lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Peralihan Fasa Bukan Tiket Bertindak Bebas, Abai SOP
Peralihan Fasa Bukan Tiket Bertindak Bebas, Abai SOP
KUALA TERENGGANU, 2 September - Seluruh rakyat awam dinasihatkan supaya tidak salah mentafsirkan peralihan fasa kedua ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai ruang untuk bertindak bebas serta mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP). Perkara tersebut diseru oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, yang menyifatkan pandangan umum masyarakat itu memberi banyak ruang yang boleh merisikokan kehidupan harian. “Maksudnya, ia bukan jaminan virus sudah tiada, sebaliknya kelonggaran ekonomi tersebut lebih kepada keupayaan negeri dalam menangani isu dengan lebih baik. “Penjagaan kesihatan awam dan pematuhan peraturan adalah sesuatu yang perlu dikekalkan tanpa mengambil mudah kemudahan untuk bertindak bebas,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Inspirasi Kejayaan Hebat Lonjakan Aspirasi Strategik Bersama Warga MKN Terengganu, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah MKN Terengganu, Mohd Yusri Yusof. Sementara itu, beliau turut memaklumkan tahap pematuhan SOP dalam rakyat negeri adalah baik dan memuaskan dengan mengikuti aspek-aspek utama seperti penjarakan fizikal dan pemakaian topeng pelitup muka sepanjang masa. “Saya lihat kebanyakan rakyat Terengganu tidak mengambil tindakan berhimpun atau berkumpul yang mendedahkan kepada penularan virus,” katanya lagi. Terdahulu, Rodzi telah membuat kunjungan hormat bertemu dengan Menteri Besar Terengganu bagi membincangkan langkah-langkah membendung penularan COVID-19 terutamanya melalui usaha pemvaksinan yang lebih agresif. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak turut melaporkan, Terengganu dijangka memasuki fasa seterusnya PPN selewat-lewatnya dalam bulan September ini,” katanya.
01 Sep 21
302
80 Sukarelawan Bantu Penduduk Dilanda Krisis Air
80 Sukarelawan Bantu Penduduk Dilanda Krisis Air
HULU TERENGGANU, 1 September – Seramai 80 orang sukarelawan mewakili tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama-sama berganding bahu melaksanakan Misi Bantuan Bekalan Air di Dun Buluh Gading, sejak 24 Ogos lalu.  Misi bantuan memfokuskan penghantaran air mentah untuk kegunaan penduduk kampung yang terjejas, dengan menghantar dari rumah ke rumah.  Ia melibatkan Kelab Sukarelawan Hulu Terengganu, Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Hulu Terengganu dan Pertubuhan Amal Kebajikan Hulu Terengganu.  Menurut Ketua Operasi Sukarelawan Hulu Terengganu, Mohd Nazari Zakaria berkata, khidmat yang dihulurkan kepada masyarakat terjejas ini adalah usaha murni yang juga merupakan salah satu teras kekuatan iaitu membantu secara ‘kesukarelawanan’.  Katanya, sukarelawan yang datang daripada empat DUN dalam Parlimen Hulu Terengganu turun membantu penduduk mengikut jadual yang diberikan dan sebahagian mereka sudah lengkap dua dos vaksin.  “Setiap yang bertugas akan hadir dengan kekuatan tenaga seramai 15 orang setiap dun, kenderaan 4X4 dan lori. "Setakat ini tiada tarikh tertentu ditetapkan untuk misi bantuan bekalan air itu tamat dan akan terus membantu penduduk yang terjejas sehingga masalah air selesai," ujarnya. Sementara itu, Mamat Taib, sangat teruja kerana dapat bersama-sama menyertai misi tersebut yang rata-ratanya orang muda menabur bakti. “Lebih membanggakan apabila semua yang menjadi sukarelawan terdiri daripada anak muda yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat”. katanya yang juga sukarelawan dari Dun Ajil.  Salah seorang penduduk Kampung Petai Bubus, Senah Chik mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang terlibat dan berharap khidmat bakti yang dihulurkan memberi sedikit kelegaan kepada penduduk yang terjejas. “Setiap hari akan ada petugas yang memantau dan menghantar bekalan air, saya sangat bersyukur diatas keprihatinan yang tunjukkan," ujarnya.    
01 Sep 21
223
MRC Sumbang Bantuan Air Bernilai RM270,000 Di Tepoh, Buluh Gading
MRC Sumbang Bantuan Air Bernilai RM270,000 Di Tepoh, Buluh Gading
KUALA NERUS, 2 September - Sejumlah RM270,000 disumbang melalui program Bantuan Prihatin Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air sejak sejak 23 Ogos lalu. Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, bantuan tersebut direalisasikan dengan kerjasama daripada Pertubuhan Kebajikan Amal Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading (Buluh Gading Care) dan Pertubuhan Kebajikan Komuniti DUN Tepoh (Tepoh Care). Katanya, penduduk-penduduk di Buluh Gading dan Tepoh yang terlibat dengan krisis bekalan air di daerah Kuala Nerus sejak 2 Ogos lalu akibat daripada paip berukuran 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu. “Sumbangan ini merangkumi perbelanjaan bagi penyediaan empat buah lori tangki air, 206 unit tangki statik selain daripada 15 unit enjin air dan 16 unit pam air, 3,000 kotak air mineral termasuk kos sewaan lori dan trak untuk pengagihan air bersih ke kawasan-kawasan yang terjejas. “Kos itu juga termasuk kerja-kerja pemasangan paip sementara di beberapa lokasi bagi sekitar 50,000 orang penduduk di dua kawasan terlibat mendapatkan bekalan air bersih sepanjang krisis ini berlanjutan,” katanya. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Mohd Ridhuan Hashim dan ADUN Tepoh, Ustaz Hishamudin Abdul Karim. Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan usaha terdahulu MRC yang telah mengeluarkan dana RM400,000 bagi membantu lebih 27,000 akaun yang terjejas untuk mendapatkan air sama ada air bersih dan air minuman. "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MRC kerana hadir menyalurkan bantuan tepat pada masanya. "Saya yakin dengan krisis air yang melanda buat kali kedua ini, kerajaan negeri sudah bersedia dengan meluluskan bantuan segera sebanyak RM2.79 juta bagi menghadapi krisis air ini," katanya ketika dihubungi.
01 Sep 21
167
Kayuhan Semarak Semangat Merdeka
Kayuhan Semarak Semangat Merdeka
HULU TERENGGANU, 1 September - Atas semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-64 negara, seramai 12 pemilik basikal bergabung dalam program Kayuhan Santai DUN Ajil, semalam. Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil membabitkan kayuhan sekitar Pekan Ajil sejauh dua kilometer bermula dari Taman Sakinah dan berakhir di Dataran bangunan ATC, Ajil. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program kayuhan dijayakan untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat berikutan aktiviti berbasikal juga mampu menyatupadukan perbezaan politik di daerah ini. “Aktiviti sebegini diyakini mampu mengeratkan hubungan masyarakat dan dapat mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan veteran, selain melahirkan warga Ajil yang sihat dan cergas. “Memandangkan tiada sambutan Hari Kebangsaan akibat kekangan wabak Covid -19. Kita aturkan sedikit acara berbasikal dan agihan bendera Jalur Gemilang untuk pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui. Maliaman juga berkata, selain memeriahkan lagi bulan kemerdekaan, penganjuran acara berbasikal itu diharap menyuntik kembali semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat yang dilihat semakin berkurangan.  “Kita wajar berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana saja bagi membuktikan semangat cintakan negara dengan ikhlas. "Ini yang cuba kami tekankan dalam kalangan peserta muda supaya golongan yang lahir selepas merdeka tidak alpa dengan arus kemodenan negara hingga terlupa pengorbanan pejuang negara mempertahankan tanah air,” katanya.  
01 Sep 21
849
Pupuk Semangat Patriotik Disebalik Kibaran Bendera
Pupuk Semangat Patriotik Disebalik Kibaran Bendera
HULU TERENGGANU, 1 September – Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid mengajak seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dalam bersama-sama menyemarakkan lagi semangat Kemerdekaan dalam mengharungi pandemik COVID-19. “Walaupun sambutan kemerdekaan pada tahun ini tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya, namun sebagai rakyat Malaysia kita sebenarnya mempunyai banyak cara untuk menyatakan rasa cinta terhadap tanah air. “Sikap cintakan negara bukan hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau berkonvoi bermotosikal seperti setiap sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia malah semangat cintakan tanah air itu seharusnya mesti ada dalam diri kita,” katanya. Menurutnya lagi, penghayatan erti kemerdekaan di kalangan masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan dari tahun ke tahun supaya semangat cintakan tanah air tidak luntur dan tidak dilupai masyarakat. Beliau berkata demikian selepas program Kempen Semarak Kibarkan Jalur Gemilang di hadapan pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, semalam. Dalam anjuran berkenaan sebanyak 200 helai bendera Malaysia diedarkan secara pandu lalu kepada pemandu kenderaan dan masyarakat setempat.  Menurut seorang penduduk disini, Syed Hasbullah Said Muhammad, menyifatkan kepentingan semangat patriotik dalam melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. “Sama-sama mengambil semangat dan pengajaran yang ditunjukkan oleh pejuang, pahlawan dan ulama’ terdahulu dalam menghadapi musuh demi membebaskan tanah air kita,” jelasnya. Sementara itu, seorang peniaga, Faridah Ismail berkata, tanpa kita sedar semangat patriotisme memainkan peranan besar dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan diperolehi. “Antara peranan patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum. Tambahnya, Faridah turut menyeru kesyukuran tersebut dizahirkan dengan mengibarkan jalur gemilang sama ada di rumah, di premis pejabat, perniagaan, dan dimana sebagai tanda simbolik.
31 Aug 21
422
Bendera, Badminton Tema Merdeka Hiasi Kedai Pok Mi
Bendera, Badminton Tema Merdeka Hiasi Kedai Pok Mi
Oleh : Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris DUNGUN, 31 Ogos – Warna warni Jalur Gemilang ditambah dengan hiasan kotak bulu tangkis dan raket badminton sudah menjadi tradisi sambutan hari Kebangsaan di kedai makan Azmi Yusof atau lebih mesra disapa Pok Mi. Terletak di Kampung Gong Pasir, warungnya sering menjadi tumpuan komuniti setempat kerana mahu melihat kibaran bendera Malaysia serta peralatan sukan badminton bertema menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Pemilik kedai berusia 59 tahun itu menceritakan, kebanyakan barangan yang digantung di kedainya hasil daripada minat dalam mengumpul sejak dari umur 20 tahun sehingga sekarang. “Saya mula aktif bermain badminton bermula dari usia 20-an sehingga negara telah merdeka selama 64 tahun, kini minat itu masih ada dan jauh daripada terpadam. "Setiap kali sejak 8 tahun lalu, saya sudah bersiap sedia membeli banyak Jalur Gemilang dan bendera negeri dan menghias kedai saya bila tiba tanggal 31 Ogos. "Harapan saya pada bulan kemerdekaan tahun ini, walaupun keadaan negara kita masih dilanda wabak COVID-19, namun semangat kecintaan tinggi terhadap negara sambutan kemerdekaan perlu ada pada diri kita,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya, orang ramai turut diseru agar terus tabah melawan wabak virus tersebut sehingga mencapai kemenangan dalam menangani peperangan menentang musuh halimunan itu.
31 Aug 21
888
Pengorbanan 'Frontliners' Dikenang Sebaris Perjuangan Kemerdekaan - MB
Pengorbanan 'Frontliners' Dikenang Sebaris Perjuangan Kemerdekaan - MB
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos 2021 - Pengorbanan barisan hadapan yang sanggup menggadaikan masa dan nyawa semata-mata demi masyarakat wajar dikenang sebaris dengan pejuang kemerdekaan terdahulu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Malaysia berdepan dengan 'penjajah baharu' iaitu wabak COVID-19 yang menuntut pengorbanan besar daripada semua pihak untuk membebaskan negara daripada cengkaman ini. “Kita seharusnya lebih menghayati erti kemerdekaan, lebih-lebih lagi pandemik telah menyebabkan kehidupan kita berubah, kebebasan terbatas, malah menjejaskan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan orang awam. “Walaupun berdepan dengan musuh yang berbeza dengan orang terdahulu, namun kita wajar mengambil semangat tidak mengalah mereka dalam membebaskan negara. “Jika pejuang dahulu menggunakan senjata, namun generasi hari ini perlu berperang dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengambil vaksinasi,” katanya melalui perutusan Hari Kebangsaan 2021, yang dimuat naik melalui Facebook (FB), hari ini. Tambahnya, beliau menyeru semua rakyat agar mematuhi saranan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dalam usaha memerangi COVID-19. “Saat ini juga, kita mestilah memberi keutamaan kepada agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan saling bersatu hati dan bekerjasama sekali gus menjayakannya. “Akhirnya, marilah kita menyelami maksud sebenar tema Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang menuntut kita untuk mengharungi cabaran getir bersama-sama tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa. “Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu,” ucapnya.
31 Aug 21
324
Semarak Merdeka, ADUN Manir Edar Jalur Gemilang
Semarak Merdeka, ADUN Manir Edar Jalur Gemilang
HULU TERENGGANU, 30 Ogos - Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Manir mengedarkan 1,000 bendera Malaysia secara 'Drive Thru' kepada warga setempat, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, ia bukan saja untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 tetapi juga membangkitkan kesedaran rakyat terhadap jasa dan pengorbanan orang terdahulu berjuang memerdekakan negara. "Kemerdekaan tanah melayu ini perlu diingati, semangat penentang penjajah oleh para pejuang, negarawan serta ulama' perlu dikenang. “Rakyat di semua peringkat perlu menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara melalui pengibaran Jalur Gemilang sebagai lambang kebebasan serta kemajuan yang sudah dicapai,” katanya. Beliau berkata demikian ketika selesai program Semarak Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat DUN Manir hadapan pejabat PKM di kampung Kubang Lembek. Dalam pada itu, PKM turut membahagikan jalur gemilang kepada seluruh 23 JPKK di DUN Manir untuk menghiasi premis-premis dan balairaya di tempat masing-masing. “Walaupun kini kita berada dalam suasana pandemik Covid-19, usaha mengibarkan Jalur Gemilang ini adalah bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan wabak Covid-19 yang melanda,” jelas Hilmi.
30 Aug 21
533
Masalah Projek Perumahan Mak Kemas Selesai
Masalah Projek Perumahan Mak Kemas Selesai
MARANG, 30 Ogos - Projek perumahan kerajaan terdahulu iaitu program My Beautiful New Home (MyBNHome) di Kampung Mak Kemas kini berada di landasan kemajuan setelah isu kontraktor dan ketiadaan longkang saliran diselesaikan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan perumahan yang bermula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu telah sekian lama diselubungi masalah berkaitan pihak kontraktor khususnya soal penyerahan dokumen. “Oleh itu, melalui portfolio perumahan, kita telah membuat satu perjumpaan dengan kontraktor dan pelbagai agensi kerajaan antaranya Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang berperanan sebagai pengurus projek bagi menyelesaikan projek dalam tahun ini. “Turut terlibat adalah Majlis Daerah Marang yang bertanggungjawab dengan kelulusan pelan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah bagi pengurusan tanah dan lain-lain lagi supaya program ini berjalan lancar,” katanya. Katanya, antara penyelesaian dicapai adalah kelulusan tanah bagi pembinaan sistem longkang untuk pelepasan air 50 unit rumah berkembar setingkat dan pelebaran jalan di kawasan keluar masuk perumahan. Beliau berkata demikian selepas kerja lawatan Pembangunan Dan Kemudahan Berkaitan Bagi MyBNHome Di Kampung Mak Kemas, petang semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat. Mengulas lanjut, Dr Alias menjelaskan tahap kemajuan pembinaan adalah sekitar 50 peratus dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam masa enam bulan. “Jika kontraktor baharu yang dilantik boleh menyiapkan dalam masa hujung tahun ini lebih baik, diharapkan apa dirancang hari ini semua boleh diselesaikan dengan segera,” tambahnya.
30 Aug 21
3444
Slot Janji Temu Dalam Talian JPJ Di Terengganu Ditambah
Slot Janji Temu Dalam Talian JPJ Di Terengganu Ditambah
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menambah jumlah slot janji temu daripada lima kepada tujuh bagi memudahkan orang awam berurusan dengan agensi berkenaan bermula pada Ahad. Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, urus niaga bahagian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan meningkat daripada 299 janji temu menjadi 400 janji temu setiap hari. Menurutnya, dengan penambahan slot janji temu itu lebih ramai pelanggan akan dilayan sekali gus dapat mengurangkan masa menunggu dalam talian. “Keputusan untuk tambah slot janji temu ini sehingga mencapai 40 peratus daripada jumlah sedia ada bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan mendapat capaian yang lebih meluas. "Ini kerana hasil pemantauan yang dilakukan mendapati ramai pelanggang yang membuat janji temu sehingga menyebabkan sebahagian besar slotnya habis hanya dalam masa beberapa minit sahaja," katanya ketika dihubungi pemberita. Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, selain itu pihaknya turut memperkenalkan kemudahan 'Walk in terkawal' bermula Ahad, iaitu dengan hanya membenarkan 10 pelanggan sahaja berurusan untuk setiap satu slot. Beliau berkata, kemudahan secara 'walk in' juga turut diberikan kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU) bagi mendapatkan pekhidmatan di JPJ Terenganu. "Bagi kemudahan ini, setiap pelanggan akan diberikan satu kad nombor dan hanya 10 pelanggan sahaja dibenarkan berurusan bagi setiap satu slot yang mula dibuka pada jam 8 pagi sehingga tamat waktu pejabat. "Sistem ini sama seperti sistem yang dipraktikkan di pasaraya dan juga mereka yang berurusan di dalam bangunan bank-bank ketika ini. "Penambahan kedua-dua perkhidmatan ini diharap dapat memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan pembayaran melalui kedua-dua perkhidmatan ini memandangkan tarikh moratorium akan tamat pada 30 September ini," katanya-SINAR HARIAN
30 Aug 21
769