lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PKPD Di 33 Lokaliti Di Dungun Disambung Lagi
PKPD Di 33 Lokaliti Di Dungun Disambung Lagi
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Sebanyak 33 lokaliti melibatkan dua mukim di daerah Dungun dikenakan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 30 Ogos depan. Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan COVID-19. “Antaranya 19 lokaliti di Mukim Kuala Dungun membabitkan Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak Tengah, Kg Molek, Bijangga, Sungai Udang, Sungai Penaga, Kubang Miang dan Teratai. “Ini termasuk juga Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini. Tambahnya, turut terkesan adalah 14 lokaliti di Mukim Sura, Dungun iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, Taman Maidam, Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak. “Selain itu, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang juga dilanjutkan tempoh PKPD,” Jelasnya. Terdahulu, pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut telah diumumkan sejak 3 Ogos lalu dan sepatutnya dijadualkan berakhir pada esok.
15 Aug 21
1463
Cari Rezeki Sampingan Sehingga Pulau Dibuka Kembali
Cari Rezeki Sampingan Sehingga Pulau Dibuka Kembali
  KUALA NERUS, 15 Ogos- Rata-rata penduduk Kampung Baru Pulau Redang di sini terpaksa menceburi bidang perniagaan baharu selepas sektor pelancongan sedia ada terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Mereka terpaksa bekerja demi memastikan kelangsungan hidup di samping bantuan kerajaan dan orang ramai. Bagi suri rumah, Rosnani Deraman, 46, berkata, dia tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata apabila gaji suami Mad Nawi Muda, 56 yang bekerja di sebuah resort terpaksa dipotong sebanyak 50 peratus. Justeru itu katanya, bagi meringankan beban suami, dia mengambil inisiatif membuat kuih- muih untuk dihantar ke gerai makan berhampiran bagi menampung perbelanjaan keluarga. "Selama ini suami dibayar dengan gaji RM2,000 dan jumlah itu cukup untuk keperluan kami. Namun, pengurusan resort terpaksa memotong gaji dan menggilirkan kedatangan pekerja disebabkan pelancong tidak lagi ramai seperti dahulu. "Jadi, kami faham situasi itu namun tidak berputus asa sebaliknya cuba mencari rezeki lain dengan menjual kuih pula. " Secara purata jualan adalah antara RM60 hingga RM80 sehari, cukuplah untuk perbelanjaan sekeluarga," katanya. Seorang bapa kepada enam anak, Mohd Nazri Yasin, 53 pula  terpaksa melakukan pekerjaan lain setelah industri pelancongan yang menjadi sumber rezeki selama ini terhenti sementara akibat pandemik tersebut. Katanya, dia menjadi seorang nelayan walaupun tidak mahir dalam bidang tersebut  setelah diarahkan pengurusan hotel mengambil cuti tanpa gaji antara 10 hingga 14 hari setiap bulan. "Dulu gaji RM1,500 sekarang hasil tangkapan ikan ni dapatlah RM500 hingga RM750 sebab ada sakit jantung jadi tidak boleh lakukan kerja berat..mujurlah banyak bantuan makanan kering diterima dari pelbagai pihak. "Saya sangat berharap industri pelancongan akan pulih dalam masa terdekat," ujarnya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan bantuan 'Ganu Eco Charity' di sini. Sebanyak satu tan metrik barangan keperluan 'Ganu Eco Charity' diserahkan oleh Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu yang menyediakan kemudahan logistik melalui kapal penyelidikan RV Discovery ke Pulau Redang. Presiden MyCAS Dr Noor Zaitun Yahaya berkata suntikan dana sebanyak RM210,000 itu disumbangkan oleh Yayasan Hasanah, iaitu yayasan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang memberi manfaat kepada 1,500 penduduk memerlukan. "Agihan 1,500 pek makanan dan kit kebersihan itu telah diserahkan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Pulau Redang adalah lokasi terakhir sumbangan," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Pulau Redang Maarop Ismail berkata bantuan diberi sangat menceriakan penduduk di Pulau Redang. "Kunjungan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan wakil agensi kerajaan yang menyantuni penduduk juga membuktikan masih ramai yang prihatin dengan nasib yang melanda penduduk yang rata-rata bergantung dengan sektor pelancongan," jelasnya.           
15 Aug 21
475
Hujan Meteor Turun Di Terengganu
Hujan Meteor Turun Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Pada awal pagi tadi fenomena angkasa luar biasa dikenali sebagai Hujan Meteor Perseid dapat dilihat menyinari ruang angkasa di Terengganu. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Bukit Lubuk Batu, Bukit Payong, mendapati pemandangan tersebut dapat dilihat pada pada jam 12 pagi sehingga Subuh. Menurut kenyataan Planetarium Negara, hujan meteor itu akan mencapai paras maksimum dengan kadar sebanyak 110 meteor pada setiap jam atau hampir dua meteor dalam seminit bermula pada waktu tersebut. Hujan Meteor kecil dapat dilihat di kanan pokok. “Pusat pancaran meteor itu kelazimannya datang dari arah buruj Perseus iaitu terletak di kawasan langit sebelah utara bumi sebelum hujan ini berpecah ke banyak arah lain. “Fenomena itu telah muncul dalam paras kecil sejak 17 Julai dan akan berterusan sehingga 24 Ogos ini. “Bagi menyaksikan fenomena ini dengan terang, anda dinasihatkan agar mencari kawasan gelap dan jauh daripada sebarang pencemaran cahaya,” jelasnya. Untuk pengetahuan, bagi yang terlepas peluang boleh merujuk Facebook dan Youtube Dark Sky Malaysia serta Karnival Sains Sabah melalui siaran langsung mereka.  
13 Aug 21
7567
Pelancongan Di Tasik Kenyir Dibuka Sepenuhnya Bermula 1 September Ini
Pelancongan Di Tasik Kenyir Dibuka Sepenuhnya Bermula 1 September Ini
HULU TERENGGANU, 12 Ogos - Sektor pelancongan di Tasik Kenyir akan mula dibuka kepada kunjungan orang ramai bermula 1 September ini. Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato' Razali Idris berkata pembukaan tersebut memberi peluang kepada sektor pelancongan dalam negeri kembali 'bernyawa'. "Kita buat keputusan ini setelah 300 penggiat pelancongan di Tasik Kenyir telah lengkap suntikan dua dos pada hari ini. "Mengambil kira tempoh matang suntikan iaitu 14 hari, kita juga akan menjalankan proses sanitasi kepada semua rumah bot sebelum beroperasi pada 1 September dan sanitasi ini akan berterusan setiap kali penggunaannya,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi , hari ini.  Seramai 300 individu yang terbabit dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini, termasuk 200 penduduk sekitar menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua, hari ini. Katanya lagi, pembukaan sektor itu juga berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), amalan penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua di Terengganu. Dalam pada itu, pihaknya juga dalam perancangan untuk memberikan diskaun untuk setiap tempahan rumah bot sebagai salah satu tarikan kepada pelancong. "Dalam masa terdekat, kita akan umumkan harga dan jumlah diskaun yang diberikan kepada mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan rumah bot. "Ia merupakan salah satu inisiatif kepada pengusaha itu sendiri selain membantu pengurangan kos melancong di musim wabak ini," ujarnya lagi. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Kamaruddin Razali,  pembukaan sektor ini memberi sinar baharu buat pengusaha pelancongan untuk kembali beroperasi. Katanya, pemberian vaksin lengkap meningkatkan keyakinan mereka semua untuk berdepan dengan pelancong dan berharap kemasukan pelancong kembali rancak. Tambah beliau, pemilik rumah bot telah mula menerima tempahan  selepas Perdana Menteri mengumumkan pembukaan sektor pelancongan bermula 10 Ogos baru-baru ini. "Saya berharap pelancong dapat mematuhi SOP dan  dinasihatkan sentiasa mengamalkan normal baharu, penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum bagi kebaikan bersama," katanya.
12 Aug 21
4883
MB Agih 18 Ribu Liter Air Buat Penduduk Terputus Bekalan
MB Agih 18 Ribu Liter Air Buat Penduduk Terputus Bekalan
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sebanyak 18 ribu liter air bersih telah diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di 19 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading semalam termasuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Sumbangan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu telah disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau, Muhyiddin Abd Rashid kepada Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim. “Sebarang masalah yang perlu tindakan segera boleh rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) masing-masing. “Terima kasih atas kesabaran menghadapi musibah ini. Semoga Allah mengganjarkan pahala yang berlipat ganda. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Sementara itu, Ridzuan Hashim berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu komunitinya termasuk 15 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berada dalam PKPD. “Mewakili seluruh warga kawasannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar. Usaha ini sangat membantu terutamanya kepada mereka yang tidak bebas keluar untuk mendapatkan bekalan asas ini,” jelasnya. Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan akan memberi air percuma selama dua bulan kepada pemilik akaun yang terjejas akibat saluran paip pecah di dasar sungai Terengganu.
12 Aug 21
220
Majlis Kahwin Cetus Kluster Baharu Di Besut
Majlis Kahwin Cetus Kluster Baharu Di Besut
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sebuah pernikahan baru-baru ini di daerah Besut telah didapati mencetuskan kluster COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Berdasarkan kenyataan rasmi semalam, perkahwinan itu diadakan di Kampung Gelam Mas pada 15 Julai lalu, dan kes positif virus pertama hanya dikesan pada 11 Ogos. “Kes indeks adalah lelaki berusia 28 tahun yang didapati positif pada 11 Ogos setelah menjalani pemeriksaan kontak rapat. “Setelah kerja saringan dijalankan ke atas 384 orang yang mempunyai kaitan kepada kluster tersebut, 38 orang diuji positif untuk COVID-19. Katanya lagi, kumpulan ini adalah antara 31 kluster baharu yang diumumkan oleh kementerian pada hari Rabu. “Ia juga merupakan salah satu daripada 11 kluster yang dikategorikan sebagai kluster komuniti,” jelasnya lagi. Berdasarkan situasi terkini COVID-19 sehingga 11 Ogos, Terengganu mencatatkan peningkatan kepada 613 kes positif harian dengan lapan kematian direkodkan. “Dungun mencatatkan jumlah bilangan kes baharu tertinggi dengan 267 kes,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
12 Aug 21
5481
Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier
Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II merampas kedudukan teratas Liga Premier Malaysia 2021 setelah seri 0-0 dengan Perak FC II, malam ini. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menguasai bola dan melancarkan serangan berintensiti tinggi. Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu mengancam kubu tuan rumah apabila Ghislain Guessan mempamerkan gelecekan menarik pada minit ke-21 melepasi pertahanan Terengganu FC untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin. Mujur Nasrulhaq pantas menepis kuisan penyerang kelahiran Perancis itu keluar. Sebagai respon, The Turtle bangkit menyerang. Rembatan Rahmat Makasuf dari luar kotak penalti ditampan pertahanan Perak FC II pada minit ke-31. Tujuh minit kemudian, Argzim Redzovic hampir memecah kebuntuan jaringan, namun tandukannya hasil sepakan bebas Amirul Syazwan ditepis penjaga gol, Ahmad Syazwan Syazany dan meniti di atas palang gol sebelum keluar. Pada minit-minit akhir separuh masa, skuad kendalian Syamsul Saad sekali lagi memiliki peluang terbaik selepas Khairul Syafiq bijak menggelecek pertahanan Terengganu FC II. Namun, rembatannya dinafikan kecemerlangan Nasrulhaq mengawal gawang. Bersambung babak kedua, Perak FC II lebih banyak menjana serangan sambil Terengganu FC II memberi tumpuan bertahan dan melancarkan serangan balas. Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-57 apabila pemain tengah Perak FC II, Royyizat Daud membentes Amirul Syazwan dalam usaha mengeluarkan bola dari kotak penalti. Pengadil perlawanan, Mohamad Izzat Izaini menghadiahkan penalti kepada Terengganu FC II pada minit ke-57. Sayangnya, Muhammad Izzan Syahmi mensia-siakan peluang tersebut setelah rembatannya ditepis Syazwan Syazany dan tertampan ke tangannya. Perlawanan terus berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan cuba mencari tiga mata. Bagaimanapun, keputusan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan. Terengganu FC II kini berkongsi 29 mata bersama pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC, namun mengungguli carta liga dengan kelebihan empat gol.  
11 Aug 21
924
Kerjasama Kerajaan Negeri, PETRONAS, Manfaat Buat Komuniti
Kerjasama Kerajaan Negeri, PETRONAS, Manfaat Buat Komuniti
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerjasama erat antara kerajaan negeri bersama PETRONAS diharap berterusan dalam mengatasi jurang digital serta membantu rakyat di negeri ini menikmati limpahan manfaat ekonomi dan kesejahteraan komuniti. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kolaborasi tersebut mampu membuahkan faedah buat masyarakat seperti penyaluran gajet kepada 735 pelajar dari lima buah daerah (Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang). “Jumlah keseluruhan sumbangan program CERDIK tajaan Yayasan PETRONAS ini adalah RM1.8 juta untuk negeri Terengganu. “Besar harapan saya agar kerjasama dan hubungan baik antara ini berterusan ibarat kata orang tua-tua, ‘pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan, batu segiling pecak setapik,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasminya, semalam. Terdahulu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar. “Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya.
11 Aug 21
309
DUN Terengganu Mahu Bergerak Sebagaimana Peranan Parlimen
DUN Terengganu Mahu Bergerak Sebagaimana Peranan Parlimen
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berharap badan legislatif negeri itu memiliki keupayaan sebagaimana Parlimen Malaysia dalam meningkatkan peranan ‘semak dan imbang’ untuk jangka panjang. Yang Dipertuanya, Dato' Yahaya Ali berkata, beliau menyokong cadangan yang dibentangkan oleh Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, antaranya penubuhan Jabatan Penyelidikan DUN. “Berkait dengan usaha memberdaya institusi DUN supaya diperkasakan dengan menambah baik kertas kerja daripada Dato’ Speaker Kelantan sekurang-kurangnya perbincangan kita pada masa akan datang ini lebih terjurus dan fokus. Speaker negeri Sarawak diberi tugas untuk memimpin perbincangan ini،" jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN seluruh Malaysia tahun 2021 atas talian kelmarin. Menurutnya, DUN Terengganu telah pun melaksanakan sebahagian daripada reformasi dan penambahbaikan dari segi penyebaran maklumat termasuk membangunkan dan mengemaskini laman sesawang rasmi serta pasukan media. Terdahulu, dalam persidangan tersebut Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Haji Abdullah Yaakub telah mengemukakan kertas cadangan yang bertajuk 'Usaha-usaha Memberdaya Institusi Dewan Undangan Negeri'. Beliau turut menyarankan perlunya program pendidikan institusi badan legislatif kepada masyarakat umum dan memperkukuhkan peranan pembangkang secara lebih efektif. Justeru itu, beliau berterima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Pahang yang menjadi tuan rumah pada tahun ini. “Saya mengucapkan terima kasih kepada DUN Pahang yang berjaya mengurus dan mengendalikan persidangan dengan begitu baik,” ujar Yahaya. Mesyuarat yang diadakan secara atas talian dalam keadaan norma baharu itu dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.  
11 Aug 21
338
JHEAT Tubuh Skuad Urus Jenazah Secara Percuma
JHEAT Tubuh Skuad Urus Jenazah Secara Percuma
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Satu skuad sukarelawan telah ditubuhkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)bagi mengurus jenazah pesakit COVID-19 secara percuma.  Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, berkata ia bagi mengurangkan beban ahli keluarga terutama golongan asnaf dalam menguruskan jenazah walaupun kos dikenakan pengurusan jenazah tidak membebankan. Katanya, pengurusan jenazah mengenakan caj RM750 termasuk keranda, batu nisan dan kelengkapan lain. "Kos tambahan RM200 hanya dikenakan jika ahli keluarga meminta pengurusan jenazah menggali kubur," katanya. Mengenai bayaran tinggi untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19, Mat Azmi berkata, ia sedang disiasat tetapi pihaknya belum menerima aduan daripada ahli keluarga. Sementara itu, pengurus dan pembekal peralatan pengurusan jenazah, Shahmil Hameed Syed Ahmed, 52, berkata kos pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang dikenakan kurang RM800. Katanya, kos berkenaan termasuk pembelian keranda, batu nizan, peralatan lain, manakala kos solat jenazah dan proses tayammum ditanggung sepenuhnya Jabatan Kesihatan negeri.
11 Aug 21
692