan bagi meningkatkan lagi kadar vaksinasi di daerah Hulu Terengganu yang masih perlahan.  "Sasaran itu berdasarkan tujuh program MOVAK yang akan diteruskan ke  Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadok, SK Tapah, SK Tok Randok, SK Getang, SK Kua dan SK Binjai Kertas.  "Berdasarkan rekod, penerima dos pertama vaksin Covid-19 kini mencecah 22 peratus manakala yang sudah lengkap dua dos sebanyak 36 peratus.  "Dengan kemudahan MOVAC, masyarakat di pedalaman tidak lagi berdepan masalah untuk hadir janji temu vaksin berikutan isu jarak dan pengangkutan kerana perkhidmatan ini dibawa ke lokasi kediaman mereka," katanya.  Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)berkata kepada pemberita selepas meninjau Program MOVAK di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini. Dalam program julung kali hari ini, seramai 360 penduduk selesai menerima vaksinasi dos pertama berkenaan. Tambahnya, selepas ini pihak kesihatan akan gunakan perkhidmatan rumah ke rumah bagi mereka yang terlantar untuk vaksinasi.    
03 Aug 21
486
Mukim Manir, Dua Lokaliti Kemaman Dikenakan PKPD
Mukim Manir, Dua Lokaliti Kemaman Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Dua lokaliti dan satu mukim dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Khamis ini hingga 18 Ogos depan, kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19. "Dua lokaliti di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman, yang dikenakan PKPD ialah Taman Rakyat Bestari Fasa 1-4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2. "Sementara itu, seluruh Mukim Manir, Kuala Terengganu turut dikenakan PKPD sehingga 18 Ogos hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun dilanjutkan sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan. Pelaksanaan PKPD ini, jelas Hishammuddin adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti. Selain itu katanya, PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas  penduduk di lokaliti tersebut. "Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.
03 Aug 21
2245
Kerajaan Negeri Nafi 39 Varian Delta Dikesan Di Kuala Ibai
Kerajaan Negeri Nafi 39 Varian Delta Dikesan Di Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Kerajaan negeri  menafikan mesej yang tersebar di media sosial mendakwa kononnya terdapat 39 pesakit COVID-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, dakwaan yang tular menerusi media sosial itu, bukan sahaja tidak benar malah tidak bertanggungjawab. "Memang kita ada hantar beberapa sampel kepada makmal di Kuala Lumpur dan masih menunggu keputusan 'penjujukan genom' yang dijalankan. "Ia penting untuk mengenal pasti sama ada masih berlaku jangkitan COVID-19 varian Delta di Terengganu selain dua kes yang dilaporkan sebelum ini. Namun, yang pasti maklumat mengenai 39 pesakit varian Delta itu adalah tidak benar sama sekali. "Bagaimanapun, masyarakat diminta supaya berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelakkan apa jua kemungkinan selain memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi. Sejak kelmarin, tular di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp yang mendakwa varian Delta sudah merebak di Kuala Terengganu dengan memetik nama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Maklumat yang tular itu mendakwa ujian saringan bersasar Covid-10 akan dilaksanakan terhadap seluruh penduduk Kampung Kuala Ibai dan perumahan Kondo Rakyat malam ini berikutan 39 kes varian delta yang dikesan di lokaliti itu. Selain menyarankan orang ramai berhati-hati, maklumat itu turut mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kedua-dua lokaliti berkenaan. Berdasarkan situasi terkini Covid-19, dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) hari ini, Terengganu mencatatkan sebanyak 429 kes.  
03 Aug 21
815
Gerobok Rezeki Hotel Primula 'Hadiah' Kecil Buat Yang Memerlukan
Gerobok Rezeki Hotel Primula 'Hadiah' Kecil Buat Yang Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos -Prihatin terhadap masyarakat yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dan kehilangan punca pendapatan mendorong Primula Beach Hotel mengambil inisiatif mewujudkan projek Gerobok Rezeki bagi membantu mereka mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun, berkata ia bertujuan membantu mereka terutama ketua keluarga yang terputus atau kekurangan bekalan makanan keperluan harian untuk kelangsungan hidup. Katanya, Gerobok Rezeki  beroperasi dengan menerima sejumlah barangan keperluan asas daripada warga kerja Primula Beach Hotel bermula 1 Ogos baru-baru ini. "Seterusnya, pihak hotel mengumpulkan barangan tersebut dan mengagihkannya ke masjid-masjid dan surau-surau tertentu di sekitar  daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang. "Kami juga tidak menetapkan had kapasiti barangan keperluan asas yang perlu disumbangkan dan ia terpulang kepada pihak masjid dan surau untuk menguruskannya," katanya ketika dihubungi. Menurut beliau, antara barangan keperluan harian yang disediakan termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, ikan sardin, mee segera dan lain-lain. Jelasnya, pengagihan barangan keperluan asas itu dimulakan ke Surau Tahfiz Darul Ulama Marang, Masjid Jamek Kampung Paloh Kuala Terengganu dan Masjid Kampung Seberang Takir Kuala Nerus .  Justeru itu katanya, beliau berharap program Primula Gerbok Rezeki  dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan dan membuka peluang buat mereka yang ingin menghulurkan bantuan dengan cara yang mudah.
03 Aug 21
1478
KPDNHEP Cadang Kit Ujian COVID-19 Sebagai Barang Kawalan
KPDNHEP Cadang Kit Ujian COVID-19 Sebagai Barang Kawalan
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses menjadikan kit ujian COVID-19  sebagai barang kawalan di negara ini. Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata cadangan itu berdasarkan maklum balas yang diterima dari orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama pada golongan berpendapatan rendah. "Kita dapat maklumat harganya RM39.90 setiap satu, tidak ramai yang mampu membelinya jadi ia akan membebankan pengguna sekiranya terpaksa membeli lebih dari satu unit sekiranya mempunyai ahli keluarga ramai. "Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar pelaksanaan ini tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat.  "Kita harap harganya nanti akan mampu dibeli oleh semua orang....di samping itu peranan kita juga adalah untuk pastikan kit ujian ini tidak ada yang tiruan. Kita bimbang ada yang cuba hasilkan barang tiruan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini. Seramai 360 penduduk felda tersebut menerima vaksin COVID-19 mereka melalui program tersebut.  Tambahnya lagi, jika sudah diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946, tindakan boleh diambil kepada pembekal yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.      
03 Aug 21
192
PKPD 12 Lokaliti Kemaman, Dungun Dilanjutkan Sehingga 17 Ogos
PKPD 12 Lokaliti Kemaman, Dungun Dilanjutkan Sehingga 17 Ogos
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan berkuat kuasa esok sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan. Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu. "Antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2. Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga. "KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut. "Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 12 lokaliti di Dungun dan Kemaman bermula esok," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu mencatatkan kes positif Covid-19 harian sebanyak 425 kes semalam manakala kes di seluruh negara melebihi 15,000 kes iaitu 15,764 kes.  
03 Aug 21
1494
70 'Barber' Dapat Bantuan RM200
70 'Barber' Dapat Bantuan RM200
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Sebanyak RM14,000 telah diperuntukkan oleh Parlimen Hulu Terengganu bagi bantuan kewangan khas untuk tukang gunting rambut yang terjejas teruk sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19). Ahli Parlimennya, Dato' Rosol Wahid berkata, bantuan berupa wang tunai RM200 tersebut disalurkan kepada 70 tukang gunting rambut yang berdaftar  "Ia bagi membantu mereka berdepan cabaran Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apabila perkhidmatan salon dan gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi. "Dan kini mereka telah dibenarkan kembali beroperasi tetapi dalam situasi yang agak sukar jadi kita tolong meringankan beban mereka sebelum perniagaan kembali stabil," ujarnya kepada pemberita selepas agihan bantuan kepada 'barber',  semalam. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tukang Gunting Daerah Hulu Terengganu, Abdul Hafiz Abdullah, 33, berkata sumbangan tersebut merupakan satu penghargaan buat mereka yang hanya bergantung kepada  hasil gunting rambut. Katanya, kebanyakan pengusaha kedai gunting terdiri daripada kalangan belia yang berusia 30 tahun ke bawah di samping mereka yang baharu memasuki alam pekerjaan. "Secara keseluruhannya tukang gunting rambut adalah golongan berpendapatan harian, dibayar mengikut bilangan orang yang mereka telah gunting rambut. "Apabila ada pihak yang tampil memberikan bantuan, orang seperti kami amat berasa lega dan menghargainya," ujarnya lagi. Tambah Abdul Hafiz, dia berharap situasi Covid-19 akan bertambah baik bagi memboleh­kan rakyat termasuk golo­ngan peniaga dapat memulihkan kembali ekonomi seperti biasa sebelum wabak pandemik melanda.    
03 Aug 21
271