Artikel "Utama" Terkini
Bantuan Air Ditambah Hingga Bekalan Pulih Rabu Depan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Pihak berwajib akan meningkatkan bantuan air kepada penduduk terjejas bekalan itu menerusi penambahan tangki air statik dan mudah alih.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, 40 unit tangki baharu akan diletakkan di setiap kampung di daerahnya.
“Kita juga akan menambah bekalan air di tangki mudah alih menerusi sukarelawan terlibat yang akan meronda di kawasan terjejas.
“Dua lori tangka Syarikat Air Terengganu (SATU) juga bergerak 24 jam bagi menambah bekalan air di tangki-tangki sedia ada.
“Pejabat Parlimen Kuala Nerus juga mengambil inisiatif menyewa dua lori tangki yang boleh memuatkan 40,000 liter air bagi setiap trip dengan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC)," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap agar rakyat di dua daerah terkesan terus berdoa dan bersabar dalam menunggu kerja pembaikian selesai.
“Kita ada pasukan jurutera dan teknikal yang bagus, namun begitu, mereka perlu menghadapi cabaran arus deras dalam kedalaman sehingga 18 meter dalam usaha menyambung kembali sumber asas ini,” jelasnya lagi.
07 Aug 21
641
SATU Hadapi Tugas Mencabar Di Sungai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Dua fasa kritikal dan mencabar perlu dihadapi pasukan teknikal serta jurutera Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam usaha membaiki kerosakan paip di dasar sungai yang berlaku sejak Isnin lalu.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, antara fasa penting perlu dihadapi adalah penyelarasan paip dengan diameter berukuran 1.2 meter di sungai kedalaman sehingga 18 meter.
Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
“Oleh itu, kita perlu pengapit ‘clamp’ yang besar untuk diletakkan di bawah paip ganti itu, dengan tujuan membaikinya.
“Clamp kedua akan menghubungkan dua paip tersebut, selepas kita laraskan paip itu, pengapit kedua berperanan dalam menyambungnya.
“Setelah disambung, kita akan mulakan ujian dengan air tekanan rendah mungkin dikuasai satu engin dari loji untuk lihat jika ada kebocoran lagi, untuk memenuhi loji diatas bukit dan rumah-rumah ia memerlukan tekanan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, hari ini.
Menurutnya lagi, proses menguji tekanan tersebut akan mengambil masa paling kurang dua hingga tiga hari bagi air di kawasan loji dapat beroperasi kembali, menandakan 70 peratus proses pembaikan akan siap.
Bercakap tentang cabaran dihadapi 10 orang penyelam yang menjalankan kerja membaikpulih itu, penglihatan kabur akibat air keruh dan arus sungai Terengganu yang deras memberi ancaman kepada keselamatan.
“Ini menyukarkan penyelam tidak boleh mengambil posisi yang stabil semasa pelaksanaan kerja-kerja pemasangan di dasar sungai.
“Pemasangan tersebut perlu dilakukan berhati-hati dengan mengambil kira keadaan, termasuk juga dengan saiz paip yang perlu diselaraskan, kerja pengukuhan paip juga akan diteruskan setelah selesai fasa itu,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menasihati komuniti di Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu supaya bersabar kerana usaha membaikpulih itu akan terus berjalan bagi mengembalikkan keperluan asas di rumah-rumah terkesan.
07 Aug 21
2366
PKPD : Pusat Khidmat Masyarakat, JPKK Main Peranan Agih Keperluan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kerajaan negeri telah mengarahkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk sentiasa bersedia dalam memastikan bantuan asas bagi warga terkesan tidak terputus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya melalui PKM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sentiasa mengambil peranan dalam memastikan sumbangan diperuntukkan kerajaan akan disampaikan.
“Insya-Allah, dana telah disalurkan dan akan ditambah mengikut kadar ditetapkan, kita juga telah putuskan setiap wakil rakyat untuk keluarkan peruntukan masing-masing dan mengenalpasti mereka yang terkesan agar dibantu segera," katanya.
Menerusi siaran langung TVDI, Mohd Nor turut menyentuh, jika berlaku isu terlepas pandang dalam kerja kebajikan kepada mereka terkesan, maka jiran setempat perlu prihatin dan boleh menyampai maklumat kepada wakil kerajaan.
“Jika berlaku masalah dalam perolehan bantuan atau ada mereka yang tercicir, jangan malu dan segera hubungi JPKK atau PKM kawasan anda.
“Selain itu, mereka mengalami kesempitan bekalan juga boleh membuat aduan atas talian di Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), mana-mana aduan dalam laman sosial kita akan panjangkan kepada pihak berkenaan bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut mengajak seluruh umat Islam Terengganu agar mengikuti program Munajat Rakyat 8.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19.
“Munajat kali ini akan diisi dengan pendakwah selebriti seperti Dr Zamri Mantop serta Ustaz Ahmad Dasuki dan ramai lagi pengisian bermanfaat bagi menyucikan jiwa dan berdoa kepada Allah supaya dijauhi daripada wabak dan bencana,” jelasnya.
07 Aug 21
197
Terap Semangat Juang Pahlawan Menentang COVID-19
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Semangat perjuangan menentang COVID-19 boleh dicontohi daripada nilai perjuangan menentang penjajah bagi memperoleh kemerdekaan di tanah air suatu ketika dulu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semangat Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh tersemat erat dalam diri setiap rakyat Terengganu.
"Malah perjuangan kedua-dua tokoh ini bersama tokoh-tokoh yang lain, menjadi penguat semangat kami untuk melawan segala cabaran, termasuk COVID-19 yang kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan seluruh dunia.
"Usaha menangani penularan COVID-19 tidak akan berjaya, jika tugas memerangi dan memutuskan rantaian wabak tersebut diserahkan kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan semata-mata.
"Prinsip (perjuangan) yang sama perlu kita lakukan, untuk keluar dan merdeka daripada dugaan pandemik COVID-19 yang sedang kita hadapi, tugas ini memerlukan kita mengambil semangat yang pernah dipupuk, di zaman pembentukan negara ketika membebaskan diri daripada penjajah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Menjelaskan tema 'Malaysia Prihatin', Ahmad Samsuri menyifatkan pengertiannya cukup besar bahawa seluruh rakyat khususnya di Terengganu untuk berganding bahu bersama kerajaan sekali gus membawa negeri dan negara keluar daripada pandemik.
"Pada waktu yang sama, kerajaan sentiasa berusaha dengan penuh keprihatinan yang tinggi untuk membantu rakyat dalam kesusahan dengan memberi bantuan melalui pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, kesihatan dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia," tambahnya.
Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan kerana memilih Terengganu sebagai tuan rumah bagi majlis tahun ini.
Terengganu merupakan tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini, namun tiada acara sambutan secara fizikal dalam pematuhan Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19.
07 Aug 21
152
20 Tangki Statik Elakkan Terputus Bekalan Air Di Seberang Takir
KUALA NERUS, 7 Ogos – Kerja membekalkan sumber air kepada penduduk terjejas di daerah Kuala Nerus diteruskan dengan mengerahkan jentera lori dan tangki statik di Seberang Takir.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya melancarkan bilik gerakan bagi menghantar bantuan air ke tujuh buah kampung di kawasannya, sebaik sahaja berlaku krisis masalah gangguan bekalan asas itu sejak Isnin lepas,
“Alhamdulillah, setakat ini 20 tangki statik berjaya diletakkan di lokasi yang dikenalpasti supaya sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan asas masyarakat, atau kira-kira 3745 buah rumah terkesan.
“Antaranya ialah Kampung Kubang Badak, Kampung Tok Jembal, Kampung Pak Tijah, Kampung Tanjung Jaafar, Kampung Telaga Batin, Kampung Jati dan Kampung Wakaf Baru,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.
Tambah Mohd Fadhil lagi, 10 buah lori termasuk trak pikap menjadi pengangkutan bagi menghantar sumber air kepada penduduk terkesan.
"Kita turut menerima ramai sukarelawan yang bersedia berkhidmat dalam menyampaikan keperluan asas itu kepada mana-mana keluarga yang memerlukan di sini” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Ahmad Afini Ahmad, 32 berkata, dia merasa terpanggil apabila mendengar isu dan kesusahan dihadapi komunitinya itu.
"Pada hari biasa saya bekerja seperti biasa, tetapi buat masa ini saya ambil keputusan untuk berkhidmat dari siang hingga malam in sehingga kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu selesai," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sedang diatasi dengan kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijangka siap pada Rabu depan.
06 Aug 21
464
Tujuh Syarikat Bantu Selesai Krisis Air
KUALA NERUS, 5 Ogos - Syarikat air dari tujuh buah negeri akan menghantar 14 lori tangki dengan kapasiti 70,000 liter air bagi membantu penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang terjejas bekalan air.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu, Burhanuddin Helmi Mohamed, syarikat air berkenaan terdiri daripada Air Kelantan (AKSB), Syarikat Air Selangor (SYABAS), Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka (SAMB), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Syarikat Air Johor (SAJ) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Menurutnya lagi, SATU sudah bersedia dengan lapan lori berkapasiti 5,000 liter yang akan menghantar bekalan air kira-kira 40,000 liter air ke kawasan yang ditentukan.
“Bantuan ini sebenarnya selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara operator dan permintaan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), dengan erti kata jika berlaku krisis air antara negeri, kita akan turun membantu" katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Gangguan bekalan air di sekitar Kuala Nerus bermula sejak Ahad lalu apabila paip berukiran 1200mm dasar sungai Terengganu pecah yang mengakibatkan 28,700 akaun pengguna terjejas.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya telah menyediakan 40 tangki statik berkeupayaan 600 gelen setiap satu dan telah menyalurkan 295,500 liter air dengan bantuan pihak Bomba dan SATU.
"Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus telah mengambil langkah awal dengan meninjau lokasi yang teruk terjejas diantaranya di DUN Buluh Gading dan DUN Tepoh.
"Pihak kita juga sentiasa memantau bekalan air di setiap pusat supaya air yang disalurkan sampai kepada rakyat.
"Kita juga berterima kasih kepada Unit Amal dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana banyak membantu melancarkan proses agihan air tanpa menyusahkan rakyat untuk beratur bahkan kita hantar air rumah ke rumah bagi memudahkan mereka" kata Dr Khairuddin ketika dihubungi.
05 Aug 21
647
8 Jalan Utama Ditutup, 1 SJR Di PKPD Mukim Manir
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Polis menutup lapan jalan utama dan mengenakan satu sekatan jalan raya (SJR) di Mukim Manir bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) sehingga 18 Ogos ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, antara jalan terlibat ialah Jalan Manir Pulau Bahagia-Telemong (berhampiran tangki air Pulau Bahagia) dan Jalan Padang Tengir- Kubang Bujuk (Jambatan Kubang Bujuk).
“Selain itu, Jalan Kebor Besar-Guntong Telar (berhampiran jambatan Kebor Besar), Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Jambatan Buluh Gading) dan Jalan Kampung Sabtu-Jeram (lampu isyarat bawah lebuhraya Pulau Sekati) turut ditutup.
“Tiga jalan lain lagi termasuk susur keluar masuk lebuhraya Pulau Sekati (Kampung Kubang Jela), susur keluar dan masuk lebuhraya Pulau Sekati (Taman Cikgu Ismail Yusof) dan susur keluar dan masuk lebuhraya Pulau Sekati (Kampung Banggol Donas)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, satu SJR terletak di Jambatan Manir dan akan menutup 20 laluan kampung di dalam kawasan PKPD.
"Memandangkan semua jalan dan laluan di Mukim Manir akan ditutup sepenuhnya, maka laluan keluar dan masuk hanya boleh dibuat melalui Jambatan Sungai Manir sahaja.
"Segala pergerakan keluar dan masuk hendaklah mempunyai dokumen-dokumen lengkap seperti untuk bekerja (perkhidmatan perlu) atau surat kebenaran daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
"Sehubungan itu, kita akan menempatkan pusat kawalan PDRM di Balai Polis Manir bagi memudahkan penduduk mendapatkan kebenaran keluar masuk di kawasan PKPD atas sebab kecemasan atau sebab dibenarkan,” katanya lagi.
Abdul Rahim turut menasihati pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan PKPD Manir seperti dalam jadual berikut:
“Bagi penduduk di Mukim Belara pula yang hendak ke pusat bandar atau ke Kuala Nerus/Tol Gemuruh/ Setiu boleh melalui jalan alternatif seperti berikut:
05 Aug 21
2246
Lima Kakitangan Positif COVID-19, Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos- Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu yang terletak di Jalan Sultan Omar ditutup sementara selama 14 hari bermula petang ini.
Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, penutupan taska terbabit sehingga 18 Ogos depan terpaksa dilakukan susulan lima kakitangan disahkan positif COVID-19.
"Di Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu ada lima kakitangan yang disahkan positif COVID-19, empat daripadanya adalah tenaga pengajar dan seorang penyedia makanan.
"Susulan itu, seramai 17 orang guru dan 34 kanak-kanak di taska terbabit perlu menjalani swab test," ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Katanya, penutupan itu juga selaras dengan Notis Perintah Penutupan Premis Bagi Kawalan Perebakan Penyakit Berjangkit daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Katanya, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu akan mengambil tindakan dan langkah-langkah perlu selaras dengan arahan-arahan kerajaan yang berkuatkuasa.
"Sehubungan dengan itu semua kakitangan di taska terbabit diarah bekerja dari rumah bermula hari ini (4 Ogos) hingga 18 Ogos ini.
"Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan secara menyeluruh serta memastikan premis taska selamat diduduki," katanya.
04 Aug 21
1777
PKPD Teluk Menara, 500 Ekor Ayam Diagihkan
HULU TERENGGANU, 4 Ogos- Lebih 500 ekor ayam diagihkan kepada penduduk di kampung Teluk Menara di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 27 Julai lalu.
Pegawai Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Sejahtera (IMiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir Rozali Mamat, berkata, sumbangan itu di bawah peruntukan ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun.
Katanya, agihan tersebut diselaraskan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang membantu menghantar ayam segar tersebut kepada setiap rumah dalam kawasan PKPD.
“Ini merupakan agihan kedua selepas bantuan barang keperluan dapur yang kita edarkan bersama ADUN Manir dan Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu kepada penduduk selepas perintah PKPD berkuatkuasa di kampung berkenaan.
“Dengan bantuan ini, kita harap ia sedikit sebanyak dapat menceriakan dan meringankan beban penduduk yang kini terpaksa duduk di rumah masing-masing akibat PKPD,” katanya kepada pemberita TRDI di sini semalam.
Rozali berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama Jabatan Amal Manir dan NGO TM Care dalam membantu proses pengagihan tersebut.
Tambahnya lagi, mereka yang berdepan masalah seperti terputus bekalan makanan boleh menghubungi JPKK bagi mendapatkan bantuan.
“Kita sentiasa bersedia membantu dan bantuan akan diteruskan selepas ini bergantung kepada keadaan semasa,” ujar beliau.
04 Aug 21
1087
PM Mohon Maaf, Terpaksa Tampil Jelaskan Kedudukan Kerajaan
KUALA TERENGGANU 4 Ogos - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kerana terpaksa tampil dan menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
Beliau turut mendedahkan lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepadanya.
Namun menurut Muhyiddin, beliau masih lagi mempunyai majoriti dan tidak akan meletak jawatan.
“Mengikut Perkara 43 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.
“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” ujarnya ketika menyampaikan Perutusan Khas, hari ini.
Sementara itu, katanya, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.
Jelasnya, beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.
“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau sedia maklum ada segelintir pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.
“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” ujarnya.
04 Aug 21
1119