Artikel "Utama" Terkini
Enakmen Perladangan Unggas Dilaksana Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 6 September – Kerajaan negeri memutuskan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Terengganu 2015 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan bagi memastikan sektor penternakan tersebut dapat berjalan dengan lebih tersusun, sistematik dan mesra alam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, antara bidang pertanian tumpuan kerajaan negeri dalam mencapai tahap pencukupan sara diri (SSL) adalah penternakan unggas sebagai satu daripada sumber makanan.
“Oleh itu kita gerakkan, selangkah demi selangkah untuk mencapai sasaran tersebut, dari segi bekalan daripada sumber mesti dipertingkatkan.
“Di bawah enakmen ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan memastikan sektor ini dapat berjalan bagi memastikan industri unggas maju secara mampan,” katanya ketika berucap dalam program Jerayawara Kesedaran Penternakan Unggas Siri 1, baru-baru ini.
Tambahnya, beliau turut menyeru para penternak agar mematuhi dan memberi kerjasama erat kepada JPV bagi menjayakan kerja perlesenan secara tidak langsung dapat membantu penternak ke arah pertanian moden.
“Ini bukan untuk membebankan penggiat pertanian dengan komitmen kewangan, tetapi untuk mengawal selia dalam masa sama bagi memacu penternak ke langkah lebih jauh,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man berkata, perkembangan sektor penternakan unggas seperti ayam kampung, itik pedaging/penelur, ayam pedaging dan sebagainya bermula dengan peningkatan reban sistem tertutup dengan kapasiti besar lebih 50,000 ekor setiap ladang.
“Dengan sistem berteknologi tinggi menjelang tahun 2022, pihak JPV mensasarkan sebanyak 139 premis perladangan ternakan dilesenkan dengan pelaksanaan enakmen tersebut,” jelasnya.
06 Sep 21
932
Bantuan RM20,000 Bantu Rakyat Seberang Takir Terjejas Air
KUALA NERUS, 6 September - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim telah menyumbang cek berjumlah RM20,000 kepada Seberang Takir bagi membantu kerja menangani insiden air yang sedang berlaku sejak 23 Ogos lalu.
Katanya sumbangan tersebut sebagai kebersamaan dan mengurangkan beban masyarakat terjejas di kawasan tersebut.
“Walaupun berlaku di Kuala Nerus, sikap kita di Terengganu ini apa yang berlaku di parlimen lain pun turut diambil perhatian, prihatin oleh semua wakil rakyat.
“Gelombang pertama saya turun di Kem Batalion 9 Pasukan Gerakan Am dan gelombang kedua saya juga turun di Seberang Takir ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas melakukan tinjauan ke Bilik Gerakan Operasi di Dataran Drawbridge, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menyampaikan rasa terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu atas sumbangan yang akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Tidak dinafikan, kita amat memerlukan bantuan daripada semua pihak termasuk kerajaan bagi melicinkan perjalanan kami bagi menyampaikan bekalan air.
“Seperti insiden pertama, jumlah mereka yang terjejas hampir 5,000 buah rumah dan semestinya memerlukan kos yang banyak, besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Seberang Takir,” jelasnya.
06 Sep 21
799
COVID-19 : Hotel Primula Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 5 September - Primula Beach Hotel ditutup selama 14 hari bermula hari ini sehingga 18 September depan susulan 29 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pekerja.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) selepas mengambil kira hasil daripada penilaian risiko susulan dari kes pertama Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini.
"Terdahulu, penutupan salah satu daripada empat dapur termasuk Bayu Restoran hotel berkenaan pada 29 Ogos lalu adalah berdasarkan penilaian risiko yang jangkitan hanya tertumpu di bahagian berkenaan.
"Setelah penularan membabitkan bahagian berlainan, pihak PKDKT mengarahkan penutupan keseluruhan premis bermula hari ini sehingga 18 September depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Suaibah lagi, pihak hotel sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk melakukan langkah seterusnya bagi mengawal risiko jangkitan serta langkah pembasmian kuman.
Sehubungan dengan itu katanya, keseluruhan pekerja seramai 109 akan disaring bermula esok.
Menurut beliau, penutupan sementara itu dijalankan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit.
05 Sep 21
2985
Kit Ujian COVID-19 : Kerajaan Beri Tempoh Seminggu Kepada Peniaga
HULU TERENGGANU, 4 September - Kerajaan bersetuju memberi tempoh seminggu kepada peniaga dan pengusaha farmasi untuk menghabiskan stok sedia ada kit ujian kendiri COVID-19 bermula esok.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata, ia bagi mengelakkan kerugian kepada peniaga-peniaga setelah kerajaan bersetuju menetapkan harga siling kit ujian kendiri pada 5 September 2020.
Katanya perkara tersebut telah dimaklumkan lebih awal kepada peniaga dan pengusaha farmasi bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian selepas penetapan harga siling.
"Kita faham mereka membeli stok sedia ada dengan harga yang tertentu dan jika dijual mengikut harga ditetapkan nanti, ia akan merugikan peniaga-peniaga.
"Jadi selepas seminggu, kita akan lakukan pemeriksaan dan tindakan akan diambil sekiranya masih ada lagi di kalangan mereka yang menjual lebih daripada harga yang sepatutnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek kelompok ternakan ikan air tawar generasi kedua Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Sementara itu, Rosol berkata, sekiranya terdapat kit ujian kendiri palsu dalam pasaran, orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan.
'Laporan rasmi tidak ada cuma sekadar 'hearsay' ada kit ujian palsu yang dijual dengan harga mahal....jadi kita berharap agar pengguna yang merasa tertipu tampil membuat laporan...yang penting mereka kena simpan resit pembelian sebagai bukti," katanya
Terdahulu, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa Ahad ini.
04 Sep 21
844
Agih Lebih 1 Juta Liter Air Sehari, Minimakan Beban Rakyat
KUALA NERUS, 5 September - Lebih 1 juta liter air sehari dianggarkan purata harian pengagihan air di kawasan paling terjejas yang dijalankan oleh para petugas di Pusat Gerakan Misi Bantuan Air di Tepoh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, angka tersebut berdasarkan kerja harian melalui 15 pacuan empat roda dan tujuh trak air yang berperanan mengisi semula air di 170 tangki statik dan di rumah-rumah terjejas.
“Pasukan kami di pusat operasi bertindak sebagai sokongan kepada kerja utama dijalankan Syarikat Air Terengganu (SATU), walaupun tidak melangkaui mereka namun kita masih gerakkan inisiatif konsisten melalui Team Mobile dan hantar bekalan ke kampung-kampung terjejas.
“Objektif kami adalah mengurangkan sebaik mungkin beban rakyat, walaupun mustahil untuk menghilangkan rasa terkilan segelintir masyarakat namun operasi harian sehingga lewat 2 pagi tidak terhenti,” katanya ketika ditemu bual pemberita di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam.
Tambahnya, pihaknya menerima lebih 100 permohonan melalui penyediaan talian hotline bagi memudahkan kerja penghantaran kepada golongan uzur, warga emas dan kuarantin.
“Ini antara pelbagai usaha dijalankan pihak kami sejak bermulanya krisis ini, paling penting adalah kami mempermudahkan beban rakyat,” katanya lagi.
Untuk pengetahuan, kawasan DUN Tepoh merupakan kawasan paling terjejas dengan jumlah rumah tertinggi sebanyak 10,687 buah diikuti Batu Rakit dengan 8,438 buah.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.
04 Sep 21
167
91 Ribu Kotak Air Mineral Telah Diagihkan
KUALA NERUS, 4 September – Sehingga semalam, sejumlah 91,000 kotak air mineral menggunakan 65 treler telah selesai dihantar kepada masyarakat yang terjejas di enam Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Riduan Abu Bakar melaporkan, pihaknya telah mencapai kemajuan 60 peratus dalam misi pembahagian bekalan tersebut yang juga sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta oleh kerajaan negeri.
“Insya-Allah, jika pergerakan logisitik berjalan lancar, kerja penghantaran lima karton air di setiap rumah terjejas akan selesai pada Selasa hadapan.
“Seramai 800 tenaga bantu daripada luar kawasan terjejas telah hadir bagi membantu menyalurkan bantuan secara berperingkat dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN, Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Usaha pengagihan dijalankan bermula fasa pertama (dua kotak) kemudian fasa kedua (tiga kotak),” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja pengagihan di di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam.
Tambahnya, 800 sukarelawan dalam kalangan Jabatan Amal dan Pemuda PAS telah berperanan dalam menjadi sokongan kepada usaha pengisian semula tangki statik dan bekalan rumah ke rumah melalui mobilisasi pasukan jentera kenderaan.
“Kita telah susun tenaga secara strategik mengikut kawasan, kemudian mereka akan datang dari seluruh kawasan dalam Terengganu menggunakan kenderaan seperti lori dan pacuan empat roda bagi memastikan rantaian agihan berjalan lancar.
“Hasil tinjauan kami merasai rintihan dan nadi penduduk sekitar, mereka terharu akan sumbangan pelbagai pihak terutamanya daripada kerajaan negeri, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan akibat krisis ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.
04 Sep 21
486
Institusi Hisbah Boleh Dipertimbangkan Untuk Diwujudkan Semula
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 4 September – Kerajaan boleh mempertimbang untuk mewujudkan semula institusi hisbah dalam suatu mekanisma yang lebih sesuai di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, jawatankuasa itu mampu berperanan bagi menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan negeri untuk jangka masa panjang.
“Kita ada satu istilah pada zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai hisbah. Jadi mungkin boleh dilihat dari segi jangka panjang, sistem ini boleh diaturkan di negeri Terengganu.
“Ia tak semestinya sama dengan institusi hisbah yang pernah ditubuhkan sewaktu kerajaan PAS Terengganu berkuasa pada tahun 1999 - 2004. Tak semestinya begitu, nak letakkan di mana itu terpulang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai respons pertanyaan daripada moderator dalam satu program Wacana Pembaharuan Institut Parlimen dan DUN di Malaysia anjuran oleh Institut Darul Naim dan Reform, secara atas talian, baru-baru ini
Menurutnya, perkara tersebut boleh dibincangkan di peringkat atasan untuk menjadikan perjalanan kerajaan lebih bertanggungjawab dan efisien.
“Jadi jawatankuasa hisbah ini diletakkan di mana pun termasuklah nak diletakkan di bawah badan legislatif DUN, boleh memainkan peranan untuk membantu kerajaan supaya menjadi lebih cekap dan bersih,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga berharap komposisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik selain daripada mewakili wanita dan bukan Islam boleh diperluaskan lagi dan ini akan melibatkan pindaan undang-undang tubuh negeri.
"Untuk jangka panjang kerajaan boleh mempertimbangkan pelantikan yang lebih luas, bukan sekadar mewakili wanita dan bukan Islam tetapi kelompok-kelompok tertentu yg mewakili pelbagai latar belakang dlm masyarakat supaya DUN berpotensi menambah kepakaran dan pandangan,” tambah Yahaya.
Beliau juga berharap dengan pertambahan penduduk dan pengundi di negeri ini kerusi DUN dan Parlimen perlu ditambah.
"Kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini tidak bertambah selepas 1984. Sudah sampai masanya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian mendalam untuk menambah bilangan kerusi di negeri ini.
"Memandangkan jumlah pengundi setiap kawasan pilihanraya samada DUN dan Parlimen terlalu besar dan tidak sepadan dengan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang wakil rakyat," katanya lagi.
03 Sep 21
274
Penduduk Uzur Syukur Tidak Putus-putus Terima Bantuan Air
KUALA NERUS, 3 September - Wajah redha dan lega jelas terpancar daripada penduduk uzur dan kurang berkemampuan setelah menerima bekalan air sementara dan bantuan air mineral sejak 28 Ogos lalu.
Sumbangan tersebut sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta kepada setiap rumah yang diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.
Salah seorang penduduk tersebut adalah Abd Rahman Said, 56, yang telah dua tahun menghidap strok dan tidak mampu lagi berjalan akibat lumpuh.
Isteri kepada tukang rumah tersebut, Noor Azlina Awang, 46, berkata, bantuan air mineral sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan suami bersama seorang anak yang menetap serumah di Kampung Bukit Berangan.
“Setakat ini bantuan disampaikan mencukupi buat kami sekeluarga, selain daripada air yang disalurkan petugas Mobile Team Tepoh, kita juga menggunakan air mandi telaga dengan pam elektrik bagi keperluan harian,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas menerima bantuan air daripada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim di rumahnya hari ini.
Sementara itu, sepasang suami isteri, Nor Azura dan Muhammad Suhaimi Mahmud turut menyuarakan rasa syukur apabila lima karton bekalan asas tiba buat kegunaan bapa saudaranya, Mansor Awang, 70 yang terlantar akibat strok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang bersama Tepoh menyampaikan air kepada keluarga Muhammad Suhaimi Mahmud
“Alhamdullilah, boleh dikatakan bekalan air setakat ini tidak putus buat kami enam orang sekeluarga hasil bantuan petugas DUN Tepoh dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
“Buat masa kini, kami bergantung kepada tangka statik yang berdekatan di surau Kampung Bukit Berangan buat kebersihan diri dan sebagainya.
“Jika kita lihat situasi sekarang ini, saya masih bersabar, nak buat macam mana, buat masa bekalan air harian kami masih bertahan,” jelas Azura yang juga seorang suri rumah.
Warga emas turut diberi perhatian seperti Sudin Awang, yang tidak risau lagi setelah mendapat kelima-lima karton air.
“Air minum cukup buat saya bersama anak lelaki di sini, memang tidak perlu bimbang lagi,” katanya yang berusia lingkungan 100-an.
Dalam pada itu, Tengku Hassan yang juga ADUN Ladang berkata, pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan sukarelawan telah mengerahkan tenaga bagi meringankan masalah air dihadapi masyarakat di enam DUN terlibat
Terbaharu, tiga unit alat Variable Field Drive (VFD) telah tiba di Terengganu bagi mengaktifkan pam untuk mengalirkan air dari Pulau Bahagia ke Loji Baru Bukit Berapit berkapasiti 60mld.
03 Sep 21
856
Gangguan Air Tak Halang Sektor Perindustrian Beroperasi
KUALA NERUS, 3 September - Sektor ekonomi di Kawasan Perindustrian Gong Badak tidak mengalami sebarang kesan teruk akibat Insiden Air Berangan 2.0.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihak kerajaan bersama pelbagai agensi dan sukarelawan sedang menumpukan segala tenaga serta jentera dalam memastikan bekalan air tidak terputus.
“Jika pengusaha sektor komersial tersebut berada dalam situasi kritikal, maka mereka boleh memohon sokongan air daripada Syarikat Air Terengganu (SATU). Boleh dikatakan syarikat beroperasi berkemampuan untuk atasinya dengan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas tinjauan dan kerja bantuan Misi Bantuan Air di Dewan Serbaguna Tepoh, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Sementara itu, beliau yang juga ADUN Ladang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada DUN Tepoh bagi membantu kawasan dengan jumlah rumah paling terkesan dalam kalangan enam DUN.
“Alhamdullilah, saya bertanya dengan wakil rakyat disini bekalan air minuman sedang diagihkan dalam dua fasa, namun begitu kami dari kawasan Ladang akan bantu bila perlu.
“Meskipun ada segelintir masyarakat tertekan, namun kebanyakan mereka berpuas hati, Insya-Allah kerajaan negeri akan teruskan usaha pembahagian air mengikut bilangan rumah tidak mengira latar belakang,” katanya lagi.
Terdahulu, Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September.
03 Sep 21
254
COVID-19 : Terengganu Catat 16 Jangkitan Varian Delta, Beta
KUALA TERENGGANU, 3 September - Sebanyak 16 kes jangkitan melibatkan Variant of Concern (VOC) virus SARS-CoV-2 dilaporkan di negeri Terengganu sehingga semalam.
Daripada kes yang dilaporkan, tujuh kes melibatkan varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat.
"Daripada jumlah itu, empat kes VOC direkodkan di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (4), Marang (3), Kemaman (2) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut.
"Tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan, katanya kepada pemberita.
Dr Kasemani berkata, bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti VOC Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksinasi supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
"Elakkan kawasan yang sesak dan sempit serta jangan bersembang dengan jarak yang dekat.
"Sentiasa amalkan 3W (wash, wear dan warn). Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, katanya mereka yang bergejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil sampel,"ujarnya.
03 Sep 21
2867