Artikel "Utama" Terkini
PKPD Di Mukim Manir Dan Telok Kalong Tamat Esok
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Manir, Kuala Terengganu ditamatkan mengikut jadual, esok.
Menurut kenyataan rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Terdahulu, pada 5 Ogos lalu, polis menutup lapan jalan utama dan mengenakan satu sekatan jalan raya (SJR) di Mukim Manir bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk kenderaan di kawasan PKPD itu.
Sementara itu, MKN turut memaklumkan, PKPD yang dikuatkuasakan di dua lokaliti di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman dalam tempoh yang sama iaitu dari 5 Ogos hingga 18 Ogos turut ditamatkan seperti dijadualkan.
"Ia melibatkan Taman Rakyat Bestari Fasa 1–4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2," ujar kenyataan tersebut.
17 Aug 21
316
Kerajaan Perkemas Strategi Hidupkan Kembali Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Industri pelancongan dalam negeri ini sedang giat dihidupkan kembali menerusi beberapa strategi seperti pemvaksinan dan mengguna pakai teknologi digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kebanyakan pengusaha pelancongan di pulau peranginan dan Tasik Kenyir mahu membuat persediaan lebih rapi di premis masing-masing dengan mengambil kira pelbagai aspek Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Ada pemilik premis yang maklumkan kepada saya mereka mahu pelancong yang datang untuk membuat ujian calitan terlebih dahulu sebagai langkah lebih berhati-hati kerana tidak mahu risiko premis ditutup selepas beroperasi kelak.
"Begitu juga dengan pemantauan di jeti-jeti pelancongan yang akan dilakukan penguat kuasa di setiap daerah agar pelancong patuh SOP termasuk bilangan individu dalam bot mestilah mengikut kuota dibenarkan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di Ruang Bicara terbitan Bernama TV, baru-baru ini.
Sementara itu, Ariffin turut menceritakan usaha meningkatkan keyakinan orang ramai melalui inisiatif pemvaksinan agar datang bercuti ke Terengganu dan merancakkan kembali industri pelancongan domestik.
“Orang ramai perlu diberi keyakinan bahawa semua penggiat industri telah menerima suntikan dos lengkap dan SOP yang ketat oleh penguat kuasa jabatan dan agensi kerajaan agar aktiviti pelancongan tidak menjadi punca kepada kluster baharu COVID-19.
"Selain tumpuan program vaksinasi di pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir, kita juga dimaklumkan oleh Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Terengganu bahawa semua pekerja di hotel yang berdaftar juga sudah ada tarikh janji temu untuk menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat,” tambahnya.
Selain itu, Ariffin turut berkongsi, strategi kerajaaan negeri yang sedang menguji satu aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kesihatan dikenali sebagai AI Batuk.
"Berdasarkan kajian, kes penularan COVID-19 di Terengganu berpunca daripada aktiviti rentas negeri, jadi kita mahu menggunakan teknologi AI Batuk ini di pintu sempadan negeri agar dapat mengesan tahap kesihatan seseorang individu itu lebih awal.
"Sekiranya positif, individu itu perlu membuat rawatan terus ke fasiliti kesihatan berdekatan.
"Ini antara usaha kerajaan negeri mengekang penularan virus dari luar Terengganu sekali gus meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk melancong ke Terengganu," katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri (Sementara), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri berada di fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya dibenarkan membabitkan aktiviti di homestay dan hotel bermula 10 Ogos lepas.
17 Aug 21
348
Penyu Agar Bertelur Di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Seekor penyu agar berusia antara 15 hingga 18 tahun dikesan mendarat untuk bertelur berhampiran hotel Primula di Pantai Batu Buruk, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penyu berkenaan mula bertelur antara jam 7 petang dan 8.50 malam dengan jumlah telur sebanyak 49 biji.
Katanya, telur penyu berkenaan dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun untuk proses pengeraman.
"Berat dan saiz penyu tidak dapat ditentukan kerana ibu penyu telah turun ke laut semasa pegawai tiba ke lokasi.
" Namun, penyu dianggarkan berusia antara 15 - 18 tahun dan merupakan penyu muda berdasarkan pada saiz trek dan jumlah telur," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, orang awam dinasihatkan untuk tidak mengganggu penyu semasa ia dalam perjalanan naik ke darat, semasa di darat atau turun semula ke laut.
Jelas beliau lagi, perbuatan tersebut boleh disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 12B Enakmen Penyu 1951 (pindaan 1987) dan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua- duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, kejadian itu memberikan mesej bahawa penyu sebenarnya bersedia untuk bertelur di sepanjang 225 km jajaran pantai dari Kemaman ke Besut, selain pantai-pantai di pulau yang menjadi lokasi popular penyu.
"Penyu agar naik ke pantai Batu Burok ni petanda pantai kita sudah sesuai dengan persarangan penyu kerana ia amat sensitif dan berhati-hati dalam memilih lokasi persarangan.
"Berkemungkinan waktu sekarang aktiviti orang awam di pantai amat kurang menjadikan tiada gangguan kepada penyu menjadikannya pilihan untuk bertelur,"ujarnya.
17 Aug 21
958
Hospital Pengajar UniSZA Dijangka Siap 30 Oktober Ini
Oleh: Khatijah Alias
HULU TERENGGANU, 17 Ogos - Projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menelan kos sebanyak RM332 juta dijangka siap pada 30 Oktober 2021 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata projek reka dan bina ini telah bermula pada 21 Mac 2016 dan kini telah siap hampir 90 peratus.
"Kapasiti hospital ini adalah 200 katil, lengkap dengan peralatan moden seperti CT Scan, angriogram, mammogram dan lain-lain.
"Wabak Covid-19 telah meningkatkan kepenggunaan hospital terutamanya bahagian katil dan unit rawatan rapi (ICU), jadi dengan adanya kemudahan hospital ini, dapat menampung kegusaran masyarakat terhadapnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan tapak pada petang semalam.
Tambahnya, masih ada beberapa perkara perlu dipertingkatkan berkaitan kerja-kerja 'catch up', penghawa dingin dan lain-lain yang perlu disiapkan segera sebelum akhir Oktober nanti.
Turut hadir ke lapangan, Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman bersama meninjau persiapan akhir sebelum hospital ini diserahkan kepada pemiliknya.
17 Aug 21
2838
Bidikan Telefon Pintar Popularkan Terengganu Di Mata Dunia
KUALA NERUS, 16 Ogos – Dengan hanya menggunakan kamera telefon pintar, seorang pekerja barista Homs Bar and Cafe, Najmuddin Muif Zulkifli, 26, berjaya memperkenalkan keunikan Terengganu kepada hampir dua juta penonton melalui media sosialnya.
Lebih mesra disapa Muif, minatnya sejak dibangku sekolah dalam bidang fotografi mempopularkan lokasi menarik di Terengganu ke dunia luar melalui video dimuat naik ke Instagram yang meraih 1.8 juta penonton.
Antara video montaj yang mencecah hampir 2 juta penonton di Zoo Tok Dir
“Video montaj itu mendapat sambutan dan komen daripada Kanada, Thailand, United Kingdom dan banyak lagi bertanyakan dimana terletaknya tempat cantik di Terengganu.
“Malah ada juga komen daripada orang dalam negeri yang tidak tahu tempat dalam video itu, antara lokasi penggambaran seperti Bukit Maras, Kampung Tok Dir, Lata Payung dan lain-lain," jelasnya.
Katanya yang juga berasal dari Kuala Terengganu, syarikat pencipta Iphone iaitu Apple turut mempamerkan hasil videonya di profil rasmi Instagram dengan tatapan hampir 300 ribu tontonan, Mac lalu.
Video Muif disiarkan di profil Instagram Apple Inc
“Reaksi netizen secara tidak langsung mempromosikan negeri kita, Terengganu bukan sahaja mempunyai Jambatan Drawbridge dan Pasar Payang, tetapi juga penuh dengan kekayaan alam semula jadi.
“Puluhan ribu komen menunjukkan reaksi ‘baru tahu’ dan ingin melawat sini, saya pun tidak sangka hasil tangkapan guna IPhone 12 Pro dan Vivo x60 akan jadi popular.
Mengulas lanjut berkenaan hobinya, Muif menyifatkan ia sebagai satu kepuasan buat dirinya dalam usaha mendapatkan hasil foto alam sekitar terbaik.
“Untuk peroleh hasil terbaik ia perlukan kegigihan, contohnya, saya pernah keluar sebelum subuh untuk mendapatkan gambar permandangan matahari terbit di pantai sekitar.
“Saya juga pernah mendaki Bukit Keluang dan sanggup bermalam diatas untuk mendapatkan imej vista angkasa atau ‘milky way.
“Bila komposisi dan cahaya dalam mengambil gambar menjadi, imej ditangkap akan ada faktor ‘Wow’,” jelasnya.
Sebelumnya, hasil usaha graduan matematik pengkomputeran mendapat perhatian antarabangsa selepas berjaya memenangi pertandingan foto ‘NatGeoMoments of Joy Contest’ anjuran National Geographic, November tahun lepas.
“Mula-mula saya sekadar cuba nasib, tapi dengan hasil tangkapan Hutan Lipur Air Terjun Temurun, gambar saya dipilih antara tiga pemenang dan memenangi 1000 USD (RM 4,112.50),” katanya lagi.
Apabila diminta memberi nasihat bagi sesiapa yang ingin berjinak dalam bidang fotografi, Muif menjawab, jika ada minat, buat sahaja.
“Walaupun benda itu kita tidak mahir pada mulanya, tetapi terus tambah baik kemahiran itu, bagi saya, hasil berguru dengan jurufoto lain dan belajar sendiri banyak membantu dalam mengasah skil ini,” tambahnya.
16 Aug 21
1120
Agong Lantik Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri Caretaker
KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Istana Negara hari ini mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai 'caretaker' sehingga perdana menteri baru dilantik, selain menolak kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya umum.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah berkenan dengan pelantikan itu selepas menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin tengah hari tadi.
“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akan tetap berpegang pada prinsip sebagai Perdana Menteri Caretaker.
"Peranan saya ketika ini berbeza dengan jawatan sebelum ini dan mempunyai keterbatasan kuasa.
"Saya tak fikir kuasa kedudukan saya membolehkan saya membuat sesuatu, saya berpegang kepada prinsip yang saya hanya buat apa yang harus buat, ikut nasihat Peguam Negara dan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas, di sini pada Isnin.
16 Aug 21
320
Muhyiddin Letak Jawatan Perdana Menteri
KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.
"Jelas, saya kehilangan majoriti dan tidak perlu lagi keabsahan saya ditentukan di Parlimen. Maka hari ini, saya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri sebagaimana perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan,"katanya dalam satu perutusan khas, hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini, berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan.
Tambah beliau lagi, dia menyerahkan kepada kebijaksanaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih perdana menteri baru dan membentuk kerajaan dalam kadar segera.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah pada 1 Mac 2020.
16 Aug 21
208
JBPM Bantu Petugas KKM Dalam Pengebumian 151 Jenazah Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlibat secara langsung dalam pengebumian jenazah pesakit COVID-19 di negeri ini.
Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, sehingga kini pihaknya telah membantu menguruskan 151 pengebumian daripada 178 kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini sehingga Ahad.
Beliau berkata, JBPM akan terus memberikan sokongan dan khidmat terbaik membantu para petugas Kementerian Kesihatan sepanjang wabak pandemik ini
Katanya, pihak JPBM telah bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan di semua daerah bagi melaksanakan tugas-tugas khas membantu menguruskan pengebumian mangsa Covid-19 di negeri ini.
"Selain tugas hakiki jabatan bomba seperti memadam kebakaran dan kemalangan, urusan pengkebumian jenazah pesakit Covid -19 turut menjadi salah satu tanggungjawab sosial agensi kepada masyarakat.
"Bagi tujuan itu, seramai 10 anggota ditugaskan bagi mengurus pengebumian, manakala tiga anggota ditugaskan untuk melakukan proses disinfeksi kepada anggota terlibat menggunakan Mobile Disinfection Chamber (MoDic)," katanya kepada pemberita.
Md Hilman berkata, risiko yang dihadapi cuba dielakkan dengan mengikuti secara ketat garis panduan pengurusan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Langkah ini bagi memastikan tahap keselamatan anggota terjamin dan tidak berlaku penularan Covid-19 kerana mereka turut berdepan dengan risiko jangkitan wabak itu sepanjang menjalankan tugas," katanya,
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, seramai 203 anggotanya menjalani kuarantin akibat wabak itu di mana 107 daripadanya telah disahkan positif.
16 Aug 21
339
Fasa 2: Lagi 11 Aktiviti Ekonomi Dibenarkan Buka Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Sebanyak 11 lagi aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan untuk kembali beroperasi di Terengganu serta negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan kesemua 11 aktiviti ekonomi itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.
Aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut adalah seperti berikut :
1. Kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi
2. Kedai barangan terpakai
3. Kedai bunga dan nurseri
4. Kedai kraftangan dan cenderahati
5. Kedai antik
6. Kedai alat permainan
7. Kedai permaidani
8. Kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif
9. Kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain)
10.Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi
11.Kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik
Namun, Muhyiddin berkata pemilik premis yang tersenarai itu perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.
Katanya lagi, ia bertujuan bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap, serta mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat.
Selain Terengganu, negeri-negeri dalam Fasa 2 PPN buat masa ini ialah ialah Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah.
16 Aug 21
3088
Warga Thailand Cetus Penularan, Lokaliti Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Satu lokaliti di Besut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa, ia selepas seorang wanita warga Thailand mencetuskan penularan di kawasan terbabit.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lokaliti tersebut adalah Kampung Bukit Cina dalam Mukim Pasir Akar telah merekodkan 55 kes COVID-19.
“Kes indeks bagi kluster komuniti Bukit Cina ini daripada seorang wanita Thailand yang berusia 64 tahun dan disahkan positif virus itu hasil saringan individu bergejala pada 8 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya lagi dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), perlaksanaan PKPD tersebut dijadualkan sehingga 30 Ogos depan.
Sementara itu, PKPD di satu lokaliti iaitu Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, Jabi ditamatkan mengikut jadual.
Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Terengganu mencatatkan 534 kes baharu COVID-19 tanpa sebarang kematian direkodkan.
15 Aug 21
1613