lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Vaksinasi 'Walk-In' Kini Di 14 PPV Di Terengganu Bermula Ahad Ini
Vaksinasi 'Walk-In' Kini Di 14 PPV Di Terengganu Bermula Ahad Ini
KUALA TERENGGANU, 3 September - Rakyat negeri ini yang masih belum menerima vaksinasi Covid-19 boleh berbuat demikian dengan hadir secara 'walk-in' ke semua 14 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh daerah, bermula Ahad. Jabatan Kesihatan negeri dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan lagi jumlah penerima sekali gus mencapai imuniti kelompok yang disasarkan. Katanya, bagi daerah ini PPV yang terlibat ialah di Taman Tamadun Islam (TTI) dan Pusat Dagangan Terengganu (TTC) manakala Dewan Al-Muktafi Billah Shah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi Kuala Nerus dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu) di samping Dewan Gong Kemuntung dan Kota Putra Square (Besut). “Di Kemaman pula ialah PPV Dewan Datuk Seri Amar Diraja dan Dewan Sivik Kertih diikuti di Dungun membabitkan Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Dewan Dagang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA). “Bagi daerah Marang ialah di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) dan Dewan Sivik Bukit Payung manakala di Hulu Terengganu pula di PPV Dewan Majlis Daerah di Kuala Berang dan Ajil,” kata kenyataan itu di laman Facebook hari ini. Kenyataan itu berkata, vaksinasi secara walk-in itu bagaimanapun terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, pemastautin di Terengganu sahaja, belum mendaftar melalui MySejahtera, belum mendapat janji temu di samping terlepas janji temu. Menurutnya, waktu operasi vaksinasi walk-in bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada slot yang disediakan. Sehingga semalam sebanyak 84.8 peratus daripada populasi negeri sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.  
03 Sep 21
1051
COVID-19 Di Terengganu Dijangka Terus Meningkat
COVID-19 Di Terengganu Dijangka Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 3 September - Terengganu mencatatkan jangkitan baharu COVID-19 sebanyak 987 kes semalam iaitu angka tertinggi sejak pandemik itu bermula dan dijangka terus meningkat dalam masa dua minggu akan datang. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata peningkatan kes itu disebabkan beberapa faktor termasuk saringan pengesanan kes aktif (ACD) bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri.  Katanya, daripada jumlah itu, Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 266 kes diikuti Marang (171), Besut (166), Kemaman (117), Kuala Nerus (100), Dungun (86), Hulu Terengganu (42) dan Setiu (39). "Selain itu, peningkatan juga kerana kita melakukan saringan wajib kemasukan ke penjara dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT), saringan pekerja dari tapak bina, aktiviti merentas negeri dan juga aktiviti perkumpulan. "Susulan aktiviti pengesanan secara besar-besaran ini, kita menjangka peningkatan kes akan terus berlaku dalam masa dua minggu akan datang," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini. Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata penguatkuasaan akan terus ditingkatkan bagi memastikan amalan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi secara optima. Jelasnya, JKNT akan memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan di premis tertentu seperti tempat kerja, perniagaan dan tapak bina  "Orang ramai diminta terus patuhi SOP walaupun Terengganu berada di Fasa Dua PPN (Pelan Pemulihan Negara). Sekiranya tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah,"katanya. Untuk rekod, sehingga semalam, Terengganu mempunyai 6,224 kes positif COVID-19 dan jumlah kumulatif pula ialah sebanyak 34,985 kes.  
03 Sep 21
6548
Muafakat Nasional Masih Kekal - Tuan Ibrahim
Muafakat Nasional Masih Kekal - Tuan Ibrahim
KUALA TERENGGANU, 2 September - “Kerajaan yang ada ini adalah gabungan tiga parti dan kita mahu terus kekal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang,” ujar Timbalan Presiden Pas, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Katanya, gabungan tiga parti iaitu PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih kekal dan perjumpaan terakhir semua pemimpin gabungan tiga parti adalah beberapa hari sebelum pembentukan kerajaan pada 17 Ogos lalu. "Sebelum ini pertemuan dengan UMNO hanya dilakukan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19, namun hubungan kita terus berjalan. "Cuma mesyuarat rasmi Muafakat Nasional(MN) yang pertama selepas pembentukan Kabinet baharu dijangka dilakukan dalam masa terdekat di pejabat MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini semalam. Walau bagaimanapun katanya, tarikh khusus mesyuarat berkenaan belum diputuskan lagi ketika ini.    
03 Sep 21
465
Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.5 Juta Baiki Paip Rosak
Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.5 Juta Baiki Paip Rosak
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha kini giat dilaksanakan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan dijangka penggantian paip akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat seperti dirancang. “Kita menjangkakan penggantian penyambung paip yang ditempah dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal dengan masalah air tamat seperti ditetapkan pada 12 September,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini hari ini. Tambah beliau lagi, alat penyambung paip baharu berkenaan mempunyai daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel daripada yang lama. Terdahulu, gangguan bekalan air yang membabitkan 28,700 akaun pengguna di dua daerah, iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berpunca daripada insiden paip pecah kali kedua di dasar Sungai Terengganu. SATU memaklumkan, pasukan teknikal berjaya mengesan masalah itu pada paip sama bersaiz 1,200 milimeter (mm), namun di tempat berlainan daripada yang sudah dibaiki sebelum ini.
02 Sep 21
769
Kerajaan Tambah Baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai
Kerajaan Tambah Baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan pusat akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) dengan mengambilkira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.  Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif itu akan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif bagi memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh Malaysia  Katanya, antara perincian yang akan diberi perhatian ialah penandaan paip di bawah air  supaya orang tahu tentang kewujudan paip utama. "Ini juga termasuk kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak daripada bangunan dan paip utama untuk korek pasir. "Oleh itu, saya berharap garis panduan itu akan dipatuhi sebab dalam sistem pengambilan pasir ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik untuk jangka masa panjang," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau operasi pembaikan paip pecah di Jeti Feri Kg Losong, bersebelahan Muzium Negeri, Losong dan lawatan ke Loji Bukit Berapit, di sini hari ini. Justeru itu katanya, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan isu berkaitan aktiviti-aktiviti di kawasan sungai seperti perlombongan pasir diberi perhatian sepenuhnya. "Semua pihak perlu mengguna pakai  Garis panduan tersebut telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri semasa Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-10 pada 15 Oktober 2015," tambahnya. Sementara itu, mengulas tentang proses pembaikan di dasar sungai, beliau berkata usaha giat dilaksanakan pihak Satu dan dijangka penggantian paip yang menelas kos RM2.5 juta akan dapat dilaksanakan dan dijangka siap pada 12 September.  Menurutnya, kerajaan akan menggunakan paip baharu yang lebih tahan dan berkualiti ditempah dari Australia serta Itali.  
02 Sep 21
780
Terengganu Bakal Jadi Perintis Restoran Harga Patut
Terengganu Bakal Jadi Perintis Restoran Harga Patut
HULU TERENGGANU, 2 September – Terengganu bakal menjadi perintis dalam mewujudkan restoran dan kedai makan dengan harga berpatutan atau kawalan di seluruh negara. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Rosol Wahid berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membolehkan usaha ini dapat direalisasikan sepenuhnya. Katanya, antara inisiatif ditawarkan kepada pengusaha restoran dan kedai makan yang berminat untuk menyertai program harga patut adalah pengurangan harga sewaan premis milik PBT. "Oleh itu, kita pilih Terengganu sebagai projek perintis sebelum diperluaskan di seluruh negara. "Satu perbincangan dengan PBT bagi membolehkan mereka mengurangkan harga sewaan premis kepada pengusaha dan kedai makan yang akan menyertai program itu," katanya kepada pemberita, semalam. Rosol berkata, jika PBT dapat mengurangkan harga sewaan premisnya, program restoran dan kedai makan harga patut akan mendapat sambutan pengusaha. Tambahnya, pengusaha restoran dan kedai makan yang ingin menyertai program itu perlu mematuhi harga makanan dan minuman ditetapkan KPDNHEP. "Sebagai contoh, pengusaha restoran dan kedai makan menyediakan pakej untuk makan pagi sekeping roti canai kosong atau telur bersama tea o dengan harga RM1. "Restoran dan kedai makan harga patut yang akan diwujudkan mampu mengurangkan bebanan masyarakat," katanya.  
02 Sep 21
1643
2,340 Karton Air Diagih Kepada 550 Keluarga Di Kem PGA
2,340 Karton Air Diagih Kepada 550 Keluarga Di Kem PGA
KUALA NERUS, 2 September - Kerajaan negeri menyalurkan 2,340 karton air minuman kepada 550 buah keluarga di Kem PGA Batalion 9 Kubang Badak yang terjejas ekoran krisis air yang bermula sejak minggu lepas. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata bantuan segera yang disalurkan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri dan penyelaras kawasan terbabit merupakan sebahagian daripada peruntukan RM1.25 juta. “Kita akan pastikan bekalan air ini dihantar dengan kekerapan yang sesuai kepada semua penduduk di kawasan terlibat supaya mereka mendapat bekalan air minuman termasuk bekalan air bersih. “Jika ada penduduk yang tertinggal bantuan atau terlepas pandang, mereka boleh laporkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing dan kita akan pastikan mereka menerima bantuan tersebut,” ujarnya, Beliau berkata demikian selepas agihan air minuman ke Kem PGA Batalion 9 Kubang Badak, di sini hari ini. Sementara itu, Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Nor Azizan Yusof berkata pihaknya cukup berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan sepanjang berlakunya krisis air kali kedua. "Alhamdulillah, kami di sini tidak pernah terputus bekalan air minuman dan air bersih sepanjang dalam tempoh bekalan air terputus di kawasan isejak minggu lepas. "Setiap hari, pihak Jabatan Amal dan pejabat penyelaras Dewan Undangan Seberang Takir akan menghantar bekalan air untuk keperluan kami di kem ini," ujarnya.  
02 Sep 21
595
Polis Terengganu Adakan Jualan Lelong 22 Barangan Kemas
Polis Terengganu Adakan Jualan Lelong 22 Barangan Kemas
KUALA TERENGGANU, 2 September - Polis negeri kontinjen Terengganu akan mengadakan jualan lelongan barang kemas yang sudah dilucut hak pada 13 September ini. Menerusi notis pemakluman dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini, sejumlah 22 barangan kemas seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin akan dilelong dengan semua barangan itu sudah dilucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988. "Lelongan itu akan dilakukan di ruang legar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Terengganu bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang. "Orang ramai yang mahu menyertai lelongan berkenaan perlu membayar deposit sebanyak RM500," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Polis Terengganu, semalam. Tambahnya, bayaran deposit boleh dibuat dalam bentuk kiriman wang atau bank draf atas nama Ketua Polis Terengganu berserta tiga salinan kad pengenalan dan penyata bank yang masih aktif. "Orang ramai dibenarkan melihat barangan sebelum melakukan bidaan pada 12 September dan bayaran menyertai lelongan ini boleh dibuat bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 hingga 4.30 petang,"  jelasnya. Individu yang diisytihar bankrap tidak layak menyertai bidaan dan IPK Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas aset yang sudah dijual. Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi Inspektor Azman Budin di talian 013-7391649, Sarjan Mejar Hafizi (013-9298384), Lans Koperal Rafae (019-5589795) dan Puan Zila di talian 09-6354773.
02 Sep 21
2764
Tujuh Varian Delta Dikesan Di Terengganu Sehingga Hari Ini
Tujuh Varian Delta Dikesan Di Terengganu Sehingga Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 September – Sehingga hari ini, Terengganu telah merekodkan tujuh kes varian membimbangkan (VOC) melibatkan varian Delta (B.1.617.2) sejak pertama kali dikesan pada akhir Julai lalu. Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, Terengganu adalah negeri kedua terendah dari segi jumlah varian Delta di Pantai Timur, selepas Pahang (38 kes) dan Kelantan (tiga). Katanya, negeri ini turut merekodkan sembilan kes positif virus tempatan dengan VOC Beta (B.1.351). "Malaysia mengesan tambahan 265 kes COVID-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) antara 16 hingga 29 Ogos lalu hasil kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Institut MARA (UiTM) Selangor, dan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). “Varian Delta sudah dikesan di seluruh negara dan Sarawak merekodkan kes varian Delta tertinggi di negara ini dengan 696 kes atau 71 peratus daripada 978 kes yang dikesan di Malaysia,” katanya. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menyeru seluruh penduduk Terengganu supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). "Dulu kita kata, jarak satu meter sudah cukup, tapi apabila virus melalui udara kita kena jarak sekurang-kurangnya tiga meter memandangkan varian tersebut boleh masuk di mana sahaja bahagian muka, samada hidung, mulut, atau mata walaupun memakai pelitup muka," katanya.
01 Sep 21
11711
Tengku Muhammad Ismail Zahir Harapan Kemerdekaan, Perangi COVID-19
Tengku Muhammad Ismail Zahir Harapan Kemerdekaan, Perangi COVID-19
KUALA TERENGGANU, 2 September - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan harapan kepada seluruh rakyat agar terus mengekalkan keharmonian di antara kaum dan menghayati sepenuhnya prinsip rukun negara. Baginda bertitah, kelima-lima prinsip tersebut akan memastikan negara menjadi maju, aman, makmur dan sejahtera jika diamal dan dihayati dalam kehidupan seharian. “Saya menyeru agar semua menyingkap semula sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan agar kita semua sedar dan berpijak di bumi nyata dalam usaha membangunkan negara tercinta,” titah Baginda dalam program 'Harapan Diraja Pewaris Negara Merdeka', kelmarin. Sementara itu, Tengku Muhammad Ismail turut menyarankan masyarakat agar bersatu padu dalam menangani pandemik COVID-19 serta menzahirkan kesungguhan dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan. “Kita sedia maklum bahawa Malaysia sedang mendepani pandemik virus, sesungguhnya ia merupakan ujian daripada Allah SWT. “Sehubungan itu, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua frontliners dan rakyat dalam negara yang telah bekerjasama membendung pandemik COVID-19 ini,” titah baginda. Acara berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selama 40 minit melalui saluran Suara Sunnah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta di saluran YouTube Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis. Titah diraja itu dimulakan dengan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang menzahirkan harapan supaya masyarakat Malaysia menekankan kepentingan lima prinsip Rukun Negara demi satu perpaduan. Tiga putera lain ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Perlis); Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Shah Alhaj (Selangor) dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra (Kelantan). Semua putera berkenaan bersepakat, pandemik COVID-19 memerlukan seluruh lapisan masyarakat berpegang teguh, berganding bahu dan meneguhkan semangat kekitaan.
01 Sep 21
2722