lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Abdul Karim Dilantik CEO SATU Bermula 1 September Ini
Abdul Karim Dilantik CEO SATU Bermula 1 September Ini
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos -Ketua Perkhidmatan Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor),  Abdul Karim Endut, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) baharu berkuat kuasa 1 September ini. SATU dalam kenyataan berkata, pelantikan Abdul Karim, 51, bagi menggantikan Ir Hj Atemin Sulong yang tamat tempoh perkhidmatan pada 24 Julai 2021. Abdul Karim yang berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan (Chemistry-Polymer) dari Universiti Henri Poincare, Perancis itu mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam Pengurusan Operasi Perkhidmatan Air, Teknikal dan Penyelenggaran Air, Pengagihan dan Pengurusan Loji Rawatan Air. Beliau juga telah berkhidmat di beberapa syarikat korporat termasuk Konsortium Air Selangor di bawah KDEB Group, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), dan ONDEO Services(M), SUEZ Group. “Terdahulu, sebagai Ketua Perkhidmatan Operasi di Air Selangor beliau mengawal selia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan aset,” katanya di sini hari ini. Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin pelantikan Abdul Karim adalah yang terbaik bagi menerajui SATU. “Saya yakin beliau berupaya menerajui SATU ke arah perubahan pengoperasian dan amalan yang lebih baik serta berkesan lalu mampu menjadikannya sebagai sebuah syarikat korporat terbaik di negeri Terengganu," ujarnya.
30 Aug 21
4237
PM Mahu Kadar Vaksinasi Di Terengganu Melebihi 50 Peratus
PM Mahu Kadar Vaksinasi Di Terengganu Melebihi 50 Peratus
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mahu  kadar vaksinasi di Terengganu dan lima negeri  lain melebihi 50 peratus pada akhir September ini. Beliau berkata, Terengganu disenaraikan bersama Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus "Ada enam negeri yang masih belum mencapai 50 peratus iaitu Terengganu (46.2 peratus), Perak (46.5 peratus), Johor (44.9 peratus), Kelantan (43.2 peratus), Kedah (43 peratus) dan Sabah paling kurang iaitu 37.1 peratus," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam. Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung perkara tersebut. "Jadi saya nak (enam negeri berkenaan melebihi daripada 50 peratus kadar vaksinasi) sebelum akhir bulan September, kalau boleh lebih awal lagi. "Semua enam negeri tadi mesti melebihi 50 peratus," ujarnya. Tambahnya lagi, beliau juga tidak mahu ada sebarang masalah kelewatan berkaitan dengan penghantaran vaksin. "Saya sudah berbincang dengan KSU bahawa jika ada vaksin yang kita langgan ada masalah dari segi penghantaran, (maka) tidak perlu tunggu pada vaksin tersebut," jelasnya. Menurut laporan kumulatif vaksinasi sehingga 29 Ogos oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV), Terengganu kin mencatatkan 80.9 peratus populasi dewasa disuntik sekurang-kurangnya satu dos manakala 46.8 peratus telah selesai divaksin.
30 Aug 21
2540
Terengganu Dijangka Beralih Ke Fasa 3 Akhir Bulan Ini
Terengganu Dijangka Beralih Ke Fasa 3 Akhir Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Terengganu dijangka akan beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hujung bulan ini selepas proses vaksinasi hampir mencapai 80 peratus bagi penerima dos pertama dan 45 peratus dos kedua. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan melihat kepada nilai ambang peralihan fasa seterusnya PPN. “Selewat-lewatnya jangkaan kita akan beralih pada September hadapan,” katanya ketika ditemu bual pemberita, petang tadi. Namun begitu, Dr Alias mengingatkan kepada seluruh warga negeri agar terus berdisiplin dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak mengambil mudah terhadap kelonggaran tersebut. “Saya menasihati kepada semua bahawa peralihan fasa ini bukan bermakna tiada risiko virus, anda masih lagi boleh dijangkiti dan menjangkiti, walaupun telah lengkap suntikan. Kelonggaran ini adalah lebih menjurus kepada keperluan ekonomi," jelasnya. Tambah beliau, hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka. “Kes kategori sederhana dan teruk ini masih di bawah satu peratus, kebanyakkan yang positif adalah mereka yang tiada gelaja atau bergejala ringan,” jelasnya lagi.
29 Aug 21
4901
UAI, Zizan Berganding Dalam Sambutan Ambang Kemerdekaan Esok
UAI, Zizan Berganding Dalam Sambutan Ambang Kemerdekaan Esok
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dan Pelawak terkenal, Zizan Razak akan kembali bergandingan dalam Program Ambang Kemerdekaan Yang Ke-64 pada malam esok. Forum secara atas talian pada jam 9.30 malam itu menampilkan gabungan dua ikon kelahiran negeri pada kali kedua sejak penampilan terakhir pada tahun 2012. Majlis santai tersebut turut disertai Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah sebagai moderator. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, acara tersebut dianjurkan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan aktiviti kecintaan tanah air dalam kalangan masyarakat khususnya kepada warga belia. “Walaupun berdepan dengan kekangan COVID-19, program-program secara dalam talian bermula malam ini yang akan diuruskan i-MiTS akan diteruskan bagi menerap nilai cakna dan semangat patriotik kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Malam ambang kemerdekaan tersebut kemudiannya akan diisi dengan ucapan daripada pimpinan dan orang awam serta ucapan khas oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan diakhiri dengan gimik kemerdekaan dan bacaan Asmaul Husna.
29 Aug 21
2234
90 Petani, Nelayan Positif COVID-19 Terima Bantuan RM45,000
90 Petani, Nelayan Positif COVID-19 Terima Bantuan RM45,000
MARANG, 29 Ogos - Terengganu menyalurkan RM45,000 kepada 90 warga tani dalam pelbagai sektor termasuk peladangan, penternakan dan perikanan yang disahkan positif COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Katanya, setakat hari ini seramai 80 orang di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Marang telah menerima bantuan tersebut. "Mereka yang disahkan positif wabak ini mendapat RM500 seorang secara berperingkat. "Sehingga hari ini, kita dah bagi di Besut, Setiu, Marang dan baki akan menyusul dalam program melabuh unjam," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sampan Nelayan, Bantuan Touch Point(Peralatan Menangkap Ikan), Kerja-Kerja Melabuh Unjam, Bantuan One Off COVID-19  Sektor Pertanian dan Bakul Makanan MAFI di Pengkalan Merchang, di sini hari ini. Dalam program secara pandu lalu itu, seramai 42 nelayan termasuk wakil di daerah Marang menerima bantuan mengikut kategori masing-masing. Sementara itu, mengulas tentang masalah kekurangan stok isi ikan yang berlaku ketika ini, beliau berkata pihaknya akan melihat punca berlaku masalah tersebut. "Kita akan tengok beberapa sumber sebab biasanya isi ikan ini dibawa dari negeri lain dan bukan di Terengganu. "Untuk isi ikan,  kita akan tengok isu ini secara menyeluruh bersama Jabatan Perikanan di mana punca dan masalah kenapa bekalan tidak sampai sehingga menimbulkan kesukaran kepada pengusaha keropok," jelasnya.            
29 Aug 21
185
Semarakkan Bulan Kemerdekaan, Kibarkan Jalur Gemilang
Semarakkan Bulan Kemerdekaan, Kibarkan Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyeru orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ke 64. “Walaupun kita masih lagi berdepan dengan wabak COVID-19, namun kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan yang diberikan kepada negara kita.   “Kita mendoakan semoga para pejuang tanah air yang telah berkorban sehingga negara kita mencapai kemerdekaan agar roh mereka dirahmati oleh Allah SWT,” katanya. Beliau berkata ketika ditemu bual pemberita dalam program Kempen Semarak Jalur Gemilang Peringkat DUN Batu Buruk yang diadakan di hadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk, semalam. Dalam program berkenaan, sebanyak 1600 helai bendera Jalur Gemilang telah diagihkan kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan orang ramai dalam Kempen Semarak Jalur Gemilang Peringkat DUN Batu Buruk. Tambahnya, sambutan Bulan Kebangsaan penting bagi mengingati peristiwa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan negara.  “Saya berharap agar generasi pada hari ini dapat mengisi kemerdekaan negara kita supaya terus aman, makmur dan sejahtera sentiasa,”katanya.    
29 Aug 21
73
Talian Hotline Mudahkan Agihan Air Kepada Penduduk Uzur
Talian Hotline Mudahkan Agihan Air Kepada Penduduk Uzur
SETIU, 29 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menyediakan talian ‘hotline’ bagi memudahkan operasi pengagihkan bekalan air bersih kepada golongan tidak berkemampuan. Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya memfokuskan penghantaran bekalan asas itu buat golongan sasar seperti Orang Kurang Upaya (OKU), menjalani kuarantin, warga emas dan individu uzur. “Mereka ini tidak mampu untuk keluar rumah bagi mengambil air, jadi ini diharapkan mudahkan mereka di lebih 40 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terkesan. “Bagi golongan dalam kategori tersebut boleh hubungi di talian di 0149650227 (Izzat) atau 01140275425 (Fadil),” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air mineral di Kampung Bukit Chempaka, pagi tadi. Dalam pada itu, Mohd Shafizi turut memaklumkan tiga Unit Daerah Mengundi (UDM) di kawasannya akan menerima bantuan air mineral dalam kotak. Jelasnya, ia sebahagian daripada bantuan segera sebanyak RM1.25 juta seperti mana diumumkan Menteri Besar. “Pagi ini kita menerima lima lori treler bagi kawasan terlibat antaranya Bukit Cempaka, Padang Kemunting dan Darat Batu Rakit, ia akan salurkan pada 12 JPKK pada peringkat ini dengan dua karton setiap rumah. “Selebihnya rumah kita akan agihkan secara berperingkat dengan jumlah lima karton satu rumah, selain itu, pihak kami turut sediakan lebih 100 tangki statik (3 tangki setiap JPKK) dan para petugas disini bergerak pada 9 pagi sehingga lewat 2 pagi,” tambahnya.  
29 Aug 21
212
Bantuan Segera RM1.25 Juta Air Mineral Bermula Hari Ini
Bantuan Segera RM1.25 Juta Air Mineral Bermula Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Bantuan segera bernilai RM1.25 juta dalam bentuk air minuman kotak telah mula disalurkan hari ini hingga 10 hari akan datang di daerah ini dan Kuala Nerus. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kira-kira 14 buah lori treler digerakkan di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari pertama. Katanya, setiap rumah yang terputus bekalan air akan menerima lima kotak air mineral, diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat DUN, Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing. “Sebuah lori akan angkut kira-kira 1,400 karton air minuman, jadi keseluruhannya dalam lebih 19,000 karton bagi hari ini, kita jangkakan 100 buah trailer akan terlibat dalam kerja penyaluran ini,” jelasnya. “Usaha ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI) menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta. “Diharapkan agar ia dapat beri kemudahan kepada penduduk terlibat,” katanya ketika ditemu bual selepas pelepasan bantuan air minuman di Kampung Losong Feri, pagi tadi. Sementara itu, beliau turut mengulas tentang dua alternatif dalam menyelesaikan Krisis Air Berangan yang sedang giat diusahakan pihaknya. “Pertama, kita baiki paip di dasar sungai, kedua kita mempercepatkan perjalanan mengaktifkan loji air di Bukit Berapit. “Kita sedang menunggu peralatan seperti alat kawalan pam Variable Frequency Drive (VFD) yang berfungsi sebagai mengawal peraliran air kedalam dan luar loji, dijangka alat diimport luar ini akan tiba di pada 31 Ogos. “Manakala bagi kaedah dan masa terperinci bagi kerja pembaikan paip pecah telah diperkemaskan hari ini, kita sedang berlumba-lumba untuk selesaikan,” katanya lagi. Terdahulu, masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 150,000 penduduk di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka pulih sepenuhnya pada 12 September.
28 Aug 21
1928
Petugas Amal Berkampung Di Kuala Nerus Agih Air
Petugas Amal Berkampung Di Kuala Nerus Agih Air
KUALA NERUS, 28 Ogos – Para petugas dan sukarelawan daripada pelbagai daerah berkampung di Kuala Nerus bagi membantu memastikan rantaian bekalan air bersih buat penduduk terkesan tidak putus. Penasihat Jabatan Amal Malaysia (Amal) Dungun, Mohd Fadhil Rahmi Zulkifli berkata, pihaknya telah berkampung di daerah tersebut sejak Khamis lalu bersama 14 anggota lain. “Tujuan kami datang adalah untuk memudahkan urusan bagi mereka yang terjejas bekalan asas ini, menerusi empat buah kenderaan kita meronda di kawasan yang telah diagihkan seperti di sekitar Padang Nenas dan Kampung Alor Jambu. “Selain itu, Jabatan Amal daripada daerah Besut dan Marang turut datang berganding bahu dalam inisiatif ini, reaksi orang tempatan cukup bagi memuaskan hati kami. “Ada yang ternanti-nanti dan memanggil kami, rata-rata penduduk sekitar sini telah banyak merakamkan ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemu bual semasa kerja pengagihan air di Kampung Alor Jambu, tengah hari tadi. Sementara itu, Sekretariat Bantuan Bekalan Air Pemuda PAS Negeri, Mohd Riduan Abu Bakar menjelaskan, 400 orang sukarelawan Pemuda dan anggota Jabatan Amal sedang giat berkhidmat di enam kawasan terjejas termasuk misi agihan bantuan segera sebanyak RM1.25 juta berbentuk air minuman dalam kotak. “Waktu operasi kita bermula pada 7 pagi sehingga 12 tengah malam, kadangkala kita juga tidak bersengkang mata menyalurkan air pada sehingga 4 pagi bergantung kepada keperluan semasa. “Jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak terlibat dalam penyaluran bekalan asas ini kepada rakyat yang telah banyak bersabar menghadapi musibah ini,” katanya lagi. Baru-baru ini, masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 29,151 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu telah berlaku. Ia dijangka pulih sepenuhnya pada 12 September, menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
28 Aug 21
1092
Petugas Bersengkang Mata Agih Bekalan Air
Petugas Bersengkang Mata Agih Bekalan Air
KUALA NERUS, 27 Ogos - Sukarelawan dan petugas yang membantu agihan bekalan air di sekitar Kuala Nerus bersengkang mata bagi memastikan keperluan penduduk terjejas sentiasa dipenuhi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, proses agihan bekalan air lazimnya berlarutan sehingga jam dua hingga tiga pagi berikutan keadaan tenaga kerja dan jentera yang terhad. "Agihan biasanya lebih rancak pada waktu malam dan ramai penduduk yang ambil inisiatif membantu sehingga kadang-kadang sampai jam empat pagi. "Tepoh adalah kawasan yang paling banyak terjejas dengan lebih 10 ribu akaun pengguna dan tentu sekali kita merasai beban ini. "Sekarang kita ada 10 kenderaan pacuan empat roda dan lapan lori tetapi tetapi masih tak cukup, lebih-lebih lagi sebahagian jentera ini juga 'on-off' kerana halangan kerja," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pusat agihan bekalan air Padang Air, semalam. Bagaimanapun, jelasnya situasi itu perlu dihadapi dalam memastikan bekalan air sampai kepada pengguna. "Lazimnya dalam tempoh tiga hari proses agihan masih belum stabil, semasa krisis pertama tempoh hari kami mengambil masa lima hari juga untuk stabil. "Krisis air berbeza dengan banjir dan bencana lain. Kalau dalam DUN Tepoh ini hanya tiga penempatan tidak terlibat iaitu Kg Tok Jiring, kampung Padang Air dan sebahagian Felda Belara. Apabila seluruh kawasan terjejas, pemusatan tenaga tak sama dengan banjir, ia memerlukan tenaga yang ramai dan apabila tak ramai, sangat sukar untuk kita bergerak," katanya. Tambahnya, proses agihan bekalan air di sekitar Kuala Nerus akan menerima sokongan tenaga kerja pada hari ini (Jumaat) dengan pertambahan lori tangki.  
27 Aug 21
442