Artikel "Utama" Terkini
Hasrat Jurutera Kimia Untuk Menemui Bapa Tidak Kesampaian
HULU TERENGGANU, 8 September- "Arwah pernah menyuarakan hasrat untuk pulang menjaga ayah kami yang sakit,"luah kakak Jurutera Kimia yang ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini, pagi Ahad lepas.
Siti Ayu Megawati Mohd Said, 33, berkata arwah Muhammad Sufian, 28, merupakan anak lelaki tunggal dari tiga beradik dan cukup rapat dengan ayah.
Katanya, arwah juga beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung untuk menjaga bapa mereka, Mohd Said Nang, 67, yang kini menghidapi penyakit lelah kronik.
"Kami semua cukup akrab walaupun berjauhan dengan keluarga dan menjadi kebiasaan selepas maghrib, akan berhubung dengan ayah di kampung dengan panggilan video sehingga azan Isyak.
"Agak berbeza sejak dua minggu lalu, setiap malam apabila arwah bercakap dan memberi tazkirah, ia lebih panjang daripada biasa namun, kami tidak menyangka itu adalah petanda dia akan meninggalkan kami," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Taman Seri Sentosa, hari ini.
Tambahnya, arwah adiknya juga bersikap pelik apabila mendesaknya pulang bersama-sama ke kampung sehari sebelum hari kejadian menemui ayah mereka.
"Biasa arwah akan pulang setiap bulan menemui ayah tetapi sejak enam bulan kebelakangan ini gagal berbuat demikian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya bersetuju untuk pulang bersamanya pada hari Ahad(hari kejadian) selepas selesaikan urusan dokumen rentas negeri tetapi tidak kesampaian apabila arwah sudah tiada lagi,"jelasnya.
Tambah Siti Ayu Megawati, arwah juga sanggup berhenti kerja jika cutinya tidak diluluskan untuk pulang ke kampung semata-mata ingin menemui ayahnya yang uzur.
Dia berkata, walaupun terkilan dengan insiden yang berlaku, mereka sekeluarga pasrah dan reda dengan pemergian arwah.
Katanya, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kudat, di sini jam 9 malam pada Selasa.
Terdahulu, seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati, pada malam sebelumnya lelaki berkenaan dikatakan bertindak menumbuk pintu kaca Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya selepas mendapati pintu masjid itu ditutup selepas Isyak.
08 Sep 21
1273
Rumah Ibu Tunggal Hangus Dijilat Api
KUALA NERUS, 8 September – Seorang ibu tunggal bersama dua orang anaknya kini hidup sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api.
Mahani Ali, 55, berkata dia menyedari kejadian tersebut semasa sedang menjemur keropok di rumah jiran berdekatan.
"Sekitar jam 9 pagi saya terkejut apabila melihat asap hitam berdekatan kawasan rumah saya di Kampung Gong Pak Jin.
“Ingat ada orang membakar sampah, rupanya api sudah marak di bahagian kayu rumah saya, kemudian saya bergegas menutup segala suis elektrik dan tong gas.
“Dalam masa yang sama, anak terus telefon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk padamkan api.
“Alhamdullilah tiada orang berada di dalam rumah pada masa kejadian, tapi saya tidak sempat selamatkan barang-barang, hanya motosikal dan kereta sahaja dialihkan,” luahnya ketika ditemubual pemberita semalam.
Melihat situasi menyayat hati ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah menyediakan rumah sewa dalam kadar segera yang berdekatan keluarga terbabit.
“Terpulang kepada pihak keluarga sama ada mereka ingin tumpang sewa atau kembali ke rumah mereka ini selepas ini.
“Sehingga rumah bantuan dapat disiapkan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, kita telah menyumbang sumbangan tunai dan akan menyokong melalui beberapa barang keperluan harian,” katanya lagi.
Katanya, sehingga semalam, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan JBPM.
08 Sep 21
498
Petronas Sumbang Bekalan Air Buat Kawasan Paling Terjejas
KUALA NERUS, 8 September – Syarikat petroleum nasional, PETRONAS melalui cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah menyumbang 310 kotak air mineral bagi membantu penduduk paling terjejas bekalan air sejak 23 Ogos lalu.
Pengurus Kanan Operasi PETRONAS Pantai Timur, Azeman Said berkata, 100 kotak bantuan asas berkapasiti 1.5 liter telah diagihkan kepada rumah terjejas di Kuala Terengganu.
Katanya, 210 kotak lagi diagihkan di daerah Kuala Nerus dengan jumlah akaun paling terkesan di kawasan Tepoh, dan Batu Rakit.
“Manakala 110 kotak lagi diagihkan kepada Badan Kebajikan Komuniti Sepetir Rendang.
“Sumbangan disampaikan bertujuan meringankan bebanan penduduk terkesan mendapatkan bekalan air minuman bersih ekoran gangguan bekalan air semasa Krisis Air Berangan 2.0,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, PETRONAS turut menyumbang kepada penyelesaian masalah air akibat paip pecah menerusi sesi perbincangan bersama pakar minyak dan gas dalam proses pemasangan paip dasar sungai dan laut telah diteruskan dengan secara atas talian pada 27 Ogos lalu.
08 Sep 21
801
Masalah Air Serlah Semangat Kejiranan, Perpaduan Antara kaum
KUALA NERUS, 8 September – 'Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat', itulah perumpamaan sesuai terhadap semangat perpaduan merentasi kaum di Kampung Pulai Baru dalam mengharungi Insiden Air Berangan 2.0.
Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, antara usaha dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut adalah penyediaan telaga tiub air.
“Dengan ilham daripada pengerusi JPKK, Lai Liang Qing, sumber air ini telah siap dibina semasa krisis air pertama dengan pihak kami mendapatkan motor bagi kerja menyedut air.
“Selain usaha ini, kita konsisten dalam memastikan kebajikan rakyat berbilang bangsa di Terengganu terus dijaga tanpa mengira pinggiran,” katanya selepas kerja pengagihan bantuan air di Kampung Pulai Baru, Tepoh, pagi semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.
Menurut Ling Qing, sejumlah 65 rumah terkesan akibat terputus bekalan air pada 23 Ogos lalu.
“Namun begitu, inisiatif oleh Team Mobile Tepoh dalam memastikan komuniti sini sentiasa mendapat air daripada tangka statik adalah memuaskan," katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Kam Ah Yong, 72, berkata, bantuan air sentiasa disambung oleh JPKK dan pihak ADUN bagi memenuhi keperluan harian bersama isterinya.
“Liang Qing juga banyak bantu dalam menaikkan air ke rumah memandangkan saya sudah tua dan kita rumah kami terletak di kawasan berbukit,” katanya yang juga bapa kepada dua orang anak.
Jelas Balachandran, pihaknya sentiasa bekerja rapat dengan warga negeri bukan islam dalam menyelesaikan isu keselesaan komuniti bersama pihak berkuasa tempatan.
“Antara inisiatif diadakan seperti kerja kebersihan kampung, pelebaran jalan dan sebagainya.
“Diharapkan agar suatu hari nanti, Kampung Pulai Baru dapat dijadikan contoh simbol perpaduan di Terengganu,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.
08 Sep 21
899
Terengganu Beri Penerangan, Penjelasan Didik Guru Enggan Divaksin
KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri mengambil pendekatan mendidik, memberi penerangan dan penjelasan dari semasa ke semasa dalam menangani isu segelintir guru-guru sekolah di negeri ini yang enggan divaksin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, hanya minoriti kecil sahaja yang masih belum atau memilih untuk tidak disuntik vaksin COVID-19.
“Angka mereka yang tergolong dalam kategori ini tidak ramai dan tiada angka tetap, namun menerusi mesyuarat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), isu ini akan ditangani sebaik mungkin.
“Setakat ini, tiada keputusan drastik diumumkan seperti pengasingan daripada pengajaran, kita tunggu keputusan peringkat Kementerian Persekutuan bagi tindakan sewajarnya.
“Walaupun, usaha pemberian dos suntikan tidak dipaksa, namun ia memberi kebimbangan kepada orang sekeliling terutamanya pihak ibu bapa dan pelajar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, pagi semalam.
Tambah Satiful, antara faktor yang mungkin membawa kepada wujudnya golongan sedemikian adalah pengaruh media terutamanya di media sosial.
“Kebanyakan maklumat diterima adalah fakta tidak berasas, apa dibuat kerajaan adalah berdasarkan data dan dasar betul seiring dengan perkembangan,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan bahawa guru-guru yang enggan divaksin akan diberikan tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka kelak yang bukan melibatkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.
Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa guru-guru berkenaan tidak perlu mengajar serta terlibat dalam sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Oktober depan.
08 Sep 21
1169
Pelajar SPM, STPM Terengganu Dijangka Selesai Vaksin Sebelum Oktober
KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri akan memastikan sektor pendidikan selamat sepenuhnya sebelum dibuka kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan melengkapkan proses vaksinasi terhadap golongan terbabit sebelum Oktober.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kebanyakan guru dalam negeri sudah lengkap divaksin dan akan diikuti pelajar yang bakal mengambil peperiksaan awam berumur 17 hingga 18 tahun.
Katanya, pihaknya turut memberi kemudahan khususnya buat pelajar-pelajar yang ingin menyambung pengajian terutamanya di luar negara pada bulan September walaupun berusia bawah 18 tahun untuk menerima vaksin.
“Permohonan khas boleh diteruskan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah masing-masing ataupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masing-masing, para pelajar boleh juga hadir bersama ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa pembukaan sekolah akan datang, Satiful menjelaskan, pihaknya akan berpandukan kepada panduan peringkat Kementerian Pendidikan.
“Bagi kawasan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih tidak boleh beroperasi,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada minggu depan bermula dengan di Sarawak.
Dalam masa sama, seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini layak menerima vaksinasi Covid-19 sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong.
08 Sep 21
538
Penduduk Lega, Gembira ADUN Wujudkan Dobi Percuma
KUALA NERUS, 7 September – Sejak pengoperasian Dobi Layan Diri Percuma Sabtu lalu, rakyat berdekatan mahupun di kawasan luar menyuarakan rasa gembira terhadap inisiatif tersebut kerana dapat meringankan beban mereka ketika masalah Air Berangan 2.0 berlaku.
Seorang suri rumah, Rosita Ismail, 37, menyifatkan usaha Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh sebagai langkah tepat dalam memudah dan menjimatkan kos dan masa mencuci pakaian setelah ketiadaan air sejak 28 Ogos lalu.
“Sebelum ini saya basuh dengan air telaga sahaja dan memerlukan tenaga lebih untuk selesaikan pakaian keluarga.
“Namun begitu, setelah melihat di Facebook bahawa wakil rakyat Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim buat dobi percuma, saya terus datang ke sini.
“Memang jimat kos jika berbanding ke dobi biasa (RM10 kecuali mesin kering), walaupun lima minit daripada rumah di Kampung Sungai Ikan, tapi dua bakul dapat dibasuh dengan sabun percuma,” katanya ketika ditemubual pemberita di PKM DUN Tepoh, hari ini.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, sambutan baik dapat dilihat terutamanya pengunjung paling ramai adalah dari kalangan kaum wanita atau suri rumah.
“Setiap hari puratanya 20 orang datang membasuh daripada dalam dan luar DUN ini, kita tidak memilih kerana niatnya untuk sama-sama menolong golongan terkesan akibat terputus bekalan air.
“Setakat ini, kita menyediakan lapan buah mesin (dua sumbangan PTA First Electrical) dan sabun daripada Dewan Pemuda PAS Negeri dengan kerjasama PASTI.
“Melihat kunjungan penduduk memanfaatkan Dobi Layan Diri Percuma ini, kami cukup berbangga dan berpuas hati menyediakan perkhidmatan ini walaupun bukan dalam tempoh yang lama,” jelasnya.
07 Sep 21
669
Hakim Danish Menang Dua Perlumbaan Di Itali
KUALA TERENGGANU, 6 September – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya menempa nama di liga kejuaraan antarabangsa menerusi kejayaannya dalam Kejuaraan Ohvale Coppa Italia, baru-baru ini.
Anak muda daripada Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior dalam aksi di Litar Pomposa, Itali.
Hakim turut memecahkan rekod peribadi selepas melakukan rekod pusingan baru dengan catatan 1:01.270 s dalam perlumbaan pertama mengalahkan Thomas Bonomi daripada pasukan CMV, manakala tempat ketiga menjadi milik Davide Ferrazi (Dolomiti Corse).
Dalam perlumbaan kedua dengan 12 pusingan sama seperti saingan pertama menyaksikan Hakim Danish bangkit dari ketinggalan pada aksi awal untuk menumpaskan Ferrazi, manakala tempat ketiga diraih Lorenzo La Sorsa daripada Settimotoa.
"Perasaan saya sungguh gembira dapat berlumba dalam saingan Coppa Italia kerana di sini saya berpeluang untuk menimba pengalaman berharga yang sangat penting dalam karier saya.
"Saya juga gembira dapat bergaul dengan pelumba Itali yang bagi saya mereka sangat baik walaupun pertama kali bertemu. Saya gembira berkawan dengan mereka," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Terdahulu, penyertaan sulungnya di European Talent Cup (ETC) disertainya di Litar Catalunya, Jun lalu, anak muda itu turut mampu bersaing di pentas saingan yang dianggap tiga kali ganda lebih sukar berbanding Asia Talent Cup (ATC)
Dalam pada itu, penunggang berusia 14 tahun itu menetapkan sasaran tinggi pada ATC di Jepun pada bulan hadapan setelah penampilan sulungnya dalam pertandingan sama meraih dua penamat di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.
Kredit Foto : Facebook SIC
06 Sep 21
615
Rangkaian Komunikasi Terbakar Selesai Dibaiki
KUALA TERENGGANU, 6 September - Kerja-kerja baik pulih rangkaian komunikasi melibatkan kabin komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor di daerah Kemaman yang terbakar baru-baru ini telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada Sabtu lepas.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia berjaya dibaik pulih dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan.
"Ini membolehkan pengguna setempat menikmati semula rangkaian komunikasi dan liputan internet seperti sedia kala.
“Penghargaan buat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta semua penyedia perkhidmatan terlibat yang komited melaksanakan kerja-kerja baik pulih di menara komunikasi berkenaan secepat mungkin," katanya di Twitter.
Terdahulu MCMC menerusi kenyataan memaklumkan kabin menara komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor yang terbakar pada 5.58 petang, 30 Ogos lepas.
Menara berkenaan adalah milik Desabina Industries Sdn Bhd yang digunakan pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.
Kerosakan peralatan pada menara berkenaan juga telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambungan iaitu di Felda Air Puteh, Lubuk Lesong, Kampung Paman, Ladang Boustead, Kampung Pasir Gajah, Kampung Lubuk Lesung, Kampung Pasir Semut, Kampung Tebak dan Kampung Teladas
06 Sep 21
453
Sidang DUN Terengganu Dipendekkan Kepada 4 Jam Sehari
KUALA TERENGGANU, 6 September - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 yang dijadual pada 13 hingga 15 September ini akan berlangsung dengan tempoh masa persidangan yang dipendekkan.
Yang Dipertuanya, Dato' Yahaya Ali berkata, persidangan DUN berlangsung pada pukul 9.30 pagi sehingga pukul 1.00 tengah hari sahaja dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP).
Katanya, walaupun Terengganu sudah berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, namun segala SOP dan syarat–syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi oleh semua pihak termasuk pentadbiran DUN
"Selain diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan para petugas wajib menjalani 'swab test' COVID-19 pada 9 September ini.
"Hanya yang didapati negatif sahaja akan dibenarkan hadir pada sidang dewan.
"Selain itu, semua 32 ADUN dan para petugas juga akan menjalani ujian pengesanan COVID-19 'RTK-Antigen (Saliva Test)' pada setiap hari semasa persidangan berlangsung," katanya kepada pemberita secara atas talian hari ini.
Tambahnya lagi, persidangan akan dimulakan dengan titah perasmian oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang akan dibacakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Yahaya juga berkata, liputan persidangan juga boleh diikuti melalui siaran secara langsung melalui pelbagai platform kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.
06 Sep 21
318